Arkib untuk 23 Februari 2009

Polis Mesti Power

Posted in Gomen, Semasa, Sosial on 23 Februari 2009 by Najwa Aiman

Dalam blog Khayal lama dulu aku ada cerita tentang dua orang polis kejar peragut depan rumah aku pada suatu malam. Memula nampak sorang lelaki pakai baju biasa berlari depan rumah aku. Ingatkan dia berjoging. Lepas tu nampak sorang polis yang agak muda berlari kat belakang dia sambil menjerit-jerit “Berhenti! Nanti aku tembak! Berhenti!” Masa tu baru aku sedar rupa-rupanya yang berlari memula tadi tu penjenayah.

Kemudian sorang lagi polis melintas. Dia tak berlari, tapi berjalan laju-laju dalam keadaan termengah-mengah semput. Badan dia gemuk. Dah tak larat nak berlari lagi le tu.

Tadi member ofis cerita tentang kejadian dua tiga hari lepas kat Selangor Club. Semasa sepasukan pemain ragbi sedang main ragbi di padang Selangor Club tu, tetiba terdengar bunyi kenderaan eksiden. Masing-masing pergi ke tepi padang nak tengok apa berlaku. Nampak sebuah motosikal dah tergolek dan sorang lelaki sedang berlari dari arah motosikal tergolek tu. Di belakangnya sebuah kereta ronda polis. Lelaki tu berlari ke sebuah jalan raya sempit mendaki bukit one way street. Seorang anggota polis yang agak gemuk keluar dari kereta ronda tu dan mula mengejar lelaki tadi sementara seorang lagi anggota memandu kereta tu untuk menunggu di hujung jalan sana. Kebetulan ada seorang Pak Bai menunggang motosikal menuruni jalan raya tu, jadi anggota polis yang mengejar tu minta tumpang motor Pak Bai tadi untuk kejar peragut yang semakin laju berlari naik bukit. Dua-dua orang atas motor tu gemuk mengakibatkan lelaki yang berlari tadi bergerak lebih laju daripada motosikal tu.

Peragut tu walau bagaimanapun membuat satu kesilapan besar bila dia memutuskan untuk melencong masuk ke dalam padang ragbi di mana terdapat tiga puluh orang pemain ragbi sedang menyaksikan kejadian tadi. Melihatkan peragut tu berlari masuk padang, para pemain ragbi tu menjerit dan mengherdik peragut tu menyuruhnya berhenti.

Bijak juga peragut tu. Bila terpandangkan saiz tubuh badan pemain ragbi yang menjerit-jerit kepadanya tadi, peragut tu lalu buat keputusan untuk menyerah diri je kepada polis yang mengejar dia tadi. Lebih baik kena tangkap polis daripada kena tackle dengan tiga puluh orang expert ragbi. Nak mampus? Jadi peragut tu jatuhkan badan dia di padang dan meniarap sambil menunggu polis yang mengejar tu tiba. Bila polis yang mengejar tu tiba, dalam keadaan termengah-mengah, polis tu pun jatuh gak kat padang tu. Si peragut tu meniarap semput, anggota polis tu terlentang semput. Dua-dua semput.

Moralnya? Sama le macam aku tulis dalam blog Khayal lama dulu – anggota polis kita kena perbanyakkan latihan fizikal. Dan satu lagi moral – peragut yang tak ikut prosedur ragut memang bongok. Setahu aku kerja meragut ni mesti dua orang kan? Kan? Bukan ke? Ke? Eheks… Terima kasih kepada pasukan ragbi yang mengakibatkan peragut tu menyerah diri. Peragut tu lebih takut kepada pemain ragbi daripada polis ke? Anggota polis kena pastikan badan dia orang pun sasa macam pemain ragbi gak.