Tentang Lina (Siri 44) – Antara Benua

HENING sungguh pagi tu tatkala tiba-tiba aku terima satu bungkusan daripada Malaysia! Terus hilang hening pagi yang tadinya melandai dalam jiwa kerana kini jiwa aku dilanda ribut! Bungkusan? Daripada Zah? Apakah…?

Zah tak menyepi selepas aku menghantarnya kaset tempoh hari. Dia sekadar mengambil masa untuk membalas. Dan aku tahu dia ambil masa kerana dia ingin membalas kaset pemberian daripada aku tu, dan dia membalas dengan kaset juga!

Macam cicak aku berlari naik ke bilik. Ketar tangan aku membuka bungkusan tu. Benar seperti yang disangka — memang ada kaset di dalamnya! Lantas aku tak menunggu untuk memasang kaset tu. Dan seperti konsep yang aku hantar kepadanya, Zah membalas dengan sebuah kaset yang mengandungi lagu-lagu yang diselang-selikan dengan suaranya!

Suara dia! Suara Zah! Ohhh…

Tak payah ceritalah apa yang aku rasa lepas tu! Tak payah! Sendiri tahu sudah…

Tengok! Tengok! Dia bukannya takut dengan pemberian kaset kepadanya hari tu. Dia bukan rasa bersalah. Dia bukan tak suka. Dan aku percaya, dia suka, dan dia gembira! Dan kali ni aku amat-amat berharap yang aku bukan sekadar perasan! Janganlah hendaknya aku sekadar perasan! Jangan! Please…!

Dah tentulah kaset tu aku mainkan saban hari, saban malam, saban waktu, sampai aku naik hafal semua lirik lagu dalam kaset tu. Dan aku sememangnya tertanya-tanya kalau-kalau Zah memasukkan lagu-lagu tu dengan erti tertentu sebagaimana lagu-lagu yang aku hantar kepada dia dalam kaset aku tu. Lagu-lagu yang aku hantar secara kolektif menyampaikan maksud tertentu kepada dia — rasa hati aku kepada dia sejak pertama kali aku terpandangkan dia sehingga kini. Dan aku tak pernah tahu sama ada dia dapat membaca maksud tersirat tu dalam kaset yang aku hantar tu.

Tapi lagu-lagu yang dia masukkan dalam kaset dia ni? Sejujurnya aku tak fikir dia gunakan prinsip yang sama yang aku gunakan. Aku tak fikir dia cuba menyampaikan sesuatu maksud. Aku fikir, dia sekadar memasukkan lagu-lagu yang digemarinya ketika tu. Dan sebagai manusia, apakah yang mendorong minat kepada lagu-lagu tertentu?

Aku fikir, pertamanya kerana pengalaman hidup semasa. Pengalaman hidup semasa boleh mempengaruhi minat kepada sesuatu lagi sekiranya lagu tu tepat menyentuh diri sendiri, terutamanya emosi yang dirasakan pada ketika tu, kan? Tak gitu ke? Bukan? Ke?

Kalaulah benar, maka lagu-lagu yang Zah masukkan dalam kaset dia tiba-tiba buat perut aku rasa mencerut sampai aku rasa macam nak berak. Alamak! Kenapa… kenapa lagu-lagu dalam kaset dia ni semuanya lagu kecewa cinta? Dia kecewa bercinta ke? Dengan siapa? TC…? Ya ke…?

Sepanjang hari tu juga aku tak berhenti-henti tengok jam. Asal ada saja jam yang aku nampak, aku akan tengok waktunya. Kemudian aku tambah lapan jam. Dan hari tu aku lebih kurang jam satu tengah hari waktu tempatan di Leeds, aku dail nombor rumah Zah. Gila betul hari tu sebab aku nekad buat panggilan jarak jauh antara benua. Aku telefon Malaysia. Aku telefon rumah dia. Sepatutnya dia berada di rumah masa tu. Kalau betul aku kenal dia, aku yakin dia berada di rumah dan bukan keluar merayap ke mana-mana pada waktu malam macam tu.

Macam nak pecah tulang dada aku menahan debaran menunggu jawapan dari hujung talian sana. Suara sorang awek menyahut panggilan akhirnya.

“Zah ada?” aku terus aje tembak dengan dua harapan yang menggunung — pertama, yang menjawab telefon tu harap-harapnya bukan Zah; dan kedua, Zah memang ada di rumah waktu tu.

“Sekejap ya,” balas awek tu. Dan aku dapat rasa kelegaan yang teramat dalam hati aku masa tu! Nampaknya kedua-dua harapan aku yang menggunung tadi tu bertaraf Gunung Everest kini.

Aku dapat dengar awek tu beredar sambil melaungkan nama Zah. Di latar belakang aku juga dapat dengar suara-suara lain yang berbaur. Entah sembang, kadang-kadang gelak ketawa, kadang-kadang menjerit. Semuanya suara awek. Apa dia orang buat terjerit-jerit malam-malam buta kat sana? Bergurau senda ke? Gurau apa macam tu?

“Helo!” terperanjat sekejap aku bila tiba-tiba disalak suara tu di gagang. Ni bukan suara Zah ni.

“Ya,” aku balas. “Zah ke?”

“Siapa tu?” suara tu bertanya.

“Dzam,” aku mengaku. Dan pada ketika tu aku dapat dengar entah siapa awek yang menjawab telefon tu tadi melaungkan nama aku kepada seseorang di sana. Tidak lama kemudian aku terdengar macam-macam bunyi di latar belakang tu. Dan akhirnya…

“Helo…”

Suara yang datang dari gagang tu berbeza amat kini! Ia jauh lebih lembut daripada suara yang mula-mula tadi. Ia lebih beralun seakan bermelodi. Ia lebih nyaman menyapa corong telinga.

Dan aku tahu siapa yang sedang berkata-kata di hujung talian sana. Zah!

Tiba-tiba aku rasa jantung aku pecah.

“Zah ke tu…?” aku nak pastikan.

“Ya…” dia jawab. Entah telinga aku yang tak berapa bagus reception, atau talian jarak jauh yang belum cukup canggih, atau sememangnya aku betul-betul dengar bahawa suara Zah agak ketar. “Betul ke Dzam tu…?”

Memang sah suara dia ada getar. Terketar-ketar. Dia demam ke…?

“Ya. Dzam ni,” aku akui. “Tak percaya?”

“Dzam kat mana ni?”

“Kat Leedslah.”

“Tipu…”

“Huh?” kenapa dia tak percaya ya? “Betullah. Kenapa nak tipu pula?”

“Telefon dari sana?”

“Yalah.”

“Tipu…”

Astaga wa esta bagadud… Dia tak tahu ke kat UK ni ada telefon macam kat Malaysia juga?

“Dzam cakaplah betul-betul,” suara Zah seakan merayu, dan getar dalam suaranya semakin jelas. “Dzam kat mana ni?”

“Kat UK, sayang,” aku cakap sungguh-sungguh. “Kat Leeds ni. Sekarang kat sini baru lepas tengah hari. Percayalah.”

Dan sungguhpun dia sebenarnya seakan tak percaya bahawa aku benar-benar menelefonnya dari jarak beribu-ribu kilometer, kami sempat juga berbual. Dan aku sempat bertanya kepadanya apa yang aku nak sangat tanya sejak dapat kaset dia tadi. Aku tak lagi berlapik. Aku tanya terus terang kepada dia — adakah dia masih lagi dengan TC tu.

Dan jawapannya membuat aku rasa… rasa… entah… Rasa nak melompat pun ada. Rasa nak menjerit pun ada. Rasa nak telanjang… hmmm… yang tu tak ada… Aku pun tak tau apa yang aku rasa.

Rupa-rupanya Zah dah lama tak lagi berhubung dengan TC tu. Sejak sebelum dia berhenti kerja dari kereta api lagi. Sebelum dia kerja di hospital lagi. Sejak aku masih di NCUK lagi. Kenapa? Aku tak tanya. Bukan sebab aku tak mahu tau. Aku nak sangat-sangat tau kenapa dia tak lagi dengan TC tu. Aku nak sangat! Tapi aku tak boleh tanya masa tu. Ni bukan persoalan yang boleh diceritakan dalam sembang telefon jarak jauh macam tu. Tak boleh! Pertama, kerana ia melibatkan soal emosi dan hati. Soal emosi dan hati perlu dibicarakan depan berdepan. Aku perlu lihat riak wajah dia tatkala dia berbicara hal emosi dan hati. Penting amat bagi aku! Penting amat!

Kedua, sebab ni panggilan antara benualah weh! Kau orang rasa-rasa berapa pound sterling aku kena bayar bil telefon ni nanti? Bukan kedekut tau. Nak kedekut macam mana kalau memang tak ada duit! Cet…!

Tapi yang nyata, yang sempat aku korek daripada dia, ialah bahawasanya pada ketika tu dia sememangnya solo. Belum ada lagi pengganti TC. Belum ada…? Macam tak percaya… Macam tak percaya! Tak mungkin Zah tak ada pengganti untuk TC. Semasa kerja kereta api tu aku tahu sangat-sangat berapa punya ramai jiwa lelaki yang hancur luluh sebab tak dapat mengurat dia. Berapa punya banyak hati lelaki yang terhiris berkeping-keping kerana gagal merampas dia daripada TC tu. Aku tahu sangat sebab sembang-sembang budak-budak kereta api masa makan malam kat Sungai Segget dulu mesti ada sebut tentang dia. Aku tahu sangat sebab budak-budak lelaki team dia dulu sendiri pernah sembang tentang hati dia orang yang punah pecah berderai sebab Zah tak layan.

Dan kakak yang satu team dengan Zah dulu, yang berkawan rapat dengan awek dalam team aku tu dulu, begitu amat memuji Zah kerana daya tarikannya yang memikat begitu ramai, begitu amat ramai jantan daripada golongan pekerja buffet coach kereta api sampailah kepada kakitangan kereta api tu sendiri seperti beberapa orang TC, TI, bahkan drebar kereta api sekali pun! Adoi! Aku termasuklah dalam golongan para jantan kecewa tu… Tapi kakak-kakak dan awek-awek tu puji Zah sebab Zah tak layan dia orang dan setia pada TC dia tu… adoi laaa…

Jadi kenapa setelah dia putus dengan TC tu — yang menurut Zah sendiri sejak sebelum dia kerja hospital lagi — hingga ke saat tu, saat aku telefon dia tu, saat selepas dia dan aku saling berutus surat, bertukar kaset, dia masih solo? Tak ada ke orang yang mengurat dia? Tak ada ke antara yang mengurat tu yang sangkut? Takkan kut…? Takkan…

Atau… oh tidak… Zah tu perempuan, seperti juga Lina H. Dan pengalaman aku dengan Lina mengajar aku satu pengajaran hidup yang aku akan ingat sampai mati — women are excellent liars! Zah pun berbohong dengan aku ke…?

Tak mungkin… Ya, memang aku tak kenal Zah sangat, tapi aku tak percaya dia tu spesies biawak lidah bercabang dan badan bersisik berdarah sejuk macam Lina H! Spesies reptilia yang boleh menyesuaikan diri dengan suhu sekeliling dan tak ada siapa pun tahu apa yang berlaku dalam badan dia. Jenis yang bisa memperdaya dengan hati yang teramat busuk!

Zah tak mungkin sama dengan Lina H!

Tapi aku juga tau bahawasanya aku takkan dapat pastikan dalam jarak sejauh ni. Aku takkan dapat pastikan hanya melalui utusan surat semata-mata, lebih-lebih lagi bila Zah bukan jenis yang bercerita tentang diri sendiri. Aku takkan dapat pastikan hanya melalui talian telefon, lebih-lebih lagi kalau terpaksa bayar bil tinggi dalam nilai pound sterling.

Kalau aku mahu tahu dengan pasti, aku mesti berdepan dengan dia. Aku mesti jumpa dia… in person! Aku mesti dengar dia bercakap depan aku. Aku mesti lihat dia berbicara dengan mata kepala aku sendiri.

Maknanya, aku mesti jumpa dia! Tapi macam mana aku nak jumpa dia? Bukannya aku boleh naik bas atau kereta api ke rumah atau pejabat dia dari Leeds ni. Bukannya aku boleh sewa kereta.

Tak boleh! Satu-satunya cara ialah untuk balik ke Malaysia!

Dan cuti musim panas ni nanti, aku mesti ada duit secukupnya untuk beli tiket kapal terbang dan pulang ke Malaysia! Takkan aku nak suruh dia pula yang beli tiket kapal terbang datang ke UK? Kan? Kan?

Aku mesti jumpa dia! Mesti!

Bersambung…

Untuk membaca dari siri pertama, sila ke Menamakan Watak Episode 2 – Elemen Emosi. Siri Novel ini tak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang masih mati. Tak percaya? Tak paksa…

24 Respons to “Tentang Lina (Siri 44) – Antara Benua”

  1. lu samun kedai paki ke? :p

  2. kate nak kumpul duit balik?

    haha

  3. eleh lu yang kena rompak….

  4. bukan la…..zah da rompak lu pasal tu la lu nak sangat balik malaya…

    lu nak amek balik sekeping hati lu tu…

    haha….

  5. Kidmatmetal Says:

    Mr buaya menganas lagi.. Buaya tau.. Bukan biawak atau cicak

  6. Kidmatmetal Says:

    Semua target dia innocent.. Dulu l h jadi mangsa… Habis.. Skang bak try zah pulak.. Kata pembaca yg emo… Tolongla zah tu baik tauuu..

    • Biasanya dalam semua cerita hero ada kebolehan mengesan awex yang tulus dan mulus dan awex yang tulus dan mulus akan selamat sampai penamat cerita… biasanya laaa… Tapi Najwa Aiman suka twist… eheks…!

  7. Kidmatmetal Says:

    Berlari macam cicak…? Merangkak maksud lu..? Cant imagine.. Buruk benar.. Kwabg3x

    • Ni bukan apa… Wa macam tak berapa setuju dengan simpulan bahasa tradisional ‘macam lipas kudung’. Kalau dah kudung macam mana lipas tu nak lari? Alang-alang tak logik biarlah wa bagi tak logik habis… hehehehe…

  8. Kidmatmetal Says:

    Eh camne lu balik malaysia..? Lu rompak pub mane.. Kwang3x

    • Sabor… sabor… Nanti wa cerita la dalam siri selanjutnya tapi takla detail… Walaupun wa tergolong dalam kategori insan yang layak menerima zakat kat UK dulu, percayalah, yang melayakkan wa jadi penerima zakat tu ialah disebabkan wa balik Malaysia ni tau… ekekekekeke… aiyaaarrrkkk…!

  9. Kidmatmetal Says:

    Cinta buat lu hampir buang keluarga.. Cinta gak buat lu mamai nak balik malayA…. Wa kata Cinta Buatan Malaysia…

    • Dua tiga hari lepas terbaca dalam Metro muka depan tajuk besar. Kisah pantun tradisi ‘Nasi lemak buah bidara…’

      Oh… hubungan dengan Lina H benar-benar buat wa jadi anak derhaka…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: