Tentang Lina (Siri 41) – Dan Aku Menjadi Syaitan

ORANG-ORANG tua… or is it orang tua-tua…? Ah… mana-mana ajelah. Perkataan berganda ni kadang-kadang memang buat aku keliru tak tentu pasal. Anyways… kata orang dulu-dulu, yang patah kan tumbuh, yang hilang berganti. Tu peribahasa. Cikgu darjah enam aku dulu kata maksudnya setiap sesuatu ada gantinya. Dan dia marah aku bila aku kata yang tumbuh pun boleh patah. Jangan cemar bahasa, katanya. Entahlah… kadang-kadang aku fikir proses kreativiti, mahu tak mahu, melibatkan juga, antaranya, ‘mencemar’ bahasa. Bukan ke? Ke?

Lina ialah dahan tempat pergantungan hati dan perasaan aku, dan dahan tu telah patah. Macam manalah tak patah kalau biawak yang sama besar dengan anak buaya dah panjat dahan tu. Dahlah dahan tu memang dari awalnya lagi jenis lembut dan rapuh. Setitis rawan dah cukup untuk menjadikan ia reput dan hancur berkecai.

Kesilapan aku ialah terlalu amat bersifat manusia. Sepatutnya aku bersifat monyet. Ya… memang aku kata ‘monyet’. Monyet tak bergantung pada sebatang dahan semata-mata untuk bergayut. Monyet akan bergayut pada sebanyak mungkin dahan. Bukan sekadar bergayut, malah diayun dan dibuainya semua dahan tu. Manusia biasanya tak buat macam tu kecuali dia Tarzan. Barangkali aku perlu jadi Tarzan. Bergayut pada sebanyak dahan yang mungkin, sama ada untuk tujuan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain, atau untuk naik lebih tinggi mahupun turun lebih rendah, justeru untuk sekadar berbuai dan berayun melayan emosi — pendek kata dan panjang kata, untuk apa jua tujuan, tak memadai dengan hanya satu dahan. Dahan boleh patah pada bila-bila masa. Aku mesti tangkas berpindah ke dahan yang lain bila ia patah.

Untuk pindah ke dahan yang lain, dahan tu aku mesti dah register dalam radar, kan? Aku mesti dah tahu kat mana dahan tu, dan berapa kuat ia boleh bertahan menampung beban berat aku ni, kan? Tu kira lebih advance sikit daripada monyetlah.

Tapi tu tak cukup. Aku juga mesti ada skil biawak. Untuk tujuan survival dan kepentingan diri sendiri, aku juga mesti ada skil untuk pada bila-bila masa yang perlu memaut mana-mana dahan yang ada walaupun dahan tu, pada masa tu, dah ada monyet, beruk, kera, mawas mahupun gorila lain yang tengah dok bergayut kat situ! Dan seperti biawak juga, aku tak perlu belajar tatasusila dan adab nak bersemuka dan berbincang dengan segala jenis monyet, beruk, kera dan mawas tu. Umpama komodo, gigit aje sampai mampus. Lepas tu ratah sepuas hati. Ratah sebelum mangsa tu mampus lagi lazat. Biasanya macam tu.

Aku mesti kuasai skil monyet dan biawak serentak. Skil aje tau! Bukannya nak jadi monyet atau biawak betul-betul! Tapi kalau aku ni biological Transformer, aku lebih rela ada kebolehan bertukar jadi monyet daripada jadi biawak!

Masalahnya, sanggup ke aku? Tergamak ke aku? Mempermainkan cinta? Aku…? Habis tu awek-awek yang lain yang aku lanyak selama ni tu?

Hmmm… Sebenarnya ada banyak hikmah juga peristiwa 3 dan 22 Februari ni. Peristiwa Februari menyedarkan aku banyak perkara baik yang penting, yang tak berapa penting, mahupun yang tak penting langsung. Antara perkara yang aku anggap penting yang aku pelajari ialah, demi sesungguhnya umat manusia zaman kini telah melalui satu proses evolusi yang amat menakutkan — bahawa seks dan persetubuhan tu boleh dipisahkan daripada cinta! Adoi laaa… Sungguh! Sungguh amat benar! Dan sebenarnya… come to think of it… sungguh amat logik juga… Hmmm…

Barangkali itulah salah satu asbab kenapa Tuhan mengharamkan seks dan persetubuhan di luar nikah — sebab secara fitrahnya seks dan persetubuhan memang tak berkaitan langsung dengan cinta. Tak ada langsung. Macam Nani kereta api tu, kan? Mana ada cinta? Aku tak pernah kata aku cintakan dia, sebab memang aku tak rasa macam tu pun. Nani pun tak kata dia cintakan aku, sebab dia tu asalnya — mengikut kata dia — lezbo. Suka sama suka ajelah aku dengan dia. Tak melibatkan emosi dan perasaan yang disebut ‘CINTA’ yang selama ni — selama seumur hidup aku sejak aku kenal AZLINA W — aku anggap sesuatu yang begitu teramat tulus, suci dan sempurna. Seks dan persetubuhan tak ada kena mengena dengan cinta. Cinta ialah tentang penyerahan hati yang setulusnya. Bodohnya aku…

Tapi kan (mesti ada ‘tapi’ punyalah…) aku pun jembalang juga. Aku pun pernah mencemar apa yang selama ni aku sendiri anggap begitu amat suci. Aku pun pernah merosak dan mencemar kesucian cinta aku kepada Lina. Sebab aku pernah merasa waswas. Aku pernah rasa ragu. Pernah rasa musykil.

Dan aku pernah menyerahkan hati aku kepada orang lain walaupun ketika tu aku seharusnya dah serahkan hati aku kepada Lina! Aduhai… jembalang spesies apa aku ni…?

But then again… bagaimana mungkin aku serahkan hati aku kepada orang lain kalau aku memang dah betul-betul serahkan kepada Lina? Mungkin ke aku sebenarnya memang tak serahkan pun hati aku kepada Lina selama ni? Atau sebenarnya aku dah serahkan tapi tanpa aku sedar siku aku jadi buruk dan aku dah ambil semula? Atau… haaa… yang ni possible sikit — aku sebenarnya mempunyai hati yang banyak! Eheks… Itulah pasal agaknya lelaki boleh kahwin lebih ek? Bukan ke? Ke?

Sejujurnya aku tak fikir macam tu. Hati aku tetap ada satu. Cuma aku boleh pilih sama ada hati yang satu tu aku nak bahagi-bahagikan atau tak macam buat kubikel dalam ofis. Tu yang sebenarnya. Dan sepanjang yang aku tau seumur hidup aku masa tu, aku tak pernah terfikir mahupun terlintas dalam kepala otak nak bahagi-bahagikan hati aku tu. Seketul hati tu adalah untuk seorang aje. Aku tak tahu sama ada aku kaya cinta atau miskin cinta, tapi kalau aku kaya cinta sekalipun, aku mahu berikan seluruh kekayaan cinta aku tu pada seorang saja. Apatah lagi kalau aku memang miskin cinta.

Jadi sebenarnya hati aku tu aku dah serahkan kepada siapa ya…? Mungkin benar aku pernah serahkan kepada Lina H suatu ketika dulu. Tapi aku dapat rasakan bahawa pernah tiba ketikanya hati tu aku ambil kembali. Sama ada itu, atau Lina telah kembalikannya kepada aku tanpa aku sedar. Mungkin Lina sendiri pun tak sedar.

Dan kerana itu barangkali, aku mampu tinggalkan hati aku yang satu tu di Malaysia pada hari aku berlepas ke negara sejuk beku peti ais ni. Barangkali kerana tu aku mampu tinggalkan hati aku kepada Zah.

Dan aku percaya sangat bahawa ini benar. Selama aku di bumi peti ais ni, bayangan wajah Zah sentiasa datang berkunjung. Senyumannya, gerak-gerinya, personalitinya, suaranya, jelingan dan tenungan matanya… segala-galanya tentang dia kerap benar datang berkunjung.

Dan aku berbohong kalau aku katakan bahawa bayangan yang sama daripada Lina H juga datang menjenguk sekerap itu! Hasil post-mortem emosi aku keras mengatakan bahawa itu tak pernah berlaku!

Pling! Bunyi apalah tu… Oh… tu bunyi isyarat tali pinggang keledar dimatikan dalam pesawat. Manalah aku tahu. Naik kapal terbang nak pergi ke UK itulah kali pertama aku naik kapal terbang. Sejurus terpadam saja lampu isyarat tu, pramugari pun ke hulu ke hilir tawarkan minuman. Lalu rakan sekolej NCUK yang duduk sebelah aku pun panggil pramugari yang entah kenapa taklah cun sebagaimana yang orang dok heboh-hebohkan sangat tu. Dia minta air. Aku tak rasa nak minum lagi masa tu. Pesawat baru aje berlepas, kan? Belum dahaga.

Bila pramugari tu tiba semula membawa pesanan minuman rakan aku tadi tu, aku terkejut panda sekejap.

“Aik?” aku kata dengan mata buntang sambil mulut ternganga kat dia. “Kita masih dalam ruang udara Malaysia ni tau.”

Dia sengih aje. Sambil tu tangan dia yang memegang bekas air kecil mengandungi air kuning berbuih-buih tu disuakan ke mulutnya. Diteguknya pantas. Semerbak seketika bau air malta proses tu ke dalam rongga hidung aku. Busuklah! Kalau dia terus-terusan macam ni, bukan dia yang mabuk. Rasa-rasanya aku yang mabuk sampai muntah-muntah ni.

Dan itu ialah peristiwa hampir setahun lalu masa kami dalam pesawat nak ke UK ni. Sememangnya sejak sebelum tu dan sehingga kini, aku tak sentuh dan tak berkehendak langsung dengan air kencing setan tu. Apa ke jadahnya nak mabuk-mabuk ni? Aku ni dahlah memang jenis mabuk kenderaan dan aku tak pernah suka situasi aku dalam keadaan mabuk kenderaan tu. Loya nak muntah aje rasanya. Apa yang best sangat rasa macam tu?

Dan aku tak pernah sentuh pun air kencing setan tu. Tak pernah, sehinggalah berlakunya tragedi Februari tersebut. Tragedi Ramadan pula tu! Aku gagal. Aku gagal membaca apa yang Tuhan sampaikan kepada aku. Bukan ke bersempena bermulanya 1 Ramadan, Tuhan timpakan ke atas aku tragedi Februari tu dan aku sepatutnya menjadikan peristiwa tu sebagai permulaan hidup baru ke arah yang lebih menjamin syurga? Tragedi yang sepatutnya menjadi sempadan dan tembok kukuh kepada aku agar tak lagi melakukan dosa besar yang dilaknat Tuhan? Tragedi yang sepatutnya membuka pintu hati yang selama ni tertutup rapat oleh kemilau nikmat palsu syaitan? Tragedi yang memberi petanda demi petanda bahawa Tuhan masih kasihkan hambaNya yang hitam diselaputi dosa ni? Tragedi yang mengisyaratkan bahawa aku masih sempat dan boleh bertaubat lantas kembali ke jalan yang lurus? Bukankah…? Adakah…?

Kejahilan menghalang aku dari nampak semua tu. Kejahilan…? Tak… bukan kejahilan… tapi kerana kedegilan. Dungu. Tolol. Dongok. Bongok. Apa yang aku buat pula instead?

Aku buat apa yang aku selama ni cukup benci! Malam tu, tatkala aku berjalan sendirian dari perpustakaan universiti hendak pulang ke rumah, suasana sudah gelap. Biasanya memang aku akan ikut Hyde Park dari universiti hendak ke Willow Close kecuali pada waktu malam. Para senior kata waktu malam agak berbahaya terutamanya kalau ada ramai Mat Gagak. Mat Gagak tu gelaran yang kita orang berikan kepada African-British le… nak sebut ‘Negro’ karang kena serang dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang tak pernah pun bersatu tu pula…

Tapi malam tu, dan malam-malam lain sebelumnya, aku tak peduli dah. Selepas menjamah sebatang bar coklat dan secawan kopi buat buka puasa, aku atur langkah perlahan dalam suasana malam yang sejuk menggigit tulang-temulang diiringi hembusan angin yang macam air batu tu. Hyde Park memang gelap-gelita pada waktu malam. Memang kat UK ni dia orang tak perlu letak lampu dalam taman. Tak ada makhluk yang nak bersiar-siar dalam taman pada waktu malam kat UK ni kecuali makhluk tu jenis yang tak ada otak dan tubuh badan boleh tahan iklim dan cuaca sejuk beku peti ais.

Walaupun gelap-gelita, tapi alah bisa tegal biasa. Oleh sebab aku dah biasa ikut Hyde Park ulang-alik ke universiti, maka deria aku masih dapat kesan hala tuju perjalanan. Sedang aku menapak, aku tenung ke arah restoran Paki bernama Kashmeer nun kat seberang jalan di kejauhan sana. Biasanya aku tenung restoran tu aje sambil dalam kepala berangan-angan alangkah lazatnya kalau aku ada duit yang cukup untuk beli kebab atau piza kat situ lalu makan dengan penuh selera. Naik dugal juga tekak hari-hari dok cekik bar coklat aje buat makan tengah hari. Bulan puasa ni, berbuka pun dengan bar coklat gak… adoi laaa… Papa kedana sungguh…

Tapi malam tu aku tak hanya renung Kashmeer Restaurant. Malam tu aku pandang juga ke arah sebuah lagi bangunan yang lebih kecil daripada Kashmeer, tetapi binaannya lebih British dengan batu-batan dan berwarna kelabu bosan. Bentuknya juga lebih British.

Bangunan itu sebenarnya ialah sebuah pub.

Selama ni aku tak pernah pandang pub tu. Aku tahu memang selamanya ia ada kat situ, tapi aku tak pernah pandang. Sememangnya aku tak berminat langsung dengan pub, sebab aku tak berminat langsung dengan air kencing setan. Tapi malam tu, semasa terpandangkan pub tersebut macam biasa, tiba-tiba hati aku tergerak nak ke sana. Alahai… setan mana pula yang berbisik kat aku dalam bulan Ramadan ni??? Bukan ke dah dirantai semua setan-setan ni? Takkan ada yang terlepas kut? Ni bukan macam security kat airport.

Jadi maknanya apa ya? Maknanya, oleh sebab setan semua sepatutnya dah ditambat ketat, maka yang tinggal ialah wasiat syaitan dalam hati dan diri aku. Wasiat yang sepatutnya aku buang jauh-jauh dan musnahkan dalam bulan Ramadan al-Mubarak ni. Tu yang sepatutnya aku buat! Tetapi…

Ya Tuhan…! Ya Rahmaan…! Ya Rahiim…! Betapa Kau amat kasih akan hamba-hambaMu. Sedemikian Kau memberi peluang dan jalan untuk membersihkan hati dan diri. Sedemikian juga aku lalai dan leka lantas berpaling dari jalanMu…! Ya Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun! Ampunilah aku ya Tuhan…! Ampunilah…!

Dan malam tu aku telah dengan rela hati memberi alternatif kepada maksiat besar sebagai amalan diri… oh…!!!

Aku melangkah masuk ke dalam pub tu. Semerbak mencucuk-cucuk hidung segala macam bau air kencing setan yang berbagai-bagai-bagai spesies dan jenama. Para syaitan dah kena rantai pun, air kencing dia orang masih merata-rata dan bersepah-sepah dihirup dengan penuh lazat dan berselera oleh manusia. Dan malam tu aku adalah salah sorang manusia bongok itu! Aduhai…

Aku tak tau macam mana nak beli menatang tu. Aku perhati sekeliling. Rata-rata semuanya orang putih. Dua tiga orang aje orang hitam dan kuning. Rata-rata juga umur dia orang ni dah boleh jadi bapak atau tok aku. Ada yang duduk kat beberapa buah meja bulat kecil sambil bersembang entah apa-apa. Ada yang duduk kat bar. Tapi yang nyata setiap sorang mesti ada gelas besar yang masih penuh atau sebahagian berisi air kuning berbuih-buih macam rakan aku minum atas pesawat dulu.

Aku terus ke bar. Bartender tu datang hampiri aku.

“What’s for you, mate?” dia tanya.

Apa ya aku nak order? Macam mana nak order?

“Beer,” aku jawab.

“Draught or lager?”

Huh…??? Apa benda tu? Dalam pesawat hari tu tak ada pula aku dengar pramugari tu tanya kawan aku soalan tu. Ni apa benda ni? ‘Draught’? Tu bukan bermaksud ‘kemarau’ ke? Bir kemarau? Dan ‘lager’? ‘Lager’ apa ni? Laga ikan?

“Lager,” aku jawab akhirnya. Sumpah aku tak tau apa benda haram jadah. Aku pilih ‘lager’ sebab dalam pelat Yorkshire yang bartender tu sebut tadi, aku dengar bunyi suara dia dan nampak gerak mulut dan bibir dia lebih mudah menyebut ‘lager’ daripada ‘draught’ tu. Maka aku pun bantai sebut ‘lager’. Nak sebut ‘draught’ dalam pelat Yorkshire tu aku perhatikan agak senget-senget dan bersembur-sembur gak air liur bartender orang putih yang tiga suku botak tu. Kalau lidah dan mulut Melayu yang makan belacan aku ni nak sebut dalam pelat Yorkshire entah macam mana le pula rupanya nanti.

Dan tu dia! Sebiji gelas satu pain mendarat atas bar depan aku. Nyaris aku nak terjatuh dari bangku tu. Menusuk-nusuk bau air malta peram ke lubang hidung aku ni. Uweeekkk…! Sungguh air kencing setan ni memang busuk teramat! Macam mana dia orang boleh teguk selamba musang pandan aje air tu dengan sekali tunggang? Aiyooo…!

Patut aku teruskan proses pembelajaran yang menyesatkan ni atau tak? Takkan depan orang putih ni semua aku nak togok benda haram jadah tu sambil tutup lubang hidung? Tapi kan… dia orang ni semua orang putih. Dia orang bukan orang Melayu atau orang Malaysia atau orang Asia. Dia orang semua orang Eropah. Perangai dia orang lain. Penerimaan dia orang lain. Dia orang akan gelakkan aku, tapi pada masa yang sama dia orang akan supportive. Akan lebih menggalakkan aku togok benda haram jadah tu.

So? Apa keputusan aku? Aku jelajah seluruh kepala otak aku masa tu mencari rasional. Tapi dalam keadaan dukacita dan lara merana diselubungi hati nan rawan, mana ada rasional. Rasional lari bersembunyi kerana kecundang dengan serangan emosional yang jauh lebih hebat dan gagah perkasa masa tu.

Dan itulah kesilapan aku sebenarnya. Aku terlalu bergantung pada kepala otak dan gagal menjelajah bisikan hati dengan sempurna. Ada ketikanya, bisikan rasa hati jauh lebih rasional daripada akal. Huh? Macam tak kena aje statement tu kan? Tapi sebenarnya itulah apa yang aku alami masa tu. Kepala otak aku masa tu sebenarnya dah bersedia mengumpul segala input, maklumat dan kekuatan mental untuk tangan aku capai aje gelas satu pain tu dan tuang segala isinya menerobos ke dalam rengkung aku untuk terus sampai ke mulut. Selepas tu ia akan bersebati dalam darah daging aku untuk dibakar api neraka! Ya Tuhan Yang Maha Pengampun! Ampunilah aku…!

Tapi… masa tu ada bisikan dalam hati aku yang mencetuskan waswas dan keraguan pada apa yang aku bercadang nak buat. Hati aku berbisik memberi kata dua. Dan aku masih ingat sampai kini perasaan aku masa tu. Perasaan menyesal kerana melencong dari laluan normal aku di Hyde Park tadi. Perasaan menyesal kerana melangkah masuk ke pub ni. Dan hati aku mendesak agar aku berhambus aja dari situ.

Tapi aku tak dengar kata hati malam tu. Aku duga akal sendiri, dan kekuatan mental aku dah cukup bersedia untuk buat apa yang orang beriman takkan buat! Aku togok satu pain air kencing setan tu sampai kering-kontang!

Dan aku tak rasa lain pun. Aku tak rasa nak muntah pun. Aku tak rasa pening pun. Aku tak mabuk. Jadi? Nak buat apa lagi?

“Can I have one of those, please,” aku tuding jari ke arah botol yang banyak tersusun di rak bar tersebut. Botol apa lagi? Takkan botol budu atau botol kicap? Cet! Botol berisi air kencong tulah!

Aku bayar harga satu pain gelas dan sebotol bir tu. Aku capai botol tu, langsung melangkah keluar dari pub, merempuh semula kedinginan cuaca malam Leeds yang suasananya dah gelap-gelita. Angin sejuk beku peti ais masih berhembus di luar sana. Kebas pipi, hidung dan seluruh muka aku dibuatnya. Lekas-lekas aku balut kedap badan aku dengan jaket yang macam dah tak cukup kain tu.

Aku sampai ke rumah dengan selamat. Tak ada siapa dalam rumah tu tau perbuatan terkutuk lagi amat bodohnya yang aku dah buat tadi. Dan tak ada siapa pun tau apa yang malam tu aku bawa dalam beg sandang yang setiap hari aku angkut pergi ke universiti. Dan aku tau kat mana tempat yang paling sesuai aku nak simpan dan sorok botol berisi benda laknat tu. Dan lagak aku selamba tenuk, selamba ayam, selamba flamingo, selamba babi macam orang tak bersalah.

Sungguh kerja bodoh tu aku ulangi saban hari, setiap hari. Semakin hari, semakin banyak aku telan. Daripada satu pain, makin hari makin berganda. Begitu juga bilangan botolnya. Tapi yang peliknya — dan memang aku sendiri pun pelik — ialah kenapa aku tak mabuk-mabuk pun?

Tatkala syaitan dan iblis masih lagi dirantai dalam bulan yang mulia tu, aku pula yang menjadi syaitan…

Bersambung…

Untuk membaca dari siri pertama, sila ke Menamakan Watak Episode 2 – Elemen Emosi. Siri Novel ini tak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang masih mati. Tak percaya? Tak paksa…

55 Respons to “Tentang Lina (Siri 41) – Dan Aku Menjadi Syaitan”

  1. Kidmatmetal Says:

    Ishhh… Ni fiction semata…!

  2. Kidmatmetal Says:

    The impact lepas lu tanggap orang2 tua bersekedudukan adalah amat dahsyat. Tapi wa tak leh nak connect siri lepas ngan siri ni. Mcm something missing..

    • Kidmatmetal Says:

      Sbbnya wa tahu… Intimate secrets yg memalukan mrs biawak yg tak dapat disiarkan… Facts yg sgt2 menyakitkan…

      • Sebenarnya bermula dari siri 40, wa memang tak mahu membuka seluar.. eh… pekung orang lain kecuali seluar… eh… pekung wa sendiri…

        Tapi wa tak ada pekung beb! Sumpah tak ada! Cuma ada bintat-bintat kena gigit nyamuk dan semut jek… Ekekekekeke…

    • Errr… wa tak sebut pun ada kes bersekedudukan bro…

      Tapi wa setuju bahawasanya sesiapa jua pun yang kantoi pasangan yang dicintai bersekedudukan dengan orang lain memang akan mengalami trauma hidup yang begitu amat azab sengsara… Tak terucap dek kata-kata azab sengsaranya…

      • Kidmatmetal Says:

        Since ni fiction.. Wa tambahla sikit perasa… Tak gitu..? Kasi umph sikit…

        • Ekekekekek… wokeh… atas dasar fiksyen, wa boleh elakburit. Tapi takut nanti kena sensored pulok… aharks!

          • Kidmatmetal Says:

            Entahla labu… Klu ada bridge between siri 40 n 41… Secara fiction lagi dramatik.. Ni tengok cermin… Balik tunggan botol…. Kureng umph… Klu novel la..komen untuk fiction… Bukan nak bakar lu..

          • Nanti Sabtu ni lu citer sket psal missing link tu. Wa akan rectify dalam versi novel. Rasa2 wa tau apa yg lu maksudkan tapi Sabtu nanti lu kompem la ek. Missing link ni agak bahaya gak. Ikut pengalaman wa, missing link ni bagus kalau dirancang dgn tujuan nak letak jawapannya kat chapter kemudian. Tapi kalau tak dirancang, akan ganggu flow pembacaan pembaca le pulok…

          • Kidmatmetal Says:

            Betul… Betul… Korek korek…. Apakata buat cam flashback… Masa naik train balik leeds… Rosyam Noor baca trus dia buat filem…

          • Perghh…! Idea flashback dalam tren nak balik Leeds tu memang best! Memang best! Wa suke!

  3. Kidmatmetal Says:

    Hitting the bottle will make things worse… I assume you will reach rock bottom before recovering

    Can things get worse… Tungguuuuu….

  4. Kidmatmetal Says:

    Kata2 mrs biawak tu just klishe… Apa plan dia.. ? Dump lu and…?

    • Masa tu, time tu, sewaktu sunyi sepi dalam bilik dia yang berlampu suram tu, kata-kata tu menghiris perasaan sampai rasa macam kena toreh pastu kena simbah limau nipis pastu kena rendam dalam asid. Camtu la lebih kurang rasanya. Entah… wa tak reti nak describe dengan kata-kata…

      Tapi there’s always first time in anything. It was a valuable life experience well learnt. Never trust a woman.

  5. Kidmatmetal Says:

    This is the part that i would like to say I am sorry my fren, for not able to be there for you. Masa wa susah lu tolong.. Masa lu susah, lu simpan sorang2…

  6. Kidmatmetal Says:

    Perut lu boroi tak… Kaki botol… So sebenarnya kaki botol tu ikut buku kita… Orang yg bodoh tolol… Kwang3x.

  7. siot…gua baca gua pulak yang terasa macam gua kena dump…

    well no40 ke 41 dah jadi macam cerita yang kena kat gua…

    menonggeng gak la

    • Bro, sepanjang pengalaman wa menulis dan bergaul mesra dengan pembaca novel Melayu, especially awex (ehem…), wa dapat belajar sesuatu — kalau pembaca rasa bahawa apa yang dia baca tu kisah benar, maka penuls dah berjaya satu step. Kalau pembaca rasa apa yang dibaca tu macam pengalaman yang dia orang pernah lalui, maka penulis berjaya dua step. Kalau pembaca rasa apa yang dibaca tu tak sepatutnya dibaca, maka penulis boleh jadi novelis porno yang berjaya! Ekekekekekek…

  8. dorang tu malaikat hidup…

    gua manusia normal…

  9. pembaca yang mengredkan atau menkategorikan sesuatu catatan tidak rasmi…

    mengingatkan pada cikgu bahasa melayu sekolah lama saya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: