Tentang Lina (Siri 38) – Menyulam Bulan Yang Suram

MEMANGLAH aku tahu daripada sebelum ni lagi bahawasanya United Kingdom ni sejuk. Ada tempat yang turun salji. Sesetengahnya tebal sampai tenggelam kepala lutut. Dan salji tu ialah apa yang aku selalu kikis dari dalam freezer peti ais ayahanda aku dulu. Sejuk, kan? Tapi aku tak dapat masukkan secara jelas dalam imaginasi akan hakikat sejuk sebenar UK ni sehinggalah aku dah sampai sana, dan duduk kat sana. Memang sejuk teramatlah siot…!!!

Patutlah kat UK ni tak ada peti surat. Semua surat dihantar terus ke pintu rumah. Kalau ada peti surat letak kat pagar, percayalah, nak pergi ambil surat tu pun kena sarung badan luar dalam, termasuk sarung tangan! Ptuih! Ni memang negara peti ais!

Dan sebab iklimnya yang sedemikian, maka hujung tahun memang tak nampak langit. Tarak! Jangan haraplah nak jiwang sambil memandang burung menyusur angin di langit nan biru. Mana ada langitlah! Semua awan aje tau! Apa? Kesucian awan nan putih meredupkan suasana? Pigi dah! Mana ada awan putih! Semua awan mendung kelabu asap weh!

Dan akibatnya? Seluruh negara UK tu mendung. Kelabu. Masuk angin keluar asap, kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dah le suasana semua kelabu asap, orang-orang kat UK ni pula masa tu jugalah suka bebenor dengan fesyen pakaian yang semuanya warna kelabu asap juga… Adoi laaa… Apa ke jadahnya dia orang kat sini? Maka bertambah mendunglah segala mood dan emosi.

Kami tak duduk lama di Park View Grove. Kami berpindah ke rumah sewa baru di Willow Close pula. Jarak ke universiti agak lebih jauh sikit tapi tak apa. Aku tetap berjalan kaki aje berulang dari universiti ke rumah. Ke bandar pun jalan kaki aje. Ke mana-mana ajelah. Semua jalan kaki aje.

Dan aku berjalan kaki ke bandar raya Leeds hari tu. Aku tak ke kuliah atau tutorial hari tu. Tuang. Sebaliknya aku merayau dari satu kedai ke satu kedai barangan elektrik, dan dari satu pasar raya ke pasar raya yang lain. Sendirian. Dah ponteng kuliah takkan nak ajak member, kan? Buat jahat sorang-sorang ajelah. Kalau ada member nak join, suka hati dialah.

“Lina lonely sangat kat sini,” ujar Lina semasa aku melawatnya hari tu.

“Tu la,” aku balas. “Kenapa tak pindah duduk rumah sewa dengan kawan-kawan yang lain tu? Kenapa duduk kat hostel ni? Orang kita semua duduk rumah sewa.”

Aku tak pernah dapat jawapan yang sebenar kenapa dia berkeputusan nak duduk asrama dan bukan bercampur dengan kawan-kawan yang lain. Barangkali betullah agaknya Lina ni jenis tak campur orang ek? Ya ke? Bukannya tak ada kawan-kawan dia kat situ. Setahu aku, memang ada walaupun dua daripada sahabat rapat dia masa A-Level dulu ada kat Leeds. Dua-dua buat law. Tapi Lina pilih Sheffield juga.

“I really am lonely here,” keluh Lina.

Sejujurnya aku rasa macam nak menangis dengar kata-kata dia. Aku faham sangat apa yang dia rasa. Aku faham sebab aku juga rasa apa yang sama dia rasakan. Tapi aku juga tahu bahawa apa yang dia rasa masa tu jauh lebih hebat dan lebih menyakitkan daripada apa yang aku rasa kerana tak seperti aku yang masih lagi boleh bergaul dengan kawan-kawan sesama puak, suku, bangsa dan negara, Lina tinggal sendirian di asrama yang dipenuhi siswa daripada entah mana punya negara tu.

Aku sejujurnya tak tahu apa nak jawab kepada Lina masa tu. Justeru aku tak tahu apa nak buat pun. Apa maksud dia? Dia mahu aku kerap datang ke Sheffield ke? Berapa kerap? Setiap minggu? Oh…! Sanggup ke aku? Sanggup sebenarnya. Memang sanggup. Tapi isu sebenarnya ialah, mampu ke aku? Aduhai…

Sungguh aku takkan mampu. Tak mungkin aku termampu. Setiap minggu? Habis apa ikhtiar aku sebenarnya? Aku tahu Lina perlukan teman. Dia perlu amat-amat teman. Tapi dia tak mahu berpindah dari asrama tu. Dia tak mahu duduk bersama kawan-kawan lain menyewa rumah. Habis tu?

Maka aku buat apa yang aku rasa antara benda paling bodoh aku pernah buat. Aku merayau bandar raya Leeds untuk cari mini hi-fi. Aku nak beri dia mini hi-fi. Niat aku sebagai hadiah sementara. Sementara apa? Sementara kami terpisah di UK ni. Aku expect bahawa mini hi-fi tu akan dipulangkan semula kepada aku in one piece bila kami akhirnya disatukan nanti. Huh? Kau orang gelak ke? Cet! Aku serius ni tau! Aku serius! Aku nak jadikan ni simbolik. Aku nak jadikan hadiah mini hi-fi ni sebagai sementara.

Tapi kenapa mini hi-fi? Nak buat apa mini hi-fi? Buat dengar lagu. Dengar CD. Dengar radio. Dan… hasrat aku yang sebenar, buat dengar kaset. Kaset yang aku akan rakam suara aku bercampur lagu dari masa ke semasa dan aku kirim atau serahkan kepada dia. Aku akan hantar sebanyak mungkin. Barangkali kalau dia dapat dengar celoteh aku dalam kaset pun memadailah kut? Agaknya… Itulah apa yang aku sangka masa tu.

Maka aku pun membelanjakan bahagian elaun yang aku simpan sejak mendarat di bumi UK masa tu. Elaun yang aku memang simpan dan kumpul sama ada untuk masa terdesak — jika ada — atau — tujuan asalnya — buat beli hadiah dan cenderahati di UK ni untuk Ayahanda, Bonda dan Dinda aku bila aku pulang ke tanah air nanti. Tak mengapalah aku belanjakan duit ni dulu buat Lina. Aku akan usahakan simpanan semula selepas ni nanti. Pasti!

Dan memandangkan tak sampai setahun pun aku di UK, maka bahagian simpanan elaun aku tu taklah banyak sangat untuk aku belikan dia TV atau hi-fi yang canggih-canggih. Aku sekadar termampu beli apa yang boleh melalui bahagian simpanan tu aje. Aku berharap sangat tu memadai bagi dia. Tu aje yang aku termampu masa tu. Takkan nak pinjam duit Garn atau Jahar? Tak mahu. Lina ialah kekasih dan cinta hati aku. Bukan cinta hati dia orang!

Oleh sebab aku terpaksa pikul menatang tu, maka aku tak jalan kaki bila nak balik ke rumah. Dah jauh sangat aku merayau-rayau mencari mini hi-fi tu dan aku jumpa dan beli di pasar raya yang agak jauh. Lepas tu nak pikul jalan kaki balik ke Willow Close? Gila ke haper? Aku naik bas.

Sampai ke rumah aku buka untuk pasang kepala plug mini hi-fi tu. Ya, di UK ni dia orang jual barangan elektrik tanpa kepala plug. Takkan aku nak bagi kat Lina suruh pasang sendiri? Maka aku pun tolong pasangkan. Masa tu baru aku nampak kat belakang mini hi-fi tu ada embossed “Made in Malaysia”. Astaga wa esta bagadud…

Dan hujung minggu tu aku pikul pula mini hi-fi tu naik kereta api. Dan ya, dari rumah aku di Willow Close ke stesen kereta api tu aku jalan kaki sambil pikul mini hi-fi. Nampak gayanya aku dah berkawan baik dengan kereta api. Kereta api di Malaysia menemukan aku dengan Zah. Kereta api di UK pula? Hmmm…

Dan dari stesen kereta api Sheffield tu, aku menapak lagi sambil pikul mini hi-fi tu ke asrama Lina. Harap-harapnya dia ada di rumah. Aku nak buat surprise kat dia walaupun aku tahu sangat-sangat bahawa apa yang aku nak berikan kepada dia ni tak ada nilai langsung walaupun untuk tujuan meredakan kesunyian dan kesepian dia di Sheffield tu. Tak ada makna dan erti langsung. Tapi setidak-tidaknya aku mesti berbuat sesuatu. Aku mesti! Setidak-tidaknya, walaupun aku tak dapat hadirkan diri aku sentiasa di sisi dia, aku dapat hadirkan suara aku kelak. Itulah hasrat aku yang tinggi menggunung. Lebih tinggi daripada gunung tertinggi kat UK tu. Apa ya gunung tertinggi kat UK? Ada gunung ke kat UK tu? Entahlah…

Dan wajah Lina menggambarkan segala-galanya tatkala aku serahkan kepada dia mini hi-fi yang aku pikul sepanjang perjalanan kaki aku tu. Semput nafas aku mendaki tangga ke tingkat atas sekali asrama dia. Dan seperti yang aku jangka, Lina tersenyum, tapi senyumannya menggambarkan emosinya yang pada ketika tu seakan berbisik “Benda ni yang jantan ni bagi aku?”

Ya, Lina sayang… inilah saja yang Dzam termampu…

Tapi aku dah jangka reaksi dia walaupun Lina tak luahkan secara zahir. Dia bahkan berterima kasih dan mengucapkan penghargaan atas usaha aku meminjamkan kepada dia mini hi-fi tu. Seperti yang aku nyatakan sejak awal lagi, aku berikan mini hi-fi ni sebagai pinjaman semata-mata. Sementara menantikan hadiah lain yang aku fikir jauh… jauh… jauh lebih bererti. Aku akan ambil dia untuk isi seluruh hidup aku dan ketika tu aku akan pastikan dia takkan kesepian dan kesunyian lagi buat selama-lamanya. Maknanya antara kami dia kena mati dululah. Kalau tak macam mana dia takkan jadi kesepian sepanjang hayat dia kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Aku pulang ke Leeds naik kereta api sendirian lagi. Bahkan aku ke stesen tu dari asrama Lina pun bersendirian. Lina tak dapat iringi dan teman aku ke stesen hari tu sebab dia nak jumpa ‘Kak Zali’ katanya. Siapa ‘Kak Zali’ ni? Masa tu, aku tak kenal lagi siapa sebenarnya ‘Kak Zali’ ni. Mungkin suatu hari nanti aku akan kenal juga. Dan seperti biasa aku panjat naik kereta api untuk pulang ke Leeds dengan rasa hati berbaur. Hati aku masih tak tenteram. Tak puas. Tak nyaman dan sama sekali tak lega. Aku tau apa yang aku dah buat tu tak memadai langsung buat Lina. Bukan tu yang dia mahu dan aku memang tahu sangat-sangat. Tapi apa lagi yang mampu aku buat? Kau orang Superman ke? Kalau kau orang Superman, kau orang akan buat apa? Hah! Cakaplah!

Dan lagu Karyn White ‘Superwoman’ kembali bermelodi dalam kepala aku sepanjang perjalanan dalam kereta api pulang ke Leeds… Semoga kau bersabar, sayang. Bersabar, sayang… Bersabarlah, Lina…

Bersambung…

36 Respons to “Tentang Lina (Siri 38) – Menyulam Bulan Yang Suram”

  1. huh cik adzam, awak ada terkontek lina nih?

  2. Kidmatmetal Says:

    Wa guna duit buku wa beli hi-fi besar bro.. Lu beli untuk aweks.. Bagussss… Baguss… Gaya cam hj bakhil cakap…

  3. Kidmatmetal Says:

    Klu beli kat shefield kan lagi bagus.. Ritcher sound name die.. Satu uk ade.. Slalu ade sales.. Tula tak nak tanya wa…

    • Yup…memang ada terfikir nak beli kat Sheffield tapi wa sorang-sorang tak tau nak cari hala tuju kat Sheffield tu. Kalau pergi dengan Lina rasa-rasanya dia takkan approve. Lagipun dengan Lina masa tu agak sukar sikit nak berjalan-jalan kat bandar Sheffield. Dia macam tak berapa gemar.

  4. Kidmatmetal Says:

    Lonely… Buy a dog… Kwang3x kate bruce wilis dlm last boy scout.. Mase wife die ada affair.

  5. Kidmatmetal Says:

    Andainya lina h duduk leeds la ek… Kononnya dia ikut lu… Apa jadi agaknya.. Lu rasa2 bersekedudukan tak ngan dia..?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: