Tentang Lina (Siri 31) – Bisikan Naluri Ungkapan Nurani

KEPUTUSAN dah pun dibuat. Lina akan ke Sheffield. Dan aku? Aku ke Leeds. Yup… kami akan terpisah fizikal. Taklah jauh sangat sebenarnya antara Leeds dan Sheffield ni, tapi memang mati kebulurlah aku kalau nak jumpa dia setiap hari mahupun setiap minggu. Bukannya boleh panggil nama dia sepelaung. Atau jalan kaki macam kita orang biasa buat dulu dari Pudu Raya ke PWTC. Kena naik kereta api setidak-tidaknya tau! Ingat tambang kereta api boleh bayar dengan bulu roma ke?

Dan sebut tentang kereta api, maka inilah kisah tentang gadis kereta api. Ya… gadis yang menghantui emosi dan pemikiran aku dulu. Gadis yang kekasihnya TC tu. Gadis yang aku intai dari jauh sama ada dari platform stesen KL semasa dia dalam kereta api yang mula bergerak ke Butterworth. Yang aku intai dari dalam kereta api yang aku naiki untuk ke Singapura bila dia dengan kengkawan dia meninggalkan platform stesen KL. Gadis yang amat manis walau apa jua mimik wajahnya. Gadis yang mendebarkan jantung aku setiap kali ternampak akan dia. Gadis yang menggegarkan jantung aku bila kudengar namanya disebut.

Rupa-rupanya dia masih belum hilang daripada emosi dan perasaan. Kenapa ya? Entah kenapa, bila aku fikir Lina dah kembali bertakhta dalam sangkar hati aku yang macam-macam bahan kimia dan toksik masuk ni, gadis kereta api tu masih boleh menjengukkan wajahnya. kemanisan wajahnya serta-merta melenyapkan geran tanah Lina dari premis hati aku. Tiba-tiba. Sekonyong-konyong. Terlalu amat pantas. Dan kini, terlalu amat kerap. Sangat kerap. Dan dia begitu amat berkuasa — gadis kereta api ni — sehingga Lina W sekalipun gagal menendangnya keluar daripada angan-angan dan imaginasi aku walaupun Lina W berjaya menghambat keluar Lina H! Sekali lagi, aku tertanya-tanya soalan yang sama — gadis kereta api ni ada bela hantu ke?

Tak seperti waktu cuti selepas peperiksaan macam sebelum ni, kali ni aku tak bekerja sambilan. Aku duduk rumah menambahkan isi dan daging. Hubungan dengan Lina H? Telefon… tidak. Surat… tak juga. E-mel…? Mana ada e-mel lagilah masa tu! Cet! Telefon bimbit pun tak ada tau! Ya… memang zaman lama, tapi bukan zaman Flinstones, okey!

Maka, di samping aktiviti menternak daging, aku keluar juga dari rumah untuk shopping — baju sejuk, baju panas, baju suam, termasuk seluar, spentot, setokin, sarung tangan, muffler, bagasi (ni akronim ‘beg gergasi’ ek?), bla bla bla… Barang-barang nak berhijrah ke UK. Bukan Ubi Keledek tetapi Ubi Kentang — United Kingdom. Dan sebenarnya dalam pada bershopping tu, aku curi peluang untuk ke stesen kereta api KL. Bukan nak beli tiket atau nak tengok lokomotif. Aku nak cari dan… kalau boleh… kalau dapat… kalau dia sudi… berjumpa dan berbicara dengan gadis kereta api tu barang seketika. Sekejap pun jadilah! Aku sekadar nak bagi tau dia bahawasanya aku… lelaki yang tak tahu malu ni… entah kenapa… bila berkenaan dia… tetiba jadi arnab. Bukan arnab Playboy, mahupun arnab yang beranak banyak-banyak sangat, tetapi arnab yang pemalu.

Aku tak pernah rasa segan atau takut apatah lagi gentar berdebar-debar dengan mana-mana awek selama ni, baik yang dah kenal mahupun yang aku tak kenal tapi cuba-cuba nak kenal. Nothing. Maklumlah, aku kan lelaki tak tau malu… Selamba tenuk aje. Tak ada rasa apa-apa. Tapi dengan gadis kereta api ni… isy…

Sebelum tiba ke stesen lagi aku dah berdebar-debar. Kenapa ni? Bila nampak stesen KL dari jauh, debaran jantung aku bertambah tiga kali ganda. Bila melangkah masuk ke stesen, debaran tu dah jadi getaran berfrekuensi tinggi. Aku fikir kalau aku masuk ke platform, jantung aku dah boleh dipecahkan menjadi molekul yang bisa bergerak menerusi rangka dan daging tubuh aku macam Superman pernah buat tu. Aku kerling jam di tangan. Kereta api dari Butterworth sepatutnya akan tiba dalam sedikit masa lagi. Kalau ikut jadual le. Gadis yang satu tu akan turun dari tren buffet coach tu nanti. Dia akan beriringan dengan kengkawan sekerja dia sambil mengukir senyuman yang tak pernah gagal meluruhkan jantung aku tu. Biar kepenatan sekalipun, senyuman tu tetap akan diukirnya. Tenungan matanya tetap memancarkan sinar. Gerak-gerinya tetap memikat dan bertenaga, melagukan irama yang begitu indah menari-nari di sepanjang alunan lengan dan badannya yang tak dapat nak aku gambarkan mahupun jelaskan. Ada sesuatu pada gadis yang satu ni yang menempelak semua awek lain hingga menghambat dia orang lintang-pukang dari dalam imaginasi bahkan hati aku ni. Justeru Lina H dan Lina W pun kecundang lantas menghilang dihambatnya. Siapakah gadis kereta api yang satu ni? Yang kasih sayangnya sudah direbut dan dijaga rapi oleh TC ni? TC itu ke yang menjadi bangsat memagar si gadis yang satu ni sampai aku pun boleh berdebar melihatnya walau dari jauh hingga rasa nak terkencing terberak? TC tu ke yang bela hantu suruh jaga gadis yang satu ni? Binawe wal-ketupat kutu!

Apabila tren yang dinantikan tiba, jantung aku bagai terhempas ke perut lalu terperosok terus ke dalam usus lantas menyumbatnya. Adoi… sembelitlah aku nanti lepas ni… Tapi tak apa! Demi gadis yang satu ni.

Aku tunggu melayan debaran yang semakin hebat. Sekumpulan rakan sepasukannya sudah turun dan berkumpul di stesen. Jelas amat uniform merah biru mereka tu. Aku perhati mereka satu persatu… Eh? Mana dia? Mana gadis tu? Mana gadis yang satu tu? Dalam tren lagi ke? Apa ke jadahnya dia masih dalam tren bila kengkawan dia semua dah turun dan berjalan perlahan-lahan berlenggang-lenggok meninggalkan platform? Takkan dia buat macam hari tu — terus ke Seremban untuk ke rumah kakak dia? Alamak… Kecewa… hampa… merana…

Tapi hari tu aku terus tunggu sampailah kengkawan dia tu hilang dari stesen KL dan sampai tren tu mula bergerak semula untuk meneruskan perjalanan ke Singapura. Kelibat gadis yang satu tu tak kelihatan pun. Kekecewaan dah jadi penderitaan kini. Adoi laaa… Lalu aku tinggalkan stesen KL tu membawa hati luka. Entah-entah dia bercuti dengan TC tu tak? Oh… sungguh amat celaka! Rasa nak mencarut aje ni… ohhh…

Tapi aku tak putus asa. Aku resah gelisah sejak hari tu. Resah teramat. Gelisah memuncak. Bengang. Marah. Hampa. Macam-macam… Apa hal dengan aku ni? Bukannya si gadis tu kenal aku pun. Bukannya aku pernah berbicara dengan dia pun. Tapi kenapa impak dan kesan si gadis yang satu ni sungguh teramat dahsyat mengatasi impak mana-mana awek sebelum ni, bahkan mengatasi impak Lina H sendiri? Huh? Si gadis yang satu ni — yang aku tak pernah bicara dengannya, yang bukan kekasih hati aku secara rasminya, yang barangkali tak pernah tahu pun manusia aku ni wujud — berjaya menjadikan Lina H — gadis yang selama ni memegang tampuk pemerintahan dan kuasa dalam takhta hati dan perasaan cinta kasih sayang aku, yang selama ni berkali-kali dengan aku ke Hankyu dan Jaya Jusco, yang telah berkongsi jiwa dan raga tanpa batasan — kecundang dari segi impak dan kesannya terhadap aku, luar dan dalam? Bagaimana mungkin? Bagaimana mungkin Lina H gagal mengatasi gadis yang masih bertaraf makhluk asing kepada aku ni sebegitu sekali? No way! Aku tak boleh biarkan Lina tewas dan tercampak keluar dari istana hati aku. Tak boleh!

Lantas beberapa hari selepas tu, aku sekali lagi gagahkan diri ke stesen kereta api KL. Aku mesti, mesti, mesti jumpa dia walau sekejap. Aku mesti nyatakan juga apa yang aku rasa kepada dia selama ni. Aku mesti luahkan semua emosi ni kepada dia walaupun aku tahu dia takkan terima sebab dia dah cintakan TC tu. Tapi aku mesti luahkan juga demi Lina. Aku mesti luahkan supaya emosi yang membina tembok sempadan dengan Lina ni dapat aku buang. Aku mesti buat semua ni sebelum aku tinggalkan Malaysia.

Maka setelah berpenat-lelah melawan dan bergusti dengan debar dan getar hati serta perasaan sendiri macam sampa nak tiga suku mati, aku berjaya tiba ke stesen KL dan menunggu tren dari Butterworth tu tiba. Tapi… seperti kelmarin juga, kengkawan dia turun tanpa dia! Apa hal ni? Mana dia? Takkan setiap kali aku datang stesen ni dia bercuti? Macam tau-tau aje aku nak jumpa dia. Atau… atau… oh..! Atau sebenarnya dia dah pun jadi isteri TC tu dan dah tak kerja lagi? Oh…! Tolong katakan tidaaaaaaakkk…!!!

Maka dengan perasaan meluap-luap dan begitu amat macho, aku menyapa kengkawan dia yang kini dah melangkah masuk ke dewan menunggu. Aku perlu tahu apa jadi dengan gadis yang satu tu. Aku mesti tahu!

“Dia dah berhenti,” kata salah sorang kawan dia tu.

“Dia kahwin ke?” aku tanya, tak sabar, tapi cuba tahan sabar, tapi tetap tak sabar. Gelojoh betul…

“Bukanlah,” kata kawan dia tu yang… hmmm… comel cute gak nampaknya… sambil gelak-gelak. “Dia tukar kerja. Dia kerja kat Subang Jaya sekarang. Dah lama dah dia berhenti sini dan kerja kat sana.”

Huh? Bagero! Kenapa aku tak tau ni dari awal-awal lagi? Kenapa? Kenapa? Habis tu? Apa perlu aku buat sekarang? Cari dia kat sana? Kat mana tadi kawan dia kata dia kerja? Oh ya… kat hospital di Subang Jaya tu. SJMC? Yalah tu agaknya. Macam mana aku nak cari dia kat sana? Bahagian mana dia kerja? Dia dah jadi doktor ke? Atau dia jadi nurse? Atau kerja pentadbiran di pejabat? Atau apa-apa aje? Nak cari macam mana ni?

Ahhh…! Perlu ke aku risau pasal tu? Nekad dan pergi ajalah ke SJMC dan cari sampai dapat. Teroka dan jelajah seluruh hospital tu. Kalau perlu teroka sampai ke bilik mayat sekalipun, akan aku teroka! Tapi sebenarnya aku berharap sesangat dia tak kerja kat bahagian bilik mayat tu… Seriau kecut juga nak ke situ kan? Eheks…

Tapi cari mesti cari! Ada sesuatu dalam naluri aku yang membisikkan bahawa aku mesti, mesti, mesti luahkan apa yang aku rasa ni. Aku mesti sampaikan kepada dia hasrat nurani ni. Aku mesti buat begitu sebelum aku berangkat ke UK meninggalkan Malaysia, dan meninggalkan dia. Mesti!

22 Respons to “Tentang Lina (Siri 31) – Bisikan Naluri Ungkapan Nurani”

  1. Sekali baca aku suka siri ni… Esok kena baca lagi baru komen.. Kenapa suka..? Approach dia lain sikit kut..? Ataupun sbb hero tertekan sikit.. Lain dari siri lain..

    • Siri ni aku gunakan bahasa yang lebih santai dan ‘komedi’. Banyak guna ‘deskriptif merapu tapi tepat’ (istilah aku sendiri je ni, so jangan amik serius sgt… eheks!)

      Dan juga sebab cuba nak match feeling chapter ni dengan mood pembaca.

      • Pembaca lain wa tak tahu ler.. Tapi wa senang gaya cm ni.. Simple n straight to the point.. Can relate n easy to digest.. My 2 sen..

        • Wa pun suka gak gaya ni. Tapi kebanyakan pembaca novel tegar tak suka. Noveis dewa pun tak suka.

          Tapi… “Najwa Aiman tak kisaaahhh…” eheks!

          • Hmmm klu in term of sales… Kena tulis bahasa complex baru boleh jual? Wa tengok alhadiat tu guna bahasa simple jer.. Entahla labu.. Bukan bidang wa..

          • Nope… in fact wa pernah argue dalam satu public forum bahawa kita kena tulis ikut kehendak pembaca sebab pembaca tu ialah market. Wa kena belasah balik sebab dia orang kata wa menulis bukan untuk tujuan nak mendidik pembaca tapi sebab nak buat duit semata-mata.

            Tapi wa balas gak la… wa kata memang wa menulis untuk cari duit. Wa bukan sasterawan negara yang layak mengajar orang… eheks…

            Sebab tu wa panas mendidih sangat bila sorang novelis dewa ‘hina’ Ahadiat dalam satu akhbar mingguan lama dulu. Cubit paha kanan, paha kiri pun kekadnag boleh stim kalau tak sakit pun tau…

          • Kidmatmetal Says:

            Novelis dewa tu mcm mana ek..? Pembelajaran tu tak semestinya formal. Kesusteraan evolves with time.. Wa tak ingat novel apa.. Yg penulis dia femus yg cerita pasal zaman jepun yg mana watak utama kena rogol.. Zaman dikira taboo.. Tapi skang?

            My point is that karya penulisan tidak perlu/patut dikonkong.. Penulis patut diberi kebebasan untuk berkarya… Jika banyak sgt issue yg nak kena observe maka daya kreativity akan kurang. Sebab itu tak boleh ini tak nak.. Sama mcm filem melayu, byk sgt pantang larang..

            Nak kritik senang kan..

          • Yup… setuju… Dalam blog Khayal yang lama banyak wa tulis pasal ni. Kalau sesuatu karya mesti ikut peraturan tertentu, tu bukan lagi hasil kreativiti.

            Novelis dewa ialah yang kata setiap karya mesti ada “isi”, dan “isi” bagi mereka ialah apa yang mereka gariskan. Selain daripada apa yang mereka gariskan, tu bukan hasil penulisan yang baik.

            Dewa beb… dewa… minta disembah, kalau tak, akan disumpah… ekekekeke…

  2. Dua kali dah baca stil suka.. Bagus.. Maybe sbb wa mmg dari dulu tak suka watak lina h tu.. Klu w ok…

    • Bro… wa sangat-sangat nak jumpa lu dan tanya dari hati ke hati… naper lu tak suka Lina H tu sejak dulu ek? Ekceli kan, bukan lu sorang tau. Wa dapat tau cuma sejak masuk alam bekerja je bahawa ramai gak sebenarnya kengkawan wa dan kengkawan kita dulu tak suka Liha H dan tak berapa gemar wa couple dengan dia tu bila wa jumpa dia orang ni semua kat serata tempat sejak dah bekerja dulu sampai sekarang. Tapi korang tak cakap kat wa masa tu. Naper ek? Sebab takmo wa terasa hati ke?

      Tapi naper tak suka dia ek?

      • Entahle.. Personality tak sama kut.. Lu lemah lembut sikit.. Dia cm singa lapar… Mcm nak kontrol abis.. Bgi wa stakat bf gf tu x yahla control abis.. Lepas tu wa heran kenapa dia tak ke leeds..? Bf gf lain hampir semua klu boleh nak duduk dekat..

        • Huh??? Dia garang??? Bukan dia nampak lembut ke…??? First time dengar ni..

          Anyways, yang tu akan disebut dalam next siries – “COMPATIBILITY”. Perkataan yang kerap sangat dan semakin kerap disebut oleh Lina H sejak A-Level, NCUK dan UK. Jeng jeng jeng…

          • Compatible…? Ahhh tu semua alasan… They will hurt you n use all the reasoning to justify it…

            Lembut…? Mcm spender tak kena softlan.. Gitu..

          • Ekekekekekkek… ekekkekekekkeke… ekekkekekekek… sungguh harem perbandingan yang lu buat..! Ekekeekekek… adoi laaa… Tapi terang wa cakap, wa tak faham camne orang lain boleh nampak dia macam spentot tak kena softlan tu… Bagi wa dia amat lemah lembut. But then again, perspektif wa pada dia bias. Partial. Nemo judex in causa sua sebab nemo judex injuria… ekekekekekeke…

            Compatible? Ada ketikanya memang wa bersetuju dengan kata-kata lu tu. Ada ketikanya kekadang wa fikir Lina betul juga… kita orang memang tak ‘compatible’… dan sebenarnya tu satu hikmah…🙂

  3. Gadis dlm gambar tu mcm kenal.. Katakan ya… Katakan ya! Mmg aku kenal..?!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: