Siri Novel: Tentang Lina

Siri ini hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup mahupun yang masih mati. Segala entri dan pengkisahan tentang entri yang berkaitan dengan siri novel ini hanyalah untuk tujuan pemasaran dan promosi. Tak percaya…? Tak paksa… aharks!

Siri novel ini dirancang untuk dikeluarkan dalam bentuk novel dalam versi dan pendekatan bahasa yang sedikit berbeza, insya-Allah. Sekiranya jadi, akan diuar-uarkan dalam blog ini. Untuk membaca siri novel ini dari siri awal di laman utama blog (versi bergambar), sila ke entri Menamakan Watak Episode 2 – Elemen Emosi. Siri novel di laman ini adalah versi blog siri teks semata-mata. Untuk versi blog siri teks bergambar, sila ke laman utama blog.

1 – Lina

JANGAN salah sangka tau. Barangkali sebab exposure dan pengaruh kengkawan, sejak zaman aku belum baligh lagi aku memang minat nama ‘Azlina’ (again… please tolong jangan salah faham atau salah sangka entri aku yang ni). Punyalah suka nama ni sampai aku suggest pada Ayahanda dan Bonda supaya beri nama ni kalau aku dapat adik perempuan nanti.

Aku sendiri pun tak ingat dari mana atau sejarah asal-usul nama ni boleh jadi nama yang aku minat sangat. Mungkin sebab panggilan hariannya ialah ‘Lina’, dan aku rasa bila aku sebut panggilan tu, aku dapat dengar intonasi yang amat mesra, lembut, manja gitu… auwww…! Tetiba pula aku rasa macam gampang teramat sangat tulisan aku kali ni…

‘Azlina’ in real life pertama yang aku jumpa dalam hidup ialah di sekolah rendah. Amazingly aku tak pernah ada skandal apa-apa dengan dia sebab dia tak masuk list cita rasa aku yang dah siap terlukis dalam design 3-D dan save dalam bentuk hidden file dalam drive X hard disk kepala otak aku. Yang masuk list cita rasa aku masa tu ialah Khaizil Shafinaz, anak Guru Besar sekolah tu! Aharks…! As time went by, Khaizil pun pindah sekolah, aku cuba nak skandal dengan awek nama Aidilla. Again, tak ada kena mengena dengan ‘Azlina’ atau ‘Lina’. Ofkoz, Dilla takmo dan tak hingin skandal dengan aku… isy isy isy…

Dan dua tahun sebelum tamat sekolah kat situ, barulah aku jumpa ‘Azlina’ (bukan ‘Azlina’ yang mula-mula tadi tau). Dan ‘Azlina’ ni memang menepati ciri-ciri cita rasa 3-D design yang tersimpan dalam hidden folder memori hard disk drive X aku tu. Walaupun aku tak pernah rasa malu (tetapi sekadar merasa kemaluan) bila bercakap dengan awek-awek lain termasuk Khaizil dan Dilla sebelum ni (dan sebenarnya juga termasuk Ngai Mee Yee, Norsuhaimi, Joyce Ong Mei Sim dan sorang lagi budak kelas sebelah yang aku tak ingat nama dia), tapi dengan ‘Azlina’ ni aku tetiba jadi bongok. Bila ternampak dia, aku rasa macam nak menyorok dalam tandas lelaki (sebab aku tau dia takkan boeh masuk situ). Bila berdepan dengan dia aku tak boleh pandang dia. Bila nak bercakap dengan sesiapa pun, tapi tetiba dia muncul, bahasa aku sekonyong-konyong bertukar jadi bahasa Jerman atau bahasa Eskimo sebab aku sendiri pun tak faham apa yang aku cakap.

Dan itulah pertama kali aku percaya bahawasanya angan-angan image 3-D ‘Azlina’ aku rupa-rupanya memang wujud dalam realiti.

Maka novel-novel aku yang awal, yang aku tulis tangan (dan sebahagiannya dah transform ke Word, dan sebahagiannya dah publish), aku guna ‘Azlina’ dan ‘Lina’ sebagai watak utama. Deskripsi watak tu sebagaimana image 3-D dalam hidden file yang selepas jumpa ‘Azlina’ real life tu aku pindahkan dari drive X ke drive D memori kepala otak aku.

2 – Inilah Aku

JADI sehingga aku masuk ke sekolah menengah rendah, aku tak pernah ada awek steady yang bernama ‘Azlina’ mahupun yang ada bunyi ‘Lina’ termasuklah yang ada abjad tambahan sebelum huruf ‘A’ di depan namanya tu — ‘Mazlina’ ke, ‘Fazlina’ ke, bla bla bla… Yang ada, hanyalah ‘Azlina’ (bukan ejaan sebenar… eheks… Kid lu jangan kasi pecah lubang kat sini haa…!). Tu pun bukan awek tau. Maksud aku dia memang awek aku tapi dia tak anggap aku balak dia laaa… adoi laaa…

Macam aku ceritakan tadi, sebelum aku berhambus dari sekolah rendah aku dulu, aku sempat jumpa dia sekejap. Dalam sekejap tu pun sempatlah juga dapatkan nombor telefon dan alamat rumah dia dan juga tarikh lahir dia. Al-maklumlah zaman tu belum ada emel. Perkataan ‘Internet’ pun belum wujud lagi masa tu dalam dunia ni. Jadi berbekalkan alamat rumah dia tu, aku dapatlah mengutus satu scrap book buatan sendiri sempena hari jadi dia kalau tak silap. Scrap book ni sebenarnya helaian kertas kajang yang aku jilidkan dan di dalamnya aku tulis lirik lagu popular yang agak berkarat jiwangnya, lirik lagu yang aku reka sendiri dengan cara mengubah lirik lagu popular sedia ada (nasib baik tak ada orang saman aku), dan… ofkoz… puisi. Ya, memang sejak tingkatan 1 lagi aku dah gatal tulis puisi. Dan no, aku rasa aku tak simpan puisi-puisi yang aku tulis sejak zaman tu.

Di luar jangkaan, sungguhpun definitely bukan di luar harapan, aku terima balasan daripada ‘Azlina’. Suratlah juga. Sehelai. Masih simpan? Ekekekekke… well… yes… ehem! Apsal lak? Dah memang aku dilahirkan sebagai spesis sentimental, nak buat macam mana? So apa yang ‘Lina’ tulis dalam tu? Well… kepala hotak hang! Mana boleh bagi tau! Brengsek!

Aku cuma boleh bagi tau satu perkara — rasa-rasanya scrap book aku tu memang dah betul-betul jadi scrap… adoi laaa…

3 – Kau Tak Perlu Tahu

APA sebenarnya perasaan seorang lelaki bila dapat balasan surat daripada awek yang selama ni padanya dia menaruh hati tapi tak pernah bagi tau awek tu apa yang dia rasa, malah kalau boleh tak mahu awek tu tau apa yang dia rasa?

Well… assuming aku ni seorang lelaki (tapi aku fikir aku memang lelaki berdasarkan bentuk anatomi alat sulit… ehem…), semasa surat balasan daripada Lina sampai ke asrama aku, pertama sekali aku rasa jantung aku terhenti. Lutut aku menggigil. Semasa sampulnya nak dibuka, tangan aku menggeletar, tapi aku tahan diri dan perasaan daripada terburu-buru sebab aku tak mau rosakkan sampul tu. Aku nak sampul tu kekal cantik dan elok. Niat nak simpan. Ya… SIMPAN! Apa pasal pulak? Tak boleh ke aku bersifat sentimental? Huh? Cet! Kau orang gelakkan aku ek? Gampang…

Surat Lina simple je, bro. Ucap terima kasih sebab aku kirim dia scrap book buatan sendiri sempena birthday dia. Luahan tak sangka dia yang aku ingat tarikh lahir dia dan juga masih ingat lagu yang dia nyanyi dalam koir semasa program adik angkat fakulti perubatan Universiti Malaya tahun sebelum tu.

Apa lagi yang aku — seorang lelaki (tak percaya? Nak bukti?) — rasa? Tak reti nak describe. Bagi perumpamaan ajalah ek? (Ya Kak Azie… ‘perumpamaan’… eheks…)

Aku rasa di hati ni macam ada belon yang sedang dipam dengan gas helium dalam kadar sederhana. Semakin lama terasa hati aku ni mengembung sedikit demi sedikit sampai pada satu tahap aku rasa seakan-akan macam ia nak meletup. Dalam perut aku pula rasa sejuk, macam baru lepas minum ice blended cendol. Sejuknya perut tu buat aku rasa perut tu macam mengecut dan buat aku rasa macam nak berak tapi sebenarnya aku bukan nak berak pun. Seluruh badan aku rasa sejuk juga, seolah-olah aku minum ABC pada waktu malam ketika hujan lebat teramat. Dan ya, seluruh tubuh badan aku yang slim, mantap, tegap dan macho (masa tu le) juga menggigil.

Aku tak berdaya nak berdiri pun. Badan lemah sangat. Macam dah tak ada tenaga. Barangkali semua tenaga dah kering digunakan oleh emosi untuk mengawal jasad macho aku daripada buat benda bongok dan dianggap sewel — misalnya menjerit terpekik terlolong sambil melompat-lompat di sepanjang koridor tingkat empat asrama yang memang terkenal penuh dengan hantu 13 Mei masa tu. Tak pasal-pasal nanti prefect dan pak guard datang ikat aku sebab disangkanya aku histeria tersampuk hantu 13 Mei. Takut aku terjun ke bawah macam roommate aku hampir pernah kena sebelum tu.

Jadi aku sekadar berbaring di katil. Tak ingat le pulok sama ada sebelah saja atau kedua-dua belah tangan atas dahi. Yang kompem surat Lina yang sehelai tu atas dada aku.

4 – Emosi Yang Bertunas

DAN itulah sebenarnya satu-satunya surat yang aku kirim kepada Lina. Tak ada lagi surat ke, scrap book ke, apatah lagi duit yang aku kirim kat dia selepas tu. Bukan sebab tak mau, tapi sebab tak berani. Takutlah tu… Memang penakut rupa-rupanya aku ni ek? Takut kalau-kalau Lina dapat baca rasa hati aku yang sebenar terhadap dia. Bodoh ke agaknya aku ni? Isy… perkataan bodoh tu melampau sangat. Bangang kut lebih sesuai.

Apa yang aku tak tau ialah bila aku masuk ke tingkatan 2, Lina dapat masuk tingkatan 1 di sekolah berasrama di Kajang. Oleh kerana aku masih lagi bodoh lahanat dengan ego dan tak mahu hantar surat, maka langsunglah aku tak tahu kisah tu. Lina dengan aku, yang memang selama ni pun tak boleh dianggap ada hubungan, langsunglah terus tak berhubungan dah… adusss…

Kosong dan sepinya hati dan perasaan selama duduk dan bersekolah di asrama tu hanya Tuhan je yang tau. Dah le asrama tu semua jantan. Sekolah aku pun jenis semua jantan. Punyalah dikelilingi jantan sampai kekadang pandang makcik kantin asrama pun imaginasi boleh tetiba jadi liar… isy… pundek betul… Tapi okeylah tu daripada imaginasi syahwat jadi liar bila pandang student junior jantan! Tak gitu? Ada tau weh! Ada berlaku macam-macam peristiwa syahwat yang mengerikan kat asrama aku ni masa tu beb!

Kenapa selama tiga tahun kat sini aku tetiba rasa kosong dan sepi? Kenapa sebelum masuk menengah rendah ni aku okey jek? Teori aku, mungkin sebab kat sini aku dah mula nak baligh. Maknanya kehendak dah mula bernafsu. Fizikal dah mula bersyahwat. Misai dah mula tumbuh. Bulu ketiak pun dah nak tumbuh. Dan tetiba kat sekeliling anatomi aku kat bawah tu pun dah mula menampakkan pucuk-pucuk rambut… Masa tu tak sure lagi sama ada rerambut tu akan dewasa sebagai ciri-ciri rebonding ataupun ciri-ciri keriting… isy isy isy… Dan faktor yang utama kesepian dan kosong hati aku ni — yang aku konfiden sesangat — ialah sebab tak macam di sekolah rendah dulu, kat sini aku takkan nampak lagi wajah, kelibat, perilaku, iras wajah, rambut perang separas bahu yang kekadang bereben, lengan berbulu roma halus, dan lain-lain lagi yang dipunyai oleh ‘Azlina’… Dalam keadaan perasaan dah mula nak mengenal erti sebenar pentingnya berteman. Dah mula tersedar bahawa dalam hati aku ni (dan aku rasa dalam hati setiap manusia lain yang masih hidup atas muka bumi ni), ada satu ruang yang dah mula nak beroperasi. Ruang yang mesti diisi oleh orang lain dengan kasihnya, cintanya, rindunya… Ruang tu dah mula nak terbuka dalam hati aku ni… Inilah faktor yang membenihkan kekosongan dan kesepian aku selama ni… terhadap Lina… sedangkan dia tak tahu-menahu pun…

Masuk tingkatan 4 aku ke MRSM. Suasana cukup lain banget kat sini berbanding suasana selama tiga tahun kat asrama dulu. Sebab… kat sini ada perempuan weh! Ada gadis! Ada wanita! Ada awex! Ekekekekekeke… Maka patutkah aku — yang pada ketika tu sudah pun baligh dan berserabai atas bawah — mula mengorak langkah untuk mengisi hati dan emosi yang sejak tiga tahun lalu terasa amat kosong dan sepi? Patutkah? Haruskah? Wajarkah? Adakah? Bolehkah? Mestikah? Bermukah? Definitely bukan bernikah!

5 – Hanya Dikau…?

OLEH kerana sejak tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga aku duduk di asrama dan bersekolah dikelilingi jantan belaka, maka MRSM terasa pelik sikit bagi aku. Al-maklumlah… kali terakhir aku bergaul dengan bebudak perempuan ialah pada ketika aku belum baligh dan sebahagian besar budak-budak perempuan tu semua potongan badan dia orang masih lagi tak berbeza pun dengan badan budak-budak lelaki baik di bahagian dada mahupun di bahagian pinggang dan punggung kecuali… ofkoz… di bahagian depan celah kangkang… Kan? Kan?

Bila masuk ke MRSM, kita orang semua dah berusia 16 tahun. Lu orang jantan-jantan semua pernah tengok budak perempuan umur 16 tahun? Ada rasa berselera tak? Yang perempuan pun boleh ada yang berselera pandang perempuan 16 tahun, inikan pula jantan yang memandang, kan? Bukan ke? Ke?

Alkisahnya berpinar-pinar gak mata menengok begitu banyak keindahan muka bumi yang berlembah dan berbukit mahupun yang sekadar cangkat dan busut mengelilingi aku — dalam kelas, di dewan makan, di ko-op, di perpustakaan, dalam makmal, di asrama, dan… yang paling best dan favourite kita orang, terutamanya aku… di padang dan gelanggang sukan! Perghhh…! Meleleh, wa cakap lu! (Sebab kat gelanggang sukan je aku boleh imagine bentuk paha masing-masing! Aiyaaarrrkkk…!)

Tetapi… alahai… tak tahulah sama ada ni dikira bagus atau tak — kenapa aku punya minat pada awek yang sebegitu ramai bilangan jumlah yang penuh keliling aku masa tu agak kurang ek? In fact, walaupun radar aku ni sentiasa beroperasi sebegitu aktif mengesan setiap inci dan sentimeter dari atas ke bawah setiap objek yang jantinanya tak sama dengan jantina aku, tak ada satu pun antara para awek tu yang macam ada ummmppphhh… Kenapa ni ya? Alamak! Aku dah jadi gay ke? Aku dah jadi homoseksual ke haper nih? Oh tidaaaaakkkkkkk…!!!

Tapi kejap… kejap… Rasa-rasanya bila aku pandang dan bergesel-gesel dengan sesama jantan pun tak adalah pula naik syahwat. Malah dengan segelintir bapuk yang segelintir daripada dia orang tu pula memang macam perempuan tak cukup syarat pun tidaklah juga stim. Alhamdulillah… aku masih straight! Aku bukan homo!

Dan bila aku pandang Nora atau Miza atau Ayu atau Lydia, dan juga Cikgu Bada, serta Cikgu Khai sambil berimaginasi yang biru-biru kuning gelap sikit, boleh pula stim. Hmmm… Alhamdulillah…!!! Aku masih minat awek! Aku masih normal beb! Masih mampu naik. Masih boleh mantap… aharks!

Tetapi… adoi laaa… aku tahu sesangat bahawasanya bukan ni yang aku cari. I mean… well… dari segi nafsu serakah tu memanglah ni yang aku cari, kan? Apa lu orang yang jantan tak mengaku ke? Malaikat le tu konon? Pigi sesatlah sama lu orang! Tak cari benda camtu konon… Ingat aku kucing ke kau orang nak tipu?

Dari segi nafsu, tak dinafikan lagi memang 80% awek kat situ aku minat… walaupun 100% awek kat situ memang langsung tak minat aku. Tapi kompem aku minat sebahagian besar dia orang…! Tapi aku tak boleh nak minat dengan sebenar-benar minat… Tak boleh nak rasa tenteram dan gembira macam sebelum ni. Macam sebelum ni?

Then aku tersedar sesuatu. Macam orang yang sedang berusaha meneran sebab berak keras tiba-tiba dipasang mercun raya Cina di buntutnya. Aku tersedar melompat-lompat. Adakah…? Benarkah…? Oh tidak…!

Adakah aku sebenarnya mencari ‘Azlina’ dalam diri setiap awek yang ada di MRSM tu? Adakah ‘Azlina’ sebenarnya yang telah menjadi ungkapan nurani maha suci aku selama ni? Oh tidak…! Tak mungkin… tak mungkin… Langkas buah kepaya!

Tapi betul ke Dzam? Betul ke Dzam? Bodohnya engkau Dzam! Kau kenal ke ‘Lina’ tu sebenarnya? Kau tahu ke isi hati dia? Dan yang paling penting… ada dia kisah fasal engkau? Ada? Ada dia peduli? Ada? Kau bodoh ke apa Dzam?

6 – Mencari ‘Azlina’

SEBENARNYA apa dia yang ada pada ‘Azlina’ yang aku tak jumpa pada perempuan-perempuan ni semua? Hidung? Ada. Kening? Ada. Mulut? Pun ada. Rambut… lurus separas bahu? Bulu roma… di lengan? Well… ada beberapa awek kat situ yang ada ciri-ciri tu juga sebenarnya.

Jadi apa benda yang ada pada Lina yang aku tak jumpa dan tak nampak pada awek-awek lain tu?

Getar.

Getar?

Ya… getar di hati yang menyebabkan kedua-dua lutut aku terasa macam enjin van Subaru second hand sahabat aku Mat Garn. Getar yang membuat jantung aku berdegup umpama… umpama… well… umpama enjin van Subaru Mat Garn juga. Getar yang membuat peredaran darah dalam setiap arteri, arteriol hingga ke kapilari tiba-tiba memecut umpama kereta racing F1 selepas bendera dikibarkan. Getar yang meramas renyuk usus tali perut aku umpama memerah santan sampai aku tiba-tiba rasa macam nak berak tapi sebenarnya bukan nak berak.

Getar. Hati aku bergetar. Menggetarkan seluruh bahagian badan lain hingga menggigil kesejukan. Getar yang aku rasa hanya bila mata ni ternampak walau kelibat Lina sekalipun. Apatah lagi kalau dia benar-benar muncul secara fizikal dan berdiri di hadapan aku. Aku tak hairan langsung kalau aku jatuh pengsan terjelepok ke tanah sampai keluar buih air liur melalui mulut dan hidung.

Ini bukan exaggeration, bro. Ini fact. Ini hakikat. Dan inilah yang tak ada pada awek-awek tu. Tak ada langsung! Ya! Aku dah tahu sekarang apa yang ada pada Azlina yang tak ada pada dia orang! Aku dah tahu! Biarpun hanya aku sorang saja yang tahu sedangkan Lina sendiri pun tak tahu. Malah kalau benar-benar terjadi macam tu mesti dia akan sangka yang aku kena serangan demam kepialu tapioca.

Okey… aku dah tahu elemen istimewa yang unik pada Lina. Persoalannya sekarang ialah – kenapa aku terkena kesan elemen tu? Kenapa? Why? Timkai? 什么缘故. Apa yang membuatkan kesan tu terkena pada aku hanya disebabkan oleh Lina dan bukan awek lain?

Dan persoalan selanjutnya pula — suka ke aku mendapat kesan sebegitu? Seronok ke? Enjoy ke? Stim ke? Entahlah… sejujurnya aku tak gemar ada kesan perasaan macam tu. Kenapa, kau tanya? Sebab kesan tu melemahkan aku. Melemahkan aku dari segi fizikal dan — yang terutama — emosi. Lemah salah satu saja pun dah cukup menjadikan sesiapa saja vulnerable bak kata dialek bahasa aku. Dalam bahasa dewa bermaksud mudah terdedah kepada bahaya dan ancaman. Maka sukakah aku dilanda kesan sebegitu?

Barangkali kerana tu ke orang banyak berkata cinta itu bukan saja buta, tapi boleh menjadikan orang bodoh dan bangang? Kerana cinta, orang bukan sekadar sanggup menempuh kesusahan, sengsara dan derita, bahkan orang akan mencari kesusahan, sengsara dan derita! Kalau tak rasa susah, sengsara dan derita tu dalam bercinta, seolah-olah cinta tu belum cukup baligh, belum cukup mummaiz, belum cukup bernilai dan belum cukup indah! Indah? Kesengsaraan dan penderitaan itu indah?

Benarlah cinta menjadikan orang bodoh dan bangang…

Alamak! Ya Tuhan! Adakah itu bermakna bahawa aku sebenarnya… sebenarnya… sebenarnya… terhadap… Azlina… ada… perasaan… cin… ta…? Aku??? Ada rasa cinta pada Azlina??? Ohhh…! Tidaaakkk…!!!

7 – Inikah ‘Lina’?

BORING juga bila dah habis SPM. Result lambat lagi keluar. Masih belum ada awek yang dicintai. Yang ada cuma awek buat geli-geli. Boring punya fasal, aku kerja part time jadi waiter atas kereta api. Naiklah kereta api setiap hari ulang-alik KL — Singapura — KL dari pagi sampai ke malam. Macam mana nak cari awek yang boleh dicintai macam ni?

Tapi sebab cuti sekolah, maka ramai gak awek untuk buat geli-geli naik kereta api. Tapi kenapalah kau orang angkut mak bapak, pakcik, makcik, kau orang semua naik kereta api sekali ni? Mengembara solo beramai-ramai dengan kawan-kawan saja tak boleh ke? Barulah ada peluang kita geli-geli ringan-ringan… Ptuih!

Tak kisahlah. Dapat sorang dua yang tak bawa mak bapak pun jadilah untuk buat modal geli-geli. Tegur sambil senyum. Offer suruh beli minuman. Tanya nak ke mana. Mak bapak ikut ke tak. Kalau solo, ajak sembang-sembang kat hujung gerabak. Sambil sembang sambil buat sumbang — cuit-cuit, geli-geli, sentuh-sentuh, geli-geli, usap-usap, geli-geli, gosok-gosok, geli-geli… takat tu ajalah. Sewel ke haper nak lebih-lebih dalam kereta api?

Masuk A-Level suasana pun boring juga. Student kat kolej tu semua ex-MRSM macam aku juga. Nasib baik awek geli-geli aku kat MRSM Muar dan MRSM Taiping tu dulu tak masuk ke situ. Dia orang semua puak-puak AAD le tu. Atau SPM flop ke? Entahlah… Tak mahu ambil tau. Takut aku…

Sebelum A-Level kena buat Intensive English Course. IELTS. Kat kolej tu juga. Dan naluri jantan aku yang sentiasa bersyahwat ni menyala semula macam biasa. Ada sorang awek dalam kelas IELTS 7 kalau tak silap aku yang pada pandangan mata aku agak menepati cita rasa — kecil molek, lebih rendah daripada aku… hmmm… apa lagi ek? Tu ajalah yang ternampak (buat masa ni). Rambut dia macam mana rupa pun aku tak tau sebab dia pakai tudung. Entah-entah botak. Tak pun spesies dahi jendul kut? Entahlah. Lengannya pun tak nampak sebab dia pakai baju kurung. Ada bulu roma ke atau licin macam belut? Atau lebat dan panjang dua kali ganda daripada bulu betis aku? Entah…

Tapi muka dia memang… macam mana nak cakap… memang menepati imaginasi aku. Comel tapi serius. Nak kata muka garang tapi tak garang… Gitu-gitulah… Best! Boleh buat stok geli-geli kut ni? Kalau dapat buat stok geli-geli ni barangkali sedap dan lazat kut? Aiyaaarrrkkk…!!!

So, okay, why not? Oleh sebab kelas dia di hujung sana manakala kelas aku di tengah-tengah, maka setiap pagi dan petang dia kena melintas di koridor depan kelas aku semasa pergi dan balik. Sebagai alligator berekor pendek yang masa tu bertekad nak maintain low profile, aku terpaksa gunakan kaedah konvensional paling kolot — terpacak depan kelas aku dan mengada-ada kat dia setiap kali dia melintas. Asal dia melintas aja aku angkat kening sambil sengih tayang gigi. Sesekali aku tegur.

Respons yang aku dapat — sentiasa — ialah jegilan mata dia. Alahai… kenapalah kau pergi melawan macam tu wahai awek oiii…! Sebab kau melawan tu le yang buat aku lagi sedap nak mengayat ni tau tak? Maka aku pun mengembangkan daerah mengurat aku dari depan kelas aku ke depan kelas dia.

Kelas kami ni semua menghadap koridor dengan pintu bertutup semasa sesi. Tapi kat pintu tu ada tingkap kaca kecil. Dia duduk baris kedua dari depan betul-betul menghadap pintu tu. Jadi kekadang aku tuang kelas aku dan pergi mengendap kat kelas dia. Bila dia terpandang aku kat tingkap kaca tu, aku angkat kening sambil sengih. Dia balas dengan jegilan mata juga. Isy… dia ni kaaannn…

Manalah aku ingat berapa kali aku buat kerja tak senonoh tu depan kelas dia. Lama-lama dia dah tak layan dah. Dia buat tak nampak aja aku memperbodohkan diri kat situ. Cet…! Kurang masam kelat-kelat masin punya perempuan. Ni memang betul-betul mencabar kesyahwatan aku ni… ciszzz…!

Maka aku pun kembangkan lagi sayap gatal aku ni. Kat luar waktu kelas pun aku cuba-cuba ayat gak setiap kali terserempak dengan dia — kat asrama, kat dewan makan, tepi jalan, kat tanjakan (‘tanjakan’ tau? Ramp laaa… ramp), kat pigeon hole, kat bus stop (ni biasnaya bila time nak keluar ke bandar — biasanya Chow Kit Road), bla bla bla…

Sejujurnya aku tak boleh recall langsung macam mana dan kat mana dan sebab apa aku akhirnya dapat peluang berbicara direct dengan dia, tapi aku memang dapat peluang tu. Dia balas akhirnya usaha bongok aku mengurat dengan kaedah tak semenggah tu. Barangkali dia fikir kalau dia mengalah sekali mungkin aku akhirnya akan berhenti buat kerja bangang macam tu. Sebenarnya memang pun aku dah niat gitu. Kalau dia balas dengan respons mesra gitu, aku akan layan dulu kejap. Ajak makan sama sekali dua atau ajak dating ke naik bas mini 44 ke Chow Kit atau bas Tong Foong 114 ke Pudu. Saja buat puas hati aku sebab penat mengurat dia selama ni je. Tapi… ada satu masalah yang timbul…

Masalahnya ialah… aku akhirnya dapat tau bahawa namanya ialah ‘AZLINA’ kecuali ada satu lagi abjad di depan nama tu… Huh??? Oh tidak!!! Ini memang betul-betul LINA! Ini memang LINA! Lina pada nama ajalah, ofkoz. Okeylah tu kan?

Nope! Tak okey langsung siot! Tak okey langsung! Kenapa ya? Kenapa? Sebab agaknya kerana dah terlampau lama dan kerap sangat aku berusaha mengurat dia, perhati dia dari dekat dan jauh, sesekali berbalas jelingan tajam, dan sekali dua jelingan manja, dan beberapa kali jelingan kemaluan… eh… jelingan malu… aku seolah-olah dah dapat kenal sikit demi sikit peribadi dia. Kenal sikit demi sikit perangai dia. Sikit demi sikit personaliti dia. Dan beberapa kali ternampak lengan dia bila lengan baju kurung dia terselak…

Aku dah mula merasakan getar dalam perasaan dan emosi aku ni terhadap dia yang selama ni aku hanya rasakan pada ‘Azlina’ yang dulu. Oh tidak…! Tak mungkin bro! Tak mungkin bro! Aku dapat jumpa ‘Lina’ akhirnya? Betul ke ni? Betul ke? Serius?

8 – Tunas Yang Berputik

BUKAN rasa-rasanya ni… Bukan… Getar ni bukan getar yang sama yang aku rasakan pada ‘Lina’ yang dulu. Bukan. Ni getar lain ni. Getar lain. Bukan getar hati. Bukan juga gitar berbunyi. Ni bukan getar… getar… alah… apa perkataan tu…? Alahai… perkataan tu… apa dia… aku tak reti nak sebut… camne nak sebut… cin… cin… ‘cin’ apa entah… belakang dia macam bunyi ‘unta’ gitu… isy…!

Ya ke? Betul ke bukan getar yang sama? Sebenarnya apa yang aku rasa bila aku nampak Lina IELTS 7 tu ya? Bukan cin+unta… Bukan! Bukan! Cin+unta datang bila dah kenal. Tu kata orang tua-tua dan juga orang-orang tua. Aku sebagai orang muda-muda dan orang-orang muda lain boleh percaya dan pakai ke kata-kata tu lagi? Atau aku mesti pakai kaedah sistematik yang lebih saintifik melalui kaedah fotosintesis yang dinamik? Camne tu? Analisis laaa… senaraikan simptom. Wokeh bebeh… meh kita cuba…

Kalau boleh nak selalu terserempak dengan dia. Tapi kalau nampak dia, terus tukar fikiran dan tak mau bertentang mata pula. Macam orang mereng.

Buat-buat tak nampak setiap kali dia muncul tapi mengharap supaya dia nampak dan sapa kita. Kalau dia tak nampak kita, kita sedih. Kalau dia nampak kita tapi tak sapa kita, rasa macam baru ditimpa bala bencana tahap maksimum.

Bila ternampak dia, secara automatik kita tetiba gelabah menyumpah seranah kalau masa tu kita tak jumpa permukaan bercermin mahupun sebarang permukaan yang boleh membalikkan cahaya sebab kita dah desperate teramat untuk membetulkan rambut dan jambul.

Berdeham perlahan-lahan nak test suara untuk make sure suara tak tersekat-sekat just in case perlu sapa atau perlu balas sapaan dia kalau tetiba berada dalam haluan yang bakal bertembung dengan dia tanpa dapat dielakkan, dengan harapan mungkin terus dapat sembang sikit-sikit hal politik, ekonomi dan resipi masakan sebagai camouflage.

Selalu cuba jadi bodoh supaya tak faham mana-mana topik dalam subjek yang dia handal supaya boleh jadi alasan nak suruh dia tolong ajar dan explain kat kita.. di tempat yang sesuai… dan duduk semeja… bersebelahan. Tapi bila ada peluang terus jadi bodoh betul-betul sebab instead of minta dia tolong ajarkan, kita jadi tak sanggup dan pergi cari member lain suruh ajarkan pula.

Semasa waktu makan di dewan makan, mata tak pernah pandang makanan yang terhidang di depan tapi sibuk membelingas ke arah lain nak cari kalau-kalau dia pun ada makan kat situ sama. Biasanya juga kita tak tau dan tak perasan dan tak rasa apa-apa pun makanan yang kita suap, kunyah dan telan tu.

Kalau ditakdirkan sekelas dengan dia, biasanya badan selalu sakit-sakit sebab duduk keras kejang kat tempat kita sebab tak bergerak-gerak banyak sangat takut alignment jambul lari atau baju berkedut di samping nak kontrol macho sampai habis kelas.

Tu je ke simptom yang ada? Banyak lagi tapi tak larat nak tulis dan simptom lain tu tak berapa ketara. Teori aku ialah kalau semua simptom tu wujud bermakna aku sudah jatuh hati pada dia. Kalau setakat nak mengurat dia untuk geli-geli macam mengurat awek-awek dalam kereta api mahupun rakan sekerja dalam gerabak restoran kereta api, simptom tu semua tak ada. Objektif untuk geli-geli yang jadi fokus utama. Dengan Lina IELTS ni macam mana?

Berdasarkan analisis aku, simptom-simptom di atas tu… errr… errr… aiyaaarrrkkk…! Aku ada semua simptom-simptom tu…! Ada! Ada! Aiyaaarrrkkk…!!! Tidakkk…! Aku tak mahu jatuh hati lagi! Tak mahu…! Lina ni bukan Lina aku! Lina ni bukan Lina aku…! Dia tak sama! Dia bukan Lina! Nama dia Lina tapi dia bukan Lina! Bukan Lina aku tu…! Bukan…! Bukan…!!!

9 – Selamat Hari Jadi

LINA (yang dulu IELTS tapi kini dah A-Level) orang Kelantan. Katanya dari KK. Bukan Kota Kinabalu atau Kuala Kangsar tapi Kuala Krai. Tapi masa di A-Level tu sekeluarganya di KB. Di kolej tu sahabat rapatnya — dari pemerhatian aku le — ialah geng dia kecek Kelate sebab sama sekolah dan sama kampung dulu. Guess what? Empat abjad terakhir daripada lima abjad dalam ejaan nama kawan rapat Lina tu ialah ‘LINA’ juga. Astaga wa esta bagadud

Anyways, Lina seorang yang lembut perawakannya, tapi keras hatinya. Manja, sweet dan intelligent. Okeylah aku mengaku… Lina jauh lebih intelligent daripada aku… hehehehehe… Logiklah beb… dia anak cikgu… cet! (Dan ya… walaupun aku taklah dewa, tapi aku sikit-sikit tu memang intelligent laaa… ciszzz…!) Dia lebih advance darihal muzik omputeh. Lebih advance dalam hal fesyen wanita dan lelaki. Lebih advance dalam hal jenama pakaian, beg tangan, jam tangan, kasut, bla bla bla… Maklumlah… seumur hidup aku sampai ke A-Level tu, aku tak pernah ada pakaian yang berjenama. Jadi bila Lina bercerita tentang John Master, aku fikir dia bercakap pasal Perdana Menteri salah sebuah negara Eropah atau salah sorang penulis buku teks subjek Ekonomi. Bukan rupa-rupanya… Bottom line — Lina seorang yang berwajah sikit garang tapi berperawakan lembut. Suara dia lembut. Tingkah laku dia lembut. Percakapan dia lembut. Cair… memang cair aku. Tapi kulit dia lembut juga tak? Kulit di tangan dia? Di pipi dia? Di lengan dia yang sekarang aku dah tahu memang ada bulu roma halus menyelaputinya? Ohhh… lengan dia buat aku sangat syahdu masa tu… Ohhh… Eh? Melencong pula. Jadi, boleh sentuh tak? Boleh sentuh tak? Boleh pegang tak? Dia pakai tudung tau! Orang Kelantan tau! Anak cikgu tau! Bukan spesies perangai setan macam aku tau… adoi laaa…

So? Takkan buta-buta aku nak pegang tangan dia. Nak kata apa kat dia? Saja nak test kulit lembut ke tak? Cet… Bongok ke sewel ni? Pandang-pandang sambil main jeling-jeling mata dan balas-balas senyum dengan dia okey lagi. Tapi sentuh dan pegang? Isy… bengong!

Oleh kerana Kolej kita orang tu terletak dalam kawasan komersil yang baru dibuka tapi langsung tak laku, maka selain daripada blok asrama dan blok akademik kolej yang terletak kat tengah-tengah pusat komersil kosong tak laku yang macam bandar baru lepas tamat perang tu, semua bangunan lain kat situ kosong belaka. (By the way, blok asrama dan akademik tu pun sebenarnya bangunan untuk parking 4 tingkat yang dimodify sesuka hati tak pakai kepala otak manusia beruk yang buat keputusan nak letak kita orang kat situ hingga bangunan parking tu berubah macam Transformer menjadi blok asrama dan akademik. Allah Ta’ala saja yang tau macam mana boleh dapat CF sebab duduk di dalamnya terasa macam duduk dalam microwave… literally speaking!) Jadi kita orang yang jadi daging panggang separuh masak dalam tu lebih rela habiskan masa kat luar bangunan. Biasanya sekitar situ antara bangunan kosong tu atau ke Taman Maluri le. Nak ke Maluri jalan kaki je. Keluar dari blok asrama microwave tu dan berjalan antara blok-blok bangunan yang kosong belaka langsung menyeberang jalan raya. Lepas tu menyeberang Sungai Kerayung pula. Maluri tu le satu-satunya tamadun yang paling dekat dengan komuniti kita orang masa tu. Kejam sungguh kita orang diletakkan kat situ oleh beruk-beruk pemegang kuasa tu kan? Kan? Kan?

Masa tu belum ada lagi stesen LRT Star Pandan Jaya tu. Landasan LRT pun tak ada. Perkataan LRT pun belum wujud dalam kamus Dewan Bahasa (sekarang dah ada. Tak percaya? Pergilah tengok dalam Kamus Dewan edisi terbaru. Berapa lu nak bet?) Yang ada ialah saluran paip air yang bulat dan besar yang merentang Sungai Kerayung. Well, at least kita orang rasa batang besi besar tu paip air le. Takkan paip saluran kumbahan najis kut? Ya ke? Anyways, saluran paip air bagak tu le yang jadi jambatan kita orang semua untuk keluar dari hutan batu microwave tu untuk ke wilayah ketamadunan manusia. Malam nanti baru balik semula ke asrama cipan tu.

Menyeberang Sungai Kerayung atas jambatan paip air tu taklah susah sebenarnya pun. Rasa-rasanya dah beratus ribu manusia serta kucing, anjing, tikus, tenuk, zirafah dan lain-lain binatang yang boleh diimaginasikan pernah melintas saluran paip besar. Bagi aku okey je menyeberang saluran paip air besar tu. Kami yang jantan ni biasanya panjat naik dan berjalan kontrol balance dengan agak selamba macho atau berlakon macho je. Tapi majoriti awek yang menyeberang mesti jalan sebelah menyebelah sambil pimpin tangan masing-masing laksana pasangan lezbo malu-malu nak mula beraksi ghairah dan sensual. Takut jatuh ke dalam Sungai Kerayung yang agak jauh gak ke bawah tu gamaknya. Antara awek manis yang bermuka serius dan nampak garang tapi takut-takut menyeberang jambatan saluran paip air tu ialah tak lain tak bukan Si Manis beta — Lina. Aku memang biasa nampak dia dengan kengkawan dia berpimpin tangan menyeberang jambatan saluran paip besar tu bila nak ke Maluri atau balik. Ofkoz masa tu aku belum keluar dating dengan dia lagi le. Masa tu paling dahsyat pun sekadar jalan-jalan sekitar blok asrama dan akademik sambil sembang-sembang secara berbalas pandangan, jelingan, senyuman, gurauan, pandangan dan sikit-sikit rasa macam nak ringan-ringan dalam hati aku (dalam hati dia aku tak tau. Ingat aku ni apa? Psychic?)

Jadi bila aku bercadang nak ajak Lina ke Maluri buat kali pertama, aku ada sikit rasa seriau. Patut ke aku pimpin tangan dia menyeberang saluran paip air tu? Dia tak marah ke nanti kalau aku pegang tangan dia? Kalau aku tak pegang nanti dia akan jatuh terpele’ot dan basah kuyup ke dalam Sungai Kerayung ke? Kalau aku pegang dia nanti dia akan balas tak? Dia akan balas dengan genggam tangan aku juga ke? Atau dia akan gesel-gesel dan usap tangan aku juga ke? Atau dia akan bagi penampar je kat muka aku yang tak tau malu ni nanti? Entahlah… Well… Kalau tak buat, tak tau. So?

“Kau nak ikut tak?” aku tanya dia petang tu.

“Mana?” dia tanya aku balik.

“Maluri. Makan.”

“Bila?”

“Sekarang le.”

“Nanti aku siap kejap, ya?”

“Aku tunggu kau kat bawah ya?”

Itu adalah kali pertama aku akan mengembara berdating bersama Lina ke alam selain daripada rooftop asrama dan kawasan sekitar. Itu adalah pengembaraan eksperimen untuk lihat sejauh mana dia sanggup ikut aku. Tu aku tau tu. Yang aku belum tau masa tu ialah itulah dia — buat kali pertama — aku akan menyesal dan anggap diri aku bodoh macam kambing yang tutuh anjing kat rumah setinggan seberang Sungai Kerayung tu… Memang bodohlah kau Dzam masa tu… Bodoh teramat…!

Apa kena mengena judul episod ni dengan cerita siri kali ni ek? Hehehe… Sebab episod ni diposkan dan disiarkan hari ni.

Selamat Hari Jadi Lina… Kita sebaya hari ni…

10 – Sentuhan Kecundang

BARANGKALI awek-awek yang aku kenal sebelum ni semua jenis orang kampung ek? Jenis yang setiap hari lasak. Yang setiap hari buat kerja. Macam-macam kerja. Isy… kenapa tak ada sekor pun awek-awek yang aku kenal sebelum ni orang bandar? Dari kalangan anak orang berada? Yang lagu yang didengarinya dari radio dan kaset saban hari ialah lagu omputeh? Yang meja soleknya penuh dengan semua jenis losen — dari losen kulit muka, sampailah ke losen kulit tangan, paha dan kaki, bahkan membawa sampai ke losen kemaluan dan faraj? Isy isy isy… Kulit awek — especially kulit tapak tangan — yang hanya kenal segala mak nenek losen ni sejak dah lepas sekolah berbanding dengan awek yang guna losen gini sejak kecil memang lain banget kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Anyways… Chow Kit Road dulu tak ada beza pun dengan sekarang — jalan rayanya sibuk macam New York. Cuma dulu tak ada landasan monorel dan LRT, dan sekarang dah tak ada bas mini. Nak menyeberang jalan kat Chow Kit atau Jalan Tuanku Abdul Rahman atau kat mana-mana ajalah di KL ni memang macam gampang. Lagi-lagi kalau bukan nak menyeberang sendirian, tetapi bersama awek.

Bukanlah Lina ni jenis tak reti nak menyeberang jalan. Sebagai gadis bandar anak orang berada yang independent, dia tak perlu orang pimpin dia untuk menyeberang jalan. Tapi timing menyeberang jalan antara aku dengan dia tu yang tak synchronised. Dah tu camne? Well… kau orang pun dah teka, kan? Maka semasa nak menyeberang jalan untuk kali yang ke berapa entah, aku nekad genggam tangan dia. Perasaan teragak-agak aku tu aku buang jauh-jauh. Tetiba jantung aku berdebar macam enjin bas mini. Otot lengan kiri aku macam kejang pula tak mahu bergerak untuk capai dan genggam tangan Lina di sebelah aku. Jenuh dan penat juga sebenarnya aku nak kumpul kekuatan supaya aku boleh gerakkan lengan kiri aku ni untuk capai tangan dia.

Bila nekad aku semakin kukuh bak mangkuk kayu, maka aku pun umpama mangkuk terus saja capai dan genggam tangan kanan Lina. Dan aku dapat rasa tetiba tangan dia, lengan dia dan badan dia sedikit kejang macam nak terlompat. Nope… aku sure sangat tu bukan kejang sebab dia inzal. Aku rasa tu kejang sebab dia terkejut.

Hmmm… terkejut? Maknanya apa ya? Dia tak pernah pegang tangan lelaki ajnabi sebelum ni ke? Really? Sejujurnya aku rasa macam tak logik sebab walaupun ramai kengkawan aku masa tu kata Lina ni bukanlah kategori awek cun yang mengghairahkan pun, tetapi bagi aku dialah Si Manis hati beta. Dia cantik. Tu pada pandangan mata aku yang rabun ni le. So what? Eloklah kalau orang lain tak anggap dia cantik. Tak adalah sangat persaingan aku.

“Kau marah ke?” aku tanya dia bila dah sampai ke seberang.

“Terkejut,” dia akui. Jadi aku lepaskan tangan dia. Karang kalau dia terus kejang terkejut langsung tak berganjak pula dari tepi jalan tu lagi susah aku dibuatnya. Kami terus berjalan beriringan.

Dan tapak tangan Lina memang lain daripada awek-awek yang tangannya pernah aku pegang, genggam malah ramas sebelum ni (or vice versa… eheks!) Tangan Lina memang lembut. Lembut sampai aku rasa bersalah pegang tangan dia tadi. Tapi sumpah aku pegang tangan dia tadi bukan dengan tujuan nak stim-stim. Sumpah! Aku pegang tangan dia sebab aku nak make sure kita orang menyeberang jalan secara synchronised dengan selamat. Hanya bila dah rasa sentuhan kulit tapak tangan dia baru aku tersedar something — aku tak pernah rasa tangan selembut tu! Sungguh! Memang tak pernah basuh pinggan dan baju ke agaknya perempuan ni? Atau dia buat kerja pakai sarung tangan? Dan dia ada sekontena losen yang dilumur ke tangan dan mungkin seluruh badan 13 kali sehari? Entahlah… Aku tak tau lagi masa tu.

Yang aku tau, hari tu ialah hari pertama kami betul-betul ada direct contact — literally speaking. Dan kalaulah benar bahawasanya tu kali pertama dia disentuh dan dipegang oleh lelaki, aku rasa teramat-amat bersalah. Sungguh! Aku tak rasa bertuah langsung. Aku rasa bersalah. Kenapa ya?

Oh tidak..! Tidaaakkk…! Kenapa aku mesti rasa bersalah pegang tangan dia? Macamlah tak pernah pegang tangan perempuan lain sebelum ni. Takkan… takkan… aiseymen… takkan sebab aku sebenarnya ada menaruh hati pada Lina ni? Serious shit? Dah berputik ke dalam sanubari aku ni perasaan nak jaga dan lindungi Lina ni sepenuh jiwa raga aku? Dah terbuka ke ruang dalam hati aku ni untuk aku persilakan dengan rela Lina melangkah masuk lantas bermastautin di situ semahunya? Dah berputik ke dalam hati aku ni nak jadikan Lina ni hanya untuk aku sorang? Oh tidakkk…! Jangan please…! Aku tak mau…! Aku tak mau…! Aku dah pajak ruang dalam hati ni untuk Azlina aku yang dulu! Untuk Azlina yang itu! Bukan yang ini! Tak mahu! Tak mahu! Errr… bodoh ek aku ni… Pajak hati sendiri untuk Azlina yang dulu tu sedangkan dia tak tau dan tak kisah dan akan persetankan saja aku… Brengsek sungguhlah Dzam…!

Mau tak mau pun selepas turun bas di Maluri hari tu, semasa nak menyeberang saluran paip air besar Sungai Kerayung untuk ke Taman Shamelin Perkasa, kita orang berhenti seketika di tebing tu. Aku pandang dia. Dia pandang aku, tapi sekejap je. Cepat-cepat dia alih pandangan ke arah lain.

Lalu aku hulurkan tangan. Aku offer untuk pimpin dia meniti jambatan saluran paip air tu. Berdebar juga sebenarnya hati aku sebab aku tak pasti sama ada dia akan terima atau tak kali ni. Siang tadi aku tak minta keizinan dia untuk pegang tangan dia. Sekarang aku akan minta izin. Kalau Lina beri izin, aku akan pimpin dia dengan nyawa aku menyeberang jambatan maut ni. Kalau dia tak mahu, aku akan hormati dan aku akan turut dia dari belakang dengan penuh perhatian dan waspada.

Dia sebenarnya memerhati sekeliling. Kemudian dia sambut tangan aku. Lalu kami menyeberang saluran paip air besar tu sambil berbimbing tangan hingga ke seberang.

Dzam… kau dah buat apa yang Lina tak suka kau buat… Dan sejujurnya dalam hati aku menyumpah seranah diri sendiri… Patut ke aku buat gitu?

Tiba ke seberang aku lepaskan kembali tangan dia. Kami berjalan beriringan antara celah-celah bangunan komersil berwarna putih belaka yang kosong kegelapan. Aku tau aku bersembang dengan dia masa tu sebab mulut aku kumat-kamit dan suara aku keluar tapi aku tak tau satu benda habuk pun topik sembang aku tu. Belasah ajalah. Hati aku kucar-kacir. Aku rasa aku dah menempah satu tiket bagi satu kenderaan berkelajuan tinggi yang akan membawa aku semakin jauh daripada Lina hari tu.

“Okey. Thanks temankan aku keluar hari ni,” aku kata kat dia bila kami dah panjat tanjakan asrama dan tiba ke pintu masuk koridor dia.

“Okey,” dia balas. Dia senyum. Senyuman dia memang manis walaupun muka dia garang. Dalam keadaan dia tak tersenyum, barangkali beruang pun takut nak dekat dengan dia. Tapi dia senyum. Senyumannya manis, tapi tak semanis sebelum ni. Ada sesuatu yang dia tak gemari agaknya. Mungkin sebab aku pegang tangan dia tadi.

Kau memang tak senonoh, Dzam… Kau memang tak senonoh!

Kenapa aku marah diri sendiri ni? Selama ni aku pegang, malah genggam dan ramas tangan awek-awek lain dalam kereta api tu tak pernah pula rasa macam ni? Tak pernah terfikir pun apa yang awek tu nak fikir? Kenapa sekarang dengan Lina aku sibuk nak ambil kira apa yang dia fikir dan apa yang dia rasa? Pe hal lu Dzam…? Pe hal?

Aku tidur malam tu dengan resah sebenarnya… Amat resah… Mungkin bermula esok Lina takkan mahu jumpa aku lagi… Dua-dua lengan mendarat atas dahi aku sepanjang malam…

11 – Tak Mungkin Ini Cinta

MUSTAHIL ini cinta… Tak mungkin… Cinta ni apa sebenarnya ya? Sayang dengan cinta sama ke? Sayang tu apa pulak ek? Kasih? Isy… kenapalah tok nenek orang Melayu ni suka sangat cipta perbendaharaan kata yang macam-macam bunyi tapi bila disuruh jelaskan maksud semuanya bawa erti lebih kurang sama. Lepas tu anak cucu mulalah kompius. Bila dah kompius maka perkataan ‘cinta’, ‘sayang’, ‘kasih’ tu semua macam senang-senang je pula nak diungkapkan dek jantan kepada siapa saja yang nampak macam perempuan, dan begitulah sebaliknya barangkali ek?

Aku rasa selama ni “cinta” aku ialah pada Azlina yang dulu. Azlina W. Lina W. Sampai buat lirik lagu saduran untuk dia tau. Masa tu aku suka lagu ‘Venus’ nyanyian Frankie Avalon. Aku pun tak ingat kat mana aku mula-mula terdengar lagu ni tapi masa tu aku dalam darjah 6. Agaknya dengar kat radio kut? Daripada lagu tu, aku buat lirik sendiri untuk Lina W aku masa tu. Ofkoz le dia tak pernah tau pasal lagu dan lirik bongok tu sampai sekarang… eheks… Gila ke mereng nak bagitau dia? Cet…!—

Lirik saduran yang aku buat tu memang aku hafal. Dah aku yang buat, aku hafal le… ngok!—

Lina

Dengar juwita
Sanubariku sedang bersabda
Mengalun melodi lagu cinta
Hanya untuk Lina
Bukannya dewi
Bukan juga primadona sakti
Tetapi puteri di mayapada
Hanya untuk hamba
(korus)
Lina
Hadiahkan padaku
Senyuman manismu
Jelita dan ayu
Cenderamataku
Filo bercandi hanya untukmu
Dan tiada lain melainkanmu
Hanya untuk Lina

Macam bangsat kan? Kan? Adoi laaa… Kekadang kita buat benda bodoh yang bagi kita masa kita buat tu tak bodoh tapi sebenarnya bodoh… adoi laaa… Dan yang lebih bodoh ialah bila kita ceritakan kepada seluruh dunia tentang benda bodoh yang kita dah buat tu… Macam apa yang kau buat sekarang ni laaa… Adoi laaa… Double bongok bangang! Ptuih! Dzam… kau sememangnya seekor bunjot… adusss…!

Atas sebab tu maka aku tak percaya bahawa perasaan aku terhadap Lina A-level atau Lina H tu ialah ‘cinta’. Aku tak percaya. Masakan? Tak mungkin… Cinta aku pada orang lain. Dah reserve dan pajak mati punya. Sebab tu sejak tingkatan 1 sampai habis SPM aku sentiasa ingat pada Azlina W aku tu. Sentiasa! Tak pernah lekang. Setiap masa mengharap pertemuan dengan dia. Pergi pasar tolong bonda aku bawa bakul pun aku mengharap terserempak dengan dia. Naik bas SKS nak pergi atau balik dari MRSM pun mengharap terserempak dengan dia. Naik bas Sri Jaya (kau orang yang baru baligh memang tak kenal bas ni) pun mengharap terserempak dengan dia. Nak tidur teringat kat dia. Bangun pagi teringat kat dia. Nak berak pun teringat tapi cepat-cepat buang ingatan tu sebab terasa macam dia perhati aku berak pula nanti. Tu yang kekadang sembelit tu… isy…!

Dah tu macam mana pula aku boleh ada hati dan perasaan pada Lina A-Level atau Lina H ni? No… no… Hati aku pada Lina W, bukan Lina H. Tapi… tapi…

Hmmm… dalam proses muhasabah emosi sendiri malam tu, tatkala kedua-dua tangan atas dahi sambil berusaha nak lelap mata untuk tidur, aku tersedar sesuatu yang selama ni aku tak perasan! Oh tidak! Benarkah! Bilakah sebenarnya kali terakhir Lina W menerawang dan menjelma dalam ingatan aku? Bila…? Bila ya…?

Ya Tuhan…! Ya Tuhan…! Aku baru sedar diri! Dah lama sangat rasanya Lina W tak muncul dalam ingatan dan perasaan aku ni! Dah lama sangat! Sejak bila ya? Aku tau dah sekarang — sejak Lina H mula respons dengan usaha mengurat aku tu. Sejak dia mula sudi berbicara dengan aku. Sejak dia mula sudi menemani aku jalan-jalan sekitar Taman Shamelin yang masa tu macam bandar hantu tak berpenghuni. Sejak dia mula membalas jelingan aku. Sejak dia mula balas senyuman ikhlas aku. Sejak dia mula menyapa aku dengan senyuman setiap kali terpandang…

Dan sejak itulah sebenarnya ruang yang aku tinggalkan kosong dalam hati ni yang kononnya untuk Lina W, tanpa aku sedari, telah aku serahkan sepenuhnya tanpa cagaran kepada Lina H… Oh… Apa yang aku dah buat sebenarnya ni? Apa yang aku dah buat…???

Tak boleh jadi! Aku tak boleh biarkan fenomena ni berlarutan. Tak boleh! Tak boleh! Hati ni untuk Lina W! Bukan Lina H. Bukan sesiapa pun! Hanya Lina W! Habis tu macam mana ni? Aku mesti buat sesuatu. Aku mesti keluarkan semula Lina H dari dalam hati aku ni. Aku bukan nak halau dia keluar. Tapi aku akan uji sejauh mana dia akan kekal dalam tu. Aku mesti buat sesuatu. Tapi apa ya?

Rasa-rasanya cuma ada satu jalan saja — aku akan buat tawaran menginap dalam ruang hati yang sama kepada awek lain juga. Ya! Itulah yang aku sepatutnya buat! Tapi awek mana? Hmmm… apa susah beb… MYPM kan ada? Student MYPM yang duduk asrama dan akademik sebumbung dengan kita tu. MYPM yang pertama di Malaysia tinggal serumah dengan kita kat sini. Ada form 1 dan ada form 4. Nak pilih form 1 ke? Isy… ingat aku ni pedofilia ke haper? But then again… aku tengok dia orang sesama sendiri pun mengalahkan kita orang yang dah baligh dan serabai atas bawah ni. Selamba tenuk aje kat depan-depan asrama dan akedemik terbuka tu pegang tangan, cium pipi, peluk-peluk, dan… once in a while sembunyi-sembunyi cium mulut lagi. Form 1 tu! Yang form 4 tak payah cakap… tengok sendiri ajalah… Tu tempat terbuka. Kalau tempat tertutup di celah-celah atau dalam mana-mana bangunan Taman Shamelin yang semuanya kosong belaka ni? Adoi laaa… Patutlah jin pun takut nak bertandang ke situ dulu. Sepanjang aku kat situ pun tak pernah lagi ada kes histeria tau. Jin tak berani kacau!

So? Well… rasa-rasanya esok aku akan mulakan misi untuk menawan hati mana-mana awek MYPM yang boleh dijadikan bahan uji kaji dan alat kepentingan diri sendiri aku ni. Aku target minimum 2 orang. Esok ialah harinya! Dan selepas tu, aku mungkin boleh tidur lena bila mengetahui bahawa sebenarnya perasaan aku terhadap Lina H ni bukanlah cinta tulus ikhlas. Ya! Aku percaya sangat tu!

Dan aku pun Menanti Hari Esok* (*copyright tajuk filem Dato’ Jins Shamsudin dan lagu tema filem tu ciptaan Dato’ Ahmad Nawab… eheks…) dengan penuh semangat berbaur debaran…

12 – Lina Yang Mana Sebenarnya?

MYPM ni ialah MRSM swasta untuk “anak-anak lord” yang setengah orang kata “lord-lord” tu kabelnya tak cukup kuat nak masukkan anak-anak dia orang ke MRSM (sebab setahu aku masa di MRSM dulu, ramai gak anak-anak lord. Anak menteri pun ada tau!). Tu kata oranglah. Entah aku tak tahu. Tak kuasa nak ambil tahu. Ada aku kisah? Bila hujung minggu, mak bapak bebudak MYPM datang melawat dengan BMW, Mercedez, Audi, Volvo. Habis tu Proton Saga bertompok-tompok kat hujung blok asrama tu? Eheks… tu kereta Pak Guard. Memang Pak Guard biasa parking kat situ bila dia datang untuk duty.

Mengurat anak lord memang mencabar. Apa kelas orang sengkek yang setakat isi poket setiap bulan dengan duit elaun dari biasiswa nak mengurat bebudak MYPM yang aku pasti sesangat diberi elaun dek mak bapak dia orang dua tiga kali ganda daripada jumlah duit biasiswa aku sebulan didarab tiga tu. Memang kerja gila nak mengurat dia orang. Orang gila pun boleh waras sekejap bila nak memikirkan strategi nak mengurat anak lord jenis gitu tau!

Sebenarnya aku berjaya mengurat sorang budak MYPM tingkatan 4. Muka yang agak menepati cita rasa. Berkulit sawo matang. Berambut lurus separas bahu. Cun? Well… aku tak boleh kata cun, tapi aku boleh kata muka dia seksi. Yup… muka stim gitu. At least muka dia boleh buat aku stim kalau kena imaginasi tertentu. Tapi sebenarnya yang lebih aku fokuskan ialah body dia. Yeszaaa…! Bentuk tubuh badan dia… perghhh…! Macam mana nak cakap ni ek? Paha dia beb! Paha dia memang 100% in accordance with standard KPI syahwat aku pada tahap maksimum! Yup! Dan dia pula jenis yang 16 jam sehari pakai skirt atas sikit je dari kepala lutut. Maka segala pergerakannya bisa membuatkan skirt tu terselak lalu mencetuskan imaginasi liar dan basah dalam kepala aku. Nama dia bermula dengan abjad “N”.

Tapi hubungan dengan “N” hanyalah sekadar surat menyurat misteri melalui pigeon hole. Aku tak pernah perkenalkan diri aku yang hensem, ayu, manja lagi macho ni kepada dia. Dia tak tahu jantan jiwang karat menggerutu mana sebenarnya yang menghantar surat-surat jiwang yang membuai rasa tu sebab aku gunakan nama olok-olok yang agak canggih berbaur kayangan mengalahkan nama pena novelis wanita masa kini. Nama pena bak kayangan aku yang mengalahkan nama pena novelis wanita masa kini tu bermula dengan abjad “Z”.

Ni memang masalah… Masalah besar bagi akulah. Orang lain tak ambil kisah pun tentang masalah aku ni. Masalahnya ialah, aku dah tak berselera langsung nak teruskan hubungan dengan “N” ke tahap berikutnya. Dalam keadaan normal, memang kompem stamp pad aku akan bersemuka dan angkut dia keluar. Memang kompem stamp pad aku dah pegang, genggam dan ramas tangan dia. Dan dari nada balasan surat-surat dia kepada aku, aku berani gerenti kerat anu bahawasanya dia akan relakan aku pegang, usap, belai dan ramas paha dia yang aku idam-idamkan sangat sampai meleleh air liur tanpa sedar selama ni tu! Kompem beb! Tapi…

Ni lah masalahnya… Kenapa aku dah macam tak berselera nak teruskan usaha maksiat aku dengan “N” ni? Kenapa? Timkai…? Setiap kali aku dah ready nak bersemuka dengan “N”, wajah Lina H datang menerpa benak aku sambil melemparkan senyuman manisnya. Okey… memang muka Lina garang, tapi aku tak gamak teruskan ringan-ringan dengan “N” bukan sebab takut muka garang Lina, tapi sebab terpesona dengan senyuman manis Si Manis beta tu. Setiap kali aku layan imaginasi syahwat tentang paha ghairah “N”, kelembutan tapak tangan Lina dalam genggaman tangan aku akan tetiba hijack imaginasi tu. Tempo syahwat yang baru nak berdansa luntur dek curahan harum hujan kasih yang renyai-renyai mendinginkan. Tak jadi stim, tapi hati tetap rasa kembang dengan haruman… ohhh… teramat pundek sungguh…! Kenapa ni? Kenapa ni! Ni yang rasa nak marah ni!

Aku dah kena bomoh ke haper? Dah tentu tidak! Tak ada sebab aku mesti dibomohkan oleh sesiapa pun, lebih-lebih lagi oleh Lina H. Lina bukannya bercinta dengan aku pun, apatah lagi tangkap cintan sama aku. Sekadar rapat. Aku tak pernah cakap kat dia aku tangkap cintan syok khayal pada dia. Dia lagilah tak pernah cakap macam tu atau yang sewaktu dengannya pada . Jangan kata cakap, hint dari segi tingkah laku pun tarak! Dah tu? Kenapa yang aku boleh tetiba jadi jantan bodoh ni? Kenapa aku boleh tolak peluang pegang, usap, belai dan ramas paha “N” semata-mata sebab kepala otak aku tetiba teringat pada Lina H ni? Dan yang paling aku marah sangat ni, aku tak buat semua benda maksiat yang aku suka sangat nak buat sebelum tu disebabkan arca wajah dan memori terhadap Azlina H dan bukan Azlina W…!!! Weh…! Bukan ke cinta hati aku yang dah pajak ruang hati aku ni ialah Lina W? Bukannya Lina H! Tapi… tapi… tapi… alahai… brengsek al-keliwon wal-putumayam! Kenapa ni? Lina…? Kenapa ni Lina…?

Aku pun tak tau bila. Yang aku tau, aku tak terdaya nak melawan satu emosi yang aku tak pernah rasa sebelum ni setiap kali teringat pada Lina H. Dah berkurun rasanya Lina W tak lagi datang menjenguk emosi dan perasaan aku. Kalau dipaksa pun susah banget wajah Lina W nak datang bertandang ke hati dan fikiran. Tak macam sebelum ni. Tak macam sebelum aku kenal dan berbicara dan bermesra dengan Lina H. Kenapa ya? Cantik sangat ke Lina H berbanding Lina W? Sejujurnya dan seikhlasnya malah setulusnya, sama sekali tak! Orang yang rabun dengan spek mata 800 power dua-dua belah pun akan kata Lina W jauh lebih cantik daripada Lina H walaupun masa tu dia tak pakai spek mata. Dari segi potongan badan… masya-Allah… masyarakat… Marsha AF… jangan mimpilah nak bandingkan Lina H dengan Lina W. Walaupun kali terakhir aku tengok Lina W ialah semasa darjah 6, semasa body dia belum berbukit dan berlembah, tapi tanda-tanda macam mana kontur badannya akan terbentuk dah nampak dalam usia dia 12 tahun tu. Orang buta pun boleh bayangkan bagaimana solid dan mantapnya paha Lina W bila dia remaja sebagaimana usia aku dan Lina H masa tu. Sedangkan body Lina H masa tu — masa aku beberapa kali bersiar-siar dengan dia di sekitar Taman Shamelin yang macam baru lepas jadi medan perang, masa bermain mata dan balas senyum bila terserempak di kawasan sekitar, masa meniti jambatan saluran paip air melintas Sungai Kerayung, masa bersembang berdua-duaan duduk dekat bersebelahan di perpustakaan — walaupun di sebalik baju kurung, sungguh tak mungkin dapat menandingi kecantikan bentuk tubuh Lina W yang memang menepati cita rasa aku 100%… terutama pahanya. Tak mungkin..!

Jadi kenapa Lina W boleh beransur-ansur meminggirkan diri dari emosi dan perasaan aku dan Lina H sedikit demi sedikit menghimpit lalu menggantikan tempatnya? Kenapa ni? Dan aku pula? Aku merelakan dengan ikhlas Lina H mengambil alih tempat Lina W dalam hati dan fikiran aku. Malah aku mempersilakan penuh gembira dan bahagia kehadirannya diiringi harapan setinggi Sidratulmuntaha. Apa ke jadahnya ni Dzam?

Lantas aku takkan sanggup kalau Lina H memutuskan untuk tak lagi berbicara dengan aku akibat kejadian pegang tangan semalam. Aku tak sanggup dia beredar dari dalam hati aku. Aku tak sanggup untuk tak dilemparkan senyumannya. Malah kalau Lina nak campak senyumannya kepada aku laksana mencampak sampah ke dalam tong sampah sekalipun, aku akan sambut dengan hati penuh rela dan bahagia…

Masih lagi ke dia sudi pandang dan jeling pada aku dengan jelingannya yang tajam menusuk hingga menikam kalbu tu? Berani ke aku pandang dia dalam kelas nanti? Ada berani…?

13 – Gadisku

LINA nampaknya macam tak memusuhi aku walaupun aku pegang tangan dia secara hijack tanpa izin hari tu. Setidak-tidaknya tu le yang aku nampak. Harap-harapnya memang betullah dia tak marah. So far dia masih pandang aku macam biasa. Dia masih lemparkan senyuman dia yang amat manis (di mata akulah) macam biasa. Dia masih sudi membalas dengan mesra sapaan aku dengan suaranya yang amat lunak manja. Aku sesungguhnya teramat-amat lega. Terima kasih Lina! Terima kasih sebab tak marah aku.

Tapi kau amat manja duhai Lina. Perawakan, perwatakan, gerak-geri, percakapan, bla bla bla… Pendek kata semua tentang kau di mata aku menampakkan kau amat manja. Agak pelik juga sebab aku tak nampak kemanjaan yang sama bila kau berbicara dengan orang lain. Tapi aku nampak amat jelas kemanjaan dan kelembutan tu bila kau berbicara dengan aku. Kenapa ya? Spesies sesumpah ke kau ni boleh berubah-ubah personaliti bergantung pada dengan siapa kau berkomunikasi? Atau kau memang psycho ada penyakit split personality? Atau… atau… oh… kemungkinan yang berikut ni buat aku berdebar-debar… Atau kau sebenarnya menganggap aku lain daripada orang lain maka kepada aku kau berikan layanan istimewa yang kau tak berikan kepada orang lain? Benarkah? Betul? Betul? Ohhh… Macam mana ni…?

Suatu hujung minggu tu kita orang keluar lagi. Meniti jambatan saluran paip air untuk ke Maluri mengambil bas mini 44. Aku tak ingat ke mana hala tuju kami tapi yang aku masih ingat sampai kini ialah apa yang dia pakai hari tu — Dia tak lagi pakai baju kurung macam fesyen seharian dia ke kelas. Tudungnya berganti skarf hitam bercorak bunga-bunga hitam yang ekornya dililit tanpa terjuntai. Bajunya pun warna hitam dari material kain yang macam kelambu tu tapi sebelah dalamnya kain legap berwarna hitam juga. Nasib baiklah sebelah dalam tu pun bukan macam kelambu… perghhh…! Dan dia tak pakai kain sarung macam selalu. Hari tu dia pakai seluar panjang yang mengikut potongan kaki dia tapi taklah ketat macam seluar jean Kid (ehem… jangan marah hah… eheks!) Dan dia pakai kasut bertapak rata yang kalau tak silap aku warna hitam juga. Lady in black? No… she was not a lady to me. She will always be a girl. A nice, cute, sweet girl.

Menyeberang Sungai Kerayung pagi tu aku tawar untuk pimpin dia lagi. Memang ada waswas dalam hati kalau-kalau dia menolak tapi kemanisan wajah dia pagi tu buat aku tak sampai hati nak biar dia mengatur langkah waspada sendirian meniti jambatan maut tu. Dan Lina sambut tangan aku dengan rela pagi tu. Setidak-tidaknya tu lah yang aku fikirkan sebab semasa aku hulur tangan sambil senyum pada dia, dia sambut tangan aku tu dengan senyuman juga. Manis banget senyuman dia pagi tu. Manis banget!

Dalam bas mini tu aku cuba nak duduk bersebelahan, tapi dah fitrah bas mini di zaman semua orang masih lagi bekerja pada hari Sabtu, jangan haraplah. Lina duduk di kerusi sebelah sana dan aku sebelah sini. Oleh kerana tempat duduk dia di depan sikit daripada aku, maka tak lepaslah mata aku menatap dia dari belakang. Lenggok kepalanya. Lentuk lehernya. Sesekali dia menoleh ke belakang memandang aku sambil tersenyum tersipu-sipu sebelum mengalih semula pandangan ke luar tingkap sana. Entah apalah yang dia tengok kat luar tingkap yang penuh asap, debu dan kenderaan berhimpit-himpit tu. Tak kisahlah. Aku tau hari tu hati aku dah cair sejak mata bertentang dengannya pagi tadi di pintu besar asrama lagi.

Walaupun masa meniti jambatan Kerayung tadi Lina sudi berpegangan tangan, tapi bila kami berjalan seiringan di tengah kota raya, Lina agak keberatan. Aku faham kenapa. Dia segan. Dia malu kalau-kalau kengkawan dia ternampak aksi dia berpegangan tangan dengan aku.

“Biarlah dia orang nak kata apa,” aku kata, membuktikan betapa aku ni seorang… seorang… seorang… well… seorang jantan bongok yang konon nak jaga ego. Hmmm… bodoh tak?

Lina tak berapa melawan, tapi sepanjang kita orang dating tu dia tak pernah mulakan untuk pegang tangan aku. Aku yang selalu menggatal mulakan dulu. Kami ronda Pertama, The Mall, Jalan Masjid India, Central Market, Kota Raya, Cahaya Suria, bla bla bla… Bila lapar, singgah makan. Lepas tu sambung menapak lagi tanpa tujuan. Memang tak ada tujuan. Aku cuma nak berada dekat dengan dia. Tu je yang penting bagi aku masa tu. I wanted to be with her. Aku suka tengok dia — perawakan, perwatakan, bicara, gerak-geri… semuanya tentang dia. Aku suka semua dan segala-galanya tentang dia! Dan aku tak peduli lagi hal dunia bila aku dapat berada dengan dia. Aku tak peduli langsung!

Damn…! Aku tak rasa macam ni pun bila aku pimpin tangan Nani jalan-jalan waktu malam kat Tambak Johor masa kerja part time atas kereta api dulu. Aku tak rasa macam ni pun bila bersembang dengan apa entah nama awek yang aku kenal dalam kereta api tu yang kemudian dating dengan aku kat JB. Aku tak rasa macam ni pun masa keluar dengan Noi sambil makan-makan kat Kelang. Justeru dengan dia orang tu semua ada ketikanya aku rasa macam nak tengking suruh diam bila dia orang bercakap benda-benda yang aku tak minat langsung nak ambil tahu. Kerap juga aku rasa macam nak lempar dia orang ke tepi jalan bila genggaman tangan dia orang makin ketat macam tak mahu lepas sedangkan aku rasa dah makin rimas. Ada ketikanya aku rasa macam nak tinggalkan aja dia orang kat tepi jalan dan aku berhambus balik ke rumah atau lodging kereta api bila aku rasa boring atau penat keluar dengan dia orang. Rasa perikemanusiaan aje yang buat aku tak gamak nak buat tu semua…

Tapi tidak dengan Lina. Tak ada bicaranya yang aku tak ambil perhatian walaupun kadang-kadang memang aku gagal fokus pada topik dan isu sebab teramat leka melayan gerak-geri dan personalitinya semasa berbicara. Tak ada pandangan dan jelingan matanya yang gagal buat aku rasa macam ada suatu panah berdesup menikam aurikel kanan hingga tembus ke ventrikel kiri jantung aku. Tak ada sentuhan walau sekedap mana pun yang bisa menerbitkan rasa rimas pada aku. Tak ada nada dan intonasi suaranya yang buat taik telinga aku cair.

Aku takut sebenarnya. Takut bahawa akhirnya… walau macam mana pun aku nak nafikan… aku sebenarnya dah terjerumus ke dalam satu dunia yang selama ni aku berusaha sangat-sangat nak jauhi — dunia cinta. Oh tidakkkk…!!! Macam mana aku nak reserve ruang hati aku ni untuk Lina W kalau aku dah kecundang dengan Lina H? Maafkan aku Lina W… Aku curang terhadapmu… ohhh… walaupun aku tau sangat yang kau bukan kisah pun…

Tapi… tapi… kejap ek… Tapi kan… aku baru tersedar lagi. Sedar diri lagi buat ke sekian kali — setiap kali aku rasa nak bertempik, menengking, melempar ke sungai, meninggalkan di tepi jalan akan awek-awek yang lain tu semua, ialah sebab pada masa tu bayangan wajah dan diri Lina W datang menjelma dalam kepala dan hati aku. Aku rindu amat pada Lina W masa tu. Tapi bila aku bersama Lina H, Lina W tak pernah menjelma. Biarpun kekadang ada ketikanya aku paksa Lina W menjelma dalam kepala dan hati especially semasa menunggu Lina H bila dia masuk tandas awam atau sementara tunggu dia selesai solat di surau CM atau surau PWTC, Lina W tak datang menjelma sebegitu mudah. Seolah-olah Lina W memberi ruang kepada Lina H mengisi ruang hati yang asalnya aku khaskan untuk dia. Kenapa ya?

Betul ke aku memang sebenarnya dah terjerumus ke dalam dunia cinta? Betul ke? Dengan Lina H? Dengan Lina H ni? Yang apa jua pada dia tak ada satu pun yang buat aku rasa nak menjauhi. Bahkan semakin aku kenang dan ingat Lina H, semakin aku ingin hampir dengan dia. Semakin aku mahu dekat dengan dia. Semakin aku mahu berada di sisi dia. Dan sebenarnya, apa yang kau mahu ialah masuk ke dalam hatinya… Yalah! Masuk dalam hati dia! Bukan faraj dia! Cet…! Kau orang jangan fikir biru-biru kelat tau! Lina bukan gadis macam tu!

Setidak-tidaknya buat masa ni… sementara dia belum sebegitu dekat dengan aku. Sementara aku belum berada dalam diri dan hati dia… Sementara aku belum buat kejahatan paling keji dalam sejarah ketamadunan aku…

14 – Dan Syaitan Menjadi Aku

Mati-mati aku tak nak mengaku yang aku dah jatuh hati pada Lina H. Hidup-hidup aku nafikan yang dalam emosi aku ni dah terbit rasa kasih dan sayang pada Lina H. Aku rasa tenteram dan bahagia bila dia ada di sisi bahkan kalau tak di sisi pun, setidak-tidaknya bila dia berada dalam jarak di mana aku dapat melihat dia — sama ada dalam kelas, di dewan makan, di mana-mana aja, apatah lagi kalau aku memang berada di sisi dia.

Dan pada setiap ketika dia tak berada dalam penglihatan aku, aku rasa resah gelisah. Aku rasa kosong dan sepi. Aku rasa macam dalam hati aku ni ada vakum bak angkasa lepas yang tak berbintang, berbulan dan berplanet mahupun bermeteor atau berkomet. Kosong sekosong-kosongnya hingga angka sifar sebesar saiz planet Musytari pun tak mungkin menggambarkan kekosongan dan kesepian yang aku rasa. Sedangkan Lina H taklah jauh sangat pun. Seberang tanjakan asrama je. Sepelaung je kalau nak panggil macam bebudak lain dok panggil awek dia orang. Pun aku masih rasa sepi dan kosong teramat tanpa dia di mata.

“Tadi, aku dah cium Asiah, nombor kad pengenalan A1448787 (bukan nama sebenar),” dalam nada berbisik Fandi, nombor kad pengenalan A1457877 (bukan nama sebenar) — roommate aku — bagi tau aku semasa kami berdua je dalam bilik malam tu. Terkejut aku sekejap sebab tak percaya orang macam Fandi akan buat perbuatan yang hanya orang macam aku aja yang buat.

“Serius?” aku tanya dia. Mata aku mesti buntang macam mata ikan masa tu tapi aku tak nampak sebab tak ada cermin berdekatan. “Bukan ke kau orang baru je jadi couple tak sampai sebulan?”

Fandi mengangguk pendek. Senyumannya masih terukir tetapi pipi dia merah kemaluan…. errr… maksud aku, merah sebab rasa malu.

“Kau cium… bibir…?” aku teka. Fandi angguk.

Fandi tersengih macam kerang busuk. Aku pula ternganga, pun macam kerang, tapi wangi sikit. Lepas tu aku geleng kepala dengan rasa kagum dan tak percaya bercampur-baur.

“Macam mana kisahnya sampai jadi macam tu?” aku tanya, nak tau sesangat. “Kau minta ke apa?”

Fandi membelingas memandang sekeliling lagi. Nak pastikan tak ada orang lain kat situ. Kemudian dia pandang aku sambil menggeleng-geleng menafikan tekaan aku tadi. Huh? Habis tu? Asiah yang minta? Biar betul?

“Macam mana kau cakap kat dia? Kat mana kau buat kerja tu?” aku tak sabar dah ni!

“Kat bangunan belakang tu. Belakang kedai koop tu. Hujung sana,” dan Fandi sebenarnya memaksudkan blok bangunan kosong berdepan dengan blok asrama microwave kita orang tu. Bangunan tu memang kosong. Sebelah belakangnya lagilah kosong sunyi sepi tak ada manusia nak lalu lalang. Kalau ada couple nak bercium mulut kat situ barang sesaat dua memang tak jadi hal. “Balik tadi kita orang lalu situ. Dia yang tanya sama ada aku nak cium dia… kat situ… kat bibir dia…. atau tak.”

“Ni aku kena belajar ni! Aku nak cium awek kat pipi pun berpenat lelah pujuk rayu, goda-goda, buat janji palsu, tu pun baru dapat pipi aja tau.” Dan bayangan wajah awek dalam kereta api, awek Tambak Johor, awek Kelang bersilih ganti dalam kepala otak biru-biru purple aku masa tu. Wajah Lina H tak terlintas pun. Apatah lagi wajah Lina W.

“Mungkin… ni mungkin ajalah… sebab aku jujur dengan Asiah,” balas Fandi dengan kemaluan yang bertambah… errr… maksud aku, dengan rasa malu yang bertambah. “Aku bukan nak main-main dengan dia. Aku serius dengan dia. Dia pun serius dengan aku.”

Fandi tak boleh nak bercerita lagi. Kemaluannya dah terlalu besar… errr… maksud aku, perasaan malunya dah terlalu menebal.

Tak payahlah cerita apa lagi yang kita orang sembangkan malam tu tentang Fandi dan Asiah yang hanya terhenti bila Kajeng dan Che Nasir masuk ke bilik. Aku pun tak ingat apa lagi sembang antara aku dengan Fandi tentang hal dia bercium tu. Yang aku ingat, ialah kata-kata Fandi tentang dia jujur nak serius dengan Asiah dan Asiah jujur nak serius dengan dia, dan teori Fandi bahawa kepercayaan tentang kejujuran tu lah yang menyebabkan Asiah mahu Fandi mengucup bibirnya.

Sebagai seorang lelaki yang innocent dari perasaan cinta selain daripada perasan cinta bengong terhadap Lina W, konsep nak jadi serius tu tersangatlah asing bagi aku. Setidak-tidaknya masa tu le. Jadi maknanya apa ya? Kalau awek tu serius nak bercinta dengan kita, maka dia akan relakan dan mahu pula nak melakukan aksi yang — pada zaman tu… I repeat… pada zaman tu — dianggap teramat ekstrem untuk dilakukan oleh bebudak sebaya aku masa tu ke? Macam Asiah dan Fandi saling merelakan bibir masing-masing dicium? Tu maknanya Fandi nak serius dengan Asiah dan Asiah memang serius nak dengan Fandi? Tu ke maksudnya? Betul ke?

Kalau betul, maka itu ke dia ujiannya? The acid test? Nak uji sama ada awek atau balak tu betul-betul serius nak dengan kita ialah dengan melihat sama ada dia rela berkucupan bibir ke bibir dengan kita? Really? Sama ke standard of proof antara balak yang rela nak kucup bibir awek dengan awek yang rela nak kucup bibir balak? Sama ke? Dalam kes Fandi, Asiah yang minta. Bukan Fandi. Kalau aku jadi Fandi le masa tu… errr… kejap.. kejap… Asiah memang comel, tapi bukan cita rasa aku. So? Nope… sebab Asiah bukan cita rasa aku, maka in the first place lagi, aku tak mungkin akan mengurat Asiah.

Tapi macam mana kalau kejadian tu antara aku dengan Lina H? Kalau Lina H yang berada di tempat Asiah dan aku berada di tempat Fandi. Dan Lina H tanya aku… well…. sebenarnya yang lebih tepat ialah tawarkan kepada aku untuk cium bibir dia? Macam mana?

Hmmm… pertama sekali, tu mustahil. Aku tahu Lina H. Dia takkan minta aku buat macam tu punya. Berani kerat anulah! Semasa tu, ketika tu, Lina H pasti takkan minta aku buat macam tu. Pasti sesangat!

Kedua sekali… hmmm… kedua apa ya? Aku nak kata bahawa keduanya, Lina H takkan setuju nak cium bibir aku sebab mengikut Fandi, dia dan Asiah saling merelakan berkucupan antara dia orang sebab masing-masing memang serius hendakkan satu sama lain. Serius nak menjalin cinta murni sesama dia orang. Sedangkan aku tak fikir Lina H nak menjalinkan cinta dengan aku. Bahkan masa tu aku tak fikir pun Lina H ada rasa apa-apa pada aku. Mungkin dia layan aku lebih istimewa daripada orang lain (sebab hanya dengan aku aja aku nampak dia manja dan lembut, sedangkan dengan orang lain layanan dia tiba-tiba berubah tak sama) sebab… sebab… Hmmm… Apa ya? Tapi aku tak fikir tu sebab cinta. Mungkin tu sebab… sebab… sebab… sebab apa ya…?

Entahlah… Pernah ke terlintas keinginan dalam hati aku nak kucup bibir Lina H? Well… bibir dia tidaklah termasuk kategori bibir Angelina Jolie. But then again, bibir Nani Tambak Johor, awek kereta api JB, dan Noi Kelang pun jauh panggang dari api bibir Angelina Jolie, tapi ada ketikanya memang aku geram dan terasa kehangatan membara di anggota sulit aku yang mendesak supaya aku temukan dan tenyeh puas-puas bibir aku ke bibir dia orang. Sedangkan dengan Lina H, keinginan tu tak pernah wujud pun selama ni!

Dan bila aku pegang, malah ramas dan genggam tangan Nani Tambak Johor, atau awek kereta api JB, atau Noi Kelang, kehangatan yang meresap dari tapak tangan dia orang akan terus mengalir berdesup ke anggota sulit aku hingga membuatkan dia bangun tidur macam gimnas baru lepas balik kuang atau somersault. Sedangkan bila aku pegang tangan Lina H, kehangatan tapak tangannya masih meresap ke dalam saraf aku tapi ia terus mengalir hingga ke dalam hati lantas menghangatkan emosi aku dengan perasaan yang aku tak boleh nak describe. Well… adalah juga sikit-sikit saki baki kehangatan tu terlencong dalam salur darah yang menghala ke arah anggota sulit tapi tak banyak mencanak-canak le macam dengan awek-awek lain tu. Sedangkan dengan awek-awek lain tu seluruh kehangatan menghala ke bawah tu aje. Tak ada pun yang hinggap ke hati. Tapi dengan Lina H, hampir semuanya bermastautin di hati.

Tapi tu perasaan aku. Perasaan Lina H sendiri aku tak tau. Sumpah aku tak tau. Sama ke dengan perasaan aku? Apa dia sebenarnya perasaan aku ni? Cinta? Betul ke? Betul? Perlu ke aku bermati-matian nafikan lagi?

“Fauzi, nombor kad pengenalan A1767564 (bukan nama sebenar), senior kita tu ajak aku keluar,” kata Lina pagi tu semasa kita orang bersarapan kat Maluri. Nyaris tersangkut ayam sambal nasi lemak kat rengkung aku. Fauzi mana pula ni? Jembalang ke jin ke hantu ke toyol ke apa dia ni?

“Dia minat kat kau le tu,” aku balas dengan lakonan selamba macam gampang. “Bila kau nak keluar dengan dia ni?”

“Aku tolak,” Lina jawab. Aku rasa jawapan dia tu jujur. Aku rasalah… kan? Kan?

“Kenapa?” lakonan aku terus macam gampang.

“Assignment belum siap.”

Alahai… mengharap jawapan lain, dapat jawapan lain. Errr… aku mengharap jawapan apa sebenarnya ek? Eheks… Tu pun nak tanya ke?

“Kesian dia,” aku balas, dan pada masa yang sama dalam hati aku berbisik “Kesian aku juga…”

“Dah banyak kali dia ajak. Memang kesian kan?”

Dah banyak kali??? Walaweh…! Apa pasal baru sekarang aku tahu ni? Dah banyak kali tu berapa banyak…? Dalam tempoh berapa lama sejak bila ni…?

“Aku ingat aku nak jumpa dia malam ni,” Lina sambung. Tiba-tiba aku rasa macam rengkung aku tercekik lagi tapi nasib baik kali ni aku belum suap apa-apa pun dalam mulut aku. Tapi dalam lakonan macho, aku suap juga nasi lemak tu ke dalam mulut. Tetiba nasi lemak yang tadi lazat kini rasa macam daging arnab yang dah basi seminggu.

“Kat mana?” aku tanya. Rasa macam menyesal aku tanya soalan tu tapi aku dah tanya, so tak boleh tarik balik.

“Kafe je,” jawab Lina, memaksudkan dewan makan.

Suwey… suwa suwey kamoning (copyright lagu P. Ramlee). Fauzi (bukan nama sebenar tapi bernombor kad pengenalan A1767564) mana ni? Senior? Budak mana? Budak MARA? JPA? Tenaga? Petronas? Sponsor apa lagi yang ada kat situ? Mydin? Carefour? Tapi dua-dua gudang tu belum wujud lagi masa tu.

Akan hilang ke seorang lagi LINA dalam hidup aku yang macam manusia sesat haluan ni? Tapi, aku akan rasa kehilangan ke kalau Lina H yang hilang? Sama ke nilai Lina H dengan Lina W tu? Sama ke? Betul ke aku dah amat sayang dan kasih pada dia? Betul ke aku — di luar sedar — telah membelakangkan nafsu syahwat aku terhadap Lina H sedangkan aku tak pernah buat macam tu dengan awek-awek lain tu? Maka apa dia sebenarnya yang aku rasa pada Lina H ni? Apa dia?

Dan perasaan aku yang pelik pada Lina H ni pula, Lina H tak ada ke rasa yang sama terhadap aku? Tak ada ke?

“Sebab aku jujur dengan Asiah. Aku bukan nak main-main dengan dia. Aku serius dengan dia. Dia pun serius dengan aku.”

Kata-kata Fandi hari tu terngiang-ngiang. So? Aku pun serius ke dengan Lina H ni? Aku dah sedia ke? Tapi Lina H nak ke serius dengan aku?

Selepas sarapan di Maluri kami meniti jambatan saluran paip air nak kembali ke asrama ketuhar. Seperti biasa (dan sekarang dah biasa), kami saling berpegangan tangan atas jambatan tu supaya aku tak jatuh. Kami berjalan seiringan dan bersaingan antara blok bangunan kosong tu nak menuju ke asrama. Kami berjalan sampai ke pintu pagar asrama. Tapi kat situ aku tahan Lina.

“Jom,” aku cakap pada dia.

“Ke mana?” dia tanya.

“Jomlah,” aku ajak lagi sambil mengisyaratkan agar dia ikut aku.

“Kata nak sambung study sama-sama,” dia kata, tapi aku terus mengisyaratkan pada dia agar ikut aku.

Lina turut juga akhirnya. Aku tunggu dia sampai ke sisi dan kami beriringan. Aku bawa dia ke blok bangunan kosong berdepan dengan blok asrama microwave kita orang tu. Aku bawa dia pergi ke hujung bangunan di mana keadaannya paling lengang.

“Kita nak ke mana ni?” Lina tanya. Muka dia dah lain macam.

Aku tak jawab, tapi terus mengisyaratkan supaya dia ikut aje. Sampai di hujung sana blok, aku berhenti. Lina pun berhenti. Aku berdiri menghadap dia, sedang dia membelakangi dinding bangunan yang kosong tu. Perlahan-lahan aku pegang kedua-dua bahu dia. Aku agak dia akan menepis tapi dia tak buat apa-apa. Dia diam kaku. Cuma riak wajah dia aje menggambarkan yang ada rasa takut, bimbang dan waspada dalam hati dia masa tu.

Perlahan-lahan dan selembut-lembutnya aku tolak dia hingga dia mengundur bersandar ke dinding bangunan. Bila dia dah tak boleh lagi mengundur kerana dah sampai ke dinding bangunan tu, aku diam, tapi kedua-dua tangan masih pegang kedua-dua bahu dia. Lina masih tak melawan. Yang makin jelas ialah ketakutan dan kebimbangan di riak wajah dia. Tiba-tiba hati aku sayu dan sedih melihat riak wajah dia macam tu. Sedih sangat. Tapi aku nekad! Aku nekad pagi tu! Aku nekad selepas dengar Lina akan tunaikan permintaan Fauzi yang entah siapa-siapa tu untuk jumpa di kafe malam nanti.

“Dzam…” suara Lina keluar dalam nada berbisik dan jelas terdengar ia bergetar. Ketakutan hati Lina dah dimanifestasikan di dalam nada suaranya. “Apa kau nak buat ni Dzam?”

Aku tak jawab. Sebaliknya aku rapatkan bibir aku ke bibir dia. Sambil tu aku bersedia untuk terlentang ke belakang dalam keadaan terkangkang yang amat hodohnya kat atas tanah yang rumputnya panjang-panjang tu kalau-kalau Lina tetiba akan menolak aku dengan ganas lalu lari lintang-pukang macam orang gila meroyan. Jangan sampai dia menjerit terpekik terlolong kata aku nak rogol dia sudahlah.

Bibir aku bertaut dengan bibir dia — buat pertama kalinya! Tapi tak seperti yang aku jangka, aku tak ditolak pun sampai terlentang. Aku cuma ditolak sikit aja. Walaupun sikit, tapi tolakan Lina tu keras.

“Dzam…” wajah Lina nampak kompius. Nampak keliru sangat. Sungguh aku rasa sebak macam nak menangis melihat muka dia sebegitu. Aku rasa keji sangat-sangat. Aku rasa kotornya diri aku sangat-sangat. Kenapa dengan Lina aku rasa macam ni bila aku kucup bibir dia? Sedangkan dengan awek-awek yang lain tu… isy… Kenapa ni?

“Dzam… apa kau buat ni…?” suara Lina antara dengar dan tidak kerana dia masih berbisik. Tapi getar dalam suaranya makin ketara. Kedua-dua tangannya yang masih lekap di dada aku akibat menolak aku dengan keras tadi masih lagi keras menghalang tubuh aku daripada mara dekat kepada dia sekali lagi.

Aku tak tau nak jawab apa. Aku sekadar tenung mata dia. Aku rasa nak menangis macam pondan. Buat pertama kali dalam tempoh bertahun aku rasa macam tak ada zakar. Aku rasa aku dah jadi pondan yang baru menjalani pembedahan transvestisme masa tu sebab aku sejujurnya rasa nak menangis melihat wajah Lina sedemikian. Apa yang aku dah buat pada gadis yang tak berdosa ni? Kenapa aku buat dia macam ni?

Tapi rupa-rupanya syaitan dah menjadi aku. Bukan! Bukan kerana nafsu, bukan kerana syahwat, sebab aku tak merasakan kedua-duanya pun ketika tu. Syaitan telah menggunakan kebijaksanaannya menjerumuskan aku sambil menyembunyikan elemen nafsu dan syahwat dengan topeng yang kononnya mulia. Tipu daya syaitan sungguh licik. Perancangan syaitan bermula dari apa yang Fandi dan Asiah buat, langsung kepada pengakuan jujur Fandi kepada aku, lantas mencapai objektif keji rencana syaitan terhadap aku pagi tu. Sungguh teliti perancangan syaitan. Sungguh licik!

Perlahan-lahan dan dengan lembut aku alihkan kedua-dua tangan Lina yang masih keras menahan dada aku dari hampir ke tubuhnya. Mulanya kedua-dua lengan Lina masih utuh menolak. Tetapi tiba-tiba dia mengalah. Aku tak tau kenapa. Aku tak nak fikirkan kenapa. Lalu aku rapatkan semula bibir aku ke bibirnya. Kali ni bibir kami bertaut lebih lama daripada tadi. Dan kali ni ciuman bibir aku di bibirnya dibalasnya.

Syaitan telah menang untuk pusingan permulaan. Dan rupa-rupanya, tanpa pengetahuan aku lagi pada ketika itu, makhluk terlaknat itu akan terus bersorak kemenangan selepas ini… Sial kau syaitan! Sial kau!

15 – Rencana Yang Keji

CIUMAN antara bibir kami berdua pagi hari tu meninggalkan satu perasaan yang berbeza amat dalam hati aku. Berbeza daripada apa yang aku biasanya rasa selepas mencium bibir-bibir para awek lain sebelum ni. Apa dia perasaan aku selepas mencium bibir awek lain sebelum ni ya? Hmmm… rasa-rasanya macam tak ada perasaan apa-apa pun.

Tapi dengan Lina H, ada perasaan kesal yang amat tebal dalam hati aku ni. Teramat tebalnya hingga aku seolah-olah merasakan ia seakan satu lapisan teramat tebal yang menyelaputi jantung hingga jantung aku terasa amat sukar untuk berdegup lantas menyesakkan nafas aku. Kesal yang membuatkan aku rasa amat takut dan bimbang nak bertemu dengan Lina lagi. Takut sangat. Malu? Tak ada. Rasa malu tak pernah muncul. Takut sebenarnya. Takut kalau Lina akan mengucapkan selamat tinggal kepada aku selepas tu. Takut dia menganggap aku sememangnya lelaki yang takkan boleh diharap untuk menjaga dirinya. Kalau benar dia berfikiran begitu, aku rasa aku harus terima dengan rela. Aku rasa aku harus bersyukur. Bersyukur sebab takkan menjebak Lina ke kancah hina. Rasa gembira sebab Lina akan terselamat. Gembira sebab diri Lina dan maruahnya terpelihara. Gembira sebab dia akan dijaga dan dikasihi oleh lelaki lain yang bertanggungjawab dan lebih berkarisma… huh? Lelaki lain?

Oh yalah! Fauzi (bukan nama sebenar) tu! Lina akan jumpa dia malam ni di kafe! Di dewan makan. Pukul berapa dia orang akan berjumpa ya? Lina ada cakap ke tadi?

Tetiba semacam ada sebatang jarum yang menusuk sebegitu bisa di tangkai jantung. Siapa Fauzi ni? Doktor? Majistret? Loyar? Eh… dia belum kerja lagi. Masih belajar macam kita orang. Kata Lina dia budak senior. Budak mana? MARA? JPA? Tenaga? Kursus apa? Law? Engineering? Architecture? Macam mana dia boleh kenal Lina ni? Dah tak ada perempuan lagi ke dalam batch dia sampai dia mencabul sempadan lalu menceroboh mengurat awek batch aku pula? Brengsek wal-bahalol!

Aku bergegas ke kafe macam Six Million Dollar Man (errr… kau orang yang baru baligh memang tak tau pasal siri TV ni kan? Kan?) Kafe tu ada empat pintu masuk dari laman luar (kalau tak silap aku) dan ada dua jalan masuk ikut tangga dari dalam (pun kalau tak silap aku juga). Aku datang dari pintu luar yang paling belakang. Waktu malam memang ada sebilangan gak pelajar yang study kat situ. Well… yang study, study. Yang ringan-ringan, ringan-ringan le. Tercegat aku kat pintu tu. Mata membelingas sekeliling. Mana Lina? Mana?

Lina sedang berjalan dengan langkah anggun menuju ke arah aku! Tu dia! Tu dia! Berbaju kurung biru (ya aku masih ingat apa yang dia pakai malam tu. Dan ya, malam-malam pun dia pakai baju kurung). Marah ke dia kepada aku? Aku nampak matanya legat kepada aku. Dan aku nampak bibirnya mengukir senyuman yang manis banget. Eh… macam mana pun sama ada ke kiri atau ke kanan atau ke atas atau ke bawah hala herot bibir dia bila dia senyum sentiasa manis belakalah di mata aku masa tu.

“Hai,” dia sapa aku yang macam orang bodoh. Tapi kemudian dia berbisik kepada aku, “Fauzi kat situ. Kat tangga tu.”

“Mana?” terpacul begitu aku tanya dia.

“Janganlah tenung obvious sangat,” kata Lina. Tapi sempat juga aku memerhati ke arah tangga yang dimaksudkan. Aku dah nampak Fauzi. Berbaju kemeja T putih dengan belang biru melintang yang nipis (ya, baju Fauzi pun aku masih ingat). Dia baru nyalakan rokok (ya, memang kita orang semua merokok dalam asrama walaupun Mr. Basroh warden yang berlagak tu selalu cuba halang). Berkepul-kepul asap keluar dari mulut dia. Muka dia nampak macam sedang mengalami trauma kekecewaan. Kecewa? Kenapa ya? Bukan ke dia baru lepas jumpa Lina?

Lina dan aku berjalan meninggalkan kafe lalu keluar dari premis asrama. Kami berjalan beberapa langkah sebelum berhenti di gerai burger dan air kat hujung blok.

“What happened?” aku tanya dia. Sememangnya aku dah lupa langsung tentang sama ada Lina akan bercakap dengan aku lagi atau tak selepas insiden aku cium bibir dia hari tu.

“Kesian kat dia,” ujar Lina. Huh? Kalau aku betul kenal Lina, kata-kata Lina tu bermaksud dia dah berterus-terang dengan Fauzi bahawa dia tak mahu Fauzi. Dia tolak Fauzi. Tapi kenapa? Patut ke aku tanya? Atau aku biarkan aje aku perasan sensorang? Ah… tak perlu tanya. Sendiri faham cukup. Jangan mengada-ada, betul tak?

Maka disebabkan aku menyesal cium bibir Lina hari tu, lalu aku tak ulangi lagilah perbuatan tu? Betul…? Salah! Syaitan memang betul-betul dah menjadi aku masa tu. Celakalah makhluk terlaknat tu! Hakikatnya setiap kali kami pulang dari ke mana-mana — Maluri ke, Chow Kit ke, haper ke — asalkan kami menyeberang saja Sungai Kerayung, maka akan adalah mana-mana lokasi antara bangunan-bangunan kosong Shamelin tu yang menjadi saksi betapa Dzam dan Lina saling bertautan bibir. Ada ketikanya sekali ciuman. Banyak ketikanya berkali-kali. Dan dalam hampir ke semuanya, setiap ciuman menyaksikan bibir-bibir kami bertaut lama. Cukup lama untuk mengalirkan kasih dan cinta melalui bibir-bibir kami hingga meresap ke dalam emosi dan rasa… Syahdu amat kala tu… sekurang-kurangnya bagi aku.

Dari bercium bibir, kami upgrade ke sambil berdakapan. Well… aku tak ingat siapa yang mulakan dulu. Does it matter? Dan bangunan-bangunan kosong Shamelin menjadi saksi kepada kemenangan syaitan sekali lagi. Kami dah jadi expert tentang selok-belok dan lorong-lorong kosong Shamelin. Kami dah jadi expert dengan blok-blok bangunan Shamelin. Kami dah jadi pakar dan ahli dalam mengawal timing dan situasi untuk tiba dan beredar dari premis blok-blok kosong Shamelin. Kami tahu blok mana untuk pergi pada masa bila. Sedemikian intimnya Dzam dan Lina dengan bangunan-bangunan di Taman Shamelin Perkasa. Macam setan! Kalau mak bapak kami tau apa yang kami buat masa tu, rasa-rasanya aku akan kena sunat buat kali kedua. Lina…? Entah… masa tu aku tak mahu walau setitis pun kedukaan dan kelukaan menghinggapi dia. Tak mahu!

Benarlah bahawa sesungguhnya insan yang melengah-lengahkan taubat akan semakin hanyut dibuai dan dibelai godaan syaitan yang licik dan terlaknat. Semakin insan leka dengan godaan syaitan, semakin insan lalai dengan dugaan Tuhan. Semakin kami meredakan berciuman bibir dan berdakapan mesra, semakin kami dipelawa dan dijemput untuk melakukan lebih lagi.

Sungguh… kami tak sedar bahawasanya syaitan sebenarnya mempunyai perencanaan yang jauh lebih keji… Lebih keji daripada bertaut bibir dan bersentuh tubuh… Jauh lebih keji perencanaannya… Dan kami berdua, yang telah dihanyutkan gelora cinta, akan dipersembahkan dengan godaan yang lebih besar, dan dugaan yang lebih mencabar…

16 – Lahirnya Emosi Baru

DI MANA kau wahai Lina W bila aku memerlukan? Hmmm… but then again, ada dia kisah? Bukannya dia tau pun selama ni, kan? Aku je sensorang yang perasan dan menaruh hati pada dia dari jauh. Macam orang bodoh… eheks! Tak pernah pun bagi tau dia apa yang aku rasa pada dia. Jadi? Entah-entah sekarang ni dia tengah dating dengan boifren dia… whoever that lucky guy is. Dia kat mana pun aku tak tau. Entah belajar ke, entah buat A-Level ke, entah buat matrikulasi ke, entah buat STPM ke, entah dah kerja ke… may be dah kahwin? Kahwin? No… setahu aku Lina W sorang pelajar yang cerdik pandai masa kat sekolah rendah dulu. Bukan sembarangan murid sekolah tau. Kemungkinan paling besar dia mesti sedang buat matriks untuk ke universiti tempatan. Mungkin juga dia pun sedang buat A-Level atau AAD di kolej-kolej lain. Entahlah…

Dan memang hari tu aku tetiba teringat pada Lina W. Pagi tu. Kenapa ya? Kenapa? Adakah sebab aku bagi tau rakan bilik sebelah — C Nasir (tak ada kena mengena dengan M Nasir) — tentang planning aku nak keluar dating (untuk ke sekian kali) dengan Lina H hari tu? Dan C Nasir pula ialah bekas rakan satu MRSM dengan Lina H sebelum ni? Dan C Nasir bercerita kepada aku tentang usahanya mengurat dan memikat Lina H semasa di MRSM dulu?

Tapi setahu aku dia gagal memikat Lina H. Tak percaya? Sebab dia sendiri yang cakap macam tu. Dia kata pernah ajak Lina H keluar bandar beberapa kali sepanjang di MRSM dulu. Tak pernah disambut pelawaannya. Mungkin Lina H dah ada balak lain kat MRSM tu? Tak juga, kata C Nasir. Lina H maintain solo sepanjang di MRSM dulu. Mungkin dia ada balak lain di luar MRSM tu? Di kampung dia agaknya? Yang bersekolah di tempat lain? Entah… yang tu C Nasir tak tau.

Sebab tu, kata C Nasir, dia agak terkejut dan rasa amat sedih dan kecewa bila Lina menerima pelawaan aku keluar dating dengan dia setiap hujung minggu (ya… memang setiap hujung minggu… Tak percaya tanya Kid… eheks…). Sesungguhnya memang agak kurang asam dan haram jadahlah juga sebab C Nasir tak percaya. Apa dia fikir aku tak cukup tampan dan kacak ke hingga berjaya ajak Lina keluar dating dengan aku sedangkan dia tak pernah dapat? Cet…! Aku pun tak kurang cute dan ayu juga sebenarnya tau. Tak percaya? Sila tanya Permaisuri aku sekarang.

Habis tu kenapa pula disebabkan ni semua — yang semuanya berkenaan Lina H — aku boleh tetiba teringat pada Lina W? Dah sekian lama sejak Lina H muncul dalam hidup aku lalu mengisi ruang hati yang dah berpajak ni Lina W tak pernah lagi muncul, tetiba pagi tu dia muncul. Wajah terakhirnya yang aku tatap semasa sekolah rendah dulu masih jelas. Amat jelas. Setiap kontur pipi, dagu, dahi dan hidungnya. Keningnya yang antara tebal dan tak. Bibirnya yang merah jambu. Kulitnya yang kuning langsat. Rambutnya yang pendek lurus separas bahu. Kulit di pipinya yang… yang… hmmm… tak ada jerawat, tapi macam ada beberapa tompok apa entah… Tapi tetap jelita dan manis ayu gitu. Tanyalah sesiapa saja asalkan sesiapa saja tu jantinanya lelaki. Pasti dalam sepuluh, barangkali hanya 1½ saja yang tak akan akui dia jelita dan cun. Yang baki 8½ tu pasti akan kata dia cun. Setidak-tidaknya bergegar sikit hati dengan keinginan nakkan dia jadi awek kalau pun tak jadi bini. Dan yang baki 1½ tu pastilah sorang buta dan sorang lagi si kemetot yang cintanya ditolak mentah-mentah dek Lina W. Otherwise dia memang dilahirkan secara semula jadi dengan cita rasa yang beruk betina pun nampak jauh lebih cantik daripada Demi Moore (helo… ni standard zaman tu ek… please…! Megan Fox agaknya masih dalam bentuk janin kalau pun tak dalam bentuk spermatozoa yang belum disenyawakan lagi zaman tu okey!)

Kenapa kau tetiba muncul dalam memori aku pagi tu wahai Lina W sedang aku sibuk bersiap sedia hendak menyuburkan kasih dan sayang aku terhadap Lina H? Kenapa Lina? Adakah ni tanda-tanda bahawa pada ketika tu kau sebenarnya sedang ingat pada aku? Isy… apa ke jadahnya pula? Tak logik dan mustahil langsung! Lina W tak ingat pun wajah aku, apatah lagi nama aku. I am a nobody to her.

Jadi kenapa kau tetiba muncul dalam memori aku ni wahai Lina W? Kenapa kau tetiba buat emosi aku terasa seperti basah dan banjir dengan emosi yang aku sendiri pun tak tau nak describe? Kenapa kau tetiba buat aku teragak-agak dengan keputusan aku untuk beri kepada Lina H segala-galanya yang ada pada aku selama ni? Apa sebenarnya tanda yang cuba kau tunjukkan pada aku?

Dan entah kenapa, hari tu dating aku dengan Lina H lain macam daripada biasa. Hari tu entah kenapa aku rasa terlebih-lebih mesra. Senyuman Lina H lebih kerap… dan lebih manis daripada biasa. Wajah dia juga kelihatan lebih manis. Tutur kata dia lebih manja. Lentuk kepalanya lebih ayu. Lenggok lehernya yang terdedah — sebab dia hanya memakai skarf — lebih menawan. Justeru aku rasa hari tu lebih kerap tangan kami saling berpegangan. Dan aku rasa-rasalah (kalau aku bukan sekadar perasan), tangannya lebih ketat menggenggam tangan aku. Bahkan kehangatan tangannya hari tu sangat luar biasa — kerana hari tu kehangatan genggaman tangannya, ditambah dengan kelembutan kulit telapak tangannya, menyerap ke dalam setiap arteri dalam tubuh aku, lalu berasak-asak ke kapilari, langsung berebut-rebut masuk ke dalam emosi, tetapi kali ni tak seperti selalu, kehangatan tangan Lina menjentik syahwat aku sehingga aku merasa teramat ingin — sungguh teramat ingin sekali mendakap kedap tubuhnya dan mencium ketat bibirnya sebegitu lama seakan tak mahu aku lepaskan lagi. Aku seakan mahu dia lemas tercungap-cungap dalam dakapan dan kucupan aku. Aku seakan mahu dia merayu-rayu agar aku perlakukan lebih daripada sekadar mendakap kehangatan tubuhnya dan mencium kemanisan bibirnya.

Barangkali sebab tu agaknya aku jadi lembut dan cair hari tu. Lebih lembut dan cair daripada biasa. Dan… entah ya atau tak… aku seakan dapat rasa bahawa sebenarnya Lina juga lebih lembut dan cair daripada dirinya yang selalu. Dia lebih manja dengan aku hari tu. Bila kami berjalan seiringan (tapi memang sentiasa jalan seiringan pun), tubuhnya lebih kerap merapati dan menyentuh seakan hendak melekat dengan tubuh aku. Lengan kami seakan hendak bersilang membentuk ikatan yang tersimpul mati. Acap kali aku terasa seperti hendak memaut pinggang atau bahunya sambil berjalan seiringan dalam keadaan sedemikian sepanjang hari hingga ke malam.

Dan… pada hari tu… aroma yang menyelimuti tubuhnya, tak seperti selalu, menusuk ke dalam rongga hidung aku sehingga membangkitkan satu macam punya rasa berahi yang jauh berkali-kali ganda ghairahnya daripada apa yang aku pernah rasai dan alami dengan awek-awek lain sebelum ni. Belum pernah lagi aku rasakan berahi yang sedemikian… sedemikian… sedemikian mendesak-desak. Sedemikian meronta-ronta hendak membebaskan diri dari dalam kurungan yang sudah ternampak jalan melepaskan diri. Kenapa ni? Kenapa hari ni begitu amat berbeza?

Aku akhirnya dapat tahu jawapannya. Jawapan tu muncul semasa kami dalam perjalanan pulang ke asrama setelah menyeberangi Sungai Kerayung dalam suasana yang lebih romantis dan lebih indah daripada biasa diselubungi suasana malam yang seakan sunyi dan meletakkan kami berdua dalam dunia yang sungguh terasing. Jawapan tu muncul tatkala kami berdua beriringan dicelah-celah blok bangunan kosong Shamelin sambil menggenggam erat tangan satu sama lain sambil berkongsi kehangatan dan rasa yang tak dapat diungkapkan. Entah kenapa perasaan kami malam tu begitu amat berbeza daripada sebelum ni. Well… at least perasaan akulah. Perasaan dia? Aku rasa sama macam yang aku rasa melihat dari perilakunya yang luar biasa sepanjang hari tu, dan terutamanya malam tu.

Dan rutin kami masih mahu diteruskan. Rutin setiap kali kami pulang ke asrama dalam keadaan sedemikian — sekiranya keadaan mengizinkan. Dan malam tu keadaan dan suasana seakan-akan merelakan apa yang biasa kami nak lakukan — berkucupan. Tetapi ada kelainan malam tu. Malam tu aku tak rasa seperti nak menciumnya sekadar di tepi bangunan sambil bersembunyi di sebalik tiang-tiang bendul bangunan. Justeru malam tu aku terasa mahu mendakap dan menciumnya dengan daya dakapan dan ciuman yang lebih intensif. Aku perlu mendorong Lina untuk masuk ke dalam salah satu unit bangunan yang kosong tu. Aku perlu dorong dia untuk panjat salah satu tangga bangunan yang gelap-gelita itu hingga beberapa tingkat ke atas supaya kami tak perlu risau dan waspada lebih-lebih macam selalu. Aku perlukan tu semua supaya Lina dan aku — kami dapat sama-sama fokus seratus peratus konsentrasi kepada saling mencium dan merasai kemanisan bibir kami berdua, sambil saling menikmati kehangatan tubuh kami berdua dalam dakapan yang sebegitu amat erat seakan takkan terpisah lagi.

Lantas aku nekad buat apa yang dibisikkan dek naluri aku yang semakin sesat haluan. Aku mahu buat apa yang seorang lelaki sejati tak sepatutnya buat. Aku tarik lembut tangannya masuk ke dalam salah satu pintu gelap bangunan kosong yang sunyi sepi tu untuk mendaki tangga bangunan tersebut beberapa tingkat ke atas.

Pada mulanya aku dapat rasakan seluruh tubuh badan Lina kejang tak mahu bergerak. Agaknya dia terkedu. Mungkin dia terkejut. Barangkali dia takut. Adakah dia akan menolak kali ni?

Lantas sekali lagi aku tarik tangannya. Kali ni dia menurut. Tapi sempat juga dia berbisik halus; “Dzam… What are you doing…?”

Aku tak menjawab. Aku tak perlu jawab ketika tu sebab Lina tak melawan lagi. Sedikit pun tak. Dia menurut dengan rela. Kami panjat tangga tu hingga, kalau tak silap aku, tingkat dua salah sebuah bangunan kosong yang gelap-gelita tu. Tangga yang kami panjat tu memang gelap-gelemat. Hanya tapak kasut kami berdengung sedikit dipalun dinding sekeliling yang tak kelihatan dalam gelap.

Kemudian kami labuhkan punggung di puncak anak tangga yang membelok. Lapang sedikit permukaan tangga kat situ dan kami dapat duduk berdua dengan selesa. Tak seperti selalu, kali ni kami berkucupan dan berdakapan sambil masing-masing duduk. Biasanya kami hanya berdiri.

Dan aku tahu malam tu aku dakap dan cium dia tanpa rasa waspada dan keraguan kalau-kalau akan dilihat manusia lain. Kami sememangnya berada di lokasi yang amat tersembunyi. Tiada mata manusia lain yang dapat melihat kami di situ. Lantas suasana tu membuatkan dakapan tubuh dan kucupan bibir kami semakin hangat. Semakin lama. Semakin erat. Semakin ketat. Semakin… semakin… semakin lazat disalut nikmat yang aku pun tak pernah rasai dan alami sebelum ni. Oh… betapa nikmatnya dakapan dan kucupan malam tu… Sungguh amat lazat dan nikmat sehingga… sehingga… sehingga… Sehingga apa ya…?

17 – Cemburu Tanda Apa?

MEMANG membahagiakan juga sebenarnya pengalaman pertama kali dalam hidup berkucupan dan berdakapan dengan satu perasaan yang lain amat. Lain banget. Tak sama dengan pengalaman sebelum ni. Sebelum ni rasa macam… macam… macam seronok, tapi seronok tu tak macam dengan Lina malam tu, atas tangga dalam bangunan kosong yang gelap tu. Akulah… Aku tak pasti pengalaman Lina macam mana. Marah? Suka? Benci? Seronok juga? Entahlah. Perlu ke aku tanya? Bodoh ke haper?

Dan aku pun dah jadi macam… macam… macam apa ya? Buaya? Buayalah agaknya kut? Dah ada satu perasaan yang mula bertunas dan bercambah sebegitu pantas dan subur dalam hati aku yang belum pernah aku rasa sebelum ni. Perasaan yang inginkan Lina hanya untuk aku seorang. Perasaan yang tak mahu Lina dikongsi oleh orang lain. Perasaan yang menyalakan api marah kalau wujud kemesraan antara Lina dan lelaki lain yang serupa dengan kemesraannya terhadap aku. Perasaan cemburu. Dengan erti kata lain, perasaan bongok.

Aku tak pernah ada perasaan tu sebelum ni. Barangkali sebab aku tak pernah ada cinta kepada mana-mana awek sebelum ni? Betul ke? Habis tu? Lina W tu? Tu cinta ke? Sekarang aku dah mula persoalkan perasaan sebenar aku terhadap Lina W selama bertahun-tahun ni. Ilusi semata-mata? Permainan rasa dari kedangkalan akal dan khayalan sementara? Jadi aku perah segala kudrat emosi untuk membayangkan Lina W bercumbuan bersama lelaki lain. Lelaki mana nak aku jadikan pelakon tempelan dalam imaginasi aku ni ek? Oh ya! Aku tau! Aku akan jadikan budak kelas dia dulu yang paling hensem dan cute — berkulit cerah, berhidung mancung, berpersonaliti yang penuh karisma bebudak, cute, bergaya, pandai main piano, dan berambut perang. Memang dia macam budak mixed. Pan-Asian agaknya. Tak tahulah macam mana rupa wajah dia sekarang tapi aku nak bayangkan Lina W bersama dia dalam keadaan penuh romantik saling berdakapan dan berkucupan. Hmmm… hmmm… hmmm…

Tak ada apa-apa pun…?

Tapi kenapa aku tak boleh membiarkan bayangan yang sama beraksi bila Lina H yang berada dalam imaginasi tu? Cinta ke? Betul? Tak guna lagi nak bermati-matian menolak kemungkinan. Tak gunalah weh! Aku dah dakap tubuh dia. Aku dah kucup bibir dia. Bukan sekali. Tapi berkali-kali. Dan selama ni Lina H sendiri pun membalas dengan sudi semua dakapan dan kucupan tu. Ada ketikanya dalam keadaan tertentu aku dapat kesan respons dari gerak dan kejang tubuhnya yang mengisyaratkan keseronokan dan kenikmatan yang dirasainya hendak terus dinikmati lebih lama seakan tak mahu berakhir. Ada ketikanya isyarat dari rangkulan yang semakin kuat dan kedap kedua-dua lengannya melilit tengkuk atau tubuh aku, serta kucupan yang semakin menekan dan meresap bibirnya ke atas bibir aku menyampaikan mesej yang aku fahami sepenuhnya, dan merelakan setulusnya.

Melampau-lampau pula aku buat deskriptif tentang isu ni… isy… Teruk betul…

Anyways, secara rasminya aku kini mengisytiharkan bahawa AZLINA kedua dalam cinta hati dan hidup aku ialah AZLINA H. Berat… berat sangat sebenarnya aku nak buat pengisytiharan syok sendiri tu tapi dengan kelatnya aku terpaksa akui bahawa aku telah dan ketika tu sedang curang dan mengetepikan Lina W yang selama ni aku fikir merupakan satu-satunya pujaan hati beta. Oh… maafkan aku wahai Lina W. Aku tau kau tak kisah pun sebab kau tak tau apa-apa pun tentang perasaan aku tapi aku rasa tu adalah lebih baik bagi aku, sebab aku macam sure sesangat bahawasanya kalau kau tau apa yang aku rasa pada kau selama ni, mesti kau akan lari lintang-pukang macam ternampak jembalang yang nak menghisap darah kau. Ya… aku memang sedar diri bahawasanya aku tak cukup syarat nak jadi kekasih kau, wahai Lina W. Kau terlalu cun. Terlalu jelita. Dan, aku agak-agak kini, mungkin terlalu tinggi untuk aku… oh… apakan daya…

Tapi tak apa. Aku dah ada Lina H. Lina H yang aku rasa, dan aku pasti, mencintai aku sebagaimana aku mencintai dia. Setidak-tidaknya kalau tak macam aku mencintai dia, adalah juga rasa cinta dia pada aku. Macam mana aku tau? Sebab dia bagi tau le… hehehehe… malu… malulah pula rasanya aku yang kacak, tampan, ayu dan manja ni…

“Aku nak bagi kau ni,” aku kata pada dia malam tu di kafe semasa kami sedang studi bersama. Aku rasa kita orang studilah kut walaupun setiap kali lepas sesi studi bersama macam tu aku tetap rasa macam kepala otak aku ni kosong je bila naik ke bilik. Lepas kata macam tu aku hulurkan pada dia sekeping kertas yang di atasnya aku tulis lirik lagu. Lagu apa? Okey… kau orang boleh baca, dan kalau kau orang nak gelak pun, silalah jangan bagi tau aku. Cet! Lagu ‘Love Me Tender’, nyanyian Elvis Presley yang dah mati cekik dadah tu.

Sudah-sudahlah gelak tu… Dah aku suka lagu tu dengan penuh feeling nak buat macam mana? Ada masalah besar yang melibatkan keselamatan negara ke?

Sebelum kami berpisah usai studi bersama malam tu, di tanjakan asrama, aku sempat bertanya kepada dia. Pertanyaan aku malam tu memang ikhlas. Jauh banget berbeza nilainya dengan pertanyaan yang sama yang pernah aku utarakan kepada awek-awek sebelum ni — “Do you love me?” Ya, memang aku tanya dalam bahasa Inggeris, sebab semasa aku rangka dalam kepala otak aku pertanyaan tu dalam bahasa Melayu, aku sendiri rasa macam nak muntah atas kepala Mr. Basroh. Apatah lagi kalau Lina yang dengar pertanyaan tu nanti. Eloklah aku cakap Inggeris saja. Kami berdua pun belajar dalam aliran lingua franca Inggeris. Takkan dia tak faham. Lagipun dia jauh lebih intelligent daripada aku.

Lina jawab apa ya? Dia tak jawab. Dia cuma senyum, sambil mengangguk. Tapi anggukannya pendek. Senyumannya juga lain macam. Ni senyum perli ke atau senyum puas hati sebab aku dah kena main? Dia mainkan aku ke? Kalau dia betul nak mainkan aku lebih baik aku main dengan dia dulu. Puas juga zahir dan batin kalau betul aku kena main pun… kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Dia beredar setelah mengucapkan “Good night” sambil melambaikan tangan kepada aku. Aku balas dengan senyuman yang aku isi sepenuhnya dengan keikhlasan.

Cukuplah tu, buat masa ni, sebagai pengiktirafan bahawa Lina mencintai aku kerana aku juga mencintai dia…

18 – Bukan Perahu Yang Terlajak

TERLAJAK perahu, terlanjur kata; Terlajak nafsu, terlanjur noda. Cewah…! Pantun? Bukan. Peribahasa? Hmmm… bukan juga rasa-rasanya. Dah tu apa dia? Apa-apa ajalah Labu… Asalkan kau bahagia.

Tapi bahagia ke? Entahlah. Dah tahu erti cinta (ya ke aku dah tahu erti cinta?), sekarang aku meraba-raba pula nak tahu erti sebenar BAHAGIA. Orang kata cinta tu membahagiakan. Kata oranglah… bukan kata aku. Aku kata, kalau bahagia memanjang tu bukan cinta. Tu gila namanya. Tak waras. Sewel. Biul. Sebab tu tempat tinggal yang layak dipanggil hospital bahagia. Tak gitu?

Jadi apa dia BAHAGIA ni sebenarnya? Semua orang cari bahagia, kan? Tapi tak semua orang jumpa. Sesetengahnya pula dah nampak bahagia depan mata tapi tangan tak tergapai. Sesetengahnya pula — dan ni memang kes kronik paling bangang — bahagia tu dah memang depan mata. Menunggu masa untuk digapai, dipegang dan dipelihara baik-baik, tapi punyalah buta perut dan buta hati, boleh tak nampak bahagia yang tercongok depan mata tu! Adoi laaa… Bodohnya… Dan apalah nasib… Aku adalah salah sorang yang bongok sedemikian…

Tak cukup ke Lina melayan aku lebih istimewa daripada dia melayan orang lain? Tak cukup ke Lina begitu mahu dan hendak menyentuh dan menggenggam tangan aku? Tak cukup ke Lina sudi mendakap dan memeluk erat tubuh aku? Dan tak cukup ke Lina sedemikian rela dan ada kalanya berkehendak mencium dan menikmati kemanisan bibir kami bertaut? Tak cukup ke Dzam…?

Bodoh dan tamak rupa-rupanya aku. Yalah… pertama kali kenal cinta. Macam Red Indian zaman Presiden Abraham Lincoln diberi Ferrari. Umpama monyet diberi nasi kerabu. Sebegitu tamaknya aku hingga aku sanggup menurut dengan patuh segala perintah syaitan ketika tu. Bodoh! Bangsat! Aku lupa ke yang aku ni lelaki? Lelakilah bahlul! Lelaki yang sepatutnya memimpin wanita ke arah yang mulia. Ke jalan yang lurus. Ke jalan yang benar. Bodoh bahlul! Lelaki spesies apa yang berbuat sebaliknya?

Dan hari tu ialah harinya di mana syaitan bersorak kemenangan sambil pasang bunga api dan potong kek buat party buat kali yang entah ke berapa. Secara rasminya aku bertanggungjawab menjadi ejen syaitan dalam menyesatkan diri sendiri dan orang yang paling, paling, paling amat aku kasih dan cinta ketika tu — Lina… Kalau perahu yang terlajak, memang boleh diundurkan. Kalau kata yang terlanjur, sekurang-kurangnya maaf masih boleh dipinta. Kalau nafsu yang bertakhta, alamat kecundanglah iman. Terjerumuslah bersama iblis dan syaitan ke neraka… Ya Tuhan… sungguh aku teramat jahil… Moga Kau ampuni segala dosa-dosa aku yang teramat hina lagi keji… Hina dan keji teramat…

Hari tu melakar sejarah hitam. Sesungguhnya aku tak ingat macam mana boleh jadi macam tu. Sumpah aku tak ingat. Yang aku ingat, ialah prosesnya bukan sekali. Bukan dua kali. Berkali-kali. Berkali-kali aku mencuba di lokasi merata-rata dalam kota raya metropolisetan Kuala Lumpur ni. Berkali-kali di segenap ceruk dan jalan di mana tersergam bangunan yang membenarkan kami menghuni. Yang favourite dah tentu betul-betul di pusat bas ekspres tersohor ketika tu. Menghabiskan masa berdua (dan tambah seekor lagi makhluk durjana yang tak kelihatan) dengan sebegitu intim antara kami berdua hingga tiada hijab lagi di penglihatan mata kami antara aku dan dia. Tapi ke semuanya tu sekadar cubaan yang tak berjaya disebabkan masih ada saki baki perasaan tulus dan ikhlas atas nama kasih dan cinta aku kepada dia Lina. Perasaan yang masih utuh teguh membenamkan kehendak syahwat yang mengasak naluri aku bertalu-talu umpama kompang yang dipukul tatkala mengarak pengantin ke pelamin. Berkali-kali cubaan tu berjaya aku bendung dengan kekuatan hati yang menepis kekecewaan digantikan dengan kasih sayang teramat kepada Lina yang terus tersenyum di sisi.

Namun akhirnya, alang-alang menyeluk pekasam, terseluk juga sampai ke dalam. Akhirnya aku jadi seorang peragut yang paling hina dalam dunia. Peragut yang paling bangsat. Aku tak peduli kalau pun diberikan alasan bahawa Lina sendiri yang sama menyerahkannya dengan penuh kerelaan tanpa paksaan. Persetan dengan alasan tu! Bukankah kehendak Lina yang merelakan tu sendiri menunjukkan bahawa aku seorang lelaki yang paling amat tidak bertanggungjawab? Hendak bersuluh apa lagi dalam terang-benderang?

Dan yang aku ingat ialah — setelah berkali-kali dalam cubaan sesama rela merelakan — ia akhirnya berlaku di Kuantan. Pada hari Lina kembali ke MRSM untuk mengambil skrol SPM. Berbondong-bondong mantan pelajar MRSM Kuantan kembali ke alma mater mereka. Di antaranya menginap di hotel yang pada masa tu bernama River View Hotel. Aku rasa nama tu dah berubah sekarang. Sama sekali tu bukan kenangan manis bagi aku. Sama sekali bukan. Dan pengalaman di lokasi lain sebelum tu? Definitely satu sejarah hitam yang aku tak pernah sangka terlakar juga dalam lembaran riwayat hidup yang tak mungkin boleh dipadamkan walau dengan setangki Liquid Paper sekalipun!

Masa tak boleh diundurkan. Sejarah tak boleh diubah. Kalau boleh, akan aku undurkan masa dan akan aku ubah semua kejadian agar kita tak pernah ketemu. Akan aku ubah agar kita tak pernah kenal. Akan kembali ke zaman Intensive English IELTS dan menghalang diri aku daripada mengurat kau masa tu. Barangkali akan aku undurkan masa ke zaman SPM dan menggagalkan diri aku supaya aku tak perlu pijak pun premis Taman Shamelin tu! Sungguh akan aku buat!

Mujurlah Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang, dan insan tak boleh berputus asa mengharapkan keampunanNya… Ampunilah aku ya Tuhan… Ampunilah… Ampunilah… Segala puji-pujian bagiMu yang menjadikan dosa sesuatu yang diletakkan di bawah kuasa mutlakMu. Darah Lina yang mengalir pada malam tu adalah darah pekat yang membuak-buak daripada luka hati aku sendiri sebenarnya…

Lina… Lina yang comel dan tak berdosa… maafkan Dzam… maafkan Dzam dunia dan akhirat setulusnya…

19 – Lina Bukan Satu-Satunya

SETELAH apa yang Lina berikan kepada aku — kasih, cinta, layanan, masa dan keutamaannya — dan setelah apa yang Lina korbankan untuk aku — air mata, derita, jiwa dan raganya — aku membalas dengan layanan yang hanya layak diberikan kepada lanun-lanun Somalia termasuk lanun-lanun cetak rompak serta penyangak-penyangak kategori jerung yang duduk di tampuk kuasa. Rupa-rupanya masa tu, walaupun aku sekadar rabun, tapi hakikatnya aku buta — buta perut, buta hati, buta perasaan. Aku gagal nampak seketul permata berlian yang begitu kemilau sinarnya. Barangkali kerana begitu amat kemilau sinarnya memancar untuk aku tu lah, maka pandangan hati aku jadi silau sampai tak nampak sumber sinaran yang amat berharga tu.

Aku gagal menjaga Lina H dengan baik. Aku gagal melayan dia seperti menatang minyak yang penuh. Aku gagal jadikan dia puteri jelita yang bertakhta dalam hati. Dengan erti kata lain, aku bodoh teramat. Maklumlah… orang baru pertama kali bercinta. Macam budak baru lahir diberi hadiah handphone. Dibelek-beleknya, dipicit-picit, ditekan-tekan, dijilat-jilat, masuk ke mulut, dicampak-campak, dihempas-hempas, bla bla bla… tapi tak reti langsung nak gunakan dengan betul, apatah lagi nak menjaganya. Tak tahu punat yang ni guna untuk apa, yang tu untuk apa, tekan ikut suka.

Tapi Lina H begitu amat setia. Dua tahun di A-Level dan dia masih bertahan dengan perangai dan kerenah aku yang macam makhluk peribumi Planet of the Apes terhadap dia. Tu pun aku masih tak nampak. Bongok punya jantan…! Sungguh amat tak terkata bangangnya beta. Melayan Lina seolah-olah dia tak ada harga walaupun dalam hati aku ni penuh sepenuh-penuhnya dengan cinta dan kasih terhadap dia. Tapi tu bukanlah perkara paling buruk yang aku pernah buat pada Lina yang begitu amat lembut lagi setia (rasa-rasanya dia setialah). Ada lagi perbuatan aku terhadap dia yang jauh lebih teruk daripada tu.

Bila A-Level tamat, kami bercuti panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan dari UK. Bukan Ubi Kayu atau Ubi Keledek. Maka kami masing-masing balik kampung. Lina dan aku terpisah. Rindu? Memang teramat. Rindukan ayu wajahnya, lunak suaranya, manis senyumannya, lembut sentuhannya, manja layanannya, hangat dakapannya, basah ciuman dan berahi kucupannya. Rindukan seluruh tubuh dan jiwanya, setiap inci, dari hujung rambut ke hujung kaki termasuk aroma tubuh badannya sehinggalah ke seluruh jiwanya. Hati aku rasa kosong dan sepi teramat. Tak pernah rasa sebegini sebelum ni. Kosong sekosong-kosongnya. Sepi dan sunyi sampai kadang-kadang aku boleh menangis bila teringat pada Lina. Masa tu dahlah tak ada henpon atau e-mel.

Nak mengisi masa supaya aku tak mampus kerinduan, maka aku cari kerja part time. Sekali lagi aku dapat kerja atas kereta api (macam tau-tau aja aku memang minat banget pada kenderaan beroda besi atas landasan besi ni kan? Kan?) Macam semasa SPM dulu gak, aku kerja dalam buffet coach. Dan di sinilah bermulanya kekejaman satu bangsa yang sombong dan hina.. Eh? Tu lirik lagu Allahyarham Zubir Ali. Di sinilah semakin gampangnya aku terhadap Lina. Sebagai staf buffet Ekspres Rakyat, aku bekerja dalam satu team. Ada tujuh orang dalam team tu — 3 balak dan 4 awek. Tren aku ialah Butterworth-Singapura-Butterworth, tapi team buffet dibahagi dua dan aku dalam team KL-Singapura-KL.

Tapi jarang-jarang banget aku ikut tren terus ke Singapura. Biasanya cuma Low dengan Wan je yang terus ke Singapura. Kami yang lain — 4 awek campur aku sorang jantan — akan turun di stesen JB dan menginap di lodging yang kompeni sediakan di Jalan Ah Fook. Dan seperti biasa, zaman tu, kereta api memang biasanya ikut jadual… ikut dari belakanglah. Kami biasanya sampai JB dah lewat senja. Esok jam 7:30 pagi lebih kurang kena naik tren yang sama dari Singapura ke KL balik.

Tapi salah sorang daripada 3 awek tu pula orang Taman Pelangi JB. Jadi dia tak menginap kat lodging tu. Dia balik rumah, dan oleh kerana sorang lagi awek dalam team tu sahabat baik dia, awek tu akan ikut balik rumah dia. Maka yang tinggal? Aku bersama 2 lagi awek — Lala dan Wani. Normally bila kami pergi makan malam, kami akan bersama team Ekspres Sinaran yang baru sampai. Adalah dalam dua tiga orang jantan campur dua tiga orang awek lagi. Tapi ahli forum tetap ialah Lala dan Wani.

Masalahnya ialah, Lala ni ialah sejenis spesies yang istilah zaman kini disebut ‘penkid’. Dia ada gefren. Gefren dia dari team mana entah aku tak tau tapi dia orang biasanya bertemu di KL. Jadi aku agak gefren dia mesti dari team Ekspres Rakyat atau Ekspres Sinaran yang berlawanan arah dengan team kami di JB ni. Apa dia orang buat setiap kali bertemu? Well, tu dia orang punya pasal, tapi yang aku tak tahan sangat tu ialah setiap kali naik tren dari KL, pasti, pasti, pasti ada lovebite bertepek-tepek kat leher Lala ni. Adoi laaa… sungguh mencabar kejantanan aku setiap kali aku cuba imagine apa yang dia buat pada gefren dia sampai gefren dia sanggup bagi tepek-tepek tu kat leher dia. Sekali-sekala akan terlihat gak beberapa tepek-tepek yang sama atas buah dada Lala bila dia membongkok nak mengangkat pek tin minuman naik ke atas tren (sebab uniform Lala ialah kemeja putih yang agak terlalu besar bagi saiz tubuh dia dan skirt biru). Aku pun pernah beberapa kali gak dapat tepek-tepek macam tu daripada Lina bila Lina terlupa diri seketika semasa kita orang… errr… Jaya Jusco… ehem! Tapi biasanya, walaupun tak selalunya, aku sempat juga mengelak ke sana sini bila terasa bibir Lina yang basah tu menyudu mencari batang leher aku bila dia dah khayal banget. Kena mengelak dari bertepek sebab malas nak bersoal jawab dengan rakan sebilik dan geng tabligh nanti.

Dan yang aku geram tu ialah Lala ni, walaupun penkid, tapi aku agak dia belum sempurna sebagai penkid yang sepenuhnya dari segi bentuk tubuh badan, sebab, lekuk-lekuk dan lurah-lurah di tubuhnya tu masih boleh kelihatan. Dan wajah dia pula… ohhh… wajah dia masih perempuan! Sekali pandang pun tahu dia perempuan. Bukan sekadar perempuan, beb. Perempuan yang kalau jiwa dalam diri dia tu terima hakikat fitrah kejadian diri dia sebagai perempuan, Lala sebenarnya seorang perempuan yang cun jelita! Percayalah cakap aku sebab aku lelaki. Tak percaya aku ni lelaki? Nak bukti? Dan Lala, kerana teramat sanat nak jadi lelaki agaknya, bila off-duty dia akan pakai short dan t-shirt aje. Maka ternampaklah bahagian tubuh wanitanya yang betul-betul kelemahan aku yang paling maksimum — paha dia. Putih! Dan bila kami duduk kat warung tepi Sungai Segget, Lala akan beraksi macam jantan, tapi sebenarnya lebih melampau daripada jantan. Dia akan duduk bersandar dengan kedua-dua kakinya atas kerusi dengan kedua-dua lututnya memangku kedua-dua sikunya. Maka short dia yang memang sedia mendedahkan paha tu, dalam keadaan sedemikian, akan lurut ke bawah lagi untuk mendedahkan pangkal paha dia pula! Kekadang boleh nampak jelas warna dan corak spentot yang dia pakai! Adoi laaa… sungguh betapa terseksanya batin syahwat jantan aku setiap kali keluar makan malam bersama dia dan Wani! Adeh…! Adeh…! Down boy! Down!

Wani pula ialah satu spesies yang sama dengan Lala, tapi berlainan kategori — Wani ialah lezbo. Tapi tu kata dialah. Aku belum pernah nampak sebarang tanda mahupun bukti tentang hal tu. Malah aku ragu-ragu sangat bila dia kata dia lezbo. Sebab? Sebab telah berlaku satu peristiwa pada satu malam cuti umum (kalau tak silap aku cuti Gong Xi Fa Cai) di mana kami semua diberi 1 hari off day. Malangnya off day tu jatuh pada ketika aku tiba ke JB. Jadi aku terpaksa habiskan masa di sana. Low dan Wan? Dia orang dua ekor nak bercuti di Singapura, jadi macam biasa tinggallah aku dengan Wani dan Lala.

Kerana esok cuti, malam tu lepas dinner kami jalan-jalan kat Teberau. Kami duduk atas palang menghadap Selat Teberau dan merenung Singapura kat sana. Aku masih ingat dengan jelas — Wani sebelah kanan dan Lala sebelah kiri, mengapit aku di tengah-tengah… Rapat macam menghimpit pula tu! Perghhh…! Stim? Memanglah! Tu pun nak tanya?

“Kenapa kau orang tak ghairah dengan lelaki ek?” aku tanya dia orang malam tu sambil mata aku paling kerap legat menjeling ke arah paha Lala yang terdedah. Tapi sebagai seorang yang pendiam tak banyak cakap, Lala tak balas apa-apa. Dia buat selamba sambil sedut dan hembus asap rokok dia yang dia pau daripada aku.

“Tak taulah,” Wani yang jasadnya memang perempuan tu yang jawab. Wani berkulit gelap tapi manis. Rambut dia separas bahu dan ikal di hujung. Muka dia taklah jelita tapi dia comel sangat. Sangat, sangat comel! Aku berani bertaruh lelaki yang terpandang akan rasa macam nak gigit-gigit pipi dia. “Aku rasa perempuan lebih lembut. Lelaki ni gopoh. Tak best. Tapi dengan perempuan… macam mana nak cakap… bestlah! Tak gopoh… lembut… saling faham.”

“Kau pernah try dengan lelaki ke?” aku uji dia.

“Tak pernah,” dia geleng kepala.

“Tu lah pasal!” tetiba aku jadi bersemangat, lebih-lebih lagi bila aku jeling paha Lala sekali lagi. “Kau belum try dengan lelaki, tak adillah kau buat judgment yang lelaki tak best.” Ewah! Macam bagus aje lagak aku masa tu. “Kenapa kau tak pernah buat dengan lelaki?”

“Dengan siapa? Bukannya aku ada boyfriend.”

Tu dia! Tu lah dia! Adakah tu queue yang menjelma sebagai peluang keemasan untuk aku ambil kesempatan? Adakah sebab Lina tak ada di sisi maka aku telah kembali kepada perangai aku yang… errr… ‘normal’ sebelum aku bercinta dengan Lina? Aku akan jadi lelaki yang mengurat dan ambil kesempatan ke atas awek lagi ke?

“Carilah boyfriend,” aku balas. Ada niat nak masuk jarum ke? Well… sebenarnya tak ada niat nak masuk jarum. Niat aku kalau boleh nak masuk paku! Lepas tu masukkan apa-apa yang patut ke mana-mana yang patut kat dia! Dah lama tahan rindu pada Lina ni kan? Kan? Kan?

“Tak ada siapa yang nak kat orang macam aku ni, Dzam,” dia kata.

Tu dia lagi! Dah tu? Tunggu apa lagi sebenarnya?

“Dah cuba tanya aku?” aku kata sambil tersengih.

Dia tersentak sikit. Dia pandang aku legat. Tapi sebab suasana tak berapa terang dengan cahaya lampu jalan yang agak jauh sikit daripada kami aku tak dapat kenal pasti riak wajah dia tu menggambarkan perasaan apa.

“Kau mahu ke aku ni?” dia tanya.

Hmmm… Dan malam tu, serta malam-malam selanjutnya, Wani berubah menjadi seorang wanita sejati. Dan Lina… Lina bukanlah satu-satunya…

20 – Gadis Yang Satu Ini Bukan Lina

SEBENARNYA tak minat pun nak bercumbu-cumbu dengan Wani sebab rambut dia tak lurus dan dia tak banyak bulu roma. Tapi sebab dia comel dan cute serta kecil molek (yakni ciri-ciri lain menepati senarai cita rasa), maka bolehlah. Apa dia ciri-ciri perempuan yang memenuhi cita rasa aku sebenarnya ek? Hmmm… ya tak ya…

Rambut mesti lurus macam rambut Cina. Muka mesti ala-ala Cina tapi ni bukan keutamaan. Keutamaannya ialah muka mesti cute dan comel gitu. But then again, awek Cina memang bermuka comel pun, kan? Kan? Kulit muka mesti licin — jerawat agak kurang menarik minat aku. Warna kulit tak jadi hal — cerah ke, gelap ke, doesn’t matter. Bulu roma… haaa… Ni penting! Kalau boleh bulu roma mesti ada. Bukanlah bulu roma macam jantan yang lebat apatah lagi kerinting tu. Tu nak buat apa! Bulu roma aku pun tak macam tu! Aku nak yang bulu romanya kelihatan, halus, panjang dan lurus di atas lengan, dan halus jarang-jarang di paha dan betis. Paha dan betis serta lengan yang licin-licau tu kurang menarik minat aku. Tak tau kenapa. Kalau dia ada sikit-sikit bulu roma antara bibir atas dan hidung lagi best! Bukan misai tau! Bulu roma.

Bentuk kaki mesti lurus — yang betis kembung macam guni beras, dan paha yang lebih besar daripada paha aku agak memotong tahap stim aku. Kalau boleh yang kakinya lurus dan selari dari pangkal paha sampai ke ibu jari kaki. Saiz badan mesti kecil molek dengan ketinggian puncak kepalanya tak melebihi daripada paras mata aku. Saiz payu dara tak masuk dalam senarai — besar ke, kecil ke, kecut ke — yang penting mesti ada tersembul di dada dan proportionate dengan saiz badan. Tapi kalau leper macam dada jantan definitely ditendang keluar daripada senarai cita rasa beta. Leher tak perlu jenjang asalkan ada leher — sebatang, sebab aku memang suka banget mencium leher dan tengkuk. Kalau ada bulu roma halus kat tengkuk tu lagi aku minat banget!

Dan bentuk tubuh badan tak perlu macam kerengga. Kalau macam kerengga aku tak minat. Yang aku mahu ialah mesti ada lekuk kat pinggang sikit. Tak mahu berisi, tak mahu tulang sangat. sedap-sedap aje.

Melampau sungguh aku buat deskriptif cita rasa peribadi kat sini kan? Kan? Peduli apa aku. Kalau kau orang sanggup baca, bacalah. Kalau tak mahu, skip ajelah.

So far, sepanjang yang aku tahu sejak aku mula kenal keindahan seorang gadis, ciri-ciri yang macam di atas tu lah yang aku minat banget. Aku amat percaya pada cita rasa aku tu sehinggalah aku mula kerja sambilan sementara menunggu keputusan A-Level ni. Bukan sebab Wani. Bukan juga sebab Lala. Tapi sebab satu orang awek rakan sejawatan dalam kereta api yang sama tapi team yang berbeza. Dia berada dalam team Butterworth-KL-Butterworth sedangkan aku dalam team KL-Singapura-KL dalam tren yang sama. Bererti bila kereta api Ekspres Rakyat tu tiba di stesen KL dari Butterworth tengah hari tu, team awek tu akan turun dan team aku akan naik. Semasa di KL, inventori stok akan dibuat. Stok dari Butterworth akan dibawa turun, manakala stok baru dari KL akan dibawa naik. Semasa proses angkut turun naik stok ni lah aku sering ternampak awek tu.

Orangnya manis sangat. Tersangat manis wajahnya sehingga kalau dia dalam keadaan serius pun nampak manis. Apatah lagi kalau dia tersenyum. Oh… tak pernah gagal senyumannya bisa menghentikan degupan jantung aku! Kenapa ya…? Adakah dia menepati ciri-ciri cita rasa gadis idaman aku? Rambutnya masa tu ikal dan sering diikat menjuntaikan ekor kuda di belakang kepalanya. Aku tak nampak kalau-kalau dia ada bulu roma halus di lengan sebab uniform dia berlengan panjang, tak macam uniform Lala. Skirtnya yang labuh sampai ke bawah lutut tak membolehkan aku memeriksa bentuk paha dia tapi aku minat teramat pada bentuk betis dia. Dan wajah dia.. Wallaweh…! Ada sesuatu pada wajah dia yang buat seluruh tubuh badan aku bergetar hebat! Bergetar kuat! Kenapa ni? Kenapa? Timkai…?

Setiap kali aku naik dan turun tren di KL, aku akan tercari-cari gadis tu. Melilau membelingas mata aku sebab hanya masa tu sajalah aku dapat pandang dan lihat dia. Bila aku turun, dia naik. Bila aku naik, dia turun. Dan tak pernah sekali pun gadis ni gagal membuatkan hati aku berdebar-debar setiap kali terpandang dia. Tak pernah sekali pun dia gagal buat perasaan aku mengembang macam nak pecah meletup melihat gerak-geri dia. Tak pernah sekali pun dia gagal buat aku rasa diri aku ni sebegitu amat kecil dan inferior bila dia ada berdekatan. Kenapa ni???

Aku selalu nampak dia tersenyum bila berbicara dengan rakan-rakan sekerja dia. Sungguh manis amat senyuman dia! Manis amat! Dia tak tersenyum pun masih manis sungguh! Siapa gerangan gadis ni? Siapa namanya? Dan kenapa aku tetiba jadi macam bangang sangat dengan si gadis ni? Sumpah kalau dengan awek lain yang aku pandang penuh minat, dalam seminit dua pasti aku dah sapa dan tegur dan kompem aku dah boleh tahu nama. Aku takkan rasa inferior. Aku takkan rasa segan. Aku takkan rasa takut. Hati takkan berdebar-debar. Jantung takkan berhenti berdegup. Dan lidah ni tak mungkin akan hilang kata-kata. Bicara aku mesti keluar laju aje. Tapi kenapa dengan gadis yang satu ni sungguh lain amat emosi dan perasaan aku ni? Kenapa aku tak boleh jadi romeo macam dengan awek lain bila dengan gadis yang satu ni? Bukannya aku kenal dia pun. Bukannya aku pernah bersembang bicara dengan dia pun. Dan sungguh fenomena macam ni hanya pernah terjadi sekali saja — semasa dengan Lina W dulu. Dengan Lina H pun aku tak macam ni. Tapi kenapa dengan dia ni…? Isy… Dah sakit mental ke aku?

Dia sama sekali tak macam Lina W baik dari segi rupa, potongan badan mahupun personaliti dan gerak-geri. Dan sama sekali jauh panggang dari api bila dibandingkan dengan Lina H pula. Gadis yang satu ni lain sangat. Dia ada personaliti tersendiri. Dia ada perawakan tersendiri. Dan sama sekali wajah dan tubuhnya tak boleh dibandingkan dengan Lina W atau Lina H. Dan kesemuanya tentang dia tu buat aku tak keruan! Kenapa ni?

Aku check dan verify semula semua tentang gadis yang satu ni dengan senarai cita rasa aku — tak ada yang kena pun kecuali ketinggian dia. Dia memang tinggi separas mata aku. Tu aja. Selain daripada tu semua tak kena target. Tapi kenapa aku tetiba jadi bodoh bila dia ada? Aku jadi bangang bila terpandang dia? Ke mana hilangnya sifat ramah dan ringan mulut aku bila aku nak mengurat awek-awek lain selama ni? Gadis yang satu ni ada bela hantu ke?

Sesungguhnya memang aku teramat-amat ingin nak berkenalan dan berbicara dengan gadis yang satu ni tapi entah kenapa skil aku tetiba hilang lesap berdesur entah ke mana. Apa pasal ni? Banyak kali kaki aku nak melangkah menghampiri dia tapi macam ada gam cap gajah mammoth pula yang melekatkan tapak sepatu aku ni ke lantai platform stesen kereta api tu. Beberapa kali juga aku dan dia saling berselisih sebelah menyebelah sampai hampir tersentuh lengan dan bahu semasa kami turun dan naik tren bila bertukar syif di stesen KL tapi mulut aku tak boleh nak keluarkan sebarang kata-kata. Aku memang betul-betul jadi bodoh. Aku betul-betul dikembalikan ke zaman sekolah dulu dan melalui pengalaman yang sama dengan Lina W dulu.

Dan sepanjang aku bekerja entah berapa bulan turun naik kereta api tu, ada hari-harinya aku tak nampak dia. Dia tiba-tiba tak ada. Aku agak dia bercuti. Dan entah kenapa pada hari-hari di mana aku tak dapat melihat dia, sepanjang hari tu aku akan rasa sedih dan murung. Macam orang hilang burung. Macam orang putus cinta. Apa pasal ni?

Dan ada hari-harinya aku nampak dia di stesen kereta api KL tu tapi tanpa uniform. Dia berpakaian biasa. Barangkali hari dia bercuti. Dan dia lebih menawan dan memikat dalam pakaian sedemikian. Getar hati aku berganda bila terlihat dia. Kehendak jiwa meruntun-runtun mendesak kaki melangkah menghampiri dia dan memberi sapaan sebagai langkah mula. Kalau dia tu awek lain yang entah dari ceruk mana, memang aku takkan ada masalah nak berbuat demikian. Tapi dengan gadis yang satu ni serba-serbi aku tak boleh buat. Nak melangkahkan kaki menghampiri dia pun tak boleh. Apatah lagi nak bertegur sapa! Apa dah jadi dengan aku ni??? Kenapa ni…??? Kenapa gadis yang satu ni memberi aku penangan yang begitu amat kuat seolah-olah seperti penangan Lina W suatu masa dulu? Tapi gadis yang satu ni penangannya jauh lebih serius! Lebih serius sebab semasa dengan Lina W dulu, aku memang langsung tak ada pengalaman walau setitis pun berinteraksi sebegitu berani dengan awek. Sedangkan dengan gadis yang satu ni, dalam usia aku yang baru lepas A-Level, ditambah dengan pengalaman beramah mesra tanpa segan-silu mahupun takut-takut dengan awek-awek yang aku tak kenal pun, aku masih tak dapat memberanikan diri untuk menghampiri dan menegur gadis yang satu ni. Apa ke jadahnya ni…???

Tapi gadis yang satu ni bukan Lina W. Tak ada ciri-ciri Lina W pada dia. Tak ada sifat dari segi rupa dan perawakan pun. Kenapa ni? Siapa gadis yang satu ni? Siapa kau wahai gadis yang satu…? Sudahkah kau berpunya…?

21 – Ada Jarak Antara Kita

GADIS yang satu ini betul-betul buat aku rasa tak keruan! Siapa dia? Yang aku tau cuma nama dia aje daripada tanda nama atas uniform dia tu. Patut ke aku tanya pada kengkawan dia tentang diri dia? Patut ke? Tapi siapa ya? Aku nak tanya siapa? Bukannya aku kenal kengkawan dia dari team dia tu. Tapi… ada ke sesiapa dari dalam team aku yang kenal gadis yang satu ni? Dila? Lala? Wani? Siapa entah nama sorang lagi awek tu?

Tapi hari tu aku dapat bukan saja peluang keemasan, malah peluang ‘keberlianan’! Gadis yang satu ni akan bercuti esok hari dan dia bercadang nak ke Seremban sejurus habis syif dia. Maknanya dia tak turun di KL hari tu. Dia akan terus ikut tren tu ke Seremban. Bererti dia akan berada dalam tren yang sama dengan aku sehingga Seremban! Ni memang peluang aku!

Untuk cari alasan naik kereta api free, kami akan buat-buat konon macam on duty atas kereta api tu hingga sampai destinasi. Maka gadis yang satu ni pun buat benda yang sama. Dia berdiri tercongok kat dining buffet coach. Aku tak lepas peluang ambil tempat di meja yang paling strategik untuk dapat pandang, lihat dan tenung dia sepuas-puasnya! Tapi kenapa aku berdebar-debar ni? Kalau nak mengurat awek lain pun tak rasa macam ni. Tak rasa apa-apa pun selama ni. Tapi dengan gadis yang satu ni… isy… Lain macamlah pula emosi aku ni. Kenapa ya?

Dan niat aku kononnya sambil-sambil makan tu nak sembang-sembang atau main mata dengan dia tak menjadi! Pulut kuning asam masin betul! Dia ni memang bela hantu ke haper? Ada pendinding ke? Atau dia dah ada balak dan balak dia yang pasang pagar keliling dia supaya dia tak diganggu oleh makhluk seperti aku? Kalau betul dia ada balak dan balak dia pasang pagar macam tu, aku percaya. Sebabnya, kalaulah gadis yang satu ni awek aku, aku pun sanggup buat benda yang sama siot! Awek secomel dan semanis dan seayu dan seindah dia tak boleh dilepaskan sebegitu saja beb!

Yang terdaya aku buat masa tu hanyalah memandang dia. Sesekali mata kami bertentang juga. Bila pandangan mata berlaga, aku cuba sedaya upaya ukir senyuman pada dia. Dia balas. Manis senyumannya. Tapi dalam keadaan dia tak senyum pun, dia memang kekal manis! Apatah lagi kalau dia senyum. Dan gerak-geri dia… ohhh… Aku terpesona amat dengan gerak-geri dia. Personaliti dia memang unik dan tersendiri. Dia bukan Lina H. Dia bukan Lina W. Tak sama langsung antara dia orang berdua atau dengan mana-mana salah sorang. Gaya gadis yang satu ni amat tersendiri dan amat, amat, amat mempesonakan aku. Aku terlalu khayal memerhati pesonanya sampai aku tak sedar yang aku tak makan pun nasi goreng kat depan aku tu.

Tapi sebab aku kat atas tren tu bukan untuk makan semata-mata, apatah lagi mengurat semata-mata, aku terpaksa bergegas tinggalkan dining buffet coach tu sebab kena kerah buat CTC. CTC tu “coach-to-coach” — bawa bakul penuh berisi makanan dan minuman sambil berjalan ke semua gerabak kereta api dari depan sampai ke belakang dan kembali semula ke depan sambil jerit “Nasi lemak! Nasi goreng! Bihun! Canned drinks! Mineral water!” Kalau kau orang pernah naik kereta api mesti kau orang tau punya! Maka dengan susah hati dan sedih perasaan, pergilah aku terpekik terlolong bersama-sama Low dan Wan dari satu gerabak ke satu gerabak sambil membesarkan otot biseps dan triseps menjinjing dua bakul berat nak mampus tu. Sempat ke aku balik semula ke buffet coach sebelum Seremban ni? Sempat ke?

Tak sempat… Kereta api ni dah sampai dan berhenti kat Seremban masa aku baru sampai ke gerabak depan sekali. Aku bergegas ke pintu sampai macam nak berebut dengan penumpang yang naik dan turun kat stesen tu. Aku jenguk ke luar. Mata membelingas mencari gadis yang satu tu. Mana dia? Tu dia! Dari jauh nampak uniform merah biru. Sedang berjalan mengatur langkah penuh tersusun anggun sambil menggalas beg pakaian berjalan meninggalkan platform. Alahai… adoi laaa…

“Dia turun kat Seremban tadilah,” kata Dila bila aku tanya dia sejurus sampai semula ke buffet coach. “Kenapa tetiba kau sibuk nak tau pasal budak tu?”

“Berkenan,” aku jawab jujur dan ikhlas.

“Ya ke?” dan Dila tergelak-gelak. “Kenapa kau tak tegur aje dia tadi masa dia ada kat sini tadi? Sekarang dia dah turun baru kau sibuk. Dia cuti tu. Katanya nak pergi rumah kakak dia kat Seremban. Betul ke kau berkenan kat dia? Manis kan orangnya? Muka dia cantik sangat.”

Kalau Dila — seorang perempuan — pun kata dia cantik, apatah lagi aku sebagai jantan ni, kan? Kan? Kan?

“Kalau kau berkenan, kau kena rebut, Dzam,” sambung Dila dan tetiba jantung aku berhenti.

“Kenapa?”

“Dia tengah hangat bercinta dengan TC.”

Ah…! TC. TC ialah Ticket Checker atau Ticket Conductor — satu jawatan dalam KTM yang mesti ada dalam setiap kereta api penumpang tu. Zaman tu uniform TC ni yang rupanya macam inspektor polis pakai songkok askar tu. Gadis yang satu ni dah steady dengan TC ke? TC yang mana ek? Alhamdulillah, gadis yang satu ni bukan spesies Lala. Tapi… alahai… melepas… terlepas… mambang idaman dah kena kebas… Kemanisan wajah gadis yang satu ni sudah dimiliki oleh makhluk TC tu, whoever he is. Nak berebut dengan TC tu? Memang aku sanggup! Tapi… ada satu masalah — aku kat situ sekadar kerja sambilan sementara menunggu result A-Level keluar. Bila result dah keluar nanti aku blah. Kalau lulus aku terpaksa sambung ke NCUK sebelum berangkat ke UK. Mana ada masa dan peluang nak berebut gadis yang satu tu dengan TC? Mana ada harapan dan peluang kalau macam ni? Patut aku lupakan saja gadis yang satu ni? Secara logiknya, itulah yang aku patut buat, kan? Kan?

Tapi tak berupaya. Selagi aku bekerja di situ, selagi tu aku sentiasa perhati gadis yang satu ni dari jauh. Bila tren dari Butterworth tiba, aku akan berada di dalam tren sambil perhatikan dia beredar dari platform. Bila tren aku tiba ke KL, aku akan berada di platform sambil perhatikan tren dia bergerak meninggalkan stesen KL untuk ke Butterworth. Boleh gila bayang dan gila bangau aku macam ni! Aku mesti keluar daripada dunia di mana aku dapat lihat (dan kadang-kadang dengar) gadis yang satu ni setiap hari!

Lantas bila keputusan A-Level keluar, aku berhenti daripada kerja sambilan tu. Sebenarnya aku rasa sedih teramat sangat. Sedih bukan sebab tinggalkan member-member kerja satu team, tapi sebab aku tahu yang aku tak dapat lagi tatap manisnya wajah gadis yang satu tu. Wajah yang tak pernah gagal menghilangkan runsing dan murung emosi aku atas macam-macam sebab lain, sebab diganti dengan kerunsingan mengenangkan diri dia pula. Tapi tak apalah…

Aku dapat sambung belajar ke luar negara tapi masa tu — hasil dari idea yang muncul dari kepala otak orang yang sama yang mengusulkan kursus nikah sebelum menikah — kami semua kena belajar orientasi diri kat Malaysia dulu (macamlah akan ada sebarang perubahan signifikan pada diri bila dah lalui tu semua… bodoh betul…). Aku tak berapa ingat bila kita orang semua masuk ke NCUK di seksyen 6 Shah Alam tu. Kat situ semuanya bebudak law, architecture dan engineering, kalau tak silap aku. Bebudak course lain semua ke MCHE di Seremban — yang dulunya merupakan MRSM aku yang masa tu dah tak jadi MRSM lagi dah. Dah expired.

Dan kat situ Lina dan aku kembali bersama. Terubatlah sudah rindu dendam kesumat syahwat terhadap dia selama bercuti tu. Rindu…? Well… yes… memang rindulah… Dan di NCUK ni kehidupan kita orang semua jauh lebih baik — asrama kami ialah satu blok apartmen empat tingkat. Blok akademik pun selesa banget. Tempat makan dekat. Pasar ikan pun dekat, walaupun kita orang tak perlu sangat pasar tu. Tapi kat pasar tu ada pasar malam dua kali seminggu. Taman Tasik Shah Alam dan Kompleks PKNS pun tak jauh sangat. Bus stop pun depan asrama aje — senang nak ke Puduraya bebila perlu dan bebila biasiswa dah masuk. Dan kat NCUK ni kami bertemu angkatan penuntut lain juga yang bukan dari kolej kita orang di asrama microwave A-Level dulu. Kami juga terpecah dua — sebahagian kat PPP seksyen 6 ni, dan sebahagian katanya kat KPP seksyen 17.

Tapi kat NCUK ni aku dapat rasakan satu kelainan antara Lina dengan aku. Aku dapat rasakan kemesraan yang yang semakin kurang antara kami berdua. Kami lebih jarang berjumpa. Lebih jarang keluar bersama. Lebih jarang… errr… ke “Hankyu” untuk “Jaya Jusco”. Aku pun tak tau sebab musababnya. Rasa sayang dan cinta aku pada dia dan vice versa dah kurang ke? Entahlah. Atau aku yang menggatal dok berminat pada awek-awek baru yang ada sama di PPP tu? Ada sorang budak law yang namanya tak bunyi ‘LINA’ langsung. Dia bukan budak MARA sebab dia bukan datang dari kolej microwave kami di Taman Shamelin dulu. Dia budak JPA yang buat A-Level di mana entah agaknya. Berambut lurus tapi panjangnya melepasi bahu. Tubuh badan dia langsing dan menepati bentuk cita rasa aku. Tak perasan pula tentang bulu romanya sebab dia ni spesies Lone Ranger — semasa lecture dia akan duduk sendirian di barisan paling depan dan paling hujung sebelah kiri. Dekat dengan pintu supaya senang nak keluar masuk pergi tandas kut? Tapi sepanjang kursus NCUK tu memang kat situlah tempat dia setiap kali lecture walau apa pun subjeknya. Kekadang aku rasa macam nak jadi kerusi kat hujung kiri depan tu. Aku mengharap dia masuk dalam grup tutorial aku tapi tak termakbul. Aku tak pernah (dan ni bukan exaggeration) nampak dia makan kat mana-mana gerai seberang pasar ikan seksyen 6 tu di mana kami semua makan; atau keluar tunggu bas kat bus stop depan asrama; atau di Taman Tasik Shah Alam beriadah mahupun bersiar-siar, atau mana-manalah tempat selain daripada dalam dewan kuliah semasa lecture. Makhluk spesies apa agaknya Awek Lone Ranger ni ek?

Dan Awek Lone Ranger ni bukan satu-satunya awek yang masuk dalam radar pemerhatian aku semasa di NCUK tu. Ada ramai lagi! Terutamanya bebudak law sebab kami sentiasa ada lecture setiap hari. Jadi aku dapat banyak peluang nak memerhati, menganalisis lantas menilai keindahan setiap sorang daripada mereka. Maklumlah awek-awek baru umpama kek yang fresh keluar dari ketuhar. Dah tentulah yang aku perhati, analisa dan nilai tu awek-awek yang bukan dari kolej microwave Taman Shamelin dulu. Yang tu semua dah kira expired laaa… aiyaaarrrkkk…!

Dan aku semakin rasa bahawa antara Lina dan aku semakin berjarak… semakin jauh… dari segi fizikal… dan juga perasaan… Semakin pudar… malap… Dan sebenarnya aku takut semuanya tentang Lina dan aku akan jadi kusam…

22 – Dewi Yang Bukan Lina

NCUK ni gapo dio? Entah… yang aku tau cuma NCUK tu penyingkatan ‘The Northern Consortium of the United Kingdom’. Apa benda tu semua kau orang cari sendirilah kat Wikipedia ke haper ke. Dalam zaman internet ni pun tak reti-reti nak cari maklumat sendiri ke? Cet…! Tapi yang aku boleh katakan tentang NCUK ialah bagi mana-mana penuntut yang baru masuk alam universiti, NCUK ialah fasa perubahan dalam kehidupan. NCUK ibarat tahun pertama alam universiti. NCUK ialah peringkat di mana seorang remaja melalui proses menjadi dewasa yang sempurna. NCUK ialah peringkat di mana akal fikiran mula mencari jalan menjadi dominan untuk mengatasi kehendak emosi. NCUK ialah peringkat di mana aku belajar apa erti rasional.

Lina dan aku masih lagi sepasang kekasih yang teramat intim semasa di situ. Kami masih sambut hari lahir masing-masing, Hari Valentine, hari Sabtu dan Ahad dan kekadang hari cuti umum bersama-sama secara yang sangat intim lagi memberahikan… ehem… Kami masih keluar dating. Masih sesekali makan bersama. Masih bergilir-gilir membelanjakan duit elaun bulanan biasiswa untuk ke ‘Hankyu’ dan ‘Jaya Jusco’. Buat apa yang orang lain buat dan juga apa yang orang lain tak buat. Biasanya petang-petang kami akan cari masa untuk berjalan-jalan sekitar seksyen 6 Shah Alam tu sambil kemas kini apa-apa info terbaru tentang kami berdua yang selalunya bertukar menjadi sesi kemas kini info tentang gosip kengkawan… eheks! Eloklah juga sebab dari situ aku dapat tau tentang balak (terbaru) kengkawan dia.

Kat NCUK aku kenal dengan kengkawan baru, dan tak kurang juga awek baru. Dan di NCUK juga aku berkawan baru dengan orang lama — student yang sekolej di asrama ketuhar A-Level dulu yang aku tak pernah kenal atau kenal dari jauh aje, kat NCUK ni dah jadi sahabat paling dekat — Garn, Kid, Shagul — dan sememangnya NCUK ialah peringkat aku lalui perubahan dalam hidup, belajar erti rasional, dan mula nak jadi dewasa sambil baru belajar nak berfikir sebab selama ni aku kompius antara berfikir dengan berdikir… eheks… Aku makin faham erti persahabatan. Dan… yang paling signifikan bagi aku masa tu ialah… aku rasa aku makin faham erti ‘percintaan’.

Mungkin sebab aku makin faham erti ‘percintaan’ maka aku dapat rasa satu kelainan dalam hubungan aku dengan Lina masa tu. Apa yang aku rasa ek?

Jarak. Yup… aku rasa macam ada jarak invisible antara Lina dan aku. Bukan jarak daripada bentuk fizikal sebab secara fizikal kami masih macam biasa — kalau tak takkan masih ke ‘Hankyu’ untuk aktiviti lazat ‘Jaya Jusco’, kan? Yang aku rasa berjarak ialah dari segi emosi. Dulu semasa di A-Level, aku rasa aku sayang habis pada Lina, di NCUK ni aku masih lagi rasa yang sama. Cuma… cuma… Hmmm… Apa ya? Entah. Sebenarnya aku tak tau apa dia yang aku rasa pada Lina masa tu. Aku tak reti nak describe pun. Bukannya sayang aku tu makin kurang, cuma aku rasa sayang aku pada dia tu macam tak kena. Ada yang tak kena. Ada yang macam tak betul. Tapi aku tak boleh nak pastikan apa dia yang tak betul tu.

Walaupun aku masih bercinta dengan Lina, pada masa yang sama aku masih terasa macam ada hati kat awek lain — awek Lone Ranger, Mariza, Fa, dan… Tan. Tan ialah seorang amoy. Cina. Comel banget! Muka dia macam aktres Korea. Body dia… perghhh…! Dan oleh kerana cita rasa semula jadi aku memang gemarkan amoy atau awek muka ala-ala amoy, maka Tan sudah jadi numero uno dalam senarai sekarang. Believe it or not, Lina dah jatuh entah nombor ke berapa.

Dulu, di A-Level, malam sebelum lena, teman imaginasi aku ialah Lina dan hanya Lina semata-mata. Ibarat melayan lagu Ari Lasso ft Bunga Cinta Lestari ‘Aku dan Dirimu’ (lagu ni belum ada lagi masa tu, jadi aku layan lagu Phil Collins ‘Groovie Kind of Love’, dan lagu Jepun bermelodi klasik yang sungguh syahdu amat yang aku tak reti nak sebut judulnya). Tapi di NCUK, teman imaginasi malam sebelum lena aku bukan lagi semata-mata Lina. Bukan! Oh… kenapa ya? Habis tu siapa? Tan? Kadang-kadang. Awek Lone Ranger? Hmmm… rasa-rasanya macam tak pernah. Mariza? Selalu juga, tapi tak clear macam tonton TV tak pakai spek mata. Wani kereta api? Sekali pun tak masuk jadual siaran. Lala? Hmmm… nak juga, tapi macam Wani, pun tak masuk jadual siaran. Azlina W? Hmmm… apa jadi dengan Lina W ni ek? Rasa-rasanya aku dah terlupa langsung pasal dia sejak asyik maksyuk khayal stim dengan Lina H. Habis siapa yang kerap?

Yang kerapnya ialah gadis yang satu tu. Gadis kereta api tu. Kenapa ya? Kenapa dia? Sudah gila bangau ke aku ni? ‘Gila bangau’? Gila bayang + angaulah!

Barangkali betullah kata Gafaro — ini adalah fenomena cinta tak kesampaian. Cinta tak kesampaian = kekecewaan dan kehampaan. Kekecewaan dan kehampaan ialah sesuatu yang aku sentiasa ingat. susah nak lupa. Memang perangai aku gitu. Tak tau kenapa. Lagipun aku rasa gadis kereta api yang satu tu tak layan aku. Ada pendinding. Mungkin balak dia pasang. Takut kena kebas. Yalah… kalau gadis yang satu tu awek aku, aku pun sanggup buat apa saja untuk pastikan dia tak dikebas orang! Gadis semanis dan secantik tu — yang kecantikannya diakui sendiri oleh perempuan lain — mana boleh biar terlepas disambar mambang dan buaya beb!

Tapi aku masih layan Lina yang aku sayang tu macam biasa — kekadang belai, kekadang tengking, kekadang benci, kekadang rindu, kekadang geram, kekadang sayang, kekadang macam nak naik tangan kaki, kekadang naik (atas) badan bila naik anu, bla bla bla…

Tapi tu semua tak bawa apa-apa perubahan pada emosi aku terhadap Lina. Macam graf yang mengukur kandungan air dalam tempayan. Bila dah penuh, graf tu jadi flat, jadi rata. Masalahnya tempayan ni macam kecil sangat pula aku rasa. Kenapa graf ni tak mahu naik lebih tinggi walaupun ehem-ehem lebih kerap naik makin tinggi bila dengan Lina ni? Apa dia jembalang yang dah merasuk aku sampai emosi aku terhadap insan comel yang aku kasihi sangat-sangat ni berubah macam Transformers daripada lebih cinta kasih kepada lebih nafsu syahwat ni…???

Jadi masih layak ke aku anggap Lina sebagai Dewi dalam hidup aku? Dan dia pula bagaimana? Masih ke aku ni kepada dia sebagai kekasih yang dicintai dan dikasihinya sungguh-sungguh? Masih ke? Macam mana aku nak tau ek? Dan patut ke aku bagi tau dia apa yang aku rasa terhadap dia sekarang? Patut ke…?

23 – Hakikat Cinta Lina

PATUT ke aku menikah dengan Lina H ni sekarang? Sebelum ke UK? Patut ke? Apa? Tak cukup syarat lagi ke? Apa yang tak cukup? Duit? Dalam keadaan dah macam ni duit tu masih keutamaan ke? Aku sayang dia, dan dia sayang aku… Eh? Kejap… kejap… Ni yang jadi isu ni. Ni yang jadi problem ni sebenarnya kan?

Setiap hari aku muhasabah cinta aku pada Lina H. Cinta? Betul ke? Betul ke aku cintakan dia? Cara aku melayan dia selama ni tu melambangkan cinta aku pada dia ke? Sampai sahabat serumah dan sebilik aku pun gelarkan aku QC. Bukan ‘Queen’s Counsel’, tapi ‘Queen Control’ daaa… Mana taknya? Panggilan Lina mengalahkan panggilan hajat — walau apa pun yang aku sedang buat masa tu, panggilan Lina akan menyebabkan aku tinggalkan apa aje yang aku buat tu. Kalau masa tu aku sedang berfoya-foya dengan sahabat serumah sebilik sekalipun, aku akan tinggalkan dia orang bila Lina panggil. apatah lagi kalau masa tu aku tengah memerhati awek-awek cun seperti Tan, Fa, Mariza atau Awek Lone Ranger. Dan memandangkan dalam unit rumah aku tu ada empat orang termasuk aku, dan hanya aku sorang aje yang dah ada awek, maka aku sorang ajelah yang dapat gelaran QC tu.

Tapi aku tak heran pun sebenarnya. Panggilan Lina sentiasa aku sambut dengan tangan terbuka. Bahkan ada ketikanya aku harap-harapkan sesangat. Sangat-sangat. Kalau sehari dia tak panggil aku, memang aku akan rasa tak sempurna hari tu. Serba tak kena. Ada rindu yang meluap-luap. Ada benda yang tak lengkap. Ada emosi yang terperap. Kenapa dia tak panggil aku hari ni? Dia tak perlukan aku lagi? Dan aku jadi macam orang tak siuman. Maka aku pun mengintai dari tingkap bilik anak dara warden Encik G yang dua orang tu — sorang kakak, sorang adik. Kakaknya memang cun. Sungguh cun mukanya. Tak percaya boleh tanya Kid dan Garn. Begitu cun sampai Kid rakan sebilik aku jatuh hati kat dia. Perhati dari jauh sambil menikmati keindahannya. Memang gila bangau. Siapa yang tak gila bangau tengok awek yang muka sebegitu cun. Aku kut? Aku tak gila bangau tengok kakak anak dara Encik G sebab body dia tak langsung menepati cita rasa aku. Tak langsung. Nasib baiklah hai…

Tapi adiknya boleh tahan. Body dia okey. Muka dia… well… aku tak pasti berapa umur si adik tu tapi rasa-rasanya dah sah bernikah jadi bini orang le. Maknanya dah cukup syarat untuk bersanggamalah tu. Jadi muka dia memang manis. Tak cun macam kakak dia, tapi manis. Cukup manis untuk masuk senarai cita rasa aku. Dan tak seperti kakak dia yang jarang-jarang sangat nampak kat luar rumah, si adik ni kerap nampak berjalan sorang diri ke hulu ke hilir secara Lone Ranger. Macam Awek Lone Ranger tu tapi bezanya Awek Lone Ranger hanya kelihatan di mata aku semasa dalam dewan kuliah aje dan bukan di tempat lain. Sebaliknya si adik anak dara Encik G ni kerap benar nampak dia mundar-mandir di serata blok apartmen asrama kita orang tu. Kekadang nampak dia berjalan sorang diri ke gerai burger di luar pagar sebab nak beli burger. Maka kerap jugalah dia masuk ke dalam radar pemerhatian aku ni.

Kekadang risau gak aku tengok si adik tu. Berani sungguh jalan sorang diri di serata blok apartmen asrama jantan. Dah le asrama kita orang yang empat tingkat ni sekadar penuh sampai tingkat tiga aje. tingkat empat tu kosong belaka. Karang kalau dicekup dek mana-mana jantan stim melampau dari asrama lelaki tu, lalu diperlakukan sebagai hamba seks, tak ke haru? Mana le tahu, kan? Tapi aku tak pernah lepas peluang memerhati si adik anak dara Encik G tu setiap kali ternampak kelibat dia sebab kegemaran dia ialah pakai seluar pendek yang menampakkan paha dan kemeja T berlengan pendek yang menampakkan lengan. Aku suka! Aku suka!

Pada masa yang sama aku terus bercinta kasih sayang dengan Lina. Aku terus belai dan usap dia penuh kasih bila berpeluang. Aku terus genggam tangan dia setiap kali kami keluar dating. Aku terus cium dan kucup dia setiap kali orang tak nampak. Cuma tak macam di Shamelin, di NCUK ni tak ada bangunan kosong. Oleh kerana tu agaknya kami tak bercium, berkucup, berdakapan dan beromen ringan-ringan sekerap di Shamelin dulu. Kat mana nak sumbat diri nak beromen dalam keadaan kawasan sekeliling penuh rumah orang dan sebelah blok apartmen asrama ni ialah balai polis? Nak mampus?

Dan agaknya sebab kami jarang dapat stim-stim dan melayan syahwat masing-masing tu membuat aku rasa Lina dan aku seperti berjarak.

Dan disebabkan itulah juga yang kerap kali membuat aku terus dan terus berfikir tentang erti sebenar cinta antara Lina dan aku — betul ke ini cinta? Atau hubungan kami ni sebenarnya atas dasar seksual semata-mata? Macam mana aku nak pastikan? Macam mana? Bagaimana? How?

“Do you still love me?” soalan tu memang makin kerap aku tanyakan pada Lina setiap kali ada peluang bersama dia (dan ya, aku masih tetap gunakan bahasa Inggeris semasa bertanya soalan tu sebab aku masih lagi rasa bodoh bila merangka soalan tu dalam bahasa Melayu dalam kepala aku…you know… “I feel stupid asking that question in Malay”… aharks). Aku rasa Lina pun dah naik bosan dengan soalan aku tu. Aku pun dah tak ingat sangat apa jawapan Lina setiap kali aku tanya soalan tu pada dia. Malah aku sendiri tak pasti nak jawab macam mana kalau dia tanya aku soalan tu. Barangkali aku akan jawab ‘yes’ sebab aku rasa macam hidup tak sempurna tanpa dia di sisi dalam sehari. Tapi pada masa yang sama, aku meragui sama ada aku perlukan dia sebab aku cintakan dia atau aku cintakan dia sebab aku perlukan dia.

Hakikatnya, jarak emosi yang aku rasakan antara kami berdua semakin besar jurangnya. Aku tak pasti kalau-kalau Lina juga merasakan yang sama. Aku tak berani nak tanya. Barangkali aku masih takut akan kehilangannya…

Jadi mungkin aku patut bernikah aje dengan Lina sekarang. Rumuskan semua kesimpulan dan selesaikan semua persoalan dengan ikatan yang mengesahkan segala-galanya. Salah ke aku menikah dengan dia sekarang? Tak boleh ke aku hantar rombongan ke rumah mak bapak dia di KB tu? Susah sangat, aku sendiri pergi buat rombongan solo. Tak boleh? Kenapa tak boleh? Sebelum jarak emosi ni jadi satu perpisahan yang menyakitkan… Kejap… kejap… Seandainya benar kami berpisah, aku rasa memang aku akan sakit. Sangat sakit.

Tapi Lina pula…? Kalau kami berpisah sekarang, dia akan rasa sakit juga ke sebagaimana aku rasa sakit? Dan Lina juga macam aku ke — memerhati, menganalisis dan menilai balak-balak baru lain yang ada di NCUK masa tu sambil berkira-kira dengan rasa kesal sebab bertemu aku dulu? Alangkah bagusnya kalau sekarang ni single supaya berpeluang cucuk jarum dan dicucuk jarum oleh balak-balak lain tu? Dia rasa macam tu ke?

Aku tau aku, ada ketikanya, terdetik juga di hati, merasa demikian… Itukah tanda antara Lina dan aku sebenarnya bukan CINTA…?

24 – Suci Dalam Debu

SUCI Dalam Debu ialah judul lagu kumpulan Iklim yang popular ketika tu. Bukan iklim cuaca tu lah! Ni kumpulan muzik yang tak taulah nak masukkan dalam kategori rock atau kategori stone. Lagu tu lagu jiwang dan memang aku suka banget lagu tu. Sebabnya lagu tu mengembalikan memori aku kepada sorang gadis yang amat cantik dan manis teramat. Gadis yang acap kali hadir dalam imaginasi aku bila aku mengelamun sorang diri sebab Lina H tak panggil-panggil aku, bila aku tenung ke luar tingkap semasa anak dara Encik G tak melintas, bila malam sebelum lena. Dan bukan… gadis yang datang bertandang tu bukan Lina W. Bukan Mariza, Fa, Tan, Awek Lone Ranger. Lina H? Hmmm… kekadang memang dia yang datang. Tapi bukan dia yang paling kerap.

Yang paling kerap ialah gadis yang satu tu, yang kerja kereta api tu. Gadis yang Dila sendiri kata cantik dan manis tu. Kenapa dia? Entah… aku pun tak tau… Sejujurnya aku tak tau. Kenapa dia ya? Siapa dia ni yang berjaya menenggelamkan Lina H? Bahkan hampir berjaya melupuskan idola gadis idaman aku selama bertahun — Lina W. Siapakah kau sebenarnya wahai gadis jelita? Kenapa kau bercinta dengan TC dari Kelantan tu (ya, aku akhirnya dapat tahu siapa gerangan identiti TC tu). Kenapa kau tak pilih aku yang lebih muda daripada TC yang pakai baju macam polis dan songkok macam askar tu sayang…? Kenapa…?

Dan lagu Suci Dalam Debu’ ialah lagu yang paling kerap berkumandang di corong pembesar suara stesen kereta api KL semasa aku menunggu tren si gadis tiba dari Butterworth, mahupun semasa aku memerhati tren si gadis berangkat meninggalkan stesen KL. Ya, memang semasa di NCUK lagu tu dah boleh dianggap dah melepasi zaman popular tapi lagu tu melekap dalam hati dan emosi aku disebabkan gadis yang satu tu. Walaupun hampir (hampir, tapi tak selalunya) setiap malam aku dengar kaset pemberian Lina H sejak A-Level tu yang mengandungi macam-macam lagu di dalamnya termasuk lagu Jepun yang aku tak tahu nak sebut judul tu, lagu stesen kereta api tu juga yang melekap dalam jiwa. Begitu subur jiwa aku disirami perasaan yang aku tak reti nak ceritakan.

Memang agak kerap aku saling bertukar lagu dengan Lina H sejak kami di A-Level. Kebanyakan lagu yang dia berikan ialah lagu Inggeris. You know… English songs… eheks… Dan aku? Aku bagi dia lagu Melayu aje. Cita rasa aku pada lagu Inggeris tak berapa sangat. Ada dua tiga potong aje lagu Inggeris yang masyuk dan layan. Antaranya ‘Groovie Kind of Love’ oleh Phil Collins. Lepas tu lagu… lagu… hmmm… ada dua tiga lagu lagi daripada Jason Donovan… errr… siapa lagi entah… tak ingat. Tapi yang paling aku suka cuma lagu Phil Collins tu. Sampai sekarang aku suka lagu tu. Dan bagi aku hanya lagu tu lah satu-satunya lagu nostalgia aku dengan Lina. Sememangnya lagu nostalgia aku terhadap dia. Bahkan sampai sekarang pun bayangan wajah awek manis yang pernah aku kasih dan cinta amat tu akan terbayang sekejap-sekejap kalau terdengar lagu tu.

Maka setiap kali emosi aku terdorong kepada selain daripada Lina, aku akan ingat saat dan ketikanya Lina berikan aku lagu tu. Lagu tu akan berkumandang dalam kepala aku. Suasana malam yang agak syahdu dari sunyi di kafe Taman Shamelin akan kembali memenuhi kepala aku dihiasi keharuman dari bunga-bunga cinta dan kasih sayang aku terhadap Lina. Barangkali sebenarnya jauh… tersangat jauh dalam lubuk hati aku yang paling dalam ni, aku sebenarnya sangat cinta dan kasih kepada dia. Entah kenapa semasa cuti A-Level aku berlaku curang secara fizikal dengan awek-awek lain, walaupun sikit pun aku tak menaruh rasa pada awek-awek tu semua.

Dan entah kenapa, walaupun aku cinta dan sayang kepada Lina, aku melayan dia ibarat kasut. Aku tak reti hargai dia. aku tak reti hargai perasaan dia. Aku tak reti hargai jiwa dan cinta dia serta pengorbanan dia terhadap aku selama ni. Dan semasa Lina berikan aku lagu ‘Super Woman’ oleh Karyn White, aku tahu dan sedar teramat yang Lina sebenarnya menyampaikan satu mesej yang amat jelas kepada aku — dia tak larat dan tak terdaya malah mungkin tak sanggup lagi melayan aku sebagaimana aku demand daripada dia selama tu. Sememangnya aku sedar sangat-sangat. Tapi… Well… benarlah bahawa sebenarnya Lina H ialah pengalaman pertama aku bercinta. Aku tak tau apa itu cinta dan aku tak tau nak kendalikan cinta.

Sejujurnya hampir setiap kali aku mendengar dan menghayati lagu Karyn White ni bersendirian, air mata aku menitis mengenangkan apa yang dah aku lakukan pada Lina. Hanya dasar ego lelaki sahaja yang jadi dahan rapuh aku bertaut dengan sekuat genggaman menahan ia terus mengalir bak sungai.

Jauh dalam hati aku juga sejujurnya aku sedar teramat bahawa Lina sebenarnya terseksa selama bersama aku, dan sebab itulah ada ketikanya terdetik teramat kuat dalam hati aku untuk melepaskan saja dia. Biar dia bebas daripada aku. Biar dia bebas daripada belenggu seksa yang amat mengazabkan daripada layanan aku. Biar dia boleh mencari bahagia sejati yang sebenarnya dengan jejaka lain yang lebih hebat dan tahu menghargai Lina sebagai gadis manis yang amat lemah lembut jiwa dan raganya.

Tapi… bertanggungjawab ke aku kalau aku lepaskan dia macam tu? Selepas aku dengan akurnya mentaati godaan iblis setan? Selepas aku dengan tak malunya jadi peragut yang budiman? Budiman? Pergi mampus sama aku!

Jadi sebenarnya apa yang patut aku putuskan tentang perhubungan aku dengan Lina…? Sanggup ke, Dzam? Betul ke kau nak putus dengan Lina demi kebahagiaan dia? Sanggup, Dzam? kau tak sayang dia, Dzam? Kau tak fikir implikasi terhadap dia nanti? Kau tak fikirkan perasaan dia pula? Apa salahnya kalau kau saja yang berubah, Dzam? Ubah perangai kau, dan yang paling penting, layanan kau pada Lina? Kau betul tak sayangkan dia, Dzam…?

Dan dia pula? Betul ke dia tak sayangkan kau? Apa makna pengorbanan, belaian, kasih sayang yang dia tunjukkan pada kau selama ni? Kosong belaka ke semua tu? Kosong? Kenapa? Kau dah lupa, Dzam, saat-saat dia berikan kau lagu ‘Eternal Flames’ daripada The Bangles dan kata-kata dia kepada kau semasa tu?

Dan Lina yang kau kenal, Dzam, adakah dia akan berikan kau lagu tu tanpa erti dengan makna kosong semata-mata tanpa mengharap kau mengamati dan meneliti lirik di dalamnya? Tu bukan Lina, kan Dzam? Lina akan expect kau fahami lirik lagu tu. Jadi tergamak ke kau tinggalkan dia macam tu…? Demi untuk kebahagiaan dia? Itukah yang terbaik bagi dia? Kau pasti, Dzam…?

Kalau kau betul-betul pasti, maka apa lagi sebenarnya yang kau tunggu? Apa lagi yang menghalang kau sebenarnya, Dzam? Ada sesuatu yang menghalang, kan? Betul? Sesuatu dalam emosi kau. Dan kau tak tahu apa dia.

Dan pada ketika tu aku tetiba tersedar bahawa aku sebenarnya tak pernah selami hati sendiri. Jadi bagaimana mungkin aku boleh kata bahawa aku telah selami hati orang lain, terutamanya hati Lina, kekasih aku ketika tu… Betapa amat bodoh lagi tololnya…

25 – Menjadi Bukan Aku

SEMEMANGNYA aku bukanlah lelaki yang masuk kategori hensem, bergaya, kacak mahupun tampan, tetapi setakat ayu dan manja tu memang adalah juga… eheks! Dan sememangnya walau tak kacak dan tak hensem sekalipun, selera mestilah nak yang cantik, cun dan jelita gitu, kan? Tak semestinya, tapi biasanyalah kan?

Jadi bila nak mengurat tu, mekap mesti perlu. Rambut sisir rapi. Jambul segumpal. Minyak wangi secebok. Entah apa-apa lagi. Lepas tu, bergantung kepada skil dan nasib ajelah. Kalau cantik hari bulan, bini orang pun boleh sangkut.

Apa-apa hal pun, cita rasa orang berbeza. Aku suka awek yang tak pakai mekap. Macam mana rupa dia aku nampak waktu siang hari di khalayak ramai, macam tulah aku expect rupa dia selepas bangun tidur sama ada pada waktu pagi mahupun bila dah menjelang tengah hari. Dan aku gemar awek yang tak pakai perfume bila bersama — you know… the real aroma of pheromone really turns me on… eheks!

Dan pada masa yang sama aku nak awek terima aku sebagai aku — yang selekeh, jarang pakai minyak wangi, tak berapa suka sikat rambut, tak suka pakai minyak rambut, bla bla bla… Tapi tu cuma appearance. Penampilan diri. Yang paling utama, aku nak awek terima aku dalam perangai aku sedia ada. Tak up-to-date tentang artis dan muzik orang putih, melawak ikut suka, kekadang cakap lepas ikut suka, dan… suka tengok awek… eheks!

Dan aku tak kisah pun dengan tabiat yang macam tu. Lantaklah orang nak kata taste muzik aku kuno zaman Flinstones ke haper ke. Dah aku suka, apa pasal orang lain nak kisah? Lu dengan cara lu, wa dengan cara wa. Tak pernah ambil peduli pun. Aku persetankan aje biasanya.

TETAPI… bila Lina H yang minta perubahan pada diri aku, memang aku mengalah. QC? Lantaklah.. QC ke, teksi ke, basi ke, ABC ke… Demi untuk orang yang aku kasihi, aku akan belajar dan mengajar diri sedaya upaya untuk reda dengan apa yang dimintanya. Tapi sejujurnya kekadang tu memang aku angin juga bila nak mengubah tabiat diri. Tapi cuba juga sedaya upaya nak turutkan. Kekadang ada yang berjaya. Biasnya banyak yang gagal dan buat aku jatuh tersungkur sambil mencarut-carut dan kekadang membaling-baling dan menghempas-hempas. Apa ingat senang ke nak ubah tabiat, nak ubah attitude? Tapi ada ketikanya aku gagahi bangun semula untuk cuba berubah gak. Bodoh ke? Tolol ke? Botol ke?

Rasa-rasanya sebahagian perubahan tabiat tu tinggal kekal dalam diri aku sampai sekarang. Sebahagiannya tak pernah menjadi. Sebahagiannya jadi lain daripada yang dirancang. Macam-macam…

Dan tu semua rencah kehidupan, kan? Tak sedap makan nasi tanpa lauk. Dan takkan jadi lauk bahan mentah yang tak dimasak dan diadun dengan bermacam rempah.

Dan demi cinta aku terhadap Lina H, aku belajar menerima hakikat untuk tak menjadi aku…

26 – Irama Cinta Lina

SELEKEH dan comot tu memang akulah sejak dulu. Aku pakai baju ikut suka, seluar ikut suka. Tak pernah fikir sama ada matching atau tak dari apa jua segi pun. Janji aku pakai baju dan seluar bila di khalayak ramai. Kalau aku langsung tak pakai apa-apa macam mana? Haaa… camne tu?

Brand? Jenama? Boleh jalan! Semua t-shirt yang aku ada adalah t-shirt free belaka. Seluar? Seingat aku tak ada sepasang pun seluar aku yang harganya melebihi RM30.00 (ni harga zaman tu tau). Paling aku suka ialah jenis seluar yang memang dijual sekali dengan tali pinggang tu. Senang tak payah nak fikir pasal tali pinggang. Kasut aku jenis apa pun tak kisah, asalkan muat saiz kaki. Dah gunanya untuk pakai di kaki sebagai protection daripada terpijak benda tajam, kan? Peduli apa aku macam mana rupa dia. Nak suruh aku pakai kasut bertumit? Tu namanya cari penyakit — sakit betis.

Dan kekadang kalau keluar ke bandar pada musim hujan, aku bawa payung. Biasanya payung panjang tu. Bukan yang jenis lipat tu. Bertongkat payunglah ke hulu ke hilir. Tak suka? Kenapa? Aku pukul kepala kau dengan payung tu ke? Aku jolok lubang punggung kau dengan payung tu? Dah tu? Apa masalahnya? Payung aku, kan? Ada aku menyusahkan kau suruh kau? Apa? Corak payung tu? Apa kau peduli kalau corak tu gambar kartun mahupun gambar aku telanjang? Ada gambar kau telanjang ke atas payung aku tu?

Dan orang lain yang nak pakai jaket naik bas mini sendat pada waktu tengah hari buta yang panas terik giler, di Kuala Lumpur. So? Barangkali dia seorang yang sangat sibuk. Tak ada masa nak eksesais atau work out nak keluar peluh. Jadi dia pakailah jaket di tengah panas buta dalam bas mini sendat supaya berpeluh.

Dan sebelum tu aku tak pernah suarakan kritikan aku terhadap orang lain, jika ada. Kalau aku ternampak sesuatu yang pelik — misalnya orang pakai jaket pada tengah hari buta dalam bas mini sendat — kepala otak aku akan tertanya-tanya kenapa dia buat macam tu, dan noktah. Setakat tu aja. Tak sampai ke tahap aku akan cuit member sebelah sambil muncungkan bibir ke arah orang tu seraya berkata sesuatu seperti “Tu fenomena pengorbanan diri atas nama fesyen” atau yang seberadik dengannya.

Tapi atas nama cinta, kekadang sesuatu mesti diubah. Sesuatu tu boleh jadi sangat kecil nilainya, hinggalah kepada yang amat signifikan pada diri.

“Janguk,” bisik Lina H sambil tergelak kecil penuh manja dan ayu suatu hari semasa kami dalam bas mini yang agak sendat. Terlentok kepalanya di bahu aku semasa berbisik sambil menutup mulutnya yang sedang tergelak.

“Apa?” aku tak faham.

“Tu,” Lina muncungkan bibirnya ke arah sorang awek yang baru tadi melangkah masuk ke dalam bas mini tu. Alamak! Dia maksudkan awek yang memang sejak dia melangkah masuk tadi aku dok perhati sebab awek tu pakai skirt yang nampak pahanya yang begitu amat menepati cita rasa aku bentuknya! Cet! Lina tahu ke yang aku dok pandang awek tu dengan rasa berahi? Aiyooo…!

“Kenapa dengan dia?” aku tanya Lina. Berdebar gak jantung kalau-kalau dia marah, sebab aku memang dah banyak kali kena marah dengan dia sebab pandang awek lain walaupun masa tu tengah baik punya dating dengan dia. Eheks… tak senonoh punya aku! Padanlah muka aku kena marah… adoi laaa…

“Mekap dia tu,” jawab Lina. Oh… pasal mekap dia rupa-rupanya. Tak ada kena mengena dengan aku dok perhati paha dia.

“Kenapa mekap dia?” aku tanya lagi sambil ambil kesempatan perhati awek tu secara terbuka sekarang. Dah Lina tunjuk kat kat dia, aku pun tengoklah tanpa sembunyi-sebunyi atau sambil pura-pura kepala hala ke arah lain mata arah lain, kan? Kan?

“Janguk,” katanya.

“Janguk tu apa?” aku tanya jujur.

“Macam tulah,” dia jawab. “Macam mekap lebih-lebih.”

“Ooo… mekap melampaulah tu…” aku komen sambil angguk-angguk kepala sedang mata masih legat kat paha awek tu. Memang lazat paha dia… “Janguk tu kira positif ke negatif?”

Kali ni sengihan Lina hilang. Dia jeling aku tajam dengan tenungan yang ada maksud marah dalam hati dia. Fed-up agaknya sebab aku bodoh sangat.

Dan aku belajar menyuarakan kritikan sejak bersama Lina. Rasa-rasanya tabiat tu kekal sampai sekarang. Satu tabiat yang dah melalui transformasi daripada tabiat aku yang asal sebelum menjejakkan kaki di A-Level lagi. Dan aku mula pakai minyak wangi RM10.00 sebotol tu sejak A-Level juga. Dan aku pakai minyak rambut dan sentiasa ada sebatang sikat dalam poket belakang seluar aku pun sejak A-Level juga. Pakai T-shirt tuck-in, pakai kasut sentiasa berstoking, dan dah mula pandai beli t-shirt yang bercorak-corak dan tak berapa pandang lagi t-shirt free yang ada logo KTM atau entah logo organisasi apa-apa lagi, bla bla bla…

Dan aku belajar dengar lagu orang putih serta belajar kenal artisnya. Barulah aku kenal dengan Richard Marx, Jason Donovan, Karyn White, Phil Collins, The Bangles, Wham, George Michael, bla bla bla… Dan tu semua aku kenal daripada lagu-lagu yang Lina beri kepada aku. Maka aku pun belajar sendiri mengubah selera irama dan melodi aku kepada selera orang putih. Lalu aku pun mula kenal Bryan Adams, Paul Young, Eurythmic, Gary Moore, Eagles, Natalie Cole, Timmy Thomas, George Benson, bla bla bla… Dah tentu aku kenal lagu dia orang dulu baru artisnya. Cari lagu yang aku rasa boleh masuk aje. But then, ofkoz, kebanyakan lagu dan irama daripada artis barat yang aku suka tu agak lari sikit cita rasanya daripada Lina, tapi at least aku dah kenal artis-artis dan muzik barat sekarang tau! Haaa… jangan main-main dengan aku tau!

Tapi apa-apa hal pun, selera aku pada muzik Melayu yang mendayu-dayu tu masih tebal jugalah, dan aku masih beri pada Lina lagu-lagu Melayu — yang sesekali diselitkan juga dengan lagu orang putih dari cita rasa aku tu — dan aku tak pernah tau sama ada Lina suka atau tak. Tak pernah aku tanya penerimaan dia. Tapi kerap juga aku mengharap dia faham bahawa lirik kebanyakan lagu yang aku berikan tu sebenarnya luahan rasa dan emosi aku kepada dia. Dia pun tak pernah komen apa-apa pasal lagu-lagu yang aku berikan kepada dia selama ni. Tak pernah bertanya pun. Tak pernah bercerita pun. Sesekali bila aku cuba nak tarik dia secara halus supaya bersuara sikit tentang lagu-lagu yang aku beri, sebab aku nak tau perasaan dia dan kefahaman dia tentang maksud lagu-lagu tu, aku sentiasa gagal. Sembang kami dah masuk topik yang tak aku rancang pula.

“Dulu Dzam tak kenal pun Alleycats,” aku cakap pada dia pada suatu hari. “Tapi bila M. Nasir bagi lagu pada dia orang, tetiba nama dia orang naik mencanak-canak, kan? Macam lagu ‘Hingga Akhir Nanti’ tu. Atau ‘Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu’.” Ketika tu kami dalam bas mini yang tengah dok sangkut dalam traffic jam kat Chow Kit. Ada satu kedai apa entah kat kaki lima sana dok pasang dengan kuatnya lagu ‘Sentuhan Kecundang’ daripada Ekamatra. “Hebatlah M. Nasir tu buat lagu.”

Lina mencebikkan sikit bibir dia yang manis dan cute tu. kepala dia tergeleng-geleng melentokkan leher dia yang harum. Dia tak setuju dengan aku.

“Dulu Lina suka gak lagu-lagu rock kumpulan Search dengan Wings,” kata dia dalam suaranya yang sentiasa manja. “Tapi bila M. Nasir dengan Ramli Sarip masuk, lagu rock dia orang tu dah jadi macam tak best.”

Dan kita orang pun terus bercerita tentang reformasi muzik M. Nasir dan Ramli Sarip. Tujuan asal aku nak tarik perhatian dia kepada lirik lagu yang aku berikan pada dia tempoh hari, tentang apa yang dia faham dari lirik lagu-lagu yang aku beri tu, tentang apa yang aku rasa setiap kali aku dengar semula lagu-lagu yang aku berikan tu, dan tentang apa yang aku nak tau dia rasa bila dia dengar lagu-lagu tu atau berapa kali dia ulang dengar lagu-lagu tu, semua tu… semua tentang emosi dia dan aku tu, entah ke mana hilangnya. Kami bercerita tentang perdebatan akademik berkenaan muzik ajalah dalam bas tu. Bukan tentang emosi kami…

27 – Bukan ‘Kau’ Dan ‘Aku’ Lagi

KISAH ni hanyalah tentang babak semalam. Malam yang secara tetiba mengubah perjalanan hidup aku, dan aku fikir, perjalanan hidup Lina H juga. Malam di mana aku tetiba mengubah mode diri kepada mengada-ada. Dan ia berlaku di ‘Hankyu’ biasa kita orang hinggap untuk Jaya Jusco. Selama ni sejak A-Level sememangnya antara Lina H dan aku sekadar membahasakan diri ‘kau’ dan ‘aku’ aje. Maklumlah… kami bermula sebagai… sebagai… errr… sebagai apa ya…? Entah… Apa-apa ajalah.

Aku memang selesa ‘kau’ ‘aku’ aje — baik dengan perempuan apatah lagi dengan jantan. Dengan yang antara keduanya tu lagilah aku nak ‘kau’ ‘aku’ aja. Tak kuasa! Kalau nak ‘saya’ ‘awak’ tu memang rasa kekok sangatlah. Apatah lagi kalau ‘I’ ‘you’. Dan begitulah Lina dengan aku awal-awal dulu. ‘Kau’ dan ‘aku’.

Tapi… lama-lama aku rasa kekok dan janggal sangat membahasakan diri aku ‘aku’ dan diri dia ‘kau’. Dengan orang lain selamba tenuk aje. Tapi dengan Lina semakin lama semakin janggal rasanya. Kenapa ni? Teori aku — kemesraan, keintiman, kerapatan (weh! Rapat hubunganlah! Bukan rapat anu tu!), keakraban, kerabaan, bla bla bla…

Ni fenomena biasa yang berlaku pada semua orang ke? Barangkali sebab tu agaknya sesetengah orang panggil awek dia ‘sayang’ dan awek pula panggil balak dia ‘abang’. Sebab tu ke? Bila dalam keadaan yang amat mesra, teramat-amat mesra, teramat-amat intim, teramat-amat khayal, teramat-amat asyik, teramat-amat leka, panggilan ‘aku’ dan ‘kau’ tu dah jadi macam pemutus selera. Pemutus nafsu. Pemutus segala-galanya.

Dan itulah apa yang aku rasakan sejak sekian lama. Agak lama jugalah kalau dah makan berbulan-bulan tu kan? Rasa janggal nak bahasakan dia ‘kau’. Sejujurnya aku nak panggil dia ‘manja’.

“Manja, teman Dzam makan malam ni, boleh?” macam tu agaknya aku akan panggil dia ek? Huh…? Kejap ya… kejap… uweeekkk…! Uwekkk…! Adoi laaa… Tu aku ke? Aku ke tu…??? Cet! Tak sedap langsung!

Habis tu nak panggil dia apa? Jenuh juga nak memikirkannya. Dan aku terus memikirkan apa gelaran terbaik dan paling best aku nak bahasakan Lina supaya dia suka dan aku pun suka. Sebenarnya ada banyak gelaran yang dah berlegar-legar dalam kepala otak aku yang kuning ungu kelat ni. Tapi tak terluah di ungkapan. Sehinggalah malam tu, tatkala kami di ‘Hankyu’ buat ke sekian kalinya dan dalam posisi serta situasi yang bagi aku agak intim tapi taklah intim sangat. Mood kami… well… at least mood aku agak biasa-biasa aje masa tu tapi dek sebab kami tengah dok rancak bersembang antara kami dengan menggunakan ganti nama ‘kau’ dan ‘aku’, emosi aku jadi semakin lama semakin tak enak dan janggal.

Lantas tanpa sempat buat keputusan gelaran apa yang aku nak panggil dia, aku pun terus aje membuka kertas cadangan lalu mengusulkan kepada dia secara semberono—

“Tak sedaplah selama ni kita panggil sama sendiri ‘kau’ ‘aku’,” aku kata dengan beraninya. “Macam tak mesra. Tak kena.”

“Tau pun…” ialah balasan daripada Lina sambil dia mengukir senyuman yang… ohhh… sentiasa manis, ayu dan manja di mata aku. Tapi balasan dia tu agak mengejutkan aku sebenarnya. Apa maksud balasan dia tu? Bahawa dia pun selama ni rasa janggal membahasakan diri ‘aku’ dan ‘kau’ sesama kami? Betul ke? Oh… alangkah syahdunya… oh…!

“Kita panggil nama ajelah ya,” aku cadangkan. “Kita panggil ‘Lina’ dan ‘Dzam’, setuju?”

Lina angguk. Aku pun senyum. Dia pun senyum. Dan secara rasminya malam tu kami mula panggil dan bahasakan sesama sendiri dengan nama kami. Dan aku dapati sebutan ‘Lina’ masih lagi sebutan nama yang aku cukup gemar banget teramat menyerunya, menyebutnya. Umpama kemanisan suara yang terbit dari keluhuran hati melalui kata-kata dan ungkapan yang meniti lidah dan bibir aku ni.

Lina… Lina… Lina…

Akhirnya, impian aku untuk menyebut nama yang dah bertahun menjadi nama kegemaran dan idaman aku kini dah jadi kenyataan bila aku dapat seru nama tu kepada seorang gadis yang benar-benar wujud dan hidup di depan mata aku. Gadis yang sememangnya mengisi emosi aku dengan serba-serbi yang indah-indah belaka. Gadis yang akan menyahut setiap kali nama tu kuseru. Gadis yang akan memberi respons penuh kehangatan setiap kali nama tu kuseru diiringi sentuhan hangat daripada aku yang diisi kasih sayang dan cinta yang ikhlas. Setidak-tidaknya aku percaya cinta aku kepada dia ikhlas.

Janggal juga sebenarnya nak membiasakan diri dengan panggilan baru yang lebih mesra tu, tapi bila aku lihat Lina seakan-akan lebih gembira dengan bahasa diri yang baru buat kami tu, maka aku jadi tambah bahagia, dan aku jadi tambah gembira menyeru nama dia — sama ada menyeru kepadanya, mahupun sekadar menyebutnya sendirian buat teman sebelum lena saban malam.

Dan malam tu di ‘Hankyu’, aku menyebutnya buat kali pertama dengan penuh amat luhur. Aku menyeru namanya dalam setiap situasi aku — baik sedar, mahupun khayal dibuai leka dan asyik bersamanya. Dan aku harap dia juga merasai emosi yang sama tatkala dia menyeru namaku malam tu dalam asyik dan khayalnya…

Dan panggilan bahasa diri kami tu berkekalan sehingga ke alam NCUK. Bezanya… bezanya… ya… memang ada perbezaan. Dan perbezaan tu barangkali membenarkan kata-kata tok nenek — alah bisa tegal biasa. Sudah lali agaknya. Kenapa ya? Kenapa nama yang selama ni menggetarkan seluruh perasaan dan tubuh aku setiap kali aku menyebutnya, kini seperti tak lagi membawa apa-apa erti? Kenapa bila aku sebut nama dia di hadapan dia, sudah tak ada lagi debaran yang menggoncangkan dada aku ni? Dan kenapa bila dia sebut nama aku, getar dan debar yang sama selama ni dah tak lagi terasa? Kenapa ni…? Kenapa…?

Dan jauh dalam lubuk hati aku yang paling dalam… entah aku sedar atau tak… sudah ada nama lain yang kini memberikan getar dan debar. Dan aku amat-amat berharap tuan punya nama tu bisa menyeru nama aku dalam nada dan intonasi yang sungguh teramat lembut dan dalam dia mendesah, agar getar dan debar yang aku rasa boleh menolak aku semakin hampir ke ruang maut. Aku rela! Sesungguhnya pada ketika tu aku amat rela!

Tapi tuan punya nama tu tak tahu tentang peperangan yang sedang memuncak dipenuhi bom, mortar, C4, AK47, M16 dan bermacam-macam bahan letupan lain dalam hati aku ni. Justeru aku percaya tuan punya nama tu tak tahu menahu langsung siapa nama aku pun! Ohhh…!

Curang lagi ke aku terhadap Lina…? Tapi kenapa ya…? Kenapa…? Adakah ini petanda kepada sesuatu yang lebih tragis…?

28 – Gadis Ini Juga Bukan Lina

MALAP dan pudar sebenarnya memori tentang NCUK ni. Seolah-olah kisah hidup peribadi yang berkaitan emosi dan perasaan tak ada signifikan sangat. Kenapa ya? Barangkali sebab NCUK ialah fasa perubahan dan anjakan. Fasa suai kenal atau orientasi diri kepada satu alam serba baru. Sibuk dengan pelajaran yang serba mengejutkan. Ya ke? Bagi aku begitulah. Dah sejak darjah satu sampailah ke tingkatan lima membawa ke A-Level, subjek yang aku belajar dalam kelas semuanya memang tak asing. Familiar belaka. Aku dah tahu macam mana cara nak handle semua subjek tu.

Tapi bila di NCUK, hanya ada satu mata pelajaran — undang-undang. Dalam lingua franca pengajian aku — law. Dan aku tak pernah kenal mata pelajaran ni sejak darjah satu sampailah ke A-Level. Aku tak tahu apa yang aku mesti belajar. Aku tak tahu apa yang aku mesti baca. Dan kalau aku baca buku teks dan law reports dan law journal tu semua, aku tak tau apa yang aku mesti kuasai daripada pembacaan tu. Nak tulis apa sebagai nota pun aku tak tau. Dalam kuliah, aku tak tau apa yang aku mesti anggap penting daripada syarahan ahli akademik kat depan tu. Sememangnya mata pelajaran undang-undang ni serba baru bagi aku. Aku tak tau apa yang aku patut pelajari pun!

Maka bertungkus-lumuslah aku — golongan yang tak pandai ni — mencari jawapan dan jalan nak orientasi diri dengan dunia akademik yang sungguh asing bagi aku ni. Manalah aku pernah didedahkan dengan subjek perundangan sebelum ni? Buku-buku perundangan ni pula tebalnya boleh dibuat alat untuk membunuh diri. Buku paling tebal yang aku pernah jumpa sebelum ni cuma Matematik Tambahan aje. Satu tu aje daripada entah berapa belas subjek lain. Tapi dalam kursus perundangan ni — walau apa pun subjeknya baik contract, tort, ELS, bla bla bla… — semuanya dua tiga kali ganda lebih tebal daripada buku matematik tambahan tu. Ya Tuhan…! Larat ke orang yang tak pandai dan pemalas macam aku ni nak baca buku-buku tebal macam ni? Dan buku-buku rujukan perundangan ni pula mana ada yang nipis-nipis. Pun sama tebal bahkan lebih tebal daripada buku-buku teksnya pun ada! Mak aiii…!

Tu belum bahasanya lagi. Aku fikir selama ni English aku okey, walaupun English Lina jauh lebih hebat, tapi tahap English aku kira okeylah juga. Setakat buku novel Shogun karya James Clavell setebal 1152 muka surat tu aku sanggup baca dan boleh faham setiap perkataannya dan jalan ceritanya. Tapi kalau law reports… adoi…! Sakit kepala, turun sampai ke jantung tau! Satu perenggan ada lebih kurang dua belas baris, tapi sepanjang-panjang perenggan yang dua belas baris tu hanya ada satu noktah! Bagero! Tak pendek nafas ke kalau nak baca kuat-kuat? Ada ke manusia yang boleh bercakap dalam satu ayat sepanjang tu? Makhluk asing ke haper? Cyborg? Android?

Dan perkataan-perkataan yang digunakannya pula… adoi laaa… Tu belum masuk prosa dan struktur ayatnya. Baru tersedar diri betapa bongoknya aku dalam subjek bahasa Inggeris. Kenapa sepanjang aku bersekolah dan belajar daripada darjah satu sampai A-Level selama tiga belas tahun dulu, tak ada satu pun subjek bahasa Inggeris yang ajar prosa dan struktur ayat yang semacam ni? Ni bahasa apa ni weh…???

Dan sebab sibuk bertungkus-lumus dengan hal akademik yang macam tu gamaknya, maka kenangan tentang hidup peribadi di NCUK agak kurang. Tak masuk memori. Selain daripada pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar NCUK Kid dan projek besar Sukan Air Garn, aku tak ingat apa-apa lagi. Eh? Kejap… kejap… ada lagilah… Tan, Mariza, Fa, Awek Lone Ranger, anak Encik G, pasar malam seksyen 6, kedai bakery yang tak jual kek dekat blok akademik, restoran mamak yang tukang sembelih tu, Taman Tasik Shah Alam, awek Shagul yang jalan dengan balak dia, makanan ruji Brahim’s, kereta Ford Escort Zahid Apek yang dia asyik kompius antara batang signal dengan batang wiper tu… apa lagi ya? Oh ya… amoi sorang tu yang kentut masa lecture Mary “That was obvious” Fairhurst… eheks!

Dan satu lagi — kursus Tata Negara kat Bagan Lalang. Dihadiri oleh pelajar NCUK PPP bergabung dengan KPP seksyen 17. Dan kat situ, kat Bagan Lalang tu, semasa kursus tu, aku bertemu dengan… hmmm… aku lupalah nama dia. Tak apa… let’s call her “Azidah”. Azidah ialah pelajar KPP seksyen 17. Orangnya tinggi sikit aje daripada aku. Rambutnya, agak aku, lurus. Tak dapat nak pastikan sebab sentiasa berikat. Potongan badannya… well… tak gemuk dan berisi tapi bentuk tak boleh nak cerita sebab sentiasa nampak dia dalam baju kurung. Yang penting tak gemuk dan berisi, maka bolehlah masuk dalam senarai cita rasa.

Tapi yang utama, Azidah seorang yang ramah. Mudah senyum. Dan, tak tahulah sama ada dia saja buat-buat atau memang dia jujur ikhlas, nampak macam sangat selesa dengan aku berbanding dengan balak-balak lain dalam kursus tu. Kenapa aku kata macam tu? Sebab memang aku asyik perhatikan dia sejak awal kursus, dan aku nampak dia sering kali menjeling dan memandang ke arah aku. Aku perasan ek? Bukan… aku bukan perasan. Ni hakikat. Kenapa aku asyik perhatikan dia sejak awal kursus? Sebab wajah dia menepati cita rasalah beb! Muka dia manis, terutamanya bila dia pakai selendang sebab dalam kursus tu ada ketikanya perempuan kena pakai tudung atau setidak-tidaknya selendang. Aku suka banget tengok muka dia. Bila pandang muka dia hati aku rasa nyaman. Entah kenapa. Bila dia senyum aku rasa gembira. Bila dia mengantuk nak terlena terlentok-lentok atas kerusi dengar ceramah bosan aku rasa… rasa… rasa kesian. Rasa macam nak bergegas pergi dekat dia dan pangku dia atas riba aku sambil usap dia terus lena. Dan rasa nak mencarut kat penceramah sebab bagi ceramah boring nak mampus.

Kebetulan bila aktiviti berkumpulan, dia dan aku diletakkan dalam kumpulan yang sama. Maka lebih senang aku perhatikan dia, dan lebih kerap aku nampak dia menjeling-jeling sesekali kepada aku. Jadi semasa sesi kedua aktiviti berkumpulan, aku tegur dia. Dia balas ramah dengan senyuman tersipu-sipu. Lantas aku buat perangai akulah — melawak bodoh dan berjenaka dengan dia. Dia layan. Tak tahulah ikhlas ke tidak tapi dia layan — gelak ketawa mesra dengan aku. Walaupun tempoh kursus tu agak singkat (kalau tak silap aku dalam dua hari gitu), tapi aku dapat rasa kemesraan yang terjalin antara kami semakin rapat. Betul ke Azidah ni melayan aku ikhlas? Atau dia ni jenis gadis yang sangat innocent dan tak anggap aku sikit pun sebagai ancaman bahaya terhadap dia? Siapa sebenarnya Azidah ni ya? Sudah berpunya ke? Atau masih single?

“Balak kau tak masuk sini ke?” aku tanya dia terus terang masa kami berehat sekejap antara ceramah bosan.

“Balak? I tak ada balaklah,” dia jawab. Entah ya entah tidak, aku tak tanya lagi. Azidah tak nampak seperti gadis yang pandai cakap bohong. Dia memang nampak seperti seorang gadis yang teramat-amat innocent.

Mungkin sebab dia teramat innocent maka dia boleh mesra dengan aku? Kalau demikian, bererti dia juga boleh mesra dengan mana-mana jantan lain, kan? Tapi kenapa jantan lain tak approach dia? Cita rasa aku dah lari alignment ke sebab aku nampak dia amat menarik di mata aku sedangkan balak lain sebenarnya tak nampak dia tu lawa langsung? Maka aku test alignment cita rasa aku dengan bertanya kepada rakan NCUK PPP seksyen 6 bila berpeluang sambil menuding ke arah Azidah dari jauh.

“Cun!” kata Zahid Apek. “Cun awek tu Dzam!”

Hmmm… so far alignment cita rasa aku macam okey. Nanti aku test dengan Arie.

“Mesti dah ada balak tu!” kata Arie. Hmmm… alignment cita rasa aku memang okeylah! Tapi kenapa balak lain ni semua tak approach dia?

“Nampak macam tak berapa nak layan jantan,” kata… alahai… aku lupa nama mamat ni… budak law gak. Apa entah nama dia. “Muka serius garang aje.”

Oh… sebab tu ke dia orang tak approach Azidah? Tapi tak ada pun nampak serius garang di mata aku ni. Mesra aje. Layan ramah aje. Atau dia cuma ramah dengan aku sorang aje? Kalau aku minta nombor bilik atau nombor unit apartmen hostel dia kat seksyen 17 tu dia bagi tak agaknya?

“Bagilah alamat penuh asrama kau,” aku minta pada hari kedua yang merupakan hari terakhir kursus. Baru kenal dua hari, dia akan bagi ke? Kalau setakat bagi alamat hostel takkan tak boleh kut?

“Nak hantar surat ke?” dia tanya.

“Kalau rasa rindu aku hantarlah surat,” aku jawab. “Boleh?”

Dan dia bagi! Siap dengan nombor unit apartmen hostel dia lagi! Okey… kalau alamat rumah? Cuti nanti mesti masing-masing balik rumah. Boleh tak aku minta alamat rumah? Untuk hantar surat?

“Boleh,” dia jawab. “I dok Ampang. You kampung kat mana?”

“PJ,” aku jawab walaupun masa tu aku dalam renjatan terkejut untuk sesaat dua.

“Kalau macam tu senang-senang you datanglah rumah,” dia balas, dan aku kena renjatan kali kedua untuk tempoh lima ke enam saat pula. “Tapi telefon dululah takut kalau-kalau I tak ada kat rumah pula.”

Dan dia berikan aku alamat rumah berserta nombor telefon rumahnya sekali! Dia tak berilah pula alamat e-mel dan nombor henpon sebab masa tu kedua-dua makhluk asing tu belum lagi sampai ke bumi.

Azidah… Azidah… Adakah kau juga satu lagi petanda gejala besar yang akan menimpa Lina dan aku…? Adakah…?

29 – Nikmat Terakhir Yang Terbaik

AZIDAH dan aku taklah berhubung kerap sangat. Dia kat seksyen 17, dan aku kat seksyen 6. Surat? Jangan harap. Bila balik semula ke asrama lepas habis kursus Tata Negara tu, aku kembali ke pangkuan Lina. Rindu amat pula pada dia. Kenapa ya? Barangkali kerana masih Lina yang tetap bertakhta dalam hati aku ni. Barangkalilah…

Dan pada tahun tu, buat pertama kali Tahun Melawat Malaysia dilancarkan. Dan antara ribuan insan lelaki perempuan yang bergaul tanpa batasan di Dataran Merdeka masa tu, terselitlah antara mereka Lina dan aku. Sebenarnya kita orang bukan nak ke situ pun. Kebetulan memang tengah dok jalan-jalan sekitar KL. Nampak ulat taik yang sebenarnya manusia yang buat taik. Maka atas dasar ingin tahu, kami pun secara sukarela menonong masuk ke situ. Oleh kerana teramat ramainya umat manusia, dan khuatir terpisah, aku genggam tangan dia yang lembut tu, dan dia pun genggam tangan aku yang lembut juga ni. tubuh kami saling berhimpit dan bergeselan sesama sendiri dan juga sesama entah siapa-siapa manusia lain yang ada kat situ. Dan ya… memang ada ketikanya aku sengaja nak gesel-gesel dengan orang lain kat situ kalau orang tu awek yang sebahagian besar kulit tubuhnya memang terdedah macam sengaja nak suruh digesel.

Menggunakan skil menyelinap yang begitu tersohor, maka aku dapat pandu Lina sampai ke barisan paling depan. Ada tali besar macam tali kapal yang dah direntang kat situ buat laluan para VVIP, VIP, PVIP dan BB. Rupa-rupanya acara pelancaran Tahun Melawat Malaysia. Sorang demi sorang VVIP dan VIP lalu melintas dalam cahaya lampu yang samar-samar suram umbra. Ada yang aku kenal tapi aku tak pasti sama ada dia orang kenal aku — Sabaruddin Chik, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Rafidah Aziz, Lyana Jasmay, Lisa Surihani, bla bla bla…

Tetiba lampu spotlight, lampu kalimantang, lampu isyarat, dan segala tok nenek lampu dipasang. Suasana tetiba terang-benderang macam waktu siang. Dari jauh nampak lampu kelip-kelip kereta ronda polis menyusur pelan-pelan sebelum berhenti kat tepi Dataran Merdeka tu. Ada perompak terlepas ke? Atau escort VVIP nih? Lina tarik lengan aku lantas mendekatkan tubuh kami hingga melekat. Dia nak tengok siapa yang datang tapi tak nampak sebab dia lebih rendah daripada aku yang dah sedia macho rendang ni.

Oooo… PM dah sampai! PM dah sampai!

“Mahathir!” aku pekik kat telinga dia sebab bunyi bising teramat dengan sorakan dan bunyi muzik entah apa-apa entah. Sebagai antara pengunjung berada paling depan, kami adalah yang paling hampir dengan laluan VIP tu. Jadi apabila Tun (masa tu Datuk Seri) Dr. Mahathir Mohamad, PM Malaysia keempat, melintas, kami dapat tengok wajah dia dengan amat jelas di bawah sinaran macam-macam jenis lampu tu. Dia tersenyum melambai ke arah kami. Aku sekadar senyum balik kat dia. Seganlah nak cakap apa-apa takut nanti orang tau yang aku kenal dia (tapi aku tak pasti kalau-kalau dia kenal aku).

Tapi Lina memang teruja amat malam tu! begitu amat terujanya dia sampai buat beberapa ketika, aku dah tak lagi kenal Lina kekasih hati aku ketika tu! Dia memekik “Datuk! Datuk! Datuk!” sambil melompat-lompat penuh keterujaan. Sinar seri di wajahnya memang jelas banget menggambarkan gembira. Memancar seri wajah Lina sampai aku rasa kalau tak ada lampu yang macam-macam tu pun dah boleh cukup terang setiap sentimeter Dataran Merdeka tu.

Lina… gadis yang amat lembut dan ayu, manis dan sopan tetiba malam tu menjadi… menjadi… menjadi apa ya…? Barangkali dia begitu amat gembira. Begitu amat teruja. Dia melompat-lompat sambil melambai-lambai ke arah PM seraya menyeru gelaran beliau. Aku terkedu seketika. Sungguh aku tak pernah nampak dia segembira ini.

Kami menghabiskan masa melayan upacara pelancaran tu. Kami tak banyak sembang. Nak sembang pun tak ada maknanya sebab suasana yang bising bingit. Tapi kami tak lama kat situ. Setelah seketika kami saling setuju untuk beredar. Maka antara orang ramai tu kami berhimpit-himpit dan bergesel-gesel lagi sampai bebas keluar dari Dataran Merdeka.

Aku kerling jam di tangan. Memang cari nahas kalau nak balik ke asrama masa ni. Aku pandang Lina dengan tenungan terkandung bahasa. Dia faham. Tak mungkin boleh balik ke asrama dengan aman sentosa tanpa soal jawab dengan Pak Guard time tu.

“Kita kena cari Hankyu,” aku kata, jujur dan ikhlas.

Lina mengangguk bersetuju. Maka kami meronda sekitar kompleks mahkamah hingga membawa ke Bus Stand Klang yang bukan terletak di Kelang tapi masih di Kuala Lumpur bersebelahan dengan Pasar Seni. Kami jelajah — kalau tak silap aku — dua buah Hankyu yang masing-masing penuh. Lantas kami sampai ke sebuah Hankyu yang nampak macam okey, tapi rasa-rasanya agak mahal sikit. Rasa-rasanya le. Mahal atau tak, memang ada kosong. Mahu tak mahu, belasah juga. Habis duit elaun hasil perahan tenaga untuk membayar cukai oleh rakyat jelata.

Aku tak tahu kenapa… Barangkali kerana Lina memang sudah sedia teruja dan gembira dan bahagia teramat kerana dapat melihat PM Mahathir dari dekat yang melambai-lambai kepada dia tadi agaknya. Atau mungkin kerana Hankyu tu mahal? Entahlah… Tapi aku rasa lebih kepada sebab dia dah sedia teruja, gembira dan bahagia sebab dapat tengok PM tadi. Mungkin itulah penyebabnya agaknya, kerana malam tu, di Hankyu, buat pertama kalinya, aku dapat merasakan satu pengalaman dan peristiwa bersama Lina yang tak pernah aku rasai dan alami sebelum ni, walaupun dengan Lina sendiri! Biar berkali-kali sudah kami melaluinya, tapi malam tu agak berlainan. Amat berlainan! Amat berbeza daripada sebelum ni!

Malam tu, merupakan nikmat yang paling amat terbaik dalam sebegitu banyak pengalaman yang sama dengan Lina sebelum ni. Amat terbaik! Amat, amat, amat terbaik banget!

Dan aku belum tahu ketika tu, bahawa nikmat yang amat terbaik tu, rupa-rupanya nikmat yang terakhir…

30 – Masihkah Lina…?

PURNAMA yang terang benderang menyinari langit malam sudah tak lagi berupaya menambah rasa romantikus di dalam jiwa. Hujan lebat yang mendinginkan suasana serta membasahkan setiap helaian rumput di bumi pun tak mampu menyemarakkan syahwat. Justeru masa seakan berlumba-lumba dengan umat manusia ketika tu. Subjek demi subjek daripada sumber yang buku rujukannya boleh mencederakan dengan parah sesiapa saja yang kena baling atau hempap dengannya mengisi hampir setiap saat yang berharga. Untuk pertama kalinya kawan-kawan seangkatan bersama aku terpaksa menempuh suatu alam peperiksaan yang serba baru. Serba asing. Serba sukar. Serba-serbi.

Macam mana nak menjawab soalan peperiksaan subjek perundangan? Empat subjek — English Legal System, Administrative Law, Law of Tort, Law of Contract. Semua law. Den peperiksaannya? Semua esei! Satu subjek pilih empat soalan. Satu soalan lebih kurang dua ke tiga halaman kertas kajang. Kalau empat soalan? Darab empat subjek? Zaman tu jawab soalan kena tulis tangan. Tak ada jawab guna laptop atau wordprocessor. Zaman sekarang ni pun sama gak kan? Despite the digital technological advancement dengan laptop, i-pad, i-phone, handphone, digital organizer, PDA, bla bla bla… kau orang jawablah soalan peperiksaan esei menggunakan pen dan kertas… aharks! Tak usah dok berlagak dengan para senior veteran macam kita orang ni. Pegi dah!

Dan nak menjawab soalan peperiksaan tu bukan macam tulis novel. Ingat boleh reka-reka cerita ikut suka hati Najwa Aiman ke? Boleh jalan! Facts! Facts! Puan Zura (kalau tak silap nama dia), tutor Tort kata “There is no right or wrong answer in law.” Agak ironis sebab selama ni dan sebelum tu aku fikir undang-undang ialah suatu wadah yang bagi tau apa yang salah dan apa yang betul, kan? But she was right. There is no right or wring answer in law — dalam peperiksaan! Yang dinilai ialah pengetahuan tentang undang-undang.

And that’s the whole point about studying law — knowledge of the law and how to apply it. Maknanya, sekadar tau tentang peruntukan undang-undang tak cukup. Kena tahu juga sumbernya, atau dalam intonasi dan nada mendiang Mr. Manual Valentine, “The au-THOOO-rity!”

“Boy! What is consideration?” jerkah mendiang Mr. Manual Valentine dalam tutorial hari tu, di dewan kuliah, selepas waktu lunch, sambil dia dengan selambanya menyedut dan menghembus asap rokok gudang garamnya dalam dewan berhawa dingin yang sejuk nak mampus tapi tak sedingin waktu musim bunga di UK (kata Ms. Sheila Tilley). Bekas criminal lawyer tu peduli haper boleh hisap rokok atau tak kat dalam dewan tu kan? Kan? Bukan ke? Ke?

“Errr… errr…” dan jawapan terkial-kial macam tu memang akan dapat impak respons yang amat memberangsangkan daripada dia.

“Idiot! Boy! Write your mama a telegram telling her that you don’t want to wear a black robe in three years time!”

Garang? Memang. Macam ketua mafia. Mata merah, kepala botak, perut besar, muka bengis… pergh…! Memang nak terkencing memanjang dalam group tutorial dia. Tapi guess what? Kebanyakan isi dalam law of contract lekat dalam kepala sampai sekarang! Dan kalau kau orang pernah tengok sesetengah para hakim beraksi dalam mahkamah… aiyooo…! Berkali-kali ganda lebih dahsyat dan brutal daripada Mr. Valentine pun ada beb! Dan orang tua tu sebenarnya benar-benar ikhlas menyediakan kita orang untuk menghadapi dunia yang sebegitu.

Anyways, buat pertama kalinya kita orang menempuh peperiksaan yang serba baru dunianya. Lina dan aku sibuk. Masing-masing sibuk teramat. Study, study, study, exam. Pening, pening, pening, exam. Tensen, tensen, tensen, exam. Bukan waktu yang sesuai untuk dating.

Dan selain daripada tu, aku juga sibuk melayan emosi dengan Mariza, tapi Mariza tak tau. Aku jadi salah sorang anggota editorial board bersama Mariza dalam publication yearbook NCUK masa tu. 3rd Scenario nama yearbook kita orang. Best! Best! Dan aku dapat peluang berada dekat dan hampir banget dengan Mariza, buat pertama kalinya, setelah hampir setahun memendam rasa je syok kat dia! Aharks!

Anyways, exam beb! Exam! Dan bertungkus-lumuslah kami semua di tempat yang agak aman tenteram dan harmoni tu, membaca, membaca, membaca dan membaca sambil cuba memahami dan menghafal pagi petang siang malam. Sesekali berdiskusi dengan rakan-rakan sebilik dan serumah. Kekadang gila sewel sekejap. Kekadang gila meroyan. Kekadang stim tapi tak boleh nak lepaskan dan tak ada masa nak lepaskan pun.

Dan selepas peperiksaan pun, Lina dan aku tak berkesempatan nak bermesra-mesra. Sibuk tentang nak pilih universiti atau politeknik di UK pula. Nak pergi mana?

“Sheffield,” kata Lina.

“Kenapa Sheffield?” aku tanya. “Leeds la. Uncle Dzam kata kalau buat Law, elok ke Leeds.”

Lina agak keberatan. Aku pun serba salah. Patut ke aku ke Sheffield juga? Apa lagi pilihan yang ada?

  • Huddersfield – aku tak tau tempat ni
  • Leeds – pakcik aku dan kawan Ayahanda aku kata bagus kalau nak buat law, dan dia orang tu memang loyar
  • Liverpool – aku tau kat sini ada pasukan bola yang best je
  • Manchester – kat sini pun ada pasukan bola yang best gak
  • Sheffield – macam pernah dengar, tapi tak berapa pasti. Tempat apa ni sebenarnya ek?
  • Bradford – orang kata kat sini memang feel at home — kalau aku ni Indian atau Pakistani laaa….!
  • Salford – ni lagi aku tak pernah dengar…
  • dan macam-macam lagi bawah NCUK.

Aku tak sure sekarang. Patut ikut Lina ke Sheffield? Kenapa dia nak ke Sheffield? Sebab kawan sorang tu yang dari MCHE yang dia jumpa masa Sukan Air tu ke? Dia tu nak ke Sheffield ke? Apa patut aku buat? Decision! Decision! Decision! Ke mana aku nak pergi ni? Leeds, dan aku akur pada nasihat pakcik dan juga Ayahanda aku sendiri yang bersetuju dengan kawan dia. Sheffield, dan aku akan terus bersama cinta hati aku yang selama ni aku letak sebagai keutamaan sampai ada ketikanya aku membelakangi arahan, perintah dan titah perintah paduka Ayahanda dan Bonda demi cinta kasih pada Lina. Patut ke aku buat keputusan untuk ikut Lina ke Sheffield? Kalau aku kata pada dia aku akan ikut ke Shefifeld, dia akan ubah fikiran dan tukar ke universiti lain pula ke…?

Bersambung…

31 – Bisikan Naluri Ungkapan Nurani

KEPUTUSAN dah pun dibuat. Lina akan ke Sheffield. Dan aku? Aku ke Leeds. Yup… kami akan terpisah fizikal. Taklah jauh sangat sebenarnya antara Leeds dan Sheffield ni, tapi memang mati kebulurlah aku kalau nak jumpa dia setiap hari mahupun setiap minggu. Bukannya boleh panggil nama dia sepelaung. Atau jalan kaki macam kita orang biasa buat dulu dari Pudu Raya ke PWTC. Kena naik kereta api setidak-tidaknya tau! Ingat tambang kereta api boleh bayar dengan bulu roma ke?

Dan sebut tentang kereta api, maka inilah kisah tentang gadis kereta api. Ya… gadis yang menghantui emosi dan pemikiran aku dulu. Gadis yang kekasihnya TC tu. Gadis yang aku intai dari jauh sama ada dari platform stesen KL semasa dia dalam kereta api yang mula bergerak ke Butterworth. Yang aku intai dari dalam kereta api yang aku naiki untuk ke Singapura bila dia dengan kengkawan dia meninggalkan platform stesen KL. Gadis yang amat manis walau apa jua mimik wajahnya. Gadis yang mendebarkan jantung aku setiap kali ternampak akan dia. Gadis yang menggegarkan jantung aku bila kudengar namanya disebut.

Rupa-rupanya dia masih belum hilang daripada emosi dan perasaan. Kenapa ya? Entah kenapa, bila aku fikir Lina dah kembali bertakhta dalam sangkar hati aku yang macam-macam bahan kimia dan toksik masuk ni, gadis kereta api tu masih boleh menjengukkan wajahnya. kemanisan wajahnya serta-merta melenyapkan geran tanah Lina dari premis hati aku. Tiba-tiba. Sekonyong-konyong. Terlalu amat pantas. Dan kini, terlalu amat kerap. Sangat kerap. Dan dia begitu amat berkuasa — gadis kereta api ni — sehingga Lina W sekalipun gagal menendangnya keluar daripada angan-angan dan imaginasi aku walaupun Lina W berjaya menghambat keluar Lina H! Sekali lagi, aku tertanya-tanya soalan yang sama — gadis kereta api ni ada bela hantu ke?

Tak seperti waktu cuti selepas peperiksaan macam sebelum ni, kali ni aku tak bekerja sambilan. Aku duduk rumah menambahkan isi dan daging. Hubungan dengan Lina H? Telefon… tidak. Surat… tak juga. E-mel…? Mana ada e-mel lagilah masa tu! Cet! Telefon bimbit pun tak ada tau! Ya… memang zaman lama, tapi bukan zaman Flinstones, okey!

Maka, di samping aktiviti menternak daging, aku keluar juga dari rumah untuk shopping — baju sejuk, baju panas, baju suam, termasuk seluar, spentot, setokin, sarung tangan, muffler, bagasi (ni akronim ‘beg gergasi’ ek?), bla bla bla… Barang-barang nak berhijrah ke UK. Bukan Ubi Keledek tetapi Ubi Kentang — United Kingdom. Dan sebenarnya dalam pada bershopping tu, aku curi peluang untuk ke stesen kereta api KL. Bukan nak beli tiket atau nak tengok lokomotif. Aku nak cari dan… kalau boleh… kalau dapat… kalau dia sudi… berjumpa dan berbicara dengan gadis kereta api tu barang seketika. Sekejap pun jadilah! Aku sekadar nak bagi tau dia bahawasanya aku… lelaki yang tak tahu malu ni… entah kenapa… bila berkenaan dia… tetiba jadi arnab. Bukan arnab Playboy, mahupun arnab yang beranak banyak-banyak sangat, tetapi arnab yang pemalu.

Aku tak pernah rasa segan atau takut apatah lagi gentar berdebar-debar dengan mana-mana awek selama ni, baik yang dah kenal mahupun yang aku tak kenal tapi cuba-cuba nak kenal. Nothing. Maklumlah, aku kan lelaki tak tau malu… Selamba tenuk aje. Tak ada rasa apa-apa. Tapi dengan gadis kereta api ni… isy…

Sebelum tiba ke stesen lagi aku dah berdebar-debar. Kenapa ni? Bila nampak stesen KL dari jauh, debaran jantung aku bertambah tiga kali ganda. Bila melangkah masuk ke stesen, debaran tu dah jadi getaran berfrekuensi tinggi. Aku fikir kalau aku masuk ke platform, jantung aku dah boleh dipecahkan menjadi molekul yang bisa bergerak menerusi rangka dan daging tubuh aku macam Superman pernah buat tu. Aku kerling jam di tangan. Kereta api dari Butterworth sepatutnya akan tiba dalam sedikit masa lagi. Kalau ikut jadual le. Gadis yang satu tu akan turun dari tren buffet coach tu nanti. Dia akan beriringan dengan kengkawan sekerja dia sambil mengukir senyuman yang tak pernah gagal meluruhkan jantung aku tu. Biar kepenatan sekalipun, senyuman tu tetap akan diukirnya. Tenungan matanya tetap memancarkan sinar. Gerak-gerinya tetap memikat dan bertenaga, melagukan irama yang begitu indah menari-nari di sepanjang alunan lengan dan badannya yang tak dapat nak aku gambarkan mahupun jelaskan. Ada sesuatu pada gadis yang satu ni yang menempelak semua awek lain hingga menghambat dia orang lintang-pukang dari dalam imaginasi bahkan hati aku ni. Justeru Lina H dan Lina W pun kecundang lantas menghilang dihambatnya. Siapakah gadis kereta api yang satu ni? Yang kasih sayangnya sudah direbut dan dijaga rapi oleh TC ni? TC itu ke yang menjadi bangsat memagar si gadis yang satu ni sampai aku pun boleh berdebar melihatnya walau dari jauh hingga rasa nak terkencing terberak? TC tu ke yang bela hantu suruh jaga gadis yang satu ni? Binawe wal-ketupat kutu!

Apabila tren yang dinantikan tiba, jantung aku bagai terhempas ke perut lalu terperosok terus ke dalam usus lantas menyumbatnya. Adoi… sembelitlah aku nanti aku lepas ni… Tapi tak apa! Demi gadis yang satu ni.

Aku tunggu melayan debaran yang semakin hebat. Sekumpulan rakan sepasukannya sudah turun dan berkumpul di stesen. Jelas amat uniform merah biru mereka tu. Aku perhati mereka satu persatu… Eh? Mana dia? Mana gadis tu? Mana gadis yang satu tu? Dalam tren lagi ke? Apa ke jadahnya dia masih dalam tren bila kengkawan dia semua dah turun dan berjalan perlahan-lahan berlenggang-lenggok meninggalkan platform? Takkan dia buat macam hari tu — terus ke Seremban untuk ke rumah kakak dia? Alamak… Kecewa… hampa… merana…

Tapi hari tu aku terus tunggu sampailah kengkawan dia tu hilang dari stesen KL dan sampai tren tu mula bergerak semula untuk meneruskan perjalanan ke Singapura. Kelibat gadis yang satu tu tak kelihatan pun. Kekecewaan dah jadi penderitaan kini. Adoi laaa… Lalu aku tinggalkan stesen KL tu membawa hati luka. Entah-entah dia bercuti dengan TC tu tak? Oh… sungguh amat celaka! Rasa nak mencarut aje ni… ohhh…

Tapi aku tak putus asa. Aku resah gelisah sejak hari tu. Resah teramat. Gelisah memuncak. Bengang. Marah. Hampa. Macam-macam… Apa hal dengan aku ni? Bukannya si gadis tu kenal aku pun. Bukannya aku pernah berbicara dengan dia pun. Tapi kenapa impak dan kesan si gadis yang satu ni sungguh teramat dahsyat mengatasi impak mana-mana awek sebelum ni, bahkan mengatasi impak Lina H sendiri? Huh? Si gadis yang satu ni — yang aku tak pernah bicara dengannya, yang bukan kekasih hati aku secara rasminya, yang barangkali tak pernah tahu pun manusia aku ni wujud — berjaya menjadikan Lina H — gadis yang selama ni memegang tampuk pemerintahan dan kuasa dalam takhta hati dan perasaan cinta kasih sayang aku, yang selama ni berkali-kali dengan aku ke Hankyu dan Jaya Jusco, yang telah berkongsi jiwa dan raga tanpa batasan — kecundang dari segi impak dan kesannya terhadap aku, luar dan dalam? Bagaimana mungkin? Bagaimana mungkin Lina H gagal mengatasi gadis yang masih bertaraf makhluk asing kepada aku ni sebegitu sekali? No way! Aku tak boleh biarkan Lina tewas dan tercampak keluar dari istana hati aku. Tak boleh!

Lantas beberapa hari selepas tu, aku sekali lagi gagahkan diri ke stesen kereta api KL. Aku mesti, mesti, mesti jumpa dia walau sekejap. Aku mesti nyatakan juga apa yang aku rasa kepada dia selama ni. Aku mesti luahkan semua emosi ni kepada dia walaupun aku tahu dia takkan terima sebab dia dah cintakan TC tu. Tapi aku mesti luahkan juga demi Lina. Aku mesti luahkan supaya emosi yang membina tembok sempadan dengan Lina ni dapat aku buang. Aku mesti buat semua ni sebelum aku tinggalkan Malaysia.

Maka setelah berpenat-lelah melawan dan bergusti dengan debar dan getar hati serta perasaan sendiri macam sampa nak tiga suku mati, aku berjaya tiba ke stesen KL dan menunggu tren dari Butterworth tu tiba. Tapi… seperti kelmarin juga, kengkawan dia turun tanpa dia! Apa hal ni? Mana dia? Takkan setiap kali aku datang stesen ni dia bercuti? Macam tau-tau aje aku nak jumpa dia. Atau… atau… oh..! Atau sebenarnya dia dah pun jadi isteri TC tu dan dah tak kerja lagi? Oh…! Tolong katakan tidaaaaaaakkk…!!!

Maka dengan perasaan meluap-luap dan begitu amat macho, aku menyapa kengkawan dia yang kini dah melangkah masuk ke dewan menunggu. Aku perlu tahu apa jadi dengan gadis yang satu tu. Aku mesti tahu!

“Dia dah berhenti,” kata salah sorang kawan dia tu.

“Dia kahwin ke?” aku tanya, tak sabar, tapi cuba tahan sabar, tapi tetap tak sabar. Gelojoh betul…

“Bukanlah,” kata kawan dia tu yang… hmmm… comel cute gak nampaknya… sambil gelak-gelak. “Dia tukar kerja. Dia kerja kat Subang Jaya sekarang. Dah lama dah dia berhenti sini dan kerja kat sana.”

Huh? Bagero! Kenapa aku tak tau ni dari awal-awal lagi? Kenapa? Kenapa? Habis tu? Apa perlu aku buat sekarang? Cari dia kat sana? Kat mana tadi kawan dia kata dia kerja? Oh ya… kat hospital di Subang Jaya tu. SJMC? Yalah tu agaknya. Macam mana aku nak cari dia kat sana? Bahagian mana dia kerja? Dia dah jadi doktor ke? Atau dia jadi nurse? Atau kerja pentadbiran di pejabat? Atau apa-apa aje? Nak cari macam mana ni?

Ahhh…! Perlu ke aku risau pasal tu? Nekad dan pergi ajalah ke SJMC dan cari sampai dapat. Teroka dan jelajah seluruh hospital tu. Kalau perlu teroka sampai ke bilik mayat sekalipun, akan aku teroka! Tapi sebenarnya aku berharap sesangat dia tak kerja kat bahagian bilik mayat tu… Seriau kecut juga nak ke situ kan? Eheks…

Tapi cari mesti cari! Ada sesuatu dalam naluri aku yang membisikkan bahawa aku mesti, mesti, mesti luahkan apa yang aku rasa ni. Aku mesti sampaikan kepada dia hasrat nurani ni. Aku mesti buat begitu sebelum aku berangkat ke UK meninggalkan Malaysia, dan meninggalkan dia. Mesti!

32 – Jambatan Merentangi Seberang

TEMPOH perpisahan dengan Lina kali ni agak berbeza. Hati aku tak terasa sebegitu kosong sangat macam bilik asrama NCUK tingkat empat. Dunia tak terasa sebegitu sepi macam jam 2:00 pagi di bangunan kosong Taman Shamelin. Kenapa ya? Barangkali kerana agak sibuk kali ni nak buat persediaan untuk berangkat ke tempat yang serba baru kut? Adat resam serba baru. Sosiobudaya serba baru. Mampu ke aku melalui semua tu ek? Apa yang aku perlukan untuk tempuh hidup baru ni? Cukup ke bekalan yang aku nak bawa ni? Bekalan apa yang aku nak bawa sebenarnya? Yang pastinya bukan bekal nasi lemaklah.

Hakikatnya memang aku sedar sangat-sangat — bahawasanya semenjak cuti bermula hari tu, Lina dan aku akan terpisah terus. Cuti selepas peperiksaan tempoh hari ialah turning point baru dalam dunia hubungan kita orang berdua. Aku takkan lagi dekat dengan Lina selepas ni. Dia ke Sheffiled, dan aku ke Leeds. Aku sedar sangat-sangat hakikat tu. Dan yang paling aku sedar sesangat ialah mampu ke kami saling jujur antara satu sama lain? Lina? Jujur ke dia?

Sebagai sorang lelaki ayu dan manja yang perasan bahawa aku kenal sangat perangai Lina, aku rasa Lina bukan jenis gadis yang akan menggadai dan melelong cinta sewenang-wenangnya. Lina bukan macam aku. Lina seorang yang jujur murni hatinya, kan? Tegap utuh perasaannya, kan? Kental kuat semangatnya, kan? Walau apa sekalipun yang menimpanya, dia kuat. Dia keras hati. Dia jujur ikhlas. Dia akan pertahankan cinta kami berdua. Aku yakin, sebab dia bukan macam aku yang suka sangat jadi lokomotif yang bercita-cita nak bergerak atas lebuh raya tanpa landasan.

Aku? Rasa-rasanya inilah masanya aku perlu buat perubahan dan transformasi besar-besaran pada diri aku sendiri. Aku mesti jadi dewasa, walaupun sebenarnya memang dah serabai atas bawah secara fizikalnya. Maksud aku jadi dewasa dari segi emosi. Aku mesti jujur dan setia. Aku mesti ajar perasaan dan emosi untuk jadi sekuat, sekental dan sekeras Lina. Mesti!

Tapi sebelum tu, aku mesti cari gadis yang satu tu. Gadis kereta api tu. Dia kerja kat mana kata kawan dia hari tu? SJMC?

Dan hari tu ialah hari di mana petangnya aku akan berangkat ke UK. Jam 7:00 PM aku mesti dah berada kat SIA. Ya… dulu tak ada KLIA. Dulu ada Subang International Airport yang memang terletak kat Subang. Bukan macam sekarang ada KLIA yang terletak kat Sepang. Pening ke mabuk? Nasib baik KL Sentral memang kat KL. Jadi aku ada sehingga jam 7:00 PM untuk cari, jumpa dan bicara dengan gadis kereta api yang satu tu. Gadis yang telah berjaya, hampir berjaya menghambat Lina keluar dari dalam hati aku. Gadis yang tak ada kena mengena dengan kehendak syahwat aku semata-mata. Gadis yang memanjat takhta perasaan yang sedang penuh cinta aku terhadap Lina tanpa dia sendiri sedar. Aku mesti jumpa dia untuk selesaikan masalah hati aku ni once and for all! Aku mahu berubah menjadi lelaki yang jujur setia dengan cinta Lina selepas ni. Aku mahu jadi lelaki yang terbaik bagi Lina zahir dan batin. Buat Lina. Demi Lina. Untuk Lina.

Habis tu apa ke jadahnya pula aku mesti jumpa gadis kereta api ni? Lantak ajelah, kan? Biarkan ajelah, kan? Bukannya dia kenal aku pun. Bukannya dia tahu aku wujud pun. Bukannya dia nak ganggu aku dengan Lina pun. Dah tu? Atau sebenarnya aku yang sedang mengalami delusi kronik ni? Sebenarnya aku yang menggatal sangat nak jumpa dia ni? Aku yang sebenarnya yang belum bersedia nak setia dengan Lina atau dengan sesiapa jua pun? Aku yang sebenarnya bajingan yang mencemar kesucian cinta Lina?

Malas nak fikirlah. Yang aku tau, sejak selepas A-Level dan bermulanya pengajian di NCUK, gadis kereta api ni kerap sangat menjelma dalam angan-angan bahkan dalam lena aku pun. Dan kemunculannya akan menghambat baik Lina H mahupun Lina W pergi jauh dari dalam imaginasi dan ingatan! Tak ada awek yang pernah buat macam tu selama ni. Tak ada awek yang boleh menghambat Lina dari dalam hati dan imaginasi aku. Malah tak ada awek yang pernah mengetuk pintu hati aku ni pun selain Lina sebelum ni. Tapi gadis kereta api yang satu ni…? Oh…

Jadi sejak pagi hari tu lagi aku bodek Ayahanda minta pinjam kereta. Nasib baik Ayahanda aku bagi pinjam walaupun penat juga kena premature audit dengan dia. Aku terus ke SJMC. Aku redah aje lobi hospital swasta tu. Ramai betul orang yang berpenyakit kat Malaysia ni rupa-rupanya ek? Dan yang baju uniform biru cerah dengan topi misi atas kepala ni semua siapa ya? Nurse ke? Comel-comel sungguh pula dia orang ni… isy, isy, isy… Alamak… Yang tu pun uniform juga, yang warna kuning krim sambil pegang mop tu. Gadis kereta api yang dah jadi gadis hospital ni pakai uniform ke tak? Kalau pakai, uniform yang mana? Dan aku nak cari dia kat mana dalam kompleks hospital yang penuh orang berpenyakit ni? Karang tetiba aku kena jangkitan AIDS karang camne? Isy…! Selisih malaikat 44, 49 dan 57!

“Hai!” aku sapa sorang awek yang paling cun antara yang ramai lalu lintas kat lobi hospital tu. Manis awek ni. Pakai uniform biru dan topi putih misi. Bentuk tubuh dan ketinggian tepat sangat ikut cita rasa aku weh! Kenapalah dia orang ni tak pakai name tag… adoi laaa… Kat sebelah dia ada sorang lagi yang pakai uniform yang sama tapi body agak berisi penuh air. Tak berkenan.

Dia orang berdua berhenti dan senyum kat aku. Aku tak perasan yang sorang lagi tu senyum ke tak sebab aku tak kuasa nak pandang yang sorang tu. Aku dah syok tengok misi yang comel cute ni.

“Nak tanya boleh?” aku sambung. Ada gelojoh gak sikit. “Kenal tak staf nama Zah?”

“Zah?” dia ulang. “Zah mana? Azizah? Azah?”

Alamak! Bagero! Ada berapa ramai ‘Zah’ kat hospital ni? Tu termasuk pesakit ke? Tak kut, sebab tadi aku sebut jelas ‘staf’.

“Dia kerja bahagian mana?” kawan dia yang banyak air tu pula sampuk. Kali ni aku pandang dia. Oh… dia pun senyum gak macam Misi Cute tadi. Tak berjenis betul soalan dia. Kalau aku tau dia kerja bahagian mana, aku terus ajelah ke bahagian tu, kan? Bukan ke? Ke?

“Tu yang masalah tu,” aku mengaku. “Tak tau dia kerja bahagian mana. Tapi saya mesti cari dia juga. Mesti cari dia hari ni juga.”

“Kenapa?” tanya Misi Banyak Air. Alahai… busy body juga dia ni… Perlu ke aku bagi tau dia? Ni hospital, kan? Hospital ni tempat kecemasan, kan? Tempat pertarungan hidup dan mati, kan?

“Sebab kalau saya tak jumpa dia hari ni, saya terpaksa menginap kat hospital ni kena penyakit,” aku jawab, macam orang bangang. “Saya tak tahan nak bagi tau dia yang saya suka kat dia.”

Dan tetiba pipi comel dan seluruh muka Misi Cute jadi merah sambil tersenyum tersipu-sipu. Yang Misi Banyak Air pula sekadar tersenyum sipu-sipu. Tak pasti kalau pipi dia merah juga sebab warna latar belakang kulit muka dia yang tak mengizinkan.

“Ni betul-betul ke apa ni?” tanya Misi Banyak Air.

“Ni betul-betul bukan cubaan!” aku balas sungguh-sungguh. Sememangnya aku jujur dan ikhlas teramat masa tu… dan juga gelojoh serta terdesak desperado. “Saya nak berangkat ke UK petang ni. Saya mesti bagi tau dia apa yang saya nak bagi tau ni. Kalau tak saya mati kejang dalam hospital kat sana. Kenal dia tak? Tau yang mana satu? Saya tak tau nama penuh dia tapi dulu masa kerja kereta api orang panggil dia ‘Zah’.”

Misi Cute dan Misi Banyak Air saling pandang sama sendiri sambil mata masing-masing macam menyampaikan bahasa yang isyaratnya hanya dia orang dua ekor aje yang faham.

“Encik ni kenal dia sejak dia kerja kereta api?” tanya Misi Banyak Air. Alahai… antara dua ekor misi ni, kenapalah bukan Misi Cute yang banyak bercakap dengan aku? Kenapa mesti Misi Banyak Air ni yang berinteraksi? “Encik dulu kerja sama dengan dia ke?”

Tapi jawapan Misi Banyak Air tu memberi satu maksud — nampak gaya dia tahu siapa yang aku maksudkan. Dan dia kenal siapa yang aku cari!

“Ya!” aku semakin terdesak nak cepat. Gelojoh betul, tapi aku terpaksa. Aku tak ada banyak masa. “Saya tak sempat nak bagi tau dia apa yang saya rasa pada dia dulu. Sekarang saya mesti bagi tau dia!”

Dua ekor misi tu sekali lagi pandang sesama sendiri. Apakah…? Wallaweh! Kalau kenal cakap ajelah kat aku weh! Yang kau orang main mata sama sendiri tu apa ke jadahnya?

“Jom,” kata Misi Banyak Air kemudian sambil mengisyaratkan aku ikut dia. Ada sengih di bibirnya yang nampak macam perli aku aje. Lantaklah! Janji aku dapat jumpa Zah! Tapi… betul ke dia kenal orang yang aku cari ni? Zah mana yang dia kenal ni?

Aku ekori aje dia. Sambil tu hati aku memang berdebar-debar teramat sangat! Sungguh kuat debar dan getarnya sampai aku rasa macam longgar nak luruh sendi-sendi kat badan ni. Misi Banyak Air bawa aku melalui lorong yang di kanannya penuh dengan klinik pesakit luar. Membelok di selekoh lorong tu buat jantung aku yang berdegup kuat tadi tu macam terhenti. Tu dia! Aku dah nampak! dari jauh lagi aku dah nampak dia — berbaju biru cerah dengan topi misi putih comel terletak atas kepala dia! Oh… memang dia! Dalam uniform yang selain merah biru ni, dia nampak begitu sungguh amat lebih comel dan manis serta manja gitu! Kalah manja aku! Alahai kaki, alahai lutut… kenapalah kau berdua tetiba terasa lemah sangat? Aku rasa macam nak rebah kat situ bila terpandang dia. Kenapa ni? Aku tak pernah rasa macam ni sebelum ni. Kenapa ni?

“Zah, ada orang nak jumpa kau,” kata Misi Banyak Air kepada dia dengan satu senyuman sinis sambil menuding ke arah aku.

Zah yang tadi sedang sibuk menulis sesuatu di kaunter klinik pesakit luar tu mengangkat kepala. Matanya merenung ke arah aku. Oh… mata itu… sinar mata itu… oh…!

Aku terkedu. Sungguh aku terkedu. Lidah aku kelu. Aku tak tau nak cakap apa. Aku tak tau nak buat apa. Sedang dia terus merenung aku dengan rias wajah yang berbaur antara hairan dan terkejut. Terkejut? Kenapa dia mesti terkejut pula ni? Dia ada nampak jin bertenggek atas kepala atau bahu aku ke? Atau dia nampak atas kepala aku dah tumbuh tanduk dua batang?

“Errr… errr… kau tak kenal aku… tapi… tapi…” alahai mulut, alahai lidah. Please… please don’t let me down at moment like this! Kenapa ni? Ada penyakit yang dah berjangkit kat aku ke dalam hospital ni sampai lidah aku kebas? Ada ke fenomena ubat bius terapung di udara lantas menyelinap masuk dalam mulut lalu meresap dalam lidah? Ada ke? Aku tak pernah alami keadaan macam ni pun dengan mana-mana awek sebelum ni. Kenapa aku jadi macam keldai dungu pula sekarang?

“Kenal,” ujar gadis tu, dan buat pertama kali suaranya berdesir masuk ke corong telinga aku yang dah bersih lopong sebab malam tadi aku baru korek habis bersih. Kenal? Dia kenal aku…? Ya ke?

“Awak kenal saya?” tetiba aku tak boleh pula panggil dia ‘kau’ dan bahasakan diri aku sebagai ‘aku’ lagi. Ewah!

“Kenal…” ujarnya sambil tersenyum. Comelnya suara dia! Manjanya lenggok intonasi kata-kata dia! Dan gerak-geri tubuh badan serta tangannya… oh…! Teramat lain… teramat berbeza… Teramat melekakan dan mengkhayalkan aku…

“Kenapa nak jumpa saya?” Tu dia! Soalan tu yang buat aku rasa macam nak terberak tu! Alamak!

“Awak habis kerja pukul berapa?” aku tanya.

“Pukul lima,” jawabnya, masih tersenyum. Dia memang kerap tersenyum sejak dulu, baik dalam keletihan atau tidak. Dan sama ada dia senyum atau tak, dia tetap manis. Amat manis sekali! Barangkali ini ke yang menjadikan Lina kecundang? Gerak-geri badan dan tangannya serta lentok kepalanya tika berbicara, inikah yang meletakkan Lina terjunam dari tangga teratas ke tahap paling bawah? Inikah kemenangan gadis ni ke atas Lina, tanpa dia sendiri sedar…?

“Okey, saya mesti jumpa awak petang ni,” aku cakap dengan yakin sikit sekarang. “Biasa awak balik naik apa?”

Dan aku kumpulkan semua maklumat yang perlu masa tu — di mana dia biasa tunggu bas, dengan siapa dia biasa balik, bas apa dia naik, bla bla bla… Dan aku buat temu janji dengan dia. Dia mesti tunggu aku di hentian bas depan hospital tu macam biasa. Tapi kali ni dia bukan tunggu bas. Dia mesti tunggu aku. Aku akan datang petang tu untuk ambil dia dan hantar dia ke tempat penginapannya. Aku janji aku akan datang.

Dan aku akan beritahu dia apa yang aku sepatutnya beritahu sejak dulu… Sejak setahun yang lalu…

33 – Air Pasang Di Seberang

BERGEGAS aku tinggalkan SJMC selepas tu. Aku besit kereta Ayahanda langsung ke Subang Parade. Macam orang nak terkencing terberak tapi tak jumpa tandas lagak aku masa tu mencari-cari mesin ATM. Kat mana? Kat mana? Hah! Tu dia!

Berapa banyak duit aku perlu keluarkan ni? Entah… Lantaklah! Belasah ajelah seratus ringgit. Cukup kut? Dah dapat duit tu sekali lagi lintang-pukang pergi cari kedai hadiah. Aku tahu memang ada satu kat sebelah hujung kompleks panjang ni. Aku pernah ke sini dengan Lina sebelum ni.

Kat situ aku tercari-cari hadiah yang sesuai. Aku nak berikan Zah sesuatu. Sesuatu yang boleh mengingatkan dia kepada aku bila aku dah berhambus dari Malaysia nanti. Sesuatu yang akan buat dia terbayangkan aku… Eh? Kejap… kejap…

Sebenarnya apa tujuan semua ni? Apa tujuan aku jumpa dia tadi? Apa tujuan aku nak jumpa dia lagi petang nanti sebelum aku terbang pergi? Bukan ke aku seharusnya luahkan perasaan yang aku pendam selama ni terhadap dia, dan selepas tu bagi tau dia bahawa aku tak mahu ada perasaan tu lagi, dan lepas tu aku berhambus pergi UK dan teruskan hubungan kasih cinta aku dengan Lina? Bukan tu ke tujuan asal aku?

But then again, kalau aku jadi Zah, aku peduli apa dengan perasaan Dzam? Siapa dia Dzam ni? Kan? Tiba-tiba datang jumpa dan bagi tau—

“Selama ni aku ada hati kat kau, tapi sebab kau tengah steady dengan TC, maka aku tak kacau. Aku pendam rasa syok kat kau ni sejak setahun lalu dan aku tak boleh lupakan kau. Tapi sekarang sebab aku nak berhambus dari Malaysia ni dan takkan jumpa dengan kau lagi, maka aku nak luahkan semua perasaan ni. Tu aje. Selamat berbahagia ya. Dan sebagai cedera hati, ambillah hadiah ni buat kenangan.”

Tu yang macam tak kena tu. Part yang last sekali tu. Tak masuklah. Tak logik. Tak kena. Tak sajak. Kenapa pula dia mesti kenang dan ingat aku? Bukan aku ke yang sepatutnya ingat dan kenang dia? Eh? Ya ke? Tu pun tak kena gak tu. Kenapa pula aku mesti ingat dan kenang dia? Habis tu Lina aku nak humban ke mana?

Semuanya tak betul! Semuanya salah, Dzam! Apa yang aku buat ni tak betul langsung! Salah! Salah! Salah! Aku tak perlu pun jumpa Zah to begin with. Nak buat apa aku jumpa dia? Kenapa aku mesti jumpa dia? Apa yang mendesak aku untuk jumpa dia?

Yalah… apa sebenarnya yang mendesak aku untuk jumpa dia…? Kenapa aku rasa aku perlu jumpa dia? Kenapa aku masih ada rasa mahu berada dekat dia, di sisi dia, sedangkan aku dah ada Lina? Kenapa aku masih ada rasa akan kehilangan besar yang teramat sangat kalau aku tak dapat jumpa dan berbicara dengan dia walau sekejap sebelum berangkat ke UK ni sedangkan aku seharusnya memikirkan macam mana aku boleh kerap bertemu dengan Lina bila sampai di UK nanti?

Sungguh… aku sendiri pun tak tahu macam mana Zah boleh menghambat Lina keluar dari dalam hati sebegitu mudah… Kenapa ni…???

Ah! Persetan dulu dengan hal tu. Sekarang aku nak cari hadiah. Hadiah yang mesti menyentuh semua pancaindera rasa, lihat, dengar, bau dan sentuh, kalau boleh. Harga dalam bajet. Mudah dibawa ke mana-mana. Dan aku dah jumpa — harganya dalam bajet, kecil dan ringan maka mudah dibawa ke mana-mana, cantik dan simple dipandang mata, dan mengeluarkan melodi yang indah di corong telinga. Hadiah ni cuma kurang dua ciri aje — tak melengkapi sedap disentuh atau dipegang dan tak mengeluarkan aroma yang harum. Tak apalah. Tak sempat aku nak cari hadiah yang menepati semua ciri-ciri yang aku dah rangka dalam kepala aku ni. Dapat tepati lima daripada tujuh ciri tu dah kira cemerlang habislah tu kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Hadiah tu ialah sebuah peti muzik berbentuk piano yang lut sinar, kecil, cantik untuk diletakkan di mana-mana tempat terbuka, dan mengalunkan irama lagu ‘Memories’.

Lantas hadiah yang siap dibalut kemas dan cantik tu aku bawa semula ke SJMC. Aku bergegas ke kaunter di mana dia bertugas tadi. Ketar habis seluruh sendi dan badan nak bertemu dengan dia semula. Tak tahu kenapa gadis yang satu ni begitu amat kuat auranya. Begitu amat kuat impaknya. Begitu amat terkesan dalam jiwa aku yang lemah dan lembut ni… cewah!

Dan dari jauh aku berhenti melangkah. Aku pandang dia di kejauhan tu. Gerak-gerinya amat memikat. Amat sangat! Gerak-gerinya ke yang menjadi tarikan dan senjata paling kuat hingga berjaya membunuh setiap bayangan dan arca Lina dari dalam jiwa aku ni? Apa yang gadis ni ada yang Lina tak ada ya?

Dari segi paras rupa, aku tak nafikan bahawa gadis ini punya ciri-ciri yang Lina tiada — dia bisa menyebabkan mana-mana lelaki menoleh buat kali kedua bila terpandang. Gerak-geri dan perawakannya jauh lebih menarik dan memikat dengan lenggok dan lentoknya. Wajahnya jauh lebih manis. Rias wajahnya nampak lebih lembut. Senyumannya lebih kerap terpampang. Dan bila berada bersamanya, di sisinya, amat terasa ramah dan mesranya. Mana-mana lelaki akan merasa selesa bersamanya. Merasa tenang. Merasa nyaman.

Dan… aku fikir… barangkali ini cuma aku — gadis ini lebih menyenangkan pandangan mata setiap kali terjaga daripada tidur bila terlihat dia di sisi. Imaginasi aku sering membayangkan demikian setiap kali dia bertandang di dalam khayalan. Naluri aku sering mendesak agar membelai dan mengusap wajahnya yang lembut tatkala dia baring terlena, mahupun pabila dia di dalam jaga. Gerak-geri dan gayanya sering mengundang kehendak agar tubuhnya didakap erat penuh kasih dan mesra.

Dan gadis ini seakan menyampaikan isyarat dalam bahasa naluri — bahawa dia perlu dilayan dengan baik dan sentosa. Bahawa dia mahukan belaian mesra yang diisi cinta. Bahawa dia seorang yang amat setia dan patuh kepada orang yang berjaya menawan cintanya.

Mungkin kerana aku melihat itu semua dalam dirinya. Mungkin selama ini, itulah yang aku cari-cari.

Tapi hakikatnya, itu semua bukan milik aku. Itu milik TC. TC tu! Celaka dia! Siapa dia ya? Ah… Tuhan Maha Adil. Gadis seperti Zah tak mungkin diserahkan kepada lelaki durjana dan tak cukup syarat macam aku. Barangkali TC tu sememangnya seorang yang jauh lebih layak untuk gadis seperti dia. Aku mesti belajar reda. Aku mesti belajar menjadi dewasa.

Lantas aku mengatur langkah dengan perasaan yang lebih tenang. Aku hampiri dia di mejanya. Terkejut sikit dia menerima kunjungan kali kedua aku masa tu.

“Ni untuk awak,” aku serahkan hadiah yang cantik berbalut tu kepadanya.

Seperti yang aku jangka dan bayangkan, dia terkedu sebentar. Tetapi kemudian dia tersenyum manja. Amat manis sekali. Indah sungguh gerak-gerinya menyambut bungkusan hadiah tersebut.

“Terima kasih,” ujarnya sambil tersenyum.

“Jangan lupa petang ni,” aku mengingatkan. “Tepati masa tau.”

Kemudian aku beredar. Hati aku rasa sedikit lega… dan lapang. Seakan ada bebanan yang sudah terlepas dari galas yang membebankan selama ni.

Seperti yang dijanjikan, petang tu aku jemput dia di hentian bas. Dia sudah berpakaian biasa, tidak lagi dalam uniform biru cair tu, namun dia tetap manis dan sedap mata memandang. Perawakannya membuatkan aku rasa tambah terpikat. Senyumannya tak pernah lekang.

Dengan bantuan dia menunjuk arah, aku hantar dia sampai ke rumah penginapannya di SS18 Subang Jaya. Dia tinggal beramai-ramai dengan rakan sekerjanya di situ.

Tetapi akibat kesuntukan masa, aku tak berbunga-bunga dan tak berbicara lama dengan dia. Di hadapan pintu pagar rumahnya, aku berterus-terang tentang perasaan aku sejak ternampak dia setahun yang lalu. Aku mengaku kepada dia bahawa selama bekerja kereta api tu aku buat benda bodoh — aku perhatikan dia dari jauh.

“Saya pun selalu nampak awak tengok saya dari jauh.”

Hah??? Gapo dio? Selama tu dia memang perasan yang aku dok buat benda bodoh tu ke?

“Saya tahu awak tunggu atas platform dan tengok tren saya pergi,” dia menyambung. “Saya nampak awak dari atas tren.”

“Awak tau?”

Dia mengangguk. Oh… sungguh manis cara dia mengangguk. Amat lain! Lain dari yang lain!

Kalaulah boleh, memang aku nak terus di situ bersamanya berbicara. Ada magnet yang amat kuat mencengkam hati dan perasaan aku untuk terus mendekati dan mengenali gadis manis ni masa tu, tapi aku takut ketinggalan kapal terbang! Ingat murah ke nak bayar sendiri tambang ke UK tu?

Jadi aku ambil alamat penginapannya, dan aku beredar. Hati aku tiba-tiba terasa kosong. Kosong dan sepi teramat. Lengang. Lapang. Sunyi. Kenapa ya? Kenapa aku rasa macam ni? Bukankah aku akan ke UK, ke sebuah negara di mana tidak ada Jabatan Agama Islam yang akan mengintai dan menghendap macam pervert yang desperado di taman-taman tasik? Negara di mana aku bebas berbuat apa saja di mana-mana saja dengan Lina nanti? Negara di mana aku bebas berjumpa Lina pada bila-bila masa? Negara di mana aku boleh peluk, dakap dan kucup Lina walau di lobi Meadow Hall sekalipun?

Tapi kenapa aku masih rasa kosong, sunyi dan sepi macam ni…?

Dan petang 4 September itu, aku berangkat di dalam kapal terbang bersama-sama rakan-rakan lain dari NCUK untuk ke London Heathrow, United Kingdom, lengkap berbaju kemeja, bertali leher dan berkot sebagaimana diarahkan oleh MARA. Namun aku rasa seperti tak semua diri aku mengikut aku terbang sama. Ada sesuatu yang telah tertinggal di Malaysia. Ada sesuatu yang amat penting telah aku tak bawa sama terbang ke seberang sana.

Dan aku tahu sangat apa yang aku tinggalkan tu. Aku telah tinggalkan satu-satunya yang aku ada. Aku telah tinggalkan hati aku di Malaysia. Aku telah terbang ke seberang di mana lautannya sentiasa surut, sedangkan di seberang sini airnya sentiasa pasang…

34 – Derus Air Mengalir

UNITED KINGDOM ialah sebuah negara asing bagi aku — iklimnya, bahasanya, masyarakatnya, budayanya, makhluknya — semuanya. Pertama kali menjejakkan kaki ke London Heathrow pada subuh-subuh buta tu sebelum burung hantu pun habis dating lagi, keluar dari perut kapal terbang dan terus masuk ke dalam bangunan lapangan terbang, aku rasa seolah-olah UK ini indah khabar dari rupa — tak sejuk pun!

Dan perasaan pertama yang melanda kalbu masa tu? Lapaq kebuloq! Yup… laparlah! Tapi nak makan apa? Apa yang boleh dan halal dimakan kat sini? Ewah-ewah… pandai pula nak memilih makanan yang halal ya? Selama ni menjamah awek yang tak halal tu tak nak tanya ke? Tak nak persoalkan ke? Blah laaa…

Maka kami pun mencekik Dunkin Donuts. Bolehlah buat alas perut sementara menanti ketibaan pegawai MARA dari Malaysia Hall. Harap-harapnya dalam sejam dua lagi sampailah dia orang tu. Harap-harapnya…

Dan aku berlabuh di salah sebuah bangku panjang di dewan lapangan terbang. Letih, penat, mengantuk pun ada sebab tidur tak tentu masa sepanjang perjalanan selama empat belas jam tadi selain daripada transit sekejap di Dubai. Macam mana nak tidur ikut masa kalau sepanjang empat belas jam tu tak nampak matahari? Berlepas dari Malaysia selepas matahari terbenam, dan meluncur di udara sentiasa ke arah barat bumi lalu mendarat di bumi sejuk beku ni sebelum matahari terbit. Gelap belaka selama empat belas jam. Mata pilot yang pandu pesawat tu barangkali dah boleh lawan mata musang dan burung hantu agaknya ek?

Dalam tersandar aku melayan jiwa — ada keterujaan nak keluar dari lapangan terbang ni segera. Nak tengok bumi UK ni. Nak rasa iklim dan cuacanya dalam musim luruh tu. Nak lihat manusia-manusia berkulit pucat, gelap dan campuran antara keduanya.

Pada masa yang sama keterujaan aku tu diempang satu emosi yang menongkah arus — sedih, kosong dan sepi. Ada wajah yang masih terapung-apung dalam kepala aku ni. Wajah yang menemani aku sejurus sebelum aku terlena dalam pesawat tadi. Wajah yang sama juga menemani aku semasa aku sedang lena. Dan wajah yang sama tu jugalah yang menyambut aku ceria apabila aku tercelik jaga.

Dan wajah tu, wajah yang sama tu juga, kini sedang berlegar dalam imaginasi aku masa tu membuatkan aku lupa tentang lapar dan penat. Wajah gadis hospital tu. Wajah Zah. Alunan suaranya. Lenggok gayanya. Segala-galanya…

Aku terbayangkan dia semasa dunia kereta api. Aku terbayangkan dia semasa dunia hospital. Aku terbayangkan dia dalam berbagai-bagai dunia… Dia… dan hanya dia…

Entah ke mana hilangnya Lina pada masa tu. Aku malah tak tahu pun bila tanggal penerbangannya ke UK. Yang aku tahu, aku tiba dulu. Eh? Ya ke? Entah… aku tak ingat…

Setibanya di Leeds lewat petang tu, setelah habis aku punggah bagasi aku mengeluarkan semua sampah yang aku import dari Malaysia tu, aku terlentang di tilam katil. Walau apa pun sampah yang aku dah punggah tu, yang erat tergenggam di tangan ialah buku kecil yang mengandungi alamat rumah kawan-kawan lama yang aku kumpul sejak dari sekolah rendah hinggalah tamat SPM. Cuma di A-Level dan NCUK saja aku tak masukkan alamat kawan-kawan kat situ. Kenapa ya? Barangkali masa tu aku sangka aku tak perlukan kawan-kawan sebab aku dah ada Lina. Ya ke? Ada bunyi macam bangsat tak statement ni?

Anyways, aku belek buku kecil keramat tu. Buku tu memang aku bawa dalam dompet aku sepanjang penerbangan tadi. Dan semasa pramugari yang tak berapa nak masuk kategori cita rasa tu hulur poskad, aku sambut. Dari buku kecil keramat tu aku cari alamat gadis hospital, lalu terkirimlah sekeping poskad kepada dia. Sungguh pada masa tu aku tak pasti sama ada dia akan terima atau tak. Dan kalau dia terima, entah dia akan balas atau tak. Eh? Kejap… macam mana dia nak balas? Dia bukannya tau alamat penginapan aku kat UK tu. Aku sendiri pun belum tau lagi.

Tapi petang tu dalam bilik tidur aku yang sempit macam kubur tu, aku genggam erat lagi buku kecil keramat tu. Dalam kepala aku ialah nak cari sekali lagi alamat yang Zah berikan sebelum aku berlepas datang ke negara fish and chips ni. Mudah saja mencari alamatnya — entri terakhir dalam buku tu. Tapi pada masa yang sama, entah kenapa, pada masa tu, wajah seorang lagi awek muncul tak semena-mena. Wajah yang sebenarnya dah agak lama juga tak pernah menyapa dan menjenguk. Tapi petang tu entah kenapa wajah tu datang menjenguk lantas menyapa.

Wajah tu ialah Azlina W. Gadis yang dah sedekad mengisi angan-angan dan obsesi aku selama ni. Begitu lama sungguh dia tak muncul sejak aku kerja kereta api tu. Sentiasa saja wajahnya dihambat oleh bayangan Zah. Tapi entah kenapa kali ni Azlina W dan Zah dapat berkongsi imaginasi dan memori aku. Agaknya sebab cuaca di UK ni kut? Cuaca musim luruh yang ikut suka hati aje nak berubah dari panas ke sejuk dan kembali panas suam-suam kuku. Sesekali meresap ke dalam saraf hingga ke tulang-temulang. Sesekali merayap ke anatomi sulit dan tak sulit. Isy…! Bahaya sungguh cuaca UK ni! Patutlah kat sini seks bebas tu okey aje kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Apa-apa hal pun, aku bertekad — esok aku akan menulis surat kepada Zah, dan juga Lina W. Walaupun alamat Lina W yang aku ada hanyalah alamat rumahnya yang diberikan kepada aku sedekad yang lalu, aku tak peduli! Aku nekad akan hantarkan surat kepada dia. Kalau dia masih tinggal di alamat tu, dia akan terima. Dan kalau dia terima, terserahlah dia nak balas atau tak. Barangkali dia tak ingat pun aku. Mungkin dia tak kenal pun.

Tapi kalau dia balas…? Macam mana? Macam mana ya…?

Ahhh…! Kalau dia balas, aku akan fikirkan kemudian apa nak buat selepas tu. Sekarang ni aku tak pasti pun antara Zah dan Lina W sama ada salah sorang akan beri respons kepada surat aku kepada dia orang nanti atau tak. Agaknya dua-dua takkan balas. Sudi ke dia orang nak balas surat yang dikirim oleh jantan yang tiba-tiba muncul daripada entah mana punya lubang atas muka bumi ni?Aku akan kecewa ke kalau dia orang tak balas? Hmmm… Kejap aku nak buat proses muhasabah emosi—

Kepada Lina W aku akan tulis bertanya khabar, masih ingat aku atau tak, aku masih ingat dia, dan aku tulis kepada dia sebab… sebab… sebab… Hmmm… Apa alasan aku nak berikan kepada dia sebab-musabab aku tulis surat secara terkejut kepada dia ni ek? Takkan aku nak kata aku rindu kat dia? Tak rindu pun. Aku teringat kat dia? Haaa… yang tu memang betul, dan berbunyi lebih logik dan lebih ikhlas. Jadi kalau dia tak balas surat tu, adakah aku akan kecewa? Sejujurnya, yup… mungkin sikit. Mungkin banyak. Mungkin aku akan mengeluh. Atau mungkin juga aku meraung-raung sambil tertonggeng-tonggeng? Tak kut rasa-rasanya… Mengeluh tu mungkin. Hampa sikit, ya.

Kepada Zah pula aku akan tulis bertanya khabar juga, masih ingat aku atau tak kalau-kalau bagi dia jantan yang jumpa dia kat hospital hari tu muka semua seakan sama macam pesakit-pesakit dia yang lain, beritahu dia yang aku masih dan sentiasa ingat pada dia, dan tekankan pada dia aku tak mungkin boleh lupakan dia sedang selama setahun sebelum i dia sentiasa menghias memori, imaginasi dan angan-angan aku, dan… ya… aku akan tanya dia sama ada dia sudi terus berkawan secara remote control dengan aku yang jauh seberang laut, seberang gunung, seberang banjaran, dan juga seberang lubuk. Maka kalau dia tak balas? Aku akan kecewa ke? Hampa? Sedih. Tertonggeng-tonggeng? Hmmm… Mungkin tidak, tapi… tapi… tapi aku rasa aku akan terus menghantar surat lagi kepada dia. Lagi… dan lagi… dan lagi… dan lagi… dan lagi… biarpun dia tak pernah membalas walau sekeping… Aku sanggup!

Dan Lina H? Lina kekasih hati aku yang akan bermastautin di Sheffield? Bila dia akan tiba ke bumi fish and chips ni ek? Aku tak ambil tahu pun! Oh… tak guna punya aku! Apa punya balak daaa… Barangkali aku patut tanya pada kawan-kawan rapat dia yang sama-sama memilih Leeds ni. Kawan karib dia sejak sebelum MRSM dan A-Level yang nama pun LINA juga tu memang ada di Leeds ni. Kawan rapat dia yang aku agak baru ngam semasa di A-Level pun ada kat Leeds juga. Mesti dia orang tahu.

Dan patut tak aku tunggu dia di Sheffield nanti? Tolong dia settle down. Dia dah ada tempat tinggal ke belum di Sheffield tu? Dia tinggal serumah dengan siapa nanti? Aku tau aku mesti ke sana menunggu dia tiba.

But then again… nanti seminit… nanti kejap! Aku nak cari kedai jual rokok yang dekat dengan rumah aku ni pun aku tak reti, macam mana aku nak ke Sheffield tu? Gila ke haper? Dan Lina yang aku kenal akan marah aku kalau aku ampu dia macam tu. Dia memang tak suka dengan cara aku ambil berat seolah-olah memanjakan dia.

“I can manage,” itulah yang selalu dia kata setiap kali aku tanya sama ada dia perlu aku bantu atau tak sejak kita orang berkasih dulu.

“You sure?” aku akan balas, biasanya. “Dzam boleh datang tolong kalau mahu.”

“No need, I can manage,” dan dia bertegas dengan jawapan tu. Ikut pengalaman, kalau aku desak nak bantu juga, suaranya akan semakin keras dan gayanya mengisyaratkan perasaan tak enak dan tak suka dengan apa yang aku buat tu mula nampak semakin menyerlah dari seluruh anggota tubuhnya.

“I can manage.”

Dan aku pun mengalah le. Tak mahu cari pasal. Ingat best ke berkelahi dengan perempuan? Buat aku rasa tak ada mood nak stim aje nanti. Tak best. Tak best.

Jadi lebih baik aku tak payah tunggu dia di Sheffield. Nak pergi ke sana pun aku belum tau lagi macam mana. Karang kalau tersesat terus sampai ke London karang…? Hmm… bleh cari budu kat Malaysia Hall. Lepas tu cari Mr. Bean tanya macam mana nak balik ke Leeds.

Dan bermula hari baru esoknya di tanah United Kingdom, sahabat karib baru aku di UK ialah Royal Mail. Ala-ala Pos Malaysia le tu. Dan senjata terbaru aku, yang baru aku kenal, ialah aerogram. Lantas aku pun menulis dua pucuk surat yang simple dan ringkas kepada dua orang gadis — Lina W dan, semestinya, Zah. Dan sungguh aku tak tahu apa respons dia orang, atau sama ada dia orang akan balas atau tak.

35 – Dan Lina Pun Menjelma

BERAPA lama masa yang akan diambil untuk sepucuk aerogram terbang dari Leeds, UK dan tiba ke destinasi di Subang Jaya, Malaysia ek? Dan sebaliknya pula? Seminggu? Sebulan? Alahai… jantung aku berdetup-detap sejurus saja aku masukkan dua pucuk aerogram ke dalam peti surat merah tepi jalan kat Park View Grove tu. Aku tak expect sangat Lina W akan balas surat aku. Tapi Zah…? Oh… Aku tau aku pun tak sepatutnya expect dia balas. Gadis yang dah dijaga elok dengan kasih sayang oleh TC tu takkan mahu mengubah rasa kepada jantan kabaret a.k.a. jantan keparat macam aku… oh…

Dan aku selalu ingatkan diri dengan kata-kata yang aku pun tak ingat sama ada aku reka sendiri daripada kreativiti berkarat ni atau aku tercedok entah dari mana — “Never give to high a hope”. Lebih tinggi harapan, lebih sakit dan parah bila jatuh. Maka berpada-pada, berwaspada dan jangan mengada-ada. Maka aku pun buat selamba ala macho gitu kononnya tak mengharapkan apa-apa balasan. Tapi sebenarnya rutin aku setiap pagi ialah memandang pintu depan. Kat UK ni tak ada peti surat persendirian. Setiap pintu rumah ada corong untuk posmen masukkan surat. Maka setiap pagilah aku perhatikan pintu rumah aku tu kalau-kalau ada surat berlonggok kat situ. Biasanya ada, tapi bukan untuk aku sorang. Untuk seisi rumah — bil-bil air, api, gas, bla bla bla… Haram jadah…

Aku tak ingat berapa lama, tapi rasa-rasanya hampir dua minggu selepas tu barulah aku terima surat pertama untuk pertama kalinya di tanah UK! Eheks! Best tau rasanya! Perasaan macam monyet baru jumpa taman permainan kanak-kanak yang ada banyak struktur untuk bergayut-gayut tu! Aku agak-agak ajelah perasaan tu rasa macam gitu sebab aku tak pernah tanya mana-mana monyet atau tentang perasaan sebenar dia orang. Dan aku bukan monyet, okey!

Menggeletar juga bila pegang surat tu! Daripada siapa agaknya ni ek? Tengok di belakangnya — Zah! Yabba dabba doo…!!! Weh! Zah kirim surat kat aku weh! Aharks! Dia balas! Dia balas! Dia balas surat aku weh!!!

Dan hanya dia. Tiada surat daripada Lina W. Hanya Zah. Dan apakah sembang kami dalam surat-surat kami? Well… hal-hal semasa tapi bukan fasal isu politik, ekonomi mahupun agama. Sebaliknya isu-isu sosiobudaya — apa saja yang aku nampak, rasa, fikir, jangka, anggap dan apa-apa ajelah sejak kaki aku menjejak bumi UK yang macam peti sejuk ni. Dan sembang dia pula? Biasanya lebih pendek daripada sembang aku tapi cukup untuk buat hati aku cair, meleleh membasahi seluruh perasaan sehingga banjir melimpah-limpah terus ke dasar perut lantas buat aku rasa macam nak ke jamban. Tapi aku tak pernah baca surat dia dalam jamban.

Dan biasanya aku ambil masa selang seminggu untuk berbalas-balas surat dengan Zah, bercerita tentang macam-macam perkara, tapi tak menyentuh hal perasaan dan jiwa. Macam sembang antara seorang sahabat dengan seorang sahabat yang lain. Aku bercerita tentang UK dan aku. Zah bercerita tentang… tentang… hmmm… sebenarnya dia tak bercerita sangat tentang Malaysia sebab dia tahu aku tak perlu tahu tentang Malaysia. Dah kampung aku kat Malaysia, kan? Jadi Zah lebih banyak bertanya tentang macam-macam perkara yang aku tulis dalam surat kepada dia sebelumnya. Jadi dalam surat berikutnya, aku akan jawab soalan dia tu. Dan dalam surat balasan dia pula, dia akan tanya soalan lain kepada jawapan yang aku bagi dalam surat aku tadi pula, bla bla bla… Begitulah biasanya. Jadi kami sentiasa ada isu nak sembang dalam surat. Best kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Sesekali aku akan kirim surat kepada Ayahanda dan Bonda untuk dikongsi sama oleh Dinda aku di Malaysia. Kadang-kadang aku sertakan gambar. Terfikir juga kalau aku patut kirimkan gambar juga kepada Zah di sana. Tu yang biasanya jadi masalah tu, sebab aku ni tak fotogenik. Sungguhpun aku comel dan jelita (suka hati akulah nak cakap fasal diri aku sendiri, kan? Bukannya aku cakap fasal kau orang, kan? Kan?), tapi dalam foto comel dan jelita aku tu hilang menyebabkan aku tak nampak ayu dan manja dalam gambar. Kenapa ya? Barangkali tahap comel dan jelita aku tu melebihi standard sebarang perkakasan dan device multimedia sehingga ia tak dapat dirakam dengan sempurna oleh sebarang peralatan dan perkakasan tercanggih zaman tu. Rasa-rasanya perkakasan tercanggih zaman sekarang pun masih substandard kecomelan dan kejelitaan aku kut rasa-rasanya, kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Dan demikianlah Zah dan aku terus menerus saling mengutus dan berbalas surat. Maka pada suatu hari yang bening, selepas membelek-belek gambar-gambar yang dah dicuci setelah dirakam menggunakan kamera analog yang aku beli di UK menggunakan duit elaun, aku pilih sekeping yang aku rasa menepati ciri-ciri yang aku dah rangka dalam kepala otak aku yang dah putih sikit ni — ada gambar aku yang nampak macam ayu, ada latar belakang Leeds, ada elemen yang menggambarkan sesuatu yang bukan Malaysia, dan ada potensi untuk dibalas dengan gambar juga! Amacam?

Lantas dengan debaran dan kalimah ‘bismillah’, aku pun masukkan surat yang kali ni bersampul dan mengandungi gambar tu ke dalam peti surat merah yang Mr. Bean buat tempat menyorok tu. Harapan aku agak membukit agar Zah akan membalas dengan gambar juga. Sangat-sangat mengharap. Sebabnya…?

Sebabnya, aku rasa aku dah semakin sewel di negara peti sejuk ni! Sungguh semakin sewel! Aku tak tahu kenapa, tapi aku berteori macam-macam tentang kenapa aku jadi tak keruan kat sini—

  • Cuaca sejuknya — cuaca yang macam menyelam dalam air batu tu membuatkan aku teringat pada Lina H. Tapi bukan diri dia yang aku kenangkan, sebaliknya pengalaman kami bersama. Aku sentiasa terkenangkan dakapan yang menemu dan menyatukan kehangatan tubuh tak bersalut sewaktu di Hankyu sebelum dan semasa Jaya Jusco (selepas Jaya Jusco tu aku tak ingat sebab biasanya aku dah hanyut berdengkur tak sedar diri time tu… eheks!)
  • Bahasa — Aku terpaksa tempuh kepayahan telinga dan lidah untuk suatu tempoh juga sebab tak ada sorang pun cikgu bahasa Inggeris aku kat Malaysia yang ajar aku tentang bahasa Inggeris pasar kat UK ni sepanjang aku belajar dulu. Maka carilah taik telinga nak tune dengan bunyi pelat Yorkshire yang jauh sangat-sangat bunyinya daripada Queen’s English yang biasa diajar dulu. “Wa’er polo” dan bukan “Water polo”. “Fo’ee five peeiy” dan bukan “Forty five pee.” “Laeiids” dan bukan “Leeds”. Aku jadi rindu teramat nak bersembang dalam bahasa Melayu dengan intonasi yang lembut, manja, mendayu, mengada-ada gitu, tapi takkan aku nak sembang macam tu dengan jantan-jantan serumah aku tu? Awww…! Aku mesti sembang dengan awek aje macam tu. Dan gadis — satu-satunya gadis — yang mendesak kehendak aku untuk bersembang dengan dia sedemikian ketika tu bukanlah Lina W atau Mariza, atau Tan Yuen Hui, atau Awek Lone Ranger. Malah bukan juga Lina H! Sebaliknya, gadis tu ialah Zah! Adoi laaa…
  • Sepi — Sepi sebab susah nak keluar rumah. Sejuk! Dan dah tak boleh keluar rumah, maka bosan. Bila bosan, tonton TV. Bila tonton TV, semua cakap orang putih, bahasa Yorkshire, bahasa London. Nak sembang dengan housemate, nak cerita pasal apa? Budak Law dengan budak Engine dengan budak Business. Ini baru betul ayam bercakap dengan itik bercakap dengan angsa bercakap dengan flamingo. Of course, flamingo tu ialah akulah kan? Kan? Takkan aku nak bersembang dengan kucing UK ni yang saiznya sama besar macam anak anjing German Shepherd Malaysia ni? Nak bersembang dengan anjing? Haaa… tu memang baru betul-betul British! Memang dia orang kat sini suka sesangat bersembang dengan anjing! Serius!

Maka penantian ketibaan surat daripada Zah adalah sesuatu yang amat-amat sangat menyeronokkan. Bila menjenguk di pintu dan selepas menyelak-nyelak surat lalu mendapati tak ada surat daripada dia, aku jadi amat kecewa, sedih, depressed dan kosong sepi.

Sebab tu pagi tu aku rasa ceria benar! Ceria sebab semasa aku selak-selak kepingan surat-surat kat meja, ada sekeping surat untuk aku. Aku capai surat tu sambil tersenyum menayang gigi yang belum digosok ni. Tapi tiba-tiba aku jadi hairan pula. Hairan sebab kali ni tulisan tangan atas surat tu bukan lagi tulisan Zah. Tulisan Zah lebih beralun, lebih ‘berhias’. Tapi tulisan yang kat atas sampul ni lebih simple. Setiap abjadnya tak ada alunan yang berhias. Tak ada ekor-ekor. Tak ada lentik-lentik. Siapa ni…?

Aku belek setem. Selangor. Surat Zah pun dari Selangor juga. Yang ni siapa pula? Takkan Ayahanda atau Bonda atau Dinda aku yang hantar? Aku kenal semual tulisan tangan dia orang.

Jadi aku bergegas panjat tangga naik ke atas semula, masuk ke bilik dan buka sampul surat tu. Terdapat dua helai kertas biru di dalamnya. Tulisan di atas kertas tu juga sama macam tulisan atas sampul tadi.
Aku pun belek nama pengirim. Alamak weh…!!! Biar betul ni???

Surat itu — buat pertama kalinya selepas hampir sepuluh tahun — datang daripada Azlina W…!!!

Dan aku rasa macam nak pengsan…

36 – 1, 2, 3…?

MUJUR juga aku tak pengsan betul-betul sebab masa tu aku baru aje tersedar daripada pengsan yang diiringi dengkuran indah sepanjang malam. Aku cuma macam nak pitam aje sebab teramat-amat terkejut! Sesungguhnya aku memang terkejut! Sumpah aku memang tak menjangka langsung Lina W akan membalas surat aku. Gadis yang kali terakhir wajahnya aku lihat ialah sepuluh tahun dulu — dan masa tu aku sendiri pun belum baligh lagi, dan dia… dia… Hmmm… Tak tahulah pula aku dia dah baligh ke belum masa tu tapi mengikut hukum sepatutnya dia dah dianggap baligh sebab usianya masa tu dah melebihi sembilan tahun. Tapi masa tu dari segi fizikalnya, bagi aku, dia masih budak-budak.

Dan itulah kali terakhir aku lihat dia. Tak pernah walau sekali mahupun sekelip aku tengok wajah dan rupa dia lagi selepas tu. Dan kini, selepas hampir sepuluh tahun berlalu, aku tiba-tiba terima sepucuk surat daripada dia! Sebagai balasan kepada surat eksperimen aku tempoh hari. Yang aku tak jangka langsung akan terima. Aiyooo…!!! Macam mana ni…?

Macam mana agaknya rupa Lina W ni sekarang ya? Masih comel macam dulu? Dia mesti dah dewasa sekarang. Jadi adakah comel yang dulu kini dah jadi jelita? Dulu dia budak-budak. Sekarang dah boleh jadi mak budak. Mungkin ke badan dia yang dulu slim dan… dan… dan… well… menarik kini dah jadi gemuk? Alamak! Ya ke?

Dan apa yang dia buat sekarang ni? Surat ni datang dari Malaysia dan tu bermakna dia bukan di luar negara. Barangkali dia sedang belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia? Kalau benar, universiti mana? Ambil kursus apa? Aku pasti dia mesti di universiti sebab Lina W yang aku kenal dulu — walaupun di sekolah rendah — ialah antara pelajar bijak dan cemerlang. Pastinya dia di peringkat tertiary sekarang.

Tapi macam mana rupa dia sekarang agaknya ya? Kalau aku terserempak dengan dia, masih ke aku boleh kenal dia lagi? Atau dia masih boleh kenal aku lagi? Sepanjang yang aku tahu, kawan-kawan sekolah rendah aku dulu selalu kata yang aku tak berubah (ehem… awet remajalah tu kan? Kan? Atau awet belum baligh?) Kalau terlanggar bahu dia, aku ke yang akan tersungkur atau dia, bergantung pada saiz badan masing-masing? Dan kalau aku bercakap dengan dia, aku atau dia yang terpaksa mendongak? Alahai…

Jadi walaupun hati aku membentak nak membalas segera surat terkejut daripada Lina W tu, aku terpaksa pendamkan dulu kehendak ni. Aku tak mahu terburu-buru. Barangkali Lina W membalas sekadar courtesy. Sekadar beradab sopan. Bertanya khabar kenalan lama. Tak lebih daripada tu. Adoi laaa… bongoknya aku sebab menyangka ada rasa yang lebih daripada sekadar tu, kan? Kan?

Jadi aku simpan dulu surat keramat terkejut tu. Aku harap surat tu tak melompat lari keluar menghilangkan diri. Rasa-rasanya tak kut?

“Budak-budak yang comel masa kecil, bila dah besar mesti tak lawa,” kata Jahar Boreh. Dia selalu bagi komen macam ni bila nampak budak-budak orang putih yang comel-comel. Masa tengok anak-anak Melayu post-grad pun dia komen macam tu juga kadang-kadang. Bila tengok awek-awek dewasa yang cun mahupun yang tak cun langsung pun dia bagi komen macam tu juga tapi dalam versi yang berbeza.
“Mesti dia tu masa budak-budak dulu comel,” atau “Mesti masa budak-budak dulu dia hodoh tak comel,” bergantung pada keadaan rupa paras dan tahap jelita awek tu masa tu.

Dan kata-kata Jahar tu sebenarnya ada sikit masuk dalam kepala aku lantas mencuit sikit emosi dalam imaginasi aku terhadap Lina W versi terkini. Memang dulu — bagi aku — Lina W sungguh… sungguh… sungguh… apa ya…? Sungguh best! Muka dia comel! Menepati cita rasa gitu. Rasa nyaman sangat bila pandang muka dia. Tapi masa tu aku belum baligh, maka rasa nyaman aku taklah sama macam rasa nyaman memandang muka dia selepas aku baligh. Tapi tulah masalahnya. Aku tak pernah tengok dia selepas aku baligh.

Tapi setahu aku, budak-budak lelaki kelas dia ramai yang menyampah dengan dia. Yang bagi tau aku ni ialah salah sorang budak lelaki kelas dia yang paling handsome masa tu. Rupa macam kacukan orang putih. Kenapa? Aku tak pernah tanya. Aku tak berminat nak tau. Biarlah dia orang semua menyampah. Lagi bagus! Kuranglah saingan aku!

Dan kalaulah kata-kata Jahar tu benar, adakah tu bermakna bahawa Lina W kini tak jelita? Hmmm…

Boleh aja kalau aku balas surat dia tu dan minta dia kirimkan gambar dalam surat dia yang berikutnya kan? Bukan ke? Ke? Boleh kan? Minta ajalah dia hantar. Tak ada masalah. Masalahnya ialah sama ada dia nak akur dan tunaikan atau tak… aharks! Tu satu hal. Satu lagi hal ialah kalau dia akan fikir “Apa ke tak senonoh benar jantan ni suka-suka hati nak minta aku bagi gambar aku kat dia? Dia ingat dia tu siapa?”
Alahai… Dah le dia tak kenal aku sangat. Sekolah dulu pun beza umur setahun maka tak duduk sedarjah apatah lagi sekelas. Lepas tu suka-suka nak minta gambar? Tak takut risiko kena jampi? But then again… bomoh buaya mana pula yang pandai nak menjampi gambar kat UK ni kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Maka aku pun berkeputusan untuk mengatur langkah waspada. Slow and steady. Tak boleh terburu-buru. Apa yang aku nak kejar sebenarnya? Well… adakah aku terniat nak jadikan dia awek aku sekarang? Ya ke? Masih ada ke perasaan tu? Masih wujud? Masih subur? Betul? Nampak gayanya kena selami semula hati dan perasaan sendiri ni. Tak cukup selam hari tu. Atau memang sebenarnya menyelami hati sendiri ni sesuatu yang bukan macam pergi haji? Bukan sesuatu yang memadai buat sekali seumur hidup? Malah mesti buat berkali-kali, dari masa ke semasa? Ya ke?

Jadi mesti ke aku gunakan peluang berhubung jarak jauh beribu-ribu kilometer seberang laut melalui warkah ni sebagai wadah dan alat untuk mengurat dia? Perlu ke aku mengurat dia? Yakin ke aku nak mengurat dia? Dia ke Lina W yang aku kenal dulu? Masih ke dia Lina W yang itu? Yang aku simpan tanpa sedar dalam sektor memori emosi yang dah pun diformatkan sebagai hidden file ni? Isy…

Lantas perlu ke aku mengurat dia? Masih lagi ke aku berminat pada dia? Kalau dia seperti Lina W yang dulu, dan meniti dewasa mengikut alur dan acuan tu juga, jangan kata aku, John Major PM Britain masa tu pun mesti nak mengurat dia punya! Apatah lagi kalau Rowan Atkinson!

Dan kalau aku mengurat dia pun, bole berhasil ke? Dari jarak beribu kilometer ni? Dengan hanya bersenjatakan warkah? Tanpa peluang nak mengeluarkan suara aku yang manja, lembut, mengada-ada ni? Mana boleh, bang!

Dan katalah aku berhasil sekalipun… Zah macam mana? Zah…! Zah macam mana…? Tapi… Zah dah ada TC. Mesti dia sayang habis pada TC tu kan? Kan? Betul ke? Habis tu kenapa dia berbalas surat dengan aku? Oh… barangkali Zah sekadar anggap aku kawan. Kawan yang boleh beri input dan maklumat dan cerita dan kisah dari pengalaman sebenar tentang kehidupan di luar negara kut? Kan?

Tapi… tapi… Ah! Aku masih ada perancangan terhadap Zah. Aku masih belum korek lagi daripada dia tentang TC tu. Aku masih belum pastikan lagi status sebenar dia sekarang. Masih lagi ke dengan TC tu? Masih lagi ke dia orang keluar dating? Adoi laaa…

Barangkali aku perlu buat strategi macam Allahyarham Tunb Abdul Razak, PM Malaysia kedua tu. Strategi serampang dua mata. Barangkali aku perlu menyerampang serentak! Wow! Biar betul ni, Dzam…? Dua sekali?

Eh…? Kejap? Dua aje ke sebenarnya? Betul ke dua?

Dan Lina H…? Oh ya! Lina H! Errr… dia dah sampai ke UK dah kan? Kan? Bukan ke…? Alamak…!!!

37 – Sudah Tiada Lagi ‘Pride’?

SHEFFIELD memang tempat asing bagi aku. Alah… Leeds pun tempat asing gak sebenarnya. Seumur hidup itulah kali pertama aku jejak kaki ke situ pun. Dan hari tu aku ke Sheffield bersama kawan-kawan. Tak ramai pun. Tiga orang aje. Garn ada sama. Nak buat apa ke Sheffield tu? Nak melawat kawan-kawan dan… as for me… of course atau may be of curse… nak jumpa Lina H.

Kami naik kereta api dari Leeds ke Sheffield. Perjalanan dalam… hmmm… berapa minit ek? Aku pun tak ingat. Tak ambil peduli berapa lama. Fikiran aku masa tu lebih sendat dengan resah sebab cuba kontrol debaran dada yang macam enjin motor kapcai yang diperah di puncak upayanya. Dah lama amat rasanya tak bertemu dan berhubung dengan Lina. Sihat ke dia? Gemuk dah ke dia? Cerah dah ke kulitnya? Dan yang paling penting, masih ke dia ada perasaan yang sama terhadap aku seperti sebelum ni? Masih lagi ke ada sayangnya? Atau dah berkurang hampir kosong tangki tu? Entahlah… yang aku tau tangki air aku ni aje yang masih dok penuh-penuh tak kosong-kosong lagi.

Kami naik teksi hitam British ke asrama penginapan Lina. Sebenarnya kawasan perumahan di Sheffield yang dijadikan asrama untuk siswa antarabangsa. Biliknya di tingkat paling atas. Sebelah loteng.

Dan Lina menyambut kami dengan mesra — ada senyuman dan sapaan mesra. Kerap kali aku jeling-jeling ke arah dia sepanjang kami dilayan. Kami tak masuk ke dalam bilik dia. Sekadar duduk di dapur asrama tu yang lengkap dengan kerusi, meja, peralatan memasak, bla bla bla… Bagus juga asrama dia orang ni.

Dan aku difahamkan seluruh blok tu ialah asrama untuk siswa antarabangsa dari berbagai-bagai negara, termasuk negara UK tu sendiri. Oh… macam tu ek? Campur ke lelaki dan perempuan? Sepanjang kat situ, apa yang aku nampak dalam unit yang dia duduk tu semua perempuan aje.

“Lelaki duduk kat blok sebelah,” begitu Lina menjelaskan. Dia ke yang jelaskan atau kawan dia sorang lagi tu yang aku tak ingat siapa? Tak kisahlah.

Ada juga ke jantan-jantan Malaysia yang duduk asrama kat Sheffield ni? Entah. Tak bertanya. Tak perlu.

Malam tu kami bermalam kat asrama Lina. Bukanlah dalam bilik dia, tapi kat sebelah bilik dia — kat dalam loteng! Dah tu? Takkan nak suruh Garn pun tidur dalam bilik dia? Nak mati ke? Dan kami pun melayan ketar kesejukan malam tu! Sejuk banget siot! Dalam tu bukannya ada heater. Corong heater pun tak masuk ke dalam tu! Adoi laaa…

Dan perasaan aku setelah bertemu Lina hari tu? Sejujurnya aku memang rasa nak sangat-sangat bertemu dengan dia. Sejujurnya kalau bukan dengan Garn, memang aku dah dakap dan cium dia bila bertemu hari tu. Nasib Lina baik sebab Garn ada. Kalau Garn tak ada, nasib aku pula yang baik. Dah tentu aku tak tidur kat loteng tu, kan? Dah tentu aku tidur kat tempat yang ada pemanas, kan? Dua jenis pemanas sekali gus, kan?

Tapi apa yang aku rasa sebenarnya semasa bertemu, dan selepas bertemu dengan dia di Sheffield tu? Hilang ke rasa rindu ni? To begin with, ada ke rasa rindu aku pada dia sebelum bertemu dengan dia tu? Ada ke? Apa sebenarnya bisikan emosi dan perasaan aku masa tu sebenarnya ya?

Maka, aku bertekad akan datang semula ke Sheffield selepas tu, tapi kali ni aku akan pergi sendirian. Aku tak pergi ke rumah kawan-kawan lain dah. Aku akan terus ke asrama Lina, dan semata-mata ke asrama dia.

Dan sememangnya aku ke Sheffield selepas tu, tapi bukan dalam tempoh segeralah. Tak ada duit nak buat tambang! Habis dah duit buat beli peralatan, bekalan, buku, bla bla bla… Maklumlah baru nak settle down kat negara asing. Jadi agak beberapa minggu berselang sebelum aku dapat ke Sheffield semula… sendirian.

Aku terus ke asrama Lina. Sungguhpun kali ni aku masih terasa nak dakap dan cium dia sepuas-puasnya bila bertemu, tapi aku tak buat pun. Kenapa ya…?

Kami sembang-sembang, tapi kali ni bukan di dapur. Kami sembang-sembang di bilik dia. Snap gambar. Aku habiskan masa meneliti, meninjau sambil mengkritik dan sikit-sikit mengutuk bilik dia dan hiasan dalamannya. Kami duduk di katil yang kecil dan sempit tu sambil bersandar ke dinding.

Kami sembang dengan mesra. Dan pada ketika tu, aku tersedar sesuatu. Sesuatu yang rupa-rupanya selama ni aku tak sedar — bunga-bunga cinta dalam hati aku selama ni kuncup layu. Tapi hari tu, hari di mana kami kembali berdua, di mana aku terhibur sekali lagi dengan kemanjaan dan kemesraan Lina, aku dapat rasakan bunga-bunga cinta dalam hati aku kembali mekar. Kembali segar. Aduhai… betapa aku boleh terlupa tentang wujudnya bunga-bunga cinta yang pernah aku semai dan siram sejak tiga tahun lepas dalam taman hati aku sendiri? Kenapa ni?

“Kami dah pindah ke Kuala Krai,” kata Lina. Dan seperti biasa dia akan rancak bercerita tentang adik lelaki kesayangannya. Adik-beradik dia memang semuanya mempunyai nama yang bermula dengan abjad yang sama. Liza H, Lina H, Napi H (ada sorang lagi ke? Entah.. tak ingat…). Dan kisah kenakalan dan kebuasan Napi memang tak pernah ketinggalan punya. Masih lagi ke agaknya Napi suka ratah bawang goreng yang digelar ‘sambal’ tu ek?

Sepanjang dia berbicara aku tenung wajah dia. Aku tak pasti masa tu sebenarnya sedalam mana rasa cinta aku terhadap Lina. Aku tau aku masih ada rasa tu. Masih ada. Masih rindu. Masih sayang. Tapi sedalam mana? Bunga-bunga dalam hati ni semakin mekar tapi masih ke mekarnya macam dulu? Apa dia sebenarnya yang dah mempengaruhi kesuburan bunga cinta aku terhadap Lina ni ya?

Dan senyuman Lina yang masih manis, walaupun sebenarnya aku dapat nampak bahawa ia tak semanis dulu. Lentuk kepalanya yang masih manja. Nada suaranya yang masih mesra. Sesekali apabila bahagian badan kami bersentuhan, kehangatannya masih dapat aku rasa. Memanglah hangat, kan? Kalau dah tak hangat tu maknanya mayatlah tu, kan? Kan?

Daripada keadaan duduk, kami berbaring di katil sempit tu. Dan kami masih terus bersembang. Okey… sebenarnya Lina yang masih terus bersembang. Dia memang jauh lebih ramah daripada aku. Gelak ketawanya masih comel. Gigi jagungnya yang bersusun… dan kedinginan iklim UK di luar sana… oh… syahdu…

Tapi masih ada yang kurang. Ada yang tak kena. Dan aku terasa amat kekurangan tu apabila dalam keadaan sedemikian, dalam keadaan kami berbaring dengan tubuh kami saling berhimpit di atas katil sempit tu, ada bara kehangatan yang semakin membakar. Tapi bara tu tak begitu memijar dalam emosi aku.

Sebaliknya, aku tahu ia amat memijar dalam emosi Lina apabila lengan Lina yang diselaputi bulu roma halus tu menggapai dan merangkul tengkuk aku, lantas merapatkan muka aku ke wajahnya. Dan buat pertama kali dalam tempoh yang begitu amat lama dirasakan, bibir kami saling bertaut.

Tapi masih aku terasa kekurangan tu. Bukan dia. Bukan dia yang kurang. Bukan Lina, tetapi aku. Aku tahu sangat-sangat kerana ketika itu, rangkulan Lina semakin ketat dan kedap, menarik bukan sekadar wajah, tetapi juga tubuh aku ke tubuhnya kini.

Tetapi aku… aku tak terasa berkehendak! Dan aku sendiri tak tau kenapa…

Tak pernah aku menolak awek yang mahukan aku, terutamanya dalam keadaan macam Lina dengan aku masa tu. Tak mungkin! Mustahil! Ya, aku balas dakapan Lina yang menghangatkan. Ya, aku balas kucup bibir Lina yang mengghairahkan. Tapi… setakat tu saja… Aku tak ada kehendak mahupun rasa untuk berbuat lebih daripada tu. Kenapa ni? Kenapa?

Dan aku berkata-kata dalam nada selembut mungkin kepada dia. Aku tak mahu lukakan hati dia macam yang pernah berlaku sebelum ni.

“I have my pride!” Lina pernah berkata demikian suatu ketika lama dulu semasa kami masih di A-Level kalau tak silap. Marah dan kecewa benar bunyinya ketika tu membuatkan aku rasa bersalah teramat terhadap dia. Silapnya hanya kerana aku melengah-lengahkan apa yang sepatutnya aku dah teruskan semasa di Hankyu tu. Aku lengah-lengahkan dengan tujuan kononnya nak build-up rasa yang paling maksimum sebelum melepaskannya dengan kepuasan maksimum. Tapi aku silap. Bila dia dah berkehendak, dan segala gerak-geri dia mengisyaratkan bahawa aku mesti teruskan tanpa berlengah, maka aku sepatutnya mesti jangan berlengah! Tapi aku silap. Aku berlengah. Bukan sebab tak hendak, tapi konon sebab nak kumpul rasa biar puas habis… kononnya…

Akibatnya? Dua-dua potong stim. Padan muka aku.

Dan aku tak mahu peristiwa sama berulang lagi kini. Tapi kali ni bukan fasal aku sengaja nak berlengah. Bukan sebab aku nak kumpul rasa. Kali ni, aku sememangnya tak rasa apa-apa! Alamak! Kenapa ni? Aku dah hilang nafsu jantan ke? Aku dah… dah… dah… Oh! Tak mungkin! Katakan tidak! Katakan tidak!

Tapi di luar jangkaan… sangat di luar jangkaan… Lina tak marah macam hari tu. Setidak-tidaknya itulah yang aku nampak apa yang dia tunjuk dan gambarkan dari rias wajah dan gerak-gerinya. Dia masih tersenyum, walaupun lebih hambar daripada sebelum ni, tapi dia masih tersenyum. Dia kata okey. Tak apa.

Betul ke ni? Biar betul ni?

Dan sejujurnya aku menyesal teramat. Menyesal teramat kerana menolak keinginannya hari tu. Tapi aku menolak bukan kerana aku tak sayang dia. Aku menolak kerana masa tu aku tak rasa yang aku ghairah terhadap dia. Huh??? Lain macam pula rasanya statement tu. Macam tak kena. Sungguh tak kena. Apa yang tak kena? Aku sayang dia, tapi tak rasa ghairah (lagi) pada dia? Kenapa?

Sepanjang perjalanan pulang ke Leeds dalam kereta api tu, aku sendirian layan perasaan yang berkecamuk dan berbaur. Walaupun siang tu sempat juga kami meronda-ronda bandar raya Sheffield, menghabiskan masa berdua, tapi aku sangat-sangat rasakan kemesraan kami macam dah surut. Tak macam dulu. Sungguhpun masih mesra, tapi kenapa tak seintim dulu? Kenapa tak seghairah dulu? Setidak-tidaknya perasaan aku ni terhadap dia. Mungkin sebab aku penat? Atau sebab aku terkejut dapat jumpa dia semula dan berduaan setelah sekian lama? Isy… macam bukan aku aje tu…

Ada yang tak kena ni. Ada yang tak betul. Aku dapat rasakan. Aku dapat kesan. Aku ke yang berubah? Atau sebenarnya dia yang berubah? Kenapa dia tak marah aku sebab menolak kehendak dia tadi sebagaimana dia pernah marah suatu ketika dulu?

“I have my pride,” ialah kata-kata Lina yang sering diungkapnya sewaktu kami bersama, terutamanya di Hankyu dan Jaya Jusco. Dan kata-kata Lina tu hanya membawa satu maksud — jangan biar situasi kami seakan menggambarkan bahawa dia yang beria-ia berkehendak sangat Jaya Jusco, sebaliknya biarlah aku yang nampak dan beraksi sedemikian. Aku tak kisah tu semua. Apa nak kisah kalau resultnya sama aje — nikmat yang menyeronokkan. Janji dapat, kan?

Tapi dia tak marah kali ni. Dan aku pun tak berkehendak kali ni. Betul-betul secara tulus, jujur dan ikhlasnya tak berkehendak! Tak pernah berlaku lagilah fenomena ni terhadap aku kalau dengan awek. Tak pernah beb!

Begitu banyaknya petanda yang semakin ketara… Tapi petanda kepada apa ya…?

38 – Menyulam Bulan Yang Suram

MEMANGLAH aku tahu daripada sebelum ni lagi bahawasanya United Kingdom ni sejuk. Ada tempat yang turun salji. Sesetengahnya tebal sampai tenggelam kepala lutut. Dan salji tu ialah apa yang aku selalu kikis dari dalam freezer peti ais ayahanda aku dulu. Sejuk, kan? Tapi aku tak dapat masukkan secara jelas dalam imaginasi akan hakikat sejuk sebenar UK ni sehinggalah aku dah sampai sana, dan duduk kat sana. Memang sejuk teramatlah siot…!!!

Patutlah kat UK ni tak ada peti surat. Semua surat dihantar terus ke pintu rumah. Kalau ada peti surat letak kat pagar, percayalah, nak pergi ambil surat tu pun kena sarung badan luar dalam, termasuk sarung tangan! Ptuih! Ni memang negara peti ais!

Dan sebab iklimnya yang sedemikian, maka hujung tahun memang tak nampak langit. Tarak! Jangan haraplah nak jiwang sambil memandang burung menyusur angin di langit nan biru. Mana ada langitlah! Semua awan aje tau! Apa? Kesucian awan nan putih meredupkan suasana? Pigi dah! Mana ada awan putih! Semua awan mendung kelabu asap weh!

Dan akibatnya? Seluruh negara UK tu mendung. Kelabu. Masuk angin keluar asap, kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dah le suasana semua kelabu asap, orang-orang kat UK ni pula masa tu jugalah suka bebenor dengan fesyen pakaian yang semuanya warna kelabu asap juga… Adoi laaa… Apa ke jadahnya dia orang kat sini? Maka bertambah mendunglah segala mood dan emosi.

Kami tak duduk lama di Park View Grove. Kami berpindah ke rumah sewa baru di Willow Close pula. Jarak ke universiti agak lebih jauh sikit tapi tak apa. Aku tetap berjalan kaki aje berulang dari universiti ke rumah. Ke bandar pun jalan kaki aje. Ke mana-mana ajelah. Semua jalan kaki aje.

Dan aku berjalan kaki ke bandar raya Leeds hari tu. Aku tak ke kuliah atau tutorial hari tu. Tuang. Sebaliknya aku merayau dari satu kedai ke satu kedai barangan elektrik, dan dari satu pasar raya ke pasar raya yang lain. Sendirian. Dah ponteng kuliah takkan nak ajak member, kan? Buat jahat sorang-sorang ajelah. Kalau ada member nak join, suka hati dialah.

“Lina lonely sangat kat sini,” ujar Lina semasa aku melawatnya hari tu.

“Tu la,” aku balas. “Kenapa tak pindah duduk rumah sewa dengan kawan-kawan yang lain tu? Kenapa duduk kat hostel ni? Orang kita semua duduk rumah sewa.”

Aku tak pernah dapat jawapan yang sebenar kenapa dia berkeputusan nak duduk asrama dan bukan bercampur dengan kawan-kawan yang lain. Barangkali betullah agaknya Lina ni jenis tak campur orang ek? Ya ke? Bukannya tak ada kawan-kawan dia kat situ. Setahu aku, memang ada walaupun dua daripada sahabat rapat dia masa A-Level dulu ada kat Leeds. Dua-dua buat law. Tapi Lina pilih Sheffield juga.

“I really am lonely here,” keluh Lina.

Sejujurnya aku rasa macam nak menangis dengar kata-kata dia. Aku faham sangat apa yang dia rasa. Aku faham sebab aku juga rasa apa yang sama dia rasakan. Tapi aku juga tahu bahawa apa yang dia rasa masa tu jauh lebih hebat dan lebih menyakitkan daripada apa yang aku rasa kerana tak seperti aku yang masih lagi boleh bergaul dengan kawan-kawan sesama puak, suku, bangsa dan negara, Lina tinggal sendirian di asrama yang dipenuhi siswa daripada entah mana punya negara tu.

Aku sejujurnya tak tahu apa nak jawab kepada Lina masa tu. Justeru aku tak tahu apa nak buat pun. Apa maksud dia? Dia mahu aku kerap datang ke Sheffield ke? Berapa kerap? Setiap minggu? Oh…! Sanggup ke aku? Sanggup sebenarnya. Memang sanggup. Tapi isu sebenarnya ialah, mampu ke aku? Aduhai…

Sungguh aku takkan mampu. Tak mungkin aku termampu. Setiap minggu? Habis apa ikhtiar aku sebenarnya? Aku tahu Lina perlukan teman. Dia perlu amat-amat teman. Tapi dia tak mahu berpindah dari asrama tu. Dia tak mahu duduk bersama kawan-kawan lain menyewa rumah. Habis tu?

Maka aku buat apa yang aku rasa antara benda paling bodoh aku pernah buat. Aku merayau bandar raya Leeds untuk cari mini hi-fi. Aku nak beri dia mini hi-fi. Niat aku sebagai hadiah sementara. Sementara apa? Sementara kami terpisah di UK ni. Aku expect bahawa mini hi-fi tu akan dipulangkan semula kepada aku in one piece bila kami akhirnya disatukan nanti. Huh? Kau orang gelak ke? Cet! Aku serius ni tau! Aku serius! Aku nak jadikan ni simbolik. Aku nak jadikan hadiah mini hi-fi ni sebagai sementara.

Tapi kenapa mini hi-fi? Nak buat apa mini hi-fi? Buat dengar lagu. Dengar CD. Dengar radio. Dan… hasrat aku yang sebenar, buat dengar kaset. Kaset yang aku akan rakam suara aku bercampur lagu dari masa ke semasa dan aku kirim atau serahkan kepada dia. Aku akan hantar sebanyak mungkin. Barangkali kalau dia dapat dengar celoteh aku dalam kaset pun memadailah kut? Agaknya… Itulah apa yang aku sangka masa tu.

Maka aku pun membelanjakan bahagian elaun yang aku simpan sejak mendarat di bumi UK masa tu. Elaun yang aku memang simpan dan kumpul sama ada untuk masa terdesak — jika ada — atau — tujuan asalnya — buat beli hadiah dan cenderahati di UK ni untuk Ayahanda, Bonda dan Dinda aku bila aku pulang ke tanah air nanti. Tak mengapalah aku belanjakan duit ni dulu buat Lina. Aku akan usahakan simpanan semula selepas ni nanti. Pasti!

Dan memandangkan tak sampai setahun pun aku di UK, maka bahagian simpanan elaun aku tu taklah banyak sangat untuk aku belikan dia TV atau hi-fi yang canggih-canggih. Aku sekadar termampu beli apa yang boleh melalui bahagian simpanan tu aje. Aku berharap sangat tu memadai bagi dia. Tu aje yang aku termampu masa tu. Takkan nak pinjam duit Garn atau Jahar? Tak mahu. Lina ialah kekasih dan cinta hati aku. Bukan cinta hati dia orang!

Oleh sebab aku terpaksa pikul menatang tu, maka aku tak jalan kaki bila nak balik ke rumah. Dah jauh sangat aku merayau-rayau mencari mini hi-fi tu dan aku jumpa dan beli di pasar raya yang agak jauh. Lepas tu nak pikul jalan kaki balik ke Willow Close? Gila ke haper? Aku naik bas.

Sampai ke rumah aku buka untuk pasang kepala plug mini hi-fi tu. Ya, di UK ni dia orang jual barangan elektrik tanpa kepala plug. Takkan aku nak bagi kat Lina suruh pasang sendiri? Maka aku pun tolong pasangkan. Masa tu baru aku nampak kat belakang mini hi-fi tu ada embossed “Made in Malaysia”. Astaga wa esta bagadud…

Dan hujung minggu tu aku pikul pula mini hi-fi tu naik kereta api. Dan ya, dari rumah aku di Willow Close ke stesen kereta api tu aku jalan kaki sambil pikul mini hi-fi. Nampak gayanya aku dah berkawan baik dengan kereta api. Kereta api di Malaysia menemukan aku dengan Zah. Kereta api di UK pula? Hmmm…

Dan dari stesen kereta api Sheffield tu, aku menapak lagi sambil pikul mini hi-fi tu ke asrama Lina. Harap-harapnya dia ada di rumah. Aku nak buat surprise kat dia walaupun aku tahu sangat-sangat bahawa apa yang aku nak berikan kepada dia ni tak ada nilai langsung walaupun untuk tujuan meredakan kesunyian dan kesepian dia di Sheffield tu. Tak ada makna dan erti langsung. Tapi setidak-tidaknya aku mesti berbuat sesuatu. Aku mesti! Setidak-tidaknya, walaupun aku tak dapat hadirkan diri aku sentiasa di sisi dia, aku dapat hadirkan suara aku kelak. Itulah hasrat aku yang tinggi menggunung. Lebih tinggi daripada gunung tertinggi kat UK tu. Apa ya gunung tertinggi kat UK? Ada gunung ke kat UK tu? Entahlah…

Dan wajah Lina menggambarkan segala-galanya tatkala aku serahkan kepada dia mini hi-fi yang aku pikul sepanjang perjalanan kaki aku tu. Semput nafas aku mendaki tangga ke tingkat atas sekali asrama dia. Dan seperti yang aku jangka, Lina tersenyum, tapi senyumannya menggambarkan emosinya yang pada ketika tu seakan berbisik “Benda ni yang jantan ni bagi aku?”

Ya, Lina sayang… inilah saja yang Dzam termampu…

Tapi aku dah jangka reaksi dia walaupun Lina tak luahkan secara zahir. Dia bahkan berterima kasih dan mengucapkan penghargaan atas usaha aku meminjamkan kepada dia mini hi-fi tu. Seperti yang aku nyatakan sejak awal lagi, aku berikan mini hi-fi ni sebagai pinjaman semata-mata. Sementara menantikan hadiah lain yang aku fikir jauh… jauh… jauh lebih bererti. Aku akan ambil dia untuk isi seluruh hidup aku dan ketika tu aku akan pastikan dia takkan kesepian dan kesunyian lagi buat selama-lamanya. Maknanya antara kami dia kena mati dululah. Kalau tak macam mana dia takkan jadi kesepian sepanjang hayat dia kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Aku pulang ke Leeds naik kereta api sendirian lagi. Bahkan aku ke stesen tu dari asrama Lina pun bersendirian. Lina tak dapat iringi dan teman aku ke stesen hari tu sebab dia nak jumpa ‘Kak Zali’ katanya. Siapa ‘Kak Zali’ ni? Masa tu, aku tak kenal lagi siapa sebenarnya ‘Kak Zali’ ni. Mungkin suatu hari nanti aku akan kenal juga. Dan seperti biasa aku panjat naik kereta api untuk pulang ke Leeds dengan rasa hati berbaur. Hati aku masih tak tenteram. Tak puas. Tak nyaman dan sama sekali tak lega. Aku tau apa yang aku dah buat tu tak memadai langsung buat Lina. Bukan tu yang dia mahu dan aku memang tahu sangat-sangat. Tapi apa lagi yang mampu aku buat? Kau orang Superman ke? Kalau kau orang Superman, kau orang akan buat apa? Hah! Cakaplah!

Dan lagu Karyn White ‘Superwoman’ kembali bermelodi dalam kepala aku sepanjang perjalanan dalam kereta api pulang ke Leeds… Semoga kau bersabar, sayang. Bersabar, sayang… Bersabarlah, Lina…

39 – Jangan Bersuluh Di Dalam Terang

KE MANA biasanya orang pergi semasa cuti di UK ni? UK tak banyak cuti, tapi sekali cuti panjang memang cari peluang nak merayau sama ada seluruh UK atau seluruh Eropah. Dan aku pun tak ingat cuti apa masa tu. Barangkali cuti Krismas. Seluruh isi rumah aku nak pergi bercuti. Semua orang — Garn, Dol, Rhosk. Mana dia orang nak pergi? Aku pun tak taulah… Dan aku sorang aje yang tak pergi. Kenapa ya?

Sebab Lina kata dia nak ke Leeds. Oh… setelah sekian lama, akhirnya Lina mahu menjejakkan juga kakinya ke Leeds ni. Dia nak jumpa kawan-kawan rapat dia masa kat A-Level dulu. Barangkali ada sesuatu yang nak dikhabarkan. Berita penting tu. Mesti datang daripada mulut dia sendiri terus ke telinga kawan-kawan rapat dia. Mungkin dia akan beritahu aku juga, kalau aku ni pun dianggap rapat… eheks…!

Lantas aku tanya Lina kat mana dia cadang nak bermalam sepanjang di Leeds ni? Agak aku mestilah di penginapan kawan-kawan dia yang sebenarnya menginap di asrama universiti masa tu. Tapi berbeza dengan Lina di Sheffield, kawan-kawan dia yang menginap asrama di Leeds ni duduk beramai-ramai geng orang Malaysia.

Dan Lina nak bermalam di mana? Nak tunggu dia jawab ke?

“My house is available,” aku terus bagi cadangan ke dalam kepala otak dia sebelum dia putuskan sebarang jawapan. “Dia orang semua tak ada. Pergi bercuti beberapa hari. Dzam tinggal sorang je kat rumah tu.”

Macam mana? Dia setuju? Ada beberapa peristiwa sebenarnya yang berlaku sebelum tiba ke ketika di mana dia naik kereta api ke Leeds hari tu. Aku tak pasti siapa yang hantar dia ke stesen kereta api di Sheffield, atau kenapa dia putuskan untuk datang ke Leeds, tapi khabar mengenainya benar-benar, teramat benar-benar banget buat aku teruja dan gembira sekali! Amat gembira! Tuhan saja yang tahu betapa sepanjang tubuh badan aku ni mendarat di bumi UK, tak pernah lagi aku rasa amat teruja sebegini! Lina telah berjaya membuatkan aku mengukir senyum melepasi telinga hanya semata-mata dia kata dia nak datang ke Leeds! Menerima kiriman surat daripada Zah dan Lina W pun tak bisa buat aku sebegini teruja!

Dan aku tunggu dia dengan sabar di stesen kereta api Leeds petang tu. Aku sembur suku botol minyak wangi sepuluh ringgit yang aku selalu pakai semasa dating dengan dia ketika di A-Level dan NCUK dulu. Sejak aku mendarat di UK ni, itulah pertama kali minyak wangi yang aku bawa import khas dari Malaysia tu hinggap ke tubuh aku setelah sekian lama aku tak menggunakannya sejak mula bercuti NCUK dulu. Ya… sebegitu lama… Minyak wangi yang aku gunakan semata-mata untuk keluar dan bersama dengan Lina semata-mata.

Kali ni, minyak wangi tu kembali menyiram seluruh tubuh dan juga pakaian aku. Kat UK ni pula pakaian tak cukup sehelai. Maka minyak wangi tu mula-mula menyiram tubuh badan aku yang telanjang. Lepas tu kemeja T. Lepas tu kardigan aku. lepas tu muffler aku. Nasib baik tak jaket aku aje. Banyak gak aku sembur minyak wangi tu rasa-rasanya. Kalau minyak wangi aku tu berbau durian, mesti semua orang putih di seluruh pelosok dan lorong dan rumah dan bangunan dalam bandar raya Leeds ni masuk wad kecemasan sebelum dihantar ke wad pakar ENT sejurus aja aku melangkah keluar dari rumah nanti… eheks!

Dan aku menunggu Lina dengan sabar. Dada aku penuh debar. Acap kali aku berbisik sendirian macam orang sewel sebab berlatih macam mana aku nak sambut dia bila dia muncul ke dalam dewan menunggu dari platform tu nanti. Mesti dia akan masuk ke dewan tu dengan senyuman dia yang biasa aku nampak di Malaysia dulu. Mesti leher dia akan terlentok manja sambil melemparkan senyuman tu. Mesti dia akan kata “Hai Dzam! Lama ke tunggu Lina?” bila dah sampai hampir kepada aku nanti, kan? Aku seakan-akan dapat dengar alunan suaranya berkata demikian di telinga aku masa tu. Barangkali kerana tu aku tersenyum… lagi… untuk ke sekian kalinya… dalam dewan menunggu stesen tu… sendirian!

“There must be something happy in your mind, luv,” dan suara tu tiba-tiba buat aku nyaris nak terlompat macam hero dalam cerita ‘Ong Bak’ tu.

Aku pandang empunya suara — seorang wanita orang putih yang dah berusia. Lingkungan enam puluhan agaknya. Tersenyum aja dia memandang aku. Tersenyum seakan gembira memandang aku, atau perli. Yang mana satu pun tak apa, asal jangan tersenyum sebab terpikat sudah!

“Pardon, ma’am?” aku balas, nak pastikan memang dia yang berkata-kata tu tadi.

“You have been smiling alone and to yourself since you were here,” kata orang tua tu dalam pelat Yorkshire yang agak pekat gak. Nasib baik telinga aku dah perfectly tuned dengan pelat dan loghat Yorkshire ni masa tu. Dia masih mengukir senyuman yang manis dan mesra sekali. Sesungguhnya dia memang mengingatkan aku kepada Opah aku nun di tanah air setiap kali bila Opah kata sesuatu tentang perangai atau perbuatan aku yang menggembirakan dia. Macam tulah riak wajah orang tua orang putih ni masa tu. “There must be some happy thoughts in your mind right now. I could even see it sparkling in your eyes!”

“You could?” aku tanya dia balik, tak percaya. “Is it that obvious?”

“Yes, luv! Are you waiting for someone? Someone who must be so significantly meaningful to you, I bet. Someone you love so much.”

“Yes, ma’am. I am, and I do.”

“Well… good for you!” dia balas dengan senyuman mesra yang masih tak lekang dan tak pudar-pudar lagi. Aku nampak mata dia juga bersinar-sinar memandang aku masa tu. “Love is very important, but is always misunderstood nowadays. During my days, love was not easy to come by. It was something dear. It was something priceless. It was something you would never let go once found. Everyone knew that it was something that has no price to it, something that you held on to it with your life. Because, luv, love is your life.”

Errr… kenapa dia bagi aku syarahan pasal cinta ni ek…? Tapi tak apalah kut…? Orang tua… layan ajelah. Aku pun memang suka layan dia sebab dia memang mengingatkan aku kepada Opah kat tanah air yang sangat-sangat aku kasihi. Sekarang aku dah rasa rindu teramat pada Opah. Rindu teramat pada kata-kata nasihat Opah. Pada senyuman Opah yang buat hati aku sentiasa lapang dan tenang. Tunjuk ajar Opah tentang doa-doa dan amalan… Aku rindu pada Opah…

“I could see in your eyes that you treasure love so much,” kata orang tua tu lagi, masih tersenyum dan bersinar matanya. “And your smile. It was a sincere smile, wasn’t it? This person must be very special to you.”

Aku tak boleh nak menjawab kata-katanya yang ni. Aku rasa hati aku terhiris. Benarkah…? Adakah…? Apakah…? Dan selama ni…? Oh… Maafkan aku, Lina… Maafkan apa yang aku dah lakukan kepada kau selama ni…

Dia tak lama bersyarah. Seorang lelaki tua datang hampir kepadanya ketika tu. Aku fikir suami dia. Tak sempat pun dia nak perkenalkan suami dia tu kepada aku sebab ketika tu aku juga terpaksa bergegas bila tren Lina dah tiba. Pasangan tua tu tadi pula barangkali nak kejar tren dia orang yang mungkin akan berangkat entah ke mana.

Aku sekadar melambai kepada dia sambil masing-masing berlalu pergi. Sampai juga ke telinga aku sayup-sayup orang tua tu menyebut “Bye-bye luv…!” dan kata-katanya selepas tu agak kurang jelas, tapi kedengaran lebih kurang sama ada “Take care dear…!” atau, kalau aku dengar betul, “Love her dear…!” Entahlah…

Dan seperti yang aku bayangkan, Lina masuk ke dalam platform dengan mengukir senyuman bila terpandang aku, walaupun kemanisan senyuman tu tak seperti yang tadi ditayangkan berkali-kali atas skrin imaginasi aku. Senyuman Lina agak hambar berbanding senyumannya dalam episod yang ditayangkan dalam kepala aku tadi.

“Hai!” aku sapa dia.

“I know this smell,” Lina membalas sejurus tiba dan berdiri depan aku. Dah tentu dia maksudkan bau minyak wangi hampir separuh botol aku tu. “I love this smell.” Dan semasa dia cakap macam tu, aku tak dapat mengelak daripada meneka sama ada Lina memang tulus ikhlas atau sekadar nak merekodkan bahawa cubaan aku untuk bagi dia bau minyak wangi yang aku pakai tu diakui dan dihargai. In other words, my attempt was accordingly and appropriately recognised. Tu dia… skipping London. Bunyi suara keluar ikut hidung.

Malam baru aku boleh bawa Lina ke rumah aku. Tetapi hebat juga dugaannya. Kawan-kawan serumah aku masih belum berangkat lagi sebagaimana yang dirancang rupa-rupanya malam tu. Terlewat daripada perancangan. Alahai… Dahlah cuaca sejuk ni. Berangin pula tu. Malam. Gelap. Mana aku nak transit Lina sementara menunggu kawan-kawan aku ni semua berangkat?

Maka nak tak nak, aku terpaksa suruh Lina tunggu aku kat depan kedai runcit Paki tak jauh dari rumah aku di Willow Close tu. Situ agak terang sikit. Selepas berpesan pada dia supaya tunggu aku dengan sabar dan jangan marah-marah, aku tinggalkan dia dengan perasaan risau dan resah bercampur kesian dan simpati.

Agak lama gak sebenarnya masa yang diambil untuk kawan-kawan rumah aku bersama-sama yang lain-lain tu nak bertolak pergi bercuti. Riuh sekejap kawasan depan rumah kami kat Willow Close tu. Aku semakin resah mengenangkan Lina yang bersendirian dalam kesejukan dan angin malam UK kat depan kedai Paki. Alahai… Sabar, Lina… Please jangan marah-marah…

Bila akhirnya kawan-kawan aku dah berangkat, aku bergegas semula ke kedai Paki tu. Seperti yang aku jangkakan, wajah dia masam mencuka. Tapi sebenarnya tak lama. Bila aku datang hampir, dia kembali senyum.

“It’s okay,” dia kata, bila aku jelaskan kepada dia kenapa lambat. Huh? It’s okay? Really? Biar betul ni…???

Hairan? Ya, memang aku hairan. Aku kenal Lina. Aku kenal Lina selama tiga tahun sudah. Dia takkan sebegini mudah reda marahnya. Takkan sebegini cepat hilang geramnya. Dia sepatutnya akan berleter sekejap, sementara aku terus diam senyap. Beri dia peluang hamburkan habis semua api dan bara dalam emosi dia.

Tapi tidak kali ni. Dia lebih memaafkan. Lebih cepat reda. Lebih cepat faham. Kenapa ya…?

Tak apalah. Aku anggap tu satu anjakan positif. Masa tu aku fikir barangkali dia dah tau bahawa aku takkan sekali-kali dengan sengaja membiarkan dia dalam keadaan yang dia tak suka. Takkan sekali-kali membiarkan dia dalam keadaan yang dia akan rasa takut dan marah. Seboleh-bolehnyalah walaupun aku tahu seringnya memang aku selalu secara sengaja atau tak letak dia dalam keadaan macam tu tanpa aku sendiri nak dan rela. Kadang-kadang tu terpaksa… alahai…

Dan malam tu, dalam rumah di Willow Close tu, hanya Lina dan aku. Aku fikir boleh sembang-sembang dengan dia di depan TV sementara tunggu waktu tidur, tapi dia tak mahu. Penat, katanya, dan dia mahu tidur.

Jadi aku pun sediakan tempat tidur untuk dia. Dan aku? Dah tentulah aku tidur sama.

Dan malam tu aku tahu, ‘what goes around, comes around’ walaupun kadang-kadang apa yang kita buat tu bukan sengaja. Sebagai membalas apa yang pernah tak jadi sewaktu aku ke asramanya dulu, dan sebagai membayar semula hutang yang tak langsai hari tu, aku mulakan apa yang selama ni memang aku tahu Lina nak aku yang mulakan. Tapi kali ni, Lina tak berapa layan. Dia tak berkehendak.

“I don’t feel anything,” begitu kata Lina. Rasa terhenti jantung aku.

“Nothing?” aku tanya dia dengan perasaan bimbang, risau, resah dan gelisah.

Lina geleng kepala. “Nothing,” ujarnya.

Dakap mesra, kucup hangat, bahkan segala-galanya aku cuba termasuk sentuhan ghairah di mana sepatutnya… semuanya “Nothing” bagi Lina. Tak ada rasa apa-apa pun. Apatah lagi rasa nak membalasnya.

Tak ada rasa apa-apa pun terhadap aku!

Dan ini sama sekali berbeza daripada situasi aku di asrama dia dulu. Aku masih ada sayang dan rindu pada dia. Yang tak ada cuma kehendak buat benda tu aje masa tu.

Tapi ni lain. Ni ialah satu fenomena di mana Lina tak ada sebarang rasa apa pun terhadap aku. “Nothing,” biarpun aku dah cuba semua trick dan teknik serta taktik yang aku tahu.

“It’s okay,” aku kata akhirnya. Kecewa? Ada, tapi tak banyak. Yang banyak ialah ketakutan dan kebimbangan yang amat-amat menggegarkan seluruh dunia emosi dan perasaan aku masa tu. “Mungkin Lina penat. Tidurlah dulu.”

Aku belai dia sepanjang malam tu walaupun aku tahu dia tak sedar. Aku usap rambut dia walaupun dia dah lena. Sesekali aku cium pipi dan dahinya. Sesekali aku cium rambutnya.

Dan sehingga keesokan harinya tatkala kami dah celik mata, dia tidak ada respons yang selama ni dia berikan setiap kali kami Jaya Jusco. Jaya Jusco tak berlaku hari tu sungguhpun kami tak lagi perlukan Hankyu. Sesungguhnya sudah ada yang berubah. Ada yang berbeza.

Dan sejujurnya aku nampak apa yang aku tak mahu nampak. Aku tak perlu bersuluh lagi. Aku tak perlu bertanya lagi. Tapi aku takut… teramat takut untuk mengakui hakikatnya… Amat takut…

40 – Cermin

PETANDA yang selama ni muncul satu persatu seharusnya dah boleh aku baca, kan? Atau sebenarnya aku ni dungu sangat? Dungu tu apa? Kamus Dewan kata dungu tu ialah tongong, bebal, bodoh, tolol, dongok. Tu dia! Isy! Tak mahulah! Bukan dungu kut? Dah tu?

Takut. Barangkali itulah dia. Takut. Takut nak terima hakikat apa yang aku seharusnya dah tau. Sememangnya aku dah tau, tapi takut nak terima hakikat tu. Cet…! Penakut! Masih cuba nak menegakkan benang yang basah? Benda lain pada anatomi tubuh aku ni memang boleh tegak bila dah basah, tapi benang tak boleh beb.

Tapi kenapa aku mesti takut ya? Apa yang aku takutkan sebenarnya? Takut kehilangan Lina? Kenapa? Sebab aku dah kerjakan dia? Habis tu? Awek-awek lain yang aku sama kerja dan kerjasama mengerjakan dan dikerjakan semasa kerja dan di luar kerja tu haper? Tak takut pun? Tak kisah pun?

Jadi apa dia yang aku takutkan? Apa dia yang menyebabkan aku rasa takut ni?

Cinta. Kasih. Sayang. Barangkali itulah dia. Aku dah serahkan kepada Lina apa yang aku tak serahkan kepada awek lain… Ya kut? Itu ke sebabnya? Aku serahkan Lina hati aku ke? Betul?

Rasa-rasanya macam bukan. Bukan… bukan hati… Bukan juga cinta, kasih mahupun sayang. Mungkin benar suatu ketika dulu. Lama sebelum tu. Sebelum NCUK. Semasa A-Level. Mungkin. Tapi bukan selepas tu. Bukan semenjak NCUK. Dan sama sekali bukan semenjak di UK. Aku tahu sangat-sangat. Aku tahu sebab aku yakin banget bahawa hati aku sebenarnya aku dah serahkan kepada gadis kereta api yang dah jadi gadis hospital di Malaysia sana. Aku tahu sangat-sangat sebab selama ni rindu aku adalah kepada dia! Kepada Zah!

Jadi apa sebenarnya yang aku takutkan?

Ego.

Yup… ego… Ego yang selama ni aku tak tau aku ada. Ego yang menyalakan api cemburu. Ego yang membisikkan sesuatu kepada aku — bahawa apa yang aku dah jamah, kini akan dijamah oleh orang lain dan aku takkan dapat menjamahnya lagi! Ini bukan macam makan aiskrim tau. Ini bukan macam makan ayam goreng atau sup tulang. Semua tu bila makan, akan habis. Tak ada lagi saki baki. Ini makan tak habis bang! Apa yang aku makan, itulah yang orang lain akan makan, dan dalam hal ni, tak boleh makan dalam dulang punya. Tak boleh makan kongsi-kongsi. Ini jenis makan sorang tau!

Itu sebenarnya yang aku takut. Bukan! Bukan takut sebenarnya. Tapi cemburu! Ya… itulah dia! Cemburu sebenarnya.

Dan kata orang cemburu tu tanda sayang. Really? Tak semestinya. Ada banyak kisah dalam sejarah percintaan yang menandakan juga bahawa cemburu tu ialah kebodohan. Tolol dan dungu manusia kadang-kadang diakibatkan oleh cemburu. Cemburu menjadikan manusia buta. Dan ada ketikanya cemburu menjadikan manusia binatang yang tak berakal.

“Macam mana kalau kita break up?” ujar Lina malam 3 Februari tu, di dalam bilik asramanya di Sheffield.

Aku terkedu. Betul ke apa yang aku dengar? Dia… dia… dia tanya apa tadi…?

“Ke… kenapa, Lina…?”

Lina membisu seketika. Aku tenung dia dengan dada yang… yang… yang rasa-rasanya macam dah tak berdegup lagi.

“Because I don’t love you anymore…” itu jawapan dia. Huh…??? Say what…? Itu ke sebabnya…??? Lina…?

“Ke… kenapa…? Is it because you have someone else?”

“No… no…” Lina menafikan sungguh-sungguh. Fuh! Lega sikit… tapi sikit ajelah…

“Habis tu…?”

“Because I don’t love you anymore.”

Aku memang dah lama merasakan lambat-laun benda ni akan berlaku. Tapi sumpah… sumpah aku tak jangka akan berlaku seawal tu!

Maka sejujurnya aku tak bersedia langsung untuk menempuh peristiwa malam tu. Aku tak bersedia langsung! Dan buat pertama kalinya selepas menjejakkan kaki ke bumi sejuk beku peti ais tu, aku benar-benar, benar-benar tanpa dapat kontrol lagi, menangis macam budak kecil. Di depan Lina! Oh…! Betapa kemaluan aku menjadi besar… tapi bukan macam selalu. Ni bukan besar kemaluan sebab Jaya Jusco dengan Lina. Ni besar kemaluan perasaan dengan dia! Aku menangis teresak-esak depan dia!

Dan itulah dakapan Lina yang terakhir. Kehangatan Lina yang terakhir. Kemesraan Lina yang terakhir. Malam itu. Kami tak buat apa-apa. Kami sekadar berbaring sebelah menyebelah. Aku tak dapat lena dalam jangka waktu yang lama. Dan Lina tak lena selagi aku tak lena.

Esok harinya aku berangkat pergi meninggalkan Sheffield. Aku tahu aku tak ada alasan lagi untuk ke situ selepas ni. Dan aku tak ada alasan lagi untuk menumpang kasih sayang Lina. Kami dengan rasminya pada 3 Februari itu menamatkan percintaan yang dijalin selama tiga tahun. Kena cari lagu Alleycats ‘Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi’ kalau macam ni. Dalam lirik lagu tu ada sebut pasal bulan Februari ni—

Sekuntum mawar merah sebuah puisi
Untuk gadis pilihan oh.. di bulan Februari

Apa alasan kami putus? “Because I don’t love you anymore,” kata Lina. Bukan… bukan sebab adanya orang ketiga. Itu pengakuan Lina. Aku memang tanya soalan tu kepada dia. Aku tahu Lina takkan berbohong kepada aku. Lina yang aku kenal selama tiga tahun bukan seorang yang akan berbohong kepada aku dalam hal sebegini. Kalau benar ada orang ketiga, pasti dia akan akui bahawa ada orang ketiga. Itu sudah memadai untuk buat aku rasa lega. Sedih. Kecewa. Merana dan frust tertonggeng-tonggeng. Cemburu yang membakar diri sampai hangus rentung. Ya… memang benar…

Tapi sekurang-kurangnya aku tahu tu memang jauh lebih baik bagi Lina. Dia takkan kesepian lagi. Dia takkan kesunyian lagi. Dan dia takkan bersedih lagi. Malah ada orang yang boleh menjaga dia dengan baik di rantau orang yang asing ni.

Tapi tu bukan sebabnya Lina mahu berpisah. Lina mahu berpisah sebab kata Lina “I don’t love you anymore.” Lina takkan berbohong kepada aku sebab aku percaya sangat bahawa dia tahu sangat-sangat yang aku cukup pantang kalau orang cakap bohong dengan aku. Memang pantang anak cucu cicit aku!

Tapi kenapa dia tak cintakan aku lagi? Jarak, barangkali. Jarak yang memisahkan, ditambah dengan ketidakupayaan aku untuk mengisi kekosongan hati dia selama kami mendarat di UK tu. Maka aku dah jadi seorang yang lemah upaya bagi Lina. Aku dah jadi seorang yang gagal memenuhi kehendak dia. Aku dah jadi lelaki yang gagal menyempurnakan tanggungjawab aku untuk menjaga dia — dirinya dan hatinya — dengan sebaik mungkin.

Dan aku harus terima hakikat tu sebagai benar. Sememangnya ia benar.

Tapi aku juga tahu bahawa tu tak bermakna yang aku tak boleh terus menerus berusaha untuk memulihkan keadaan, kan? Aku boleh terus menjadi sahabat, kan? Terutamanya jika dia memerlukan, kan?

Ramadan 1413 menandakan kemuncak kebodohan dalam kehidupan. Kehidupan akulah. Kehidupan orang lain buat apa aku masuk campur. Ramadan yang mulia. Dan aku terbayangkan betapa seksa dan azabnya menempuh Ramadan dengan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari di negara sejuk beku peti ais ni. Bila tiba waktu iftar pula, alangkah syahdu dan sedihnya kalau menghadap juadah berbuka sendirian? Tanpa kawan-kawan? Dan juadah apalah sebenarnya yang menjadi habuan berbuka puasa Lina yang sendirian dan kesepian di sana…? Lina… sungguh aku amat sedih mengenangkan kau bersendirian menghadapi Ramadan pertama di negara asing ni. Bukankah seperti semua kita yang lain-lain ni, dia memerlukan teman kala ni? Bukankah…? Betulkah…?

Maka kerana itulah, walaupun sebenarnya aku tengah sengkek teramat sebab 1 Ramadan tahun tu ialah 22 Februari — yakni hujung bulan sebelum elaun masuk — aku korek segala tabung dan tilam dan bantal mencari-cari sisa-sisa duit elaun yang ada. Aku perlukan sebahagian duit tu untuk buat tambang ke Sheffield dan sebahagiannya lagi untuk buat beli makanan juadah berbuka puasa Lina di sana. Aku mahu habiskan masa bersama-sama Lina untuk iftar pertama di UK ni sebagai teman dia. Aku tak mahu dia bersedih kerana bersendirian menghadapi Ramadan pertama ni. Tak mungkin sekali-kali! Jangan sampai dia titiskan air mata dia yang jernih suci tu semata-mata kerana kesepian menyambut Ramadan ni! Jangan!

Lantas dengan berbekalkan duit saki baki elaun tu, aku bergegas ke stesen kereta api dan terus ke Sheffield. Lina tak tahu-menahu pun yang aku akan datang hari tu. Aku pun tak sempat nak bagi tau dia. Tak apalah. Aku ada misi yang perlu dilaksanakan. Ada air mata dititiskan. Ada perasaan yang aku mesti tahan daripada dihamburkan dengan kepiluan.

Kaki aku mengatur langkah laju sejurus saja ia menyentuh bumi Sheffield. Sesekali aku seperti berlari-lari. Aku mesti kejar masa. Aku mesti segera ketemu Lina supaya dapat bersama-samanya mencari juadah untuk iftar. Aku mahu berada bersama Lina semasa dia buat keputusan untuk makan apa, atau masak apa. Kalau dia membeli, aku mahu di sisi dia membelikan makanan tu. Kalau dia mahu memasak, aku mahu bersama-sama dia memasak untuk juadah kami berdua.

Sesampai di sana, aku tekan loceng bilik asramanya. Beberapa kali aku tekan. Tak berjawab pun…? Aduhai…! Adakah dia sudah keluar mencari makanan? Atau mungkin dia di dapur sedang memasak juadah? Aku terlambat? Macam mana nak hubungi dia ni? Aku bukan ada henpon. Dia pun tak ada henpon. Wallaweh! Henpon pun belum wujud lagilah masa tu! Macam mana ni…??? Padan muka aku tergesa-gesa-gesa sangat ke Sheffield tanpa bagi tau dia.

Habis aku nak buat apa ni? Hmmm… apa-apa hal pun, lebih baik aku pergi ke mana-mana kedai terdekat ni. Aku nak cari roti ke haper ke buat aku berbuka. Ingat aku tak puasa ke…? Cet…!!! Jadi aku berlari ke kedai terdekat yang sebenarnya agak jauh juga dari asrama dia tu. Aku beli seketul roti dan sekotak air. Memadailah. Dan aku pun berlari-lari kembali ke asrama dia. Aku duduk di muka pintu yang berkunci tu. Aku tak boleh masuk ke dalam asrama tu kecuali aku ada kuncinya atau dibenarkan masuk oleh mana-mana residen asrama tersebut.

Sambil melayan ketar tubuh atas bawah akibat kesejukan cuaca sejuk beku peti ais UK tu, aku duduk mengerekot sambil sesekali menjeling jam di tangan. Alamak! Di Sheffield ni waktu berbuka puasa pukul berapa ek? Aduhai… Ni yang pelik UK ni. Waktu solat dan berbuka tak selaras. Ikut siapa yang dominan di daerah tu. Di Leeds, ikut waktu Iraq. Di Sheffield ni ikut waktu mana? Pakistan? India? Bangladesh? Arab Saudi? Emiriah Arab Bersatu? Mesir? Malaysia? Amerika Syarikat? Israel?

Dan sebenarnya, apa yang aku tak tahu ialah, hari itu Lina tidaklah berbuka puasa sendirian. Dia tak bersedih pun untuk membeli, memasak dan menghadap juadah berbuka puasa. Dia tak perlu bersedih. Malah dia bergembira. Dia telah pun mempunyai teman berbuka puasa. Temannya itu ialah siapa yang dia selalu sebut ‘Kak Zali’ kepada aku. ‘Kak Zali’ yang selama ni aku fikir perempuan. Rupa-rupanya ada dua ‘Kak Zali’. Yang sorang tu memang perempuan. Yang sorang tu bukan.

Dan hari tu sebenarnya dia berbuka puasa dengan ‘Kak Zali’ yang bukan perempuan. ‘Kak Zali’ yang sebenarnya adalah sebab utama kenapa Lina kata kepada aku sembilan belas hari yang lalu “I don’t love you anymore.” ‘Kak Zali’ yang sebenarnya selama ni menemani dia tatkala dia kesepian ataupun tidak. ‘Kak Zali’ menyebabkan Lina — beberapa bulan yang lalu, semasa dia ke Leeds — menyebabkan Lina berkata kepada aku “I don’t feel anything.” ‘Kak Zali’ yang aku sangka selama hampir setahun di sini sebagai perempuan.

‘Kak Zali’ itu sebenarnya ialah lelaki yang kata Lina iras wajah seperti Jamal Abdillah, yang pernah Lina tunjukkan gambarnya memegang seekor biawak yang dia tangkap di kampungnya suatu ketika dulu. Dan tak… aku tak pernah persoalkan masa tu kenapa Lina ada gambar tu. Gambar Mr. Biawak itu dalam simpanannya, yang menginap di asrama selang satu blok dari asrama Lina sendiri. Aku tak persoalkan. Kenapa mesti aku persoalkan masa tu kalau aku anggap Lina seorang yang jujur? Lantak dialah nak simpan gambar siapa pun. Especially gambar Mr. Biawak tu sebab Lina kata dia kagum dengan gambar biawak yang dipegang tu. Tak pernah terlintas di fikiran aku masa tu bahawa Lina sebenarnya kagum dengan orang yang memegang biawak tersebut. Dia suka orang yang boleh tangkap biawak rupa-rupanya… Aku tak tau pun selama ni… oh…

Dan sebenarnya selama ni aku hidup dalam keresahan demi Lina penuh sia-sia belaka. Kebimbangan dan simpati serta kasihan aku terhadap dia tak ada nilai harga dan erti belaka.

Dan Lina — yang selama ni aku sangka jujur dan setia kepada aku — telah menjadikan aku melalui kehidupan serba daif di UK ni dalam penipuan dan pembohongan. Dan aku amat-amat kecewa terhadap dia. Kalaulah itu bukan Lina H, tak mungkin aku kecewa sebegini. Aku tak percaya dia boleh dan sanggup berbohong kepada aku sekian lama. Aku tak percaya.

Dan aku lebih tak percaya, dan takkan boleh menerima, kerana dia telah berbohong atas nama cinta. Sesuatu yang amat tulus suci yang menyebabkan aku hampir menjadi anak derhaka yang terbuang demi cinta aku terhadap dia, dan Lina telah mendustai kesucian itu. Dan dia telah berbohong kepada aku pada malam 3 Februari itu.

Lantas hari itu aku tersedar bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu pun, atau seseorang pun dalam dunia ni, yang layak diberikan kepercayaan penuh, walaupun orang itu telah diberikan hati dan perasaan sebegitu lama.

Dan aku tahu bahawa kepercayaan, dan bukan cinta, adalah sesuatu yang paling tinggi nilainya dalam dunia ni.

Dan cinta tidak ada erti apa-apa jika tak ada kejujuran bersamanya…

Dan hari itu, buat pertama kalinya dalam seumur hidup aku, aku telah benar-benar memandang cermin…

41 – Dan Aku Menjadi Syaitan

ORANG-ORANG tua… or is it orang tua-tua…? Ah… mana-mana ajelah. Perkataan berganda ni kadang-kadang memang buat aku keliru tak tentu pasal. Anyways… kata orang dulu-dulu, yang patah kan tumbuh, yang hilang berganti. Tu peribahasa. Cikgu darjah enam aku dulu kata maksudnya setiap sesuatu ada gantinya. Dan dia marah aku bila aku kata yang tumbuh pun boleh patah. Jangan cemar bahasa, katanya. Entahlah… kadang-kadang aku fikir proses kreativiti, mahu tak mahu, melibatkan juga, antaranya, ‘mencemar’ bahasa. Bukan ke? Ke?

Lina ialah dahan tempat pergantungan hati dan perasaan aku, dan dahan tu telah patah. Macam manalah tak patah kalau biawak yang sama besar dengan anak buaya dah panjat dahan tu. Dahlah dahan tu memang dari awalnya lagi jenis lembut dan rapuh. Setitis rawan dah cukup untuk menjadikan ia reput dan hancur berkecai.

Kesilapan aku ialah terlalu amat bersifat manusia. Sepatutnya aku bersifat monyet. Ya… memang aku kata ‘monyet’. Monyet tak bergantung pada sebatang dahan semata-mata untuk bergayut. Monyet akan bergayut pada sebanyak mungkin dahan. Bukan sekadar bergayut, malah diayun dan dibuainya semua dahan tu. Manusia biasanya tak buat macam tu kecuali dia Tarzan. Barangkali aku perlu jadi Tarzan. Bergayut pada sebanyak dahan yang mungkin, sama ada untuk tujuan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain, atau untuk naik lebih tinggi mahupun turun lebih rendah, justeru untuk sekadar berbuai dan berayun melayan emosi — pendek kata dan panjang kata, untuk apa jua tujuan, tak memadai dengan hanya satu dahan. Dahan boleh patah pada bila-bila masa. Aku mesti tangkas berpindah ke dahan yang lain bila ia patah.

Untuk pindah ke dahan yang lain, dahan tu aku mesti dah register dalam radar, kan? Aku mesti dah tahu kat mana dahan tu, dan berapa kuat ia boleh bertahan menampung beban berat aku ni, kan? Tu kira lebih advance sikit daripada monyetlah.

Tapi tu tak cukup. Aku juga mesti ada skil biawak. Untuk tujuan survival dan kepentingan diri sendiri, aku juga mesti ada skil untuk pada bila-bila masa yang perlu memaut mana-mana dahan yang ada walaupun dahan tu, pada masa tu, dah ada monyet, beruk, kera, mawas mahupun gorila lain yang tengah dok bergayut kat situ! Dan seperti biawak juga, aku tak perlu belajar tatasusila dan adab nak bersemuka dan berbincang dengan segala jenis monyet, beruk, kera dan mawas tu. Umpama komodo, gigit aje sampai mampus. Lepas tu ratah sepuas hati. Ratah sebelum mangsa tu mampus lagi lazat. Biasanya macam tu.

Aku mesti kuasai skil monyet dan biawak serentak. Skil aje tau! Bukannya nak jadi monyet atau biawak betul-betul! Tapi kalau aku ni biological Transformer, aku lebih rela ada kebolehan bertukar jadi monyet daripada jadi biawak!

Masalahnya, sanggup ke aku? Tergamak ke aku? Mempermainkan cinta? Aku…? Habis tu awek-awek yang lain yang aku lanyak selama ni tu?

Hmmm… Sebenarnya ada banyak hikmah juga peristiwa 3 dan 22 Februari ni. Peristiwa Februari menyedarkan aku banyak perkara baik yang penting, yang tak berapa penting, mahupun yang tak penting langsung. Antara perkara yang aku anggap penting yang aku pelajari ialah, demi sesungguhnya umat manusia zaman kini telah melalui satu proses evolusi yang amat menakutkan — bahawa seks dan persetubuhan tu boleh dipisahkan daripada cinta! Adoi laaa… Sungguh! Sungguh amat benar! Dan sebenarnya… come to think of it… sungguh amat logik juga… Hmmm…

Barangkali itulah salah satu asbab kenapa Tuhan mengharamkan seks dan persetubuhan di luar nikah — sebab secara fitrahnya seks dan persetubuhan memang tak berkaitan langsung dengan cinta. Tak ada langsung. Macam Nani kereta api tu, kan? Mana ada cinta? Aku tak pernah kata aku cintakan dia, sebab memang aku tak rasa macam tu pun. Nani pun tak kata dia cintakan aku, sebab dia tu asalnya — mengikut kata dia — lezbo. Suka sama suka ajelah aku dengan dia. Tak melibatkan emosi dan perasaan yang disebut ‘CINTA’ yang selama ni — selama seumur hidup aku sejak aku kenal AZLINA W — aku anggap sesuatu yang begitu teramat tulus, suci dan sempurna. Seks dan persetubuhan tak ada kena mengena dengan cinta. Cinta ialah tentang penyerahan hati yang setulusnya. Bodohnya aku…

Tapi kan (mesti ada ‘tapi’ punyalah…) aku pun jembalang juga. Aku pun pernah mencemar apa yang selama ni aku sendiri anggap begitu amat suci. Aku pun pernah merosak dan mencemar kesucian cinta aku kepada Lina. Sebab aku pernah merasa waswas. Aku pernah rasa ragu. Pernah rasa musykil.

Dan aku pernah menyerahkan hati aku kepada orang lain walaupun ketika tu aku seharusnya dah serahkan hati aku kepada Lina! Aduhai… jembalang spesies apa aku ni…?

But then again… bagaimana mungkin aku serahkan hati aku kepada orang lain kalau aku memang dah betul-betul serahkan kepada Lina? Mungkin ke aku sebenarnya memang tak serahkan pun hati aku kepada Lina selama ni? Atau sebenarnya aku dah serahkan tapi tanpa aku sedar siku aku jadi buruk dan aku dah ambil semula? Atau… haaa… yang ni possible sikit — aku sebenarnya mempunyai hati yang banyak! Eheks… Itulah pasal agaknya lelaki boleh kahwin lebih ek? Bukan ke? Ke?

Sejujurnya aku tak fikir macam tu. Hati aku tetap ada satu. Cuma aku boleh pilih sama ada hati yang satu tu aku nak bahagi-bahagikan atau tak macam buat kubikel dalam ofis. Tu yang sebenarnya. Dan sepanjang yang aku tau seumur hidup aku masa tu, aku tak pernah terfikir mahupun terlintas dalam kepala otak nak bahagi-bahagikan hati aku tu. Seketul hati tu adalah untuk seorang aje. Aku tak tahu sama ada aku kaya cinta atau miskin cinta, tapi kalau aku kaya cinta sekalipun, aku mahu berikan seluruh kekayaan cinta aku tu pada seorang saja. Apatah lagi kalau aku memang miskin cinta.

Jadi sebenarnya hati aku tu aku dah serahkan kepada siapa ya…? Mungkin benar aku pernah serahkan kepada Lina H suatu ketika dulu. Tapi aku dapat rasakan bahawa pernah tiba ketikanya hati tu aku ambil kembali. Sama ada itu, atau Lina telah kembalikannya kepada aku tanpa aku sedar. Mungkin Lina sendiri pun tak sedar.

Dan kerana itu barangkali, aku mampu tinggalkan hati aku yang satu tu di Malaysia pada hari aku berlepas ke negara sejuk beku peti ais ni. Barangkali kerana tu aku mampu tinggalkan hati aku kepada Zah.

Dan aku percaya sangat bahawa ini benar. Selama aku di bumi peti ais ni, bayangan wajah Zah sentiasa datang berkunjung. Senyumannya, gerak-gerinya, personalitinya, suaranya, jelingan dan tenungan matanya… segala-galanya tentang dia kerap benar datang berkunjung.

Dan aku berbohong kalau aku katakan bahawa bayangan yang sama daripada Lina H juga datang menjenguk sekerap itu! Hasil post-mortem emosi aku keras mengatakan bahawa itu tak pernah berlaku!

Pling! Bunyi apalah tu… Oh… tu bunyi isyarat tali pinggang keledar dimatikan dalam pesawat. Manalah aku tahu. Naik kapal terbang nak pergi ke UK itulah kali pertama aku naik kapal terbang. Sejurus terpadam saja lampu isyarat tu, pramugari pun ke hulu ke hilir tawarkan minuman. Lalu rakan sekolej NCUK yang duduk sebelah aku pun panggil pramugari yang entah kenapa taklah cun sebagaimana yang orang dok heboh-hebohkan sangat tu. Dia minta air. Aku tak rasa nak minum lagi masa tu. Pesawat baru aje berlepas, kan? Belum dahaga.

Bila pramugari tu tiba semula membawa pesanan minuman rakan aku tadi tu, aku terkejut panda sekejap.

“Aik?” aku kata dengan mata buntang sambil mulut ternganga kat dia. “Kita masih dalam ruang udara Malaysia ni tau.”

Dia sengih aje. Sambil tu tangan dia yang memegang bekas air kecil mengandungi air kuning berbuih-buih tu disuakan ke mulutnya. Diteguknya pantas. Semerbak seketika bau air malta proses tu ke dalam rongga hidung aku. Busuklah! Kalau dia terus-terusan macam ni, bukan dia yang mabuk. Rasa-rasanya aku yang mabuk sampai muntah-muntah ni.

Dan itu ialah peristiwa hampir setahun lalu masa kami dalam pesawat nak ke UK ni. Sememangnya sejak sebelum tu dan sehingga kini, aku tak sentuh dan tak berkehendak langsung dengan air kencing setan tu. Apa ke jadahnya nak mabuk-mabuk ni? Aku ni dahlah memang jenis mabuk kenderaan dan aku tak pernah suka situasi aku dalam keadaan mabuk kenderaan tu. Loya nak muntah aje rasanya. Apa yang best sangat rasa macam tu?

Dan aku tak pernah sentuh pun air kencing setan tu. Tak pernah, sehinggalah berlakunya tragedi Februari tersebut. Tragedi Ramadan pula tu! Aku gagal. Aku gagal membaca apa yang Tuhan sampaikan kepada aku. Bukan ke bersempena bermulanya 1 Ramadan, Tuhan timpakan ke atas aku tragedi Februari tu dan aku sepatutnya menjadikan peristiwa tu sebagai permulaan hidup baru ke arah yang lebih menjamin syurga? Tragedi yang sepatutnya menjadi sempadan dan tembok kukuh kepada aku agar tak lagi melakukan dosa besar yang dilaknat Tuhan? Tragedi yang sepatutnya membuka pintu hati yang selama ni tertutup rapat oleh kemilau nikmat palsu syaitan? Tragedi yang memberi petanda demi petanda bahawa Tuhan masih kasihkan hambaNya yang hitam diselaputi dosa ni? Tragedi yang mengisyaratkan bahawa aku masih sempat dan boleh bertaubat lantas kembali ke jalan yang lurus? Bukankah…? Adakah…?

Kejahilan menghalang aku dari nampak semua tu. Kejahilan…? Tak… bukan kejahilan… tapi kerana kedegilan. Dungu. Tolol. Dongok. Bongok. Apa yang aku buat pula instead?

Aku buat apa yang aku selama ni cukup benci! Malam tu, tatkala aku berjalan sendirian dari perpustakaan universiti hendak pulang ke rumah, suasana sudah gelap. Biasanya memang aku akan ikut Hyde Park dari universiti hendak ke Willow Close kecuali pada waktu malam. Para senior kata waktu malam agak berbahaya terutamanya kalau ada ramai Mat Gagak. Mat Gagak tu gelaran yang kita orang berikan kepada African-British le… nak sebut ‘Negro’ karang kena serang dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang tak pernah pun bersatu tu pula…

Tapi malam tu, dan malam-malam lain sebelumnya, aku tak peduli dah. Selepas menjamah sebatang bar coklat dan secawan kopi buat buka puasa, aku atur langkah perlahan dalam suasana malam yang sejuk menggigit tulang-temulang diiringi hembusan angin yang macam air batu tu. Hyde Park memang gelap-gelita pada waktu malam. Memang kat UK ni dia orang tak perlu letak lampu dalam taman. Tak ada makhluk yang nak bersiar-siar dalam taman pada waktu malam kat UK ni kecuali makhluk tu jenis yang tak ada otak dan tubuh badan boleh tahan iklim dan cuaca sejuk beku peti ais.

Walaupun gelap-gelita, tapi alah bisa tegal biasa. Oleh sebab aku dah biasa ikut Hyde Park ulang-alik ke universiti, maka deria aku masih dapat kesan hala tuju perjalanan. Sedang aku menapak, aku tenung ke arah restoran Paki bernama Kashmeer nun kat seberang jalan di kejauhan sana. Biasanya aku tenung restoran tu aje sambil dalam kepala berangan-angan alangkah lazatnya kalau aku ada duit yang cukup untuk beli kebab atau piza kat situ lalu makan dengan penuh selera. Naik dugal juga tekak hari-hari dok cekik bar coklat aje buat makan tengah hari. Bulan puasa ni, berbuka pun dengan bar coklat gak… adoi laaa… Papa kedana sungguh…

Tapi malam tu aku tak hanya renung Kashmeer Restaurant. Malam tu aku pandang juga ke arah sebuah lagi bangunan yang lebih kecil daripada Kashmeer, tetapi binaannya lebih British dengan batu-batan dan berwarna kelabu bosan. Bentuknya juga lebih British.

Bangunan itu sebenarnya ialah sebuah pub.

Selama ni aku tak pernah pandang pub tu. Aku tahu memang selamanya ia ada kat situ, tapi aku tak pernah pandang. Sememangnya aku tak berminat langsung dengan pub, sebab aku tak berminat langsung dengan air kencing setan. Tapi malam tu, semasa terpandangkan pub tersebut macam biasa, tiba-tiba hati aku tergerak nak ke sana. Alahai… setan mana pula yang berbisik kat aku dalam bulan Ramadan ni??? Bukan ke dah dirantai semua setan-setan ni? Takkan ada yang terlepas kut? Ni bukan macam security kat airport.

Jadi maknanya apa ya? Maknanya, oleh sebab setan semua sepatutnya dah ditambat ketat, maka yang tinggal ialah wasiat syaitan dalam hati dan diri aku. Wasiat yang sepatutnya aku buang jauh-jauh dan musnahkan dalam bulan Ramadan al-Mubarak ni. Tu yang sepatutnya aku buat! Tetapi…

Ya Tuhan…! Ya Rahmaan…! Ya Rahiim…! Betapa Kau amat kasih akan hamba-hambaMu. Sedemikian Kau memberi peluang dan jalan untuk membersihkan hati dan diri. Sedemikian juga aku lalai dan leka lantas berpaling dari jalanMu…! Ya Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun! Ampunilah aku ya Tuhan…! Ampunilah…!

Dan malam tu aku telah dengan rela hati memberi alternatif kepada maksiat besar sebagai amalan diri… oh…!!!

Aku melangkah masuk ke dalam pub tu. Semerbak mencucuk-cucuk hidung segala macam bau air kencing setan yang berbagai-bagai-bagai spesies dan jenama. Para syaitan dah kena rantai pun, air kencing dia orang masih merata-rata dan bersepah-sepah dihirup dengan penuh lazat dan berselera oleh manusia. Dan malam tu aku adalah salah sorang manusia bongok itu! Aduhai…

Aku tak tau macam mana nak beli menatang tu. Aku perhati sekeliling. Rata-rata semuanya orang putih. Dua tiga orang aje orang hitam dan kuning. Rata-rata juga umur dia orang ni dah boleh jadi bapak atau tok aku. Ada yang duduk kat beberapa buah meja bulat kecil sambil bersembang entah apa-apa. Ada yang duduk kat bar. Tapi yang nyata setiap sorang mesti ada gelas besar yang masih penuh atau sebahagian berisi air kuning berbuih-buih macam rakan aku minum atas pesawat dulu.

Aku terus ke bar. Bartender tu datang hampiri aku.

“What’s for you, mate?” dia tanya.

Apa ya aku nak order? Macam mana nak order?

“Beer,” aku jawab.

“Draught or lager?”

Huh…??? Apa benda tu? Dalam pesawat hari tu tak ada pula aku dengar pramugari tu tanya kawan aku soalan tu. Ni apa benda ni? ‘Draught’? Tu bukan bermaksud ‘kemarau’ ke? Bir kemarau? Dan ‘lager’? ‘Lager’ apa ni? Laga ikan?

“Lager,” aku jawab akhirnya. Sumpah aku tak tau apa benda haram jadah. Aku pilih ‘lager’ sebab dalam pelat Yorkshire yang bartender tu sebut tadi, aku dengar bunyi suara dia dan nampak gerak mulut dan bibir dia lebih mudah menyebut ‘lager’ daripada ‘draught’ tu. Maka aku pun bantai sebut ‘lager’. Nak sebut ‘draught’ dalam pelat Yorkshire tu aku perhatikan agak senget-senget dan bersembur-sembur gak air liur bartender orang putih yang tiga suku botak tu. Kalau lidah dan mulut Melayu yang makan belacan aku ni nak sebut dalam pelat Yorkshire entah macam mana le pula rupanya nanti.

Dan tu dia! Sebiji gelas satu pain mendarat atas bar depan aku. Nyaris aku nak terjatuh dari bangku tu. Menusuk-nusuk bau air malta peram ke lubang hidung aku ni. Uweeekkk…! Sungguh air kencing setan ni memang busuk teramat! Macam mana dia orang boleh teguk selamba musang pandan aje air tu dengan sekali tunggang? Aiyooo…!

Patut aku teruskan proses pembelajaran yang menyesatkan ni atau tak? Takkan depan orang putih ni semua aku nak togok benda haram jadah tu sambil tutup lubang hidung? Tapi kan… dia orang ni semua orang putih. Dia orang bukan orang Melayu atau orang Malaysia atau orang Asia. Dia orang semua orang Eropah. Perangai dia orang lain. Penerimaan dia orang lain. Dia orang akan gelakkan aku, tapi pada masa yang sama dia orang akan supportive. Akan lebih menggalakkan aku togok benda haram jadah tu.

So? Apa keputusan aku? Aku jelajah seluruh kepala otak aku masa tu mencari rasional. Tapi dalam keadaan dukacita dan lara merana diselubungi hati nan rawan, mana ada rasional. Rasional lari bersembunyi kerana kecundang dengan serangan emosional yang jauh lebih hebat dan gagah perkasa masa tu.

Dan itulah kesilapan aku sebenarnya. Aku terlalu bergantung pada kepala otak dan gagal menjelajah bisikan hati dengan sempurna. Ada ketikanya, bisikan rasa hati jauh lebih rasional daripada akal. Huh? Macam tak kena aje statement tu kan? Tapi sebenarnya itulah apa yang aku alami masa tu. Kepala otak aku masa tu sebenarnya dah bersedia mengumpul segala input, maklumat dan kekuatan mental untuk tangan aku capai aje gelas satu pain tu dan tuang segala isinya menerobos ke dalam rengkung aku untuk terus sampai ke mulut. Selepas tu ia akan bersebati dalam darah daging aku untuk dibakar api neraka! Ya Tuhan Yang Maha Pengampun! Ampunilah aku…!

Tapi… masa tu ada bisikan dalam hati aku yang mencetuskan waswas dan keraguan pada apa yang aku bercadang nak buat. Hati aku berbisik memberi kata dua. Dan aku masih ingat sampai kini perasaan aku masa tu. Perasaan menyesal kerana melencong dari laluan normal aku di Hyde Park tadi. Perasaan menyesal kerana melangkah masuk ke pub ni. Dan hati aku mendesak agar aku berhambus aja dari situ.

Tapi aku tak dengar kata hati malam tu. Aku duga akal sendiri, dan kekuatan mental aku dah cukup bersedia untuk buat apa yang orang beriman takkan buat! Aku togok satu pain air kencing setan tu sampai kering-kontang!

Dan aku tak rasa lain pun. Aku tak rasa nak muntah pun. Aku tak rasa pening pun. Aku tak mabuk. Jadi? Nak buat apa lagi?

“Can I have one of those, please,” aku tuding jari ke arah botol yang banyak tersusun di rak bar tersebut. Botol apa lagi? Takkan botol budu atau botol kicap? Cet! Botol berisi air kencong tulah!

Aku bayar harga satu pain gelas dan sebotol bir tu. Aku capai botol tu, langsung melangkah keluar dari pub, merempuh semula kedinginan cuaca malam Leeds yang suasananya dah gelap-gelita. Angin sejuk beku peti ais masih berhembus di luar sana. Kebas pipi, hidung dan seluruh muka aku dibuatnya. Lekas-lekas aku balut kedap badan aku dengan jaket yang macam dah tak cukup kain tu.

Aku sampai ke rumah dengan selamat. Tak ada siapa dalam rumah tu tau perbuatan terkutuk lagi amat bodohnya yang aku dah buat tadi. Dan tak ada siapa pun tau apa yang malam tu aku bawa dalam beg sandang yang setiap hari aku angkut pergi ke universiti. Dan aku tau kat mana tempat yang paling sesuai aku nak simpan dan sorok botol berisi benda laknat tu. Dan lagak aku selamba tenuk, selamba ayam, selamba flamingo, selamba babi macam orang tak bersalah.

Sungguh kerja bodoh tu aku ulangi saban hari, setiap hari. Semakin hari, semakin banyak aku telan. Daripada satu pain, makin hari makin berganda. Begitu juga bilangan botolnya. Tapi yang peliknya — dan memang aku sendiri pun pelik — ialah kenapa aku tak mabuk-mabuk pun?

Tatkala syaitan dan iblis masih lagi dirantai dalam bulan yang mulia tu, aku pula yang menjadi syaitan…

42 – Lembaran Baru

SEJUJURNYA aku memang mengambil masa juga nak melupakan Lina H. Bukan… bukan sebab saki baki cinta. Bukan sebab rindu. Tapi sebab marah. Marah yang disulam hari demi hari dengan amarah yang teramat memuncak memijar. Marah kerana dia berbohong kepada aku. Marah yang teramat yang seumur hidup aku tak pernah rasa marah yang sedemikian. Tak pernah sekali-kali!

Tapi tu dululah… dulu… Sampai mana sangat manusia ni nak marah. Api pun kalau cukup air disiram akan padam gak, kan? Macam aku punya marah jugalah tu. Walaupun setiap hari bara api dalam hati semakin memijar macam bahan bakar roket, setiap seminggu sekali juga ada air yang lebih dingin daripada angin Artik yang berhembus di bumi UK ni yang dapat meredakan api marah tu daripada terus membakar hangus sampai rentung.

Selain daripada aerogram dari Malaysia — yang silih berganti antara Zah dan Lina W, walaupun lebih kerap datangnya daripada Zah — aku tak ada masa nak layan benda lain. Eh? Kejap… Oh ya… ada masa sikit nak layan siri TV Star Trek: The Next Generation. “Boringnya hari-hari tanpa Star Trek,” begitu Garn pernah kata.

Selain daripada tu, aku sibuk nak study. Ya… study… apa ingat aku ke UK tu buat apa? Ingat aku tak study ke? Hmmm… well… eheks… Aku study ke ek…? Rasa-rasa macam tak kut…? Apa-apa ajelah…

Dan selain daripada aktiviti di atas, aku juga sibuk jalan-jalan dan melancong serta melencong pelosok United Kingdom bila tiba masa cuti… aharks! Pergi mana ya? Well… macam-macam tempatlah aku pergi kat UK ni. Dengan siapa? Dengan kawan-kawanlah. Takkan dengan lecturer aku pula!

Antaranya kami pergi melawat kawan-kawan lama sejak MRSM, A-Level sampailah kepada kawan-kawan zaman NCUK dulu di tempat dia orang masing-masing belajar di segenap bumi UK ni. Maka sampailah kita orang ke Abe Ystwyth (Huh? Ekekekeke… Amik! Ni memang stail ejaan orang-orang putih kat Wales! Eheks!) tempat Shagul, ke Huddersfield tempat Kid, ke Manchester tempat Wani (ohhh… manis sungguh lesung pipit dia..! Errr… betul ke Wani kat Manchester ek…? Entah… Tak ingat…), ke mana-mana lagilah! Maka kereta sewa dan kereta api sekali lagi jadi wadah pengangkutan utama aku.

Selain daripada aktiviti mengeratkan silaturahim dengan melawat kawan-kawan lama, sebagai Vice President yang tak buat apa-apa kerja pun untuk Malaysian Students Society kat universiti aku tu (eheks.. jangan marah…), dan juga Editor kepada penerbitan Malaysian Students Society yang dipanggil ECHO hasil buah fikiran Aizul, aku juga sibuk memonopoli semua rencana, karangan, kolum dan ruangan dalam penerbitan tiga minggu sekali tu. Oh ya… masa tu aku dah beli sebuah perkakasan canggih yang diberi nama ‘word processor’. (Excuse me… Ni zaman awal sembilan puluhan, okey! Perkakasan macam ni memang canggih teramat zaman tu, okey!)

Word processor ni aku beli setelah berpenat-lelah mengumpul duit elaun dengan cara makan coklat bar dan hot black coffe dari vending machine universiti sahaja setiap hari sebagai menu makan tengah hari. Kadang-kadang sebagai menu makan malam juga. Perkakasan ni kira canggihlah sebab boleh dijadikan mesin taip elektrik kalau mahu. Sebagai alat pemproses perkataan, ia boleh guna disket untuk menyimpan semua teks yang telah dibuat. Errr… Kau orang yang belum baligh atau baru baligh ni tak tahu maksud perkataan ‘disket’ ek? Sekarang dah tak jumpa ek? Pergilah cari dalam kamus dan Internet! Kau orang kan lagi handal dalam bab Internet ni sekarang? Cet!

Teks yang telah disimpan dalam disket tu kemudian boleh dipindahkan ke komputer sebenar pula. Kenapa aku membazir duit beli benda ni? Sebab aku tak mampu nak beli komputerlah! Budak-budak law kat sini semua kena buat assignment dan project paper yang memerlukan komputer tau! Aku nak korek kat mana duit nak beli komputer tu? Zaman tu skim pinjaman komputer cuma dapat kat budak-budak tajaan Petronas aje setahu aku. Yang puak-puak MARA ni cuma ada skim ‘Tumpang Pinjam Komputer Budak-budak Petronas’ aje… hehehehehe… Dan oleh sebab aku tak berapa selesa nak tumpang dan pinjam komputer orang yang juga sibuk nak buat assigment dia orang yang rata-ratanya budak-budak Engineering tu (yang semestinya mempunyai assignment yang jauh lebih memerlukan kecanggihan fungsi-fungsi komputer zaman tu), maka aku belilah word processor ni.

Kenapa aku sibuk bercerita fasal word processor ni? Sebabnya, semenjak aku dah ada word processor ni, setiap malam rumah aku akan memecah kesunyian suasana dengan bunyi ‘ketek ketek ketek… ketek ketek ketek… ketek ketek ketek…’. Alahai… kuat pula tu! Apa nak buat… Sebabnya, bersama-sama dengan word processor Panasonic KXWL50 ni, aku juga beli printer Panasonic yang sepadan. Rupa-rupanya printer ni jenis daisy wheel printer… adoi laaa…

Eh…? Melencong lagi. Aku nak cerita pasal apa tadi? Oh ya… kenapa aku sibuk bercerita pasal word processor ni? Sebab semenjak ada perkakasan canggih ni, semua urusan surat-menyurat dan aerogram aku bertaip! Aharks! Tu dia…! Konon up-to-date dengan teknologi semasa…

Oh ya… sebut pasal surat-menyurat ni, perkembangan hubungan jarak jauh dan remote control antara aku dengan Zah dan Lina W nampak memberangsangkan. Bukanlah merangsang mana-mana kehendak nafsu. Maksud aku, semakin nampak mesra walaupun sekadar di dalam surat semata-mata. Mesra…? Well…

Lina W dah mula bercerita tentang aktiviti sehariannya. Tentang sukan bola jaring yang dia sangat gemari tu. Tentang kejohanan bola jaring antara Desa di universitinya. Oh ya! Dia sedang belajar di USM masa tu. Jurusan Sains komputer walaupun antara dia dengan aku, surat dia masih tulis tangan sedangkan surat aku bertaip menggunakan… ehem… perkakasan canggih zaman tu… eheks!

Dan Zah… Zah tak banyak bercerita tentang diri dia. Tak banyak bercerita tentang aktiviti sehariannya. Tak banyak tentang hal peribadinya terbongkar melalui perutusan surat-suratnya, sedangkan, sejujurnya, antara Lina W dan Zah, aku teramat sangat berharap agar dapat mengetahui lebih banyak tentang diri Zah daripada Lina W. Memang pelik jugalah awalnya kenapa Lina W — gadis manis comel yang pertama sekali memperkenalkan kepada aku tentang keindahan perasaan — boleh tewas dengan Zah yang bicara dan perkenalan dengannya sekadar sekelumit masa dan kata-kata saja. Memang hairan. Aku pun hairan. Pelik. Tapi hakikatnya ialah, aku teramat merindui Zah. Amat sangat. Bukan! Bukan sebab aku dah putus dengan Lina H! Tak ada kena mengena langsung dengan Lina H. Malah aku memang merindui Zah sejak NCUK lagi hinggalah sejak aku sampai ke bumi UK. Sedangkan pada masa tu aku masih lagi sedang bercinta dengan Lina H. Well… mungkin hanya aku sorang aje yang mencintai Lina H secara sehala… aharks!

Tapi aku mengaku dengan sejujurnya bahawa tahap rindu kepada Zah memang meningkat semenjak aku putus dengan Lina H. Dalam keadaan di mana aku tiba-tiba merasa bebas merdeka, berbaur perasaan marah dan dendam yang teramat bersimpul dalam kesumat yang berlipat, aku ketemu ketenangan dalam imaginasi rias wajah Zah. Dalam senyumannya yang terbayang di mata, dalam alunan melodi suaranya yang terdengar di telinga, dalam kenangan gerak-geri dan perwatakannya — elemen-elemen sebenarnya yang memikat hati aku terhadap dia sejak awal. Dan antara Zah dan aku, kami telah saling bertukar-tukar gambar. Dalam berbagai-bagai posing tau! Dengan Lina W pula…?

Ada juga, tapi semangat nak bertukar gambar dengan dia tak setinggi keinginan nak bertukar gambar dengan Zah. Aku tak puas sekadar menatap wajah Zah dalam imaginasi. Kalaulah boleh, aku nak jadi Superman dan terbang ke Malaysia bertemu dia. Eh? Kejap… tak mahulah jadi Superman. Takkan nak jumpa dia dengan pakai spender kat luar…? Cet…!

Eh…? Kat mana aku tadi? Oh ya… dengan Lina W, aku pernah bertukar gambar. Masing-masing sekeping gambar. Dan ya, aku dapat gambar Lina W yang terkini! Yeszzzaaa…!!! Tapi… alahai… Kenapalah kau bagi aku gambar yang agak jauh dan memakai topi? Aduhai… Macam mana aku nak nampak dengan jelas rupa sebenar kau sekarang wahai Lina…? Adoi laaa… Tapi tak apalah Lina. Dah sudi bagi gambar kau dalam baju sukan dan memaki topi dan dalam jarak jauh tu pun dah memadailah tu. Kau takut aku terpikat kat kau ek…? Jangan risau… buat masa ni hati aku entah kenapa seakan dah tertambat kepada Zah… oh.. syahdu… Syahdu amat…

Oh ya…! Menjelang tahun akhir di universiti, kami berpindah rumah lagi. Kali ni lebih dekat dengan universiti. Kuranglah sikit penat menapak mendaki bukit nak pergi ke universiti aku yang terletak di sebalik bukit tu. Maka bye-bye kepada Willow Close. Bye-bye kepada Luke anak jiran kami tu. Dan terutamanya bye-bye tangkap syahdu kepada Donna… kakak kepada Luke. Oh… sungguh ayu manis comel kakak Luke Si Donna tu. Sungguh cantik dan lentik tubuh badan dia… hampir satu rumah feeling menonggeng dengan dia sehinggalah masing-masing akhirnya dapat tahu bahawa Donna tu sebenarnya baru berumur 12 tahun! Aiyaaarrrkkk…! Nak jadi child molester ke…??? Oh tidaaakkk…!!! Orang putih ni semua tubuh badan membesar lebih cepat daripada umur sebenar ni kenapa??? Cet!

Kami berpindah ke Consort View. Aku ambil bilik yang paling kecil dalam rumah tu. Empat orang serumah kat sini. Ruang tamu kat bawah tu diubahsuai jadi bilik. Maka ‘bilik’ tu jadi ‘bilik’ terbesar dalam rumah tu. Habis tu ruang tamu? Apa kelas nak ada ruang tamu. Siapa yang nak datang bertandang kat rumah kita orang ni? Datang bertandang nak buat apa? Nak makan? Lepak-lepak? Kalau nak makan atau lepak-lepak, kita pergi ke common area merangkap ruang tamu merangkap tempat tengok TV merangkap tempat masak — dapur… aharks!

Aku paling suka Consort View antara tiga tempat yang pernah jadi pusat mastautin aku kat UK ni. Kenapa? Sebab suasana sini nampak lebih ceria. Lebih luas. Lebih selesa. Lebih aman pun ya juga agaknya. Pemandangan pun lebih menarik. Dari tingkap bilik kecil aku yang macam tempat simpan kotak kondom tu, aku boleh nampak sebatang pokok tepi jalan di luar sana, dan aku dapat ikuti perubahan pokok tu mengikut empat musim iklim Eropah tu. Best tau!

Dan dalam bilik aku yang kecil macam keranda berkongsi enam belas mayat tu, ada sebuah meja tulis kecil di sudut bilik tempat aku study dan… apa lagi… menaip suratlah. Maka dinding di depan meja tulis tu aku tampal gambar-gambar Zah yang dikirimnya sepanjang proses kami saling mengutus surat tu. Semakin lama semakin penuh pula dinding tu. Sumber ilham dan inspirasi! Hehehe… Tapi yang paling penting… elemen yang menyamankan perasaan… syahdu…

Dan pada tahun tu juga aktiviti aku semakin rancak pula. Kegiatan melancong aku semakin hebat — Flamingo Land, Blackpool, Lightwater Valley, bla bla bla… Dan ahli-ahli rombongan pun makin bertambah dan berubah-ubah. Tak kisahlah… yang penting, dalam rombongan tu mesti ada awek… uhuk! Dan tahun tu aku jadi rajin menghadirkan diri majlis apa yang kami biasa panggil ‘Malaysian Night’ yang dianjurkan oleh Malaysian Society universiti-universiti merata-rata UK ni kalau Malaysian kat situ rajin. Malaysian Night ni kiranya macam konsert kebudayaan Malaysia le kira-kiranya. Untuk memperkenalkan kebudayaan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa kat universiti masing-masing. Tapi biasanya 90% kehadiran ialah orang Malaysia sendiri! Dari merata ceruk UK pula tu! Antaranya akulah! Aharks…!

Dan sebagai Vice President yang tak buat kerja dalam Malaysian Students Society ni juga, aku jadi antara orang yang terpilih untuk ke Malaysia Hall, London. Ada apa ya? Ada taklimat dan program khas tentang apa yang dipanggil — zaman tu — ‘Wawasan 2020’. Aku ingat sangat salah sorang speaker yang beri taklimat tu. Dr. Sidek Baba. Aku ingat sangat sebab semasa taklimat tu dia bagi tau bahawa title ‘Dr.’ Di depan nama dia tu adalah disebabkan kelayakan Ph.D yang dia peroleh. Tapi apa yang hairan sangat dengan dapat Ph.D tu ek? Eheks… Memanglah bang… Kalau setakat satu Ph.D memanglah tak hairan. Tapi Dr. Sidek Baba peroleh TIGA bang! TIGA Ph.D…!!! Al-Nujum Pak Belalang Busut! Aku nak menghabiskan satu ijazah peringkat pertama ni pun sampai kebulur dan nak sewel tiga tahun tau! Dia buat TIGA Ph.D…!!! Aduhai… Tabik spring sikit… Toing! Toing! Toing!

Alang-alang dah ke London tu, teruslah melencong untuk melancong, kan? Ke mana? Ke Land’s End! Dan apa yang aku dapat? Ekekekeke… aku dapat… hmmm… ehem!

Tapi apa-apa hal pun, tahun akhir ni tiba-tiba dirasakan sebagai tahun yang paling hebat dalam seluruh pengalaman hidup aku di bumi UK tu. Tahun akhir tu tiba-tiba macam-macam peristiwa berlaku, yang kadang-kadang pernah buat aku rasa macam aku tak boleh nak handle. Ada ketikanya aku jadi kelam-kabut, lintang-pukang, porak-peranda dibuatnya. Tapi tak apa. Sebab? Sebab aku suka! Aku suka banget! Kenapa ya? Barangkali… barangkalilah… sebab tahun akhir di universiti tu merupakan tahun di mana sebenar-benarnya menjadi titik peralihan, selekoh utama yang merubah diri aku — perspektif, persepsi, perangai, tabiat, dan segala-galanya tentang aku. Dan aku tahu sangat-sangat apa dia peristiwa-peristiwa yang menyumbang ke arah perubahan tu. Aku tahu sangat-sangat. Dan aku tahu sangat-sangat bahawa tahun tu ialah tahun di mana aku akhirnya buat apa yang orang lain dah lama buat bertahun-tahun dulu sebelum aku — melukakan perasaan orang lain, menjadi jantan, dan… memahami erti sebenar cinta.

Inilah tahun di mana seluruh hidup aku telah membuka satu lembaran baru…

43 – Cinta Satelit

TAHUN akhir di universiti memang tahun yang maha sibuk bagi aku. Tahun nilah ada final exam. Tahun nilah juga ada project paper. Tahun ni juga ada ekspedisi melancong UK dan Eropah. Tahun ni juga ada aktiviti Malaysian Students Society yang macam-macam… Huh? Eh… kejap… Rasa-rasanya yang ni tak adalah macam-macam. Walaupun tak macam-macam tapi setiap aktiviti yang dianjurkan berskala besar gak…! Dan tahun ni jugalah, buat pertama kalinya, aku melalui satu pengalaman yang… yang… yang apa ya…? Entah… tapi personally, aku gelar pengalaman ‘Cinta Satelit’. Cinta jarak jauhlah tu…

Kenapa? Lagi mahu tanya? Tak baca bab sebelum ni ke? Eheks…! Sebab Zah… Well… Memanglah kami belum bercinta pun. Tak declare pun yang kami saling bercinta. Dan aku tak tahu pun sama ada kami ni bercinta atau tak. Yang aku tahu… ehem… errr… aku… aku… aku memang nak sangat-sangat kalau kami boleh jadi pasangan bercinta… Eeeeiiii… maluuuu… ekekekekekeke… Menyampah!

Sepanjang hubungan satelit melalui perutusan warkah antara Zah dengan aku tu, aku tak pernah isytihar status diri aku — sejak zaman bersama Lina H sehinggalah selepas putus dengan Lina H.

Dan Zah pula… Aku tak dapat kenal Zah melalui surat-suratnya. Dia tak dedahkan apa-apa tentang diri dia, status dia, keluarga dia, atau apa saja tentang dia dalam surat-surat dia. Kadang-kadang terlintas gak kat kepala otak aku yang dah mula bersih ni (ehem… excuse me…) betapa Zah ni seorang gadis misteri. Ni yang buat aku risau sebenarnya. Risau amat! Sebab perkara yang misteri akan menjentik keinginan aku untuk meneroka! Adoi laaa… Ni yang aku risau ni… Sebabnya kalau aku dah mula meneroka, aku akan teroka habis-habisan!

Tak mahu! Tak mahu! Aku tak mahu buat dengan Zah apa yang aku buat dengan awek lain! Tak mahu! Zah ni lain! Lain banget! Teramat lain… Dan aku dapat rasakan kelainan tu sejak mula-mula terpandangkan dia lagi semasa kerja kereta api dulu. Dia bukan macam awek-awek lain. Dia juga bukan awek orang lain (errr… insulting ke statement ni…?) Malah dia bukan macam awek aku pun! Dia bukan macam Lina H.

Adakah dia macam Lina W pula?

Nope! Definitely not! Lina W dan Zah adalah dua orang gadis daripada dua dunia yang amat jauh berbeza. Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Dan perbezaan dia orang berdua dari perspektif aku amat mudah—

  • Lina W — aku suka amat wajah dia. Dia sememangnya kategori wanita jelita yang membuatkan mana-mana jantan akan menoleh kali kedua dan takkan toleh tempat lain lagi. Aku salah sorang jantan tu. Dan aku boleh terpaku menatap wajah dia.
  • Zah — pun aku suka amat wajah dia. Seperti Lina W, jantan akan menoleh kali kedua untuk pandang wajah dia. Tapi tak seperti Lina W, setelah menoleh kali kedua, kemungkinannya amat besar bahawa mata takkan legat terpaku hanya kepada wajah dia. Tapi mata akan lebih terpaku kepada gerak-geri dia. Perwatakan dia. Lentuk dan lenggok dia. Dan — and this is my personal preference — senyuman dia akan buat hati cair. Sekadar senyumannya saja!>

Kau orang tak setuju? Tak apalah… Ada aku kisah? Aku lagi suka! Sebabnya, saingan tak banyak! Aharks! Tapi barangkali aku jenis yang suka perhati. Tak pun jenis gatal yang mata suka meliar bila pandang awek… Adoi laaa… Dan kerana mata aku yang suka meliar memerhati ni, maka aku nampak gerak-geri, perwatakan, gaya dan stail dia. Dan aku tak pernah nampak yang sedemikian begitu amat berjaya memikat dan menarik perhatian aku sebelum ni pada awek lain. Tak pernah!

Tapi aku hanya nampak tu pada Zah sedangkan aku mahu tahu lebih lanjut lagi tentang dia. Hmmm… Yalah! Sememangnya aku memang nak tahu sangat-sangat lebih lanjut tentang dia. Aku nak tahu dia ada berapa adik-beradik. Anak yang ke berapa. Ada ramai perempuan ke adik-beradik dia. Adik perempuan dia mesti comel dan manis macam dia juga ke. Asal dari mana. Kampung mana. Ayah dia kerja apa. Mak dia kerja apa… bla bla bla… Tak ada pula aku berminat sangat nak tahu pasal Lina W tu semua walaupun sesekali memang aku tertanya-tanya semasa baca surat-surat daripada Lina W tu. Dengan Lina H pula, agak lama juga masa setelah aku bercinta dengan dia baru aku mula nak bertanya-tanya tentang tu semua. Lambat interest tu sampai.

Dan memandangkan lokasi aku yang beribu-ribu kilometer daripada Zah, macam mana aku boleh kata yang dia dengan aku bercinta? Aku tak tahu menahu langsung tentang status dia dengan TC tu. Masih ke? Aku pernah kirim kepada Zah sebuah kaset yang di dalamnya aku rakamkan lagu-lagu Inggeris yang feeling-feeling diselang-selikan dengan suara aku yang manja dan ayu. Seolah-olah aku berkata-kata dengan dia. Sesuatu yang aku bercadang nak buat untuk Lina H juga dulu.

Semasa aku berikan kaset tu kepada dia dulu, aku tak terima lagi surat mahupun aerogram daripada dia untuk satu jangka waktu yang lama. Biasanya paling lama dua minggu selepas aku hantar surat kepada dia, balasan daripada dia akan tiba. Tapi selepas aku kirim kaset tu, rasa-rasanya sebulan atau lebih juga dia menyepi. Dan aku jadi risau amat. Jadi resah gelisah. Kenapa dia tiba-tiba menyepi ni! Dia tak suka kandungan kaset tu ke?

Lagu-lagu dalam kaset tu semuanya sengaja aku pilih dan susun sebegitu rupa sebab aku berharap dia dapat faham mesej yang aku cuba ak sampaikan melalui lagu-lagu tu. Kata-kata peribadi daripada suara aku yang manja tu sekadar untuk menjadi pemangkin kepada rentak pemikiran dia semasa mendengar lagu-lagu tu. Moga-moga menghala ke arah yang aku mahukan. Aku mahu sampaikan kepada Zah satu mesej yang aku tak gamak nak nyatakan secara langsung kepada dia walaupun melalui surat (dan sememangnya ni memang pelik bagi aku sendiri… biasanya petah aje mulut ni bercakap benda yang bohong-bohong pada perempuan ni tau… isy…).

Aku sebenarnya cuba nak beritahu dia bahawasanya… alahai… bahawasanya yang aku… aku… aku… alahai… aku… aku… aku dah… dah… alahai…

Tidakkah kau mendengar desiran melodi dalam hatiku ini…? Amboi… mulalah tu… mulalah tu…!

Tapi bila dia menyepi sekian lama setelah aku kirim kaset tu, aku jadi gelabah! Aku jadi panik. Tapi aku terus sabar. Barangkali kaset tu tak sampai. Lost in transit kat Rusia atau Antartika agaknya? Oh… jangan weh! Kaset tu dan juga kos penghantaran tu aku bayar dengan duit elaun yang sentiasa tak cukup ni tau! Aduhai…

Tak apa… aku akan terus menunggu dengan sabar… Mungkin kaset tu sampai dah pada dia tapi dia terkejut agaknya. Tapi macam mana kalau dia terkejut, dan kemudian tersedar bahawa dia telah — tanpa dia sedari — menyebabkan aku jatuh cinta kepada dia, lantas dia fikir dia dah buat kesilapan? Dia kesian kat aku sebab jatuh cinta kepada dia sedangkan dia tak berniat nak buat aku macam tu? Selama ni agaknya dia sekadar nak berkawan aje dengan aku? Alahai… aduhai… amboi…

Tapi tak apa… tak apa… biar aku terus menunggu. Kalau lepas sebulan tak ada apa-apa juga baru aku akan buat keputusan. Sementara tu, aku mesti bersiap-siap. Nak ke mana? Nak ke London! Ada urusan rasmi sebagai wakil pelajar Malaysia di Leeds masa tu. Amboi! Macam hebat sangat aje bunyinya, kan? Hebatlah tu… kena panggil ke London untuk dengar taklimat tenang Wawasan 2020.

Maka dua orang jantan tampan dan ayu bersama-sama tiga orang awek yang masam-masam manis dari Leeds pun pergilah ke London dengan memandu kereta sewa. Dah tu? Nak suruh kita orang beli kereta? Memanglah kereta kat UK tu murah-murah berbanding kat Malaysia, tapi nak bawa masuk tu nanti? Ada sesiapa kenal orang yang ada perniagaan AP? Aharks…!

Anyways… Di London aku sempat berbual-bual dengan sekretariat yang menguruskan pendaftaran kita orang kat Malaysia Hall tu. Nani dan Liza. Bukanlah! Bukan Nani kereta api tu! Ni Nani lain. Nani Terengganu.

Dan hasil sembang-sembang mesra aku dengan dia orang, aku dapat tau yang dia orang tu dari Portsmouth. Kalau grad nanti bakal jadi guru bahasa Inggeris. Maknanya bila bercakap bahasa Inggeris memang jenis keluar ikut hidung punya ni! Perghhh…! Takut aku…!

Dan sebenarnya kami… eh… jap… bukan kami, tapi aku… eheks! Aku ambil kesempatan bersembang mesra lagi dengan dia selepas majlis tu. Ramai-ramailah. Aku bercerita pasal Leeds walaupun aku sendiri pun tak tahu apa-apa sangat pasal Leeds tu. Dia bercerita pasal… hmmm… pasal apa ya? Entah… tak ingat… Tapi Liza memang keletah berbicara. Aku paling suka sembang dengan Liza terutamanya bila dia sebut “Entah!” Comel sangat bunyinya.

Dan sebenarnya setakat tu aje perkenalan aku dengan Liza… dan juga Nani sahabat dia tulah. Bila aku dah kembali ke Leeds tak ada lagilah. Hmmm… Ya ke setakat tu aje? Silap… bukan setakat tu aje. Sembang kami berlanjutan walaupun aku dah balik ke Leeds, dan Liza dah balik ke Portsmouth.

Sembang kami berlanjutan melalui, pada mulanya poskad, kemudian surat, dan diiringi juga dengan talian telefon! Dan ya, memang kami bertukar-tukar alamat dan nombor telefon masa berjumpa di London hari tu.

Liza memang seorang sahabat yang sangat baik. Dia peramah, caring, keletah dan… petah berbahasa Inggeris dengan perbendaharaan kata yang canggih. Surat-surat Liza penuh ceria dan sendat dengan cerita-cerita yang gembira. Aku mengaku yang aku sering tersenyum dan tersengih sorang-sorang bila membaca surat-suratnya.

Kalau berbicara di telefon, biasanya aku takkan mengantuk walaupun kai hanya berbicara bila dah lewat malam. Terpaksalah berbicara lewat malam sebab kalau tak nanti terpaksa berebut dengan yang lain-lain tu, yang sibuk nak bergayut dengan awek dia orang juga. Tak apalah… bagi chance pada yang bercinta. Yang bukan bercinta ni akan beri laluan dan akan gunakan talian bila yang dah bercinta tu puas bergayut dan nak tidur sambil mimpi indah-indah ataupun basah-basah. Apa-apa ajelah.

Tapi bicara telefon antara Liza dan aku biasanya panjang-panjang, lama-lama, dan… panjang serta lama… Hmmm… Panjang. Lama. Kadang-kadang ada interval pula tu. Macam tonton wayang pula. Interval tu biasanya sebab salah sorang terpaksa menyahut panggilan hajat.

“Nature calls,” kata Liza setelah kita orang bersembang kat telefon tu dalam lebih kurang… well… setengah jam! “Nanti I call balik ek.”

“No,” aku balas. “I’ll call you. Berapa lama you nak jawab panggilan alam tu? Sebang isu besar atau isu kecil?”

“What?”

Aku gelak. Tak lama lepas tu dia pun gelak.

“Jahat!” dia balas. “Isu kecil!”

“Ten minutes?”

“Kenapa you yang nak call balik?”

“Tak apalah, Liza,” aku kata, ikhlas dan jujur. “Tadi you call. Lepas ni biar I pula, okey. Dah, jangan nak berdebat pasal ni. Pergi jawab panggilan tu sekarang. Nanti tercicir merata-rata.”

“Jahat! Okey, nanti call tau!”

Dan begitulah kami, hampir setiap malam! Ya… setiap malam. Sama ada Liza atau aku, biasanya kami macam faham-faham aje saling bergilir-gilir siapa yang akan menelefon dulu. Sememangnya aku suka banget bersembang dengan dia. Aku rasa terhibur, dan aku juga banyak belajar bahasa Inggeris daripada bakal cikgu bahasa Inggeris. Tu pun kalau dia memang nak jadi cikgulah. Tapi jauh dalam hati, dari sembang-sembang aku dengan Liza, aku percaya jadi guru bahasa Inggeris bukan kelayakan sebenar Liza. Liza sepatutnya jadi pensyarah bahasa Inggeris, atau profesor bahasa Inggeris. Kalau dia tak berkecimpung dalam bidang akademik selepas tamat pengajian, aku tak nampak sebarang profesion lain untuk dia. Aku nampak Liza seorang yang akan cemerlang banget sebagai ahli akademik. Tapi, ,siapalah aku nak menilai orang. Awek aku Lina H pun aku tak reti nak menilai kejujuran dan keikhlasannya, kan? Kan? Memanglah wanita spesies yang cukup handal me… me… me… me apa ya? Menipu…? Aharks…!

Tapi kan… hmmm… Liza… Hmmm… Dari sehari ke sehari sembang kami makin mesra. Surat-menyurat dah semakin kurang sebab tempoh bicara di talian telefon semakin bertambah. Bil telefon aku pun bertambah juga berkadar terus dengan tempoh sembang. Ada ketikanya sembang kami berlarutan sampai dua jam! Dan jangan terkejut (tapi memang tak terkejut pun) bahawa ada ketikanya — terutamanya di hujung minggu — sembang kami sampai ke pagi dan kami tak tidur sepanjang malam! Alamak! Ni petanda apa pula ni…?

Kadang-kadang, semasa interval, talian tak diputuskan. Sebabnya, telefon tu diserahkan sementara waktu kepada sahabat baik Liza, yang juga rakan serumah dia — Nani. Dan ni berlaku bukan sekali. Beberapa kali. Dan perbualan dengan Nani sememangnya amat menakutkan aku! Amat menakutkan!

“Liza is a very good friend of mine,” kata Nani. Seperti Liza juga, nada suara dia ceria. Kenapa semua cikgu bahasa Inggeris jenis yang ceria belaka ya? Oh ya… kecuali cikgu bahasa Inggeris aku kat sekolah rendah dulu dan semsa tingkatan dua dulu tu aje yang tak ceria. “You jaga dia baik-baik tau. Don’t hurt her. If you hurt her feelings…”

Kata-kata Nani malam tu tak dihabiskan. Tapi, apa maksud dia sebenarnya? Dan Liza tahu ke tak bahawa Nani bercakap macam tu kat aku?

Dan sebenarnya apa pula yang Liza dengan Nani sembang sesama dia orang yang ada kaitan dengan aku yang aku tak tau ya…? Atau aku sebenarnya sekadar jantan perasan semata-mata..? Jantan perasan…?

Demi sesungguhnya aku amat-amat berharap, pada ketika tu, bahawa aku sememangnya sekadar jantan perasan semata-mata!

44 – Antara Benua

HENING sungguh pagi tu tatkala tiba-tiba aku terima satu bungkusan daripada Malaysia! Terus hilang hening pagi yang tadinya melandai dalam jiwa kerana kini jiwa aku dilanda ribut! Bungkusan? Daripada Zah? Apakah…?

Zah tak menyepi selepas aku menghantarnya kaset tempoh hari. Dia sekadar mengambil masa untuk membalas. Dan aku tahu dia ambil masa kerana dia ingin membalas kaset pemberian daripada aku tu, dan dia membalas dengan kaset juga!

Macam cicak aku berlari naik ke bilik. Ketar tangan aku membuka bungkusan tu. Benar seperti yang disangka — memang ada kaset di dalamnya! Lantas aku tak menunggu untuk memasang kaset tu. Dan seperti konsep yang aku hantar kepadanya, Zah membalas dengan sebuah kaset yang mengandungi lagu-lagu yang diselang-selikan dengan suaranya!

Suara dia! Suara Zah! Ohhh…

Tak payah ceritalah apa yang aku rasa lepas tu! Tak payah! Sendiri tahu sudah…

Tengok! Tengok! Dia bukannya takut dengan pemberian kaset kepadanya hari tu. Dia bukan rasa bersalah. Dia bukan tak suka. Dan aku percaya, dia suka, dan dia gembira! Dan kali ni aku amat-amat berharap yang aku bukan sekadar perasan! Janganlah hendaknya aku sekadar perasan! Jangan! Please…!

Dah tentulah kaset tu aku mainkan saban hari, saban malam, saban waktu, sampai aku naik hafal semua lirik lagu dalam kaset tu. Dan aku sememangnya tertanya-tanya kalau-kalau Zah memasukkan lagu-lagu tu dengan erti tertentu sebagaimana lagu-lagu yang aku hantar kepada dia dalam kaset aku tu. Lagu-lagu yang aku hantar secara kolektif menyampaikan maksud tertentu kepada dia — rasa hati aku kepada dia sejak pertama kali aku terpandangkan dia sehingga kini. Dan aku tak pernah tahu sama ada dia dapat membaca maksud tersirat tu dalam kaset yang aku hantar tu.

Tapi lagu-lagu yang dia masukkan dalam kaset dia ni? Sejujurnya aku tak fikir dia gunakan prinsip yang sama yang aku gunakan. Aku tak fikir dia cuba menyampaikan sesuatu maksud. Aku fikir, dia sekadar memasukkan lagu-lagu yang digemarinya ketika tu. Dan sebagai manusia, apakah yang mendorong minat kepada lagu-lagu tertentu?

Aku fikir, pertamanya kerana pengalaman hidup semasa. Pengalaman hidup semasa boleh mempengaruhi minat kepada sesuatu lagi sekiranya lagu tu tepat menyentuh diri sendiri, terutamanya emosi yang dirasakan pada ketika tu, kan? Tak gitu ke? Bukan? Ke?

Kalaulah benar, maka lagu-lagu yang Zah masukkan dalam kaset dia tiba-tiba buat perut aku rasa mencerut sampai aku rasa macam nak berak. Alamak! Kenapa… kenapa lagu-lagu dalam kaset dia ni semuanya lagu kecewa cinta? Dia kecewa bercinta ke? Dengan siapa? TC…? Ya ke…?

Sepanjang hari tu juga aku tak berhenti-henti tengok jam. Asal ada saja jam yang aku nampak, aku akan tengok waktunya. Kemudian aku tambah lapan jam. Dan hari tu aku lebih kurang jam satu tengah hari waktu tempatan di Leeds, aku dail nombor rumah Zah. Gila betul hari tu sebab aku nekad buat panggilan jarak jauh antara benua. Aku telefon Malaysia. Aku telefon rumah dia. Sepatutnya dia berada di rumah masa tu. Kalau betul aku kenal dia, aku yakin dia berada di rumah dan bukan keluar merayap ke mana-mana pada waktu malam macam tu.

Macam nak pecah tulang dada aku menahan debaran menunggu jawapan dari hujung talian sana. Suara sorang awek menyahut panggilan akhirnya.

“Zah ada?” aku terus aje tembak dengan dua harapan yang menggunung — pertama, yang menjawab telefon tu harap-harapnya bukan Zah; dan kedua, Zah memang ada di rumah waktu tu.

“Sekejap ya,” balas awek tu. Dan aku dapat rasa kelegaan yang teramat dalam hati aku masa tu! Nampaknya kedua-dua harapan aku yang menggunung tadi tu bertaraf Gunung Everest kini.

Aku dapat dengar awek tu beredar sambil melaungkan nama Zah. Di latar belakang aku juga dapat dengar suara-suara lain yang berbaur. Entah sembang, kadang-kadang gelak ketawa, kadang-kadang menjerit. Semuanya suara awek. Apa dia orang buat terjerit-jerit malam-malam buta kat sana? Bergurau senda ke? Gurau apa macam tu?

“Helo!” terperanjat sekejap aku bila tiba-tiba disalak suara tu di gagang. Ni bukan suara Zah ni.

“Ya,” aku balas. “Zah ke?”

“Siapa tu?” suara tu bertanya.

“Dzam,” aku mengaku. Dan pada ketika tu aku dapat dengar entah siapa awek yang menjawab telefon tu tadi melaungkan nama aku kepada seseorang di sana. Tidak lama kemudian aku terdengar macam-macam bunyi di latar belakang tu. Dan akhirnya…

“Helo…”

Suara yang datang dari gagang tu berbeza amat kini! Ia jauh lebih lembut daripada suara yang mula-mula tadi. Ia lebih beralun seakan bermelodi. Ia lebih nyaman menyapa corong telinga.

Dan aku tahu siapa yang sedang berkata-kata di hujung talian sana. Zah!

Tiba-tiba aku rasa jantung aku pecah.

“Zah ke tu…?” aku nak pastikan.

“Ya…” dia jawab. Entah telinga aku yang tak berapa bagus reception, atau talian jarak jauh yang belum cukup canggih, atau sememangnya aku betul-betul dengar bahawa suara Zah agak ketar. “Betul ke Dzam tu…?”

Memang sah suara dia ada getar. Terketar-ketar. Dia demam ke…?

“Ya. Dzam ni,” aku akui. “Tak percaya?”

“Dzam kat mana ni?”

“Kat Leedslah.”

“Tipu…”

“Huh?” kenapa dia tak percaya ya? “Betullah. Kenapa nak tipu pula?”

“Telefon dari sana?”

“Yalah.”

“Tipu…”

Astaga wa esta bagadud… Dia tak tahu ke kat UK ni ada telefon macam kat Malaysia juga?

“Dzam cakaplah betul-betul,” suara Zah seakan merayu, dan getar dalam suaranya semakin jelas. “Dzam kat mana ni?”

“Kat UK, sayang,” aku cakap sungguh-sungguh. “Kat Leeds ni. Sekarang kat sini baru lepas tengah hari. Percayalah.”

Dan sungguhpun dia sebenarnya seakan tak percaya bahawa aku benar-benar menelefonnya dari jarak beribu-ribu kilometer, kami sempat juga berbual. Dan aku sempat bertanya kepadanya apa yang aku nak sangat tanya sejak dapat kaset dia tadi. Aku tak lagi berlapik. Aku tanya terus terang kepada dia — adakah dia masih lagi dengan TC tu.

Dan jawapannya membuat aku rasa… rasa… entah… Rasa nak melompat pun ada. Rasa nak menjerit pun ada. Rasa nak telanjang… hmmm… yang tu tak ada… Aku pun tak tau apa yang aku rasa.

Rupa-rupanya Zah dah lama tak lagi berhubung dengan TC tu. Sejak sebelum dia berhenti kerja dari kereta api lagi. Sebelum dia kerja di hospital lagi. Sejak aku masih di NCUK lagi. Kenapa? Aku tak tanya. Bukan sebab aku tak mahu tau. Aku nak sangat-sangat tau kenapa dia tak lagi dengan TC tu. Aku nak sangat! Tapi aku tak boleh tanya masa tu. Ni bukan persoalan yang boleh diceritakan dalam sembang telefon jarak jauh macam tu. Tak boleh! Pertama, kerana ia melibatkan soal emosi dan hati. Soal emosi dan hati perlu dibicarakan depan berdepan. Aku perlu lihat riak wajah dia tatkala dia berbicara hal emosi dan hati. Penting amat bagi aku! Penting amat!

Kedua, sebab ni panggilan antara benualah weh! Kau orang rasa-rasa berapa pound sterling aku kena bayar bil telefon ni nanti? Bukan kedekut tau. Nak kedekut macam mana kalau memang tak ada duit! Cet…!

Tapi yang nyata, yang sempat aku korek daripada dia, ialah bahawasanya pada ketika tu dia sememangnya solo. Belum ada lagi pengganti TC. Belum ada…? Macam tak percaya… Macam tak percaya! Tak mungkin Zah tak ada pengganti untuk TC. Semasa kerja kereta api tu aku tahu sangat-sangat berapa punya ramai jiwa lelaki yang hancur luluh sebab tak dapat mengurat dia. Berapa punya banyak hati lelaki yang terhiris berkeping-keping kerana gagal merampas dia daripada TC tu. Aku tahu sangat sebab sembang-sembang budak-budak kereta api masa makan malam kat Sungai Segget dulu mesti ada sebut tentang dia. Aku tahu sangat sebab budak-budak lelaki team dia dulu sendiri pernah sembang tentang hati dia orang yang punah pecah berderai sebab Zah tak layan.

Dan kakak yang satu team dengan Zah dulu, yang berkawan rapat dengan awek dalam team aku tu dulu, begitu amat memuji Zah kerana daya tarikannya yang memikat begitu ramai, begitu amat ramai jantan daripada golongan pekerja buffet coach kereta api sampailah kepada kakitangan kereta api tu sendiri seperti beberapa orang TC, TI, bahkan drebar kereta api sekali pun! Adoi! Aku termasuklah dalam golongan para jantan kecewa tu… Tapi kakak-kakak dan awek-awek tu puji Zah sebab Zah tak layan dia orang dan setia pada TC dia tu… adoi laaa…

Jadi kenapa setelah dia putus dengan TC tu — yang menurut Zah sendiri sejak sebelum dia kerja hospital lagi — hingga ke saat tu, saat aku telefon dia tu, saat selepas dia dan aku saling berutus surat, bertukar kaset, dia masih solo? Tak ada ke orang yang mengurat dia? Tak ada ke antara yang mengurat tu yang sangkut? Takkan kut…? Takkan…

Atau… oh tidak… Zah tu perempuan, seperti juga Lina H. Dan pengalaman aku dengan Lina mengajar aku satu pengajaran hidup yang aku akan ingat sampai mati — women are excellent liars! Zah pun berbohong dengan aku ke…?

Tak mungkin… Ya, memang aku tak kenal Zah sangat, tapi aku tak percaya dia tu spesies biawak lidah bercabang dan badan bersisik berdarah sejuk macam Lina H! Spesies reptilia yang boleh menyesuaikan diri dengan suhu sekeliling dan tak ada siapa pun tahu apa yang berlaku dalam badan dia. Jenis yang bisa memperdaya dengan hati yang teramat busuk!

Zah tak mungkin sama dengan Lina H!

Tapi aku juga tau bahawasanya aku takkan dapat pastikan dalam jarak sejauh ni. Aku takkan dapat pastikan hanya melalui utusan surat semata-mata, lebih-lebih lagi bila Zah bukan jenis yang bercerita tentang diri sendiri. Aku takkan dapat pastikan hanya melalui talian telefon, lebih-lebih lagi kalau terpaksa bayar bil tinggi dalam nilai pound sterling.

Kalau aku mahu tahu dengan pasti, aku mesti berdepan dengan dia. Aku mesti jumpa dia… in person! Aku mesti dengar dia bercakap depan aku. Aku mesti lihat dia berbicara dengan mata kepala aku sendiri.

Maknanya, aku mesti jumpa dia! Tapi macam mana aku nak jumpa dia? Bukannya aku boleh naik bas atau kereta api ke rumah atau pejabat dia dari Leeds ni. Bukannya aku boleh sewa kereta.

Tak boleh! Satu-satunya cara ialah untuk balik ke Malaysia!

Dan cuti musim panas ni nanti, aku mesti ada duit secukupnya untuk beli tiket kapal terbang dan pulang ke Malaysia! Takkan aku nak suruh dia pula yang beli tiket kapal terbang datang ke UK? Kan? Kan?

Aku mesti jumpa dia! Mesti!

45 – Sonata Musim Panas

ATAS daya usaha Garn yang telah sebelum ni banyak pengalaman dalam menguruskan kenderaan untuk balik kampung sempena cuti raya dan cuti semester, maka Garn telah sekali lagi menunjukkan kebolehan dan ketokohannya yang tiada tolok banding dalam menguruskan kenderaan bagi tujuan yang sama. Bezanya satu aje — dulu dia uruskan bas aje. Tapi sekarang dia uruskan kapal terbang! Mak aiii…! Dapat peluang berinteraksi dengan pramugari ke agaknya? Hmmm…

Maka Garn buat keputusan untuk menguruskan transportation untuk sesiapa yang bercadang nak pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas tahun tu. Seperti dijangka memang agak ramai juga yang berminat. Dan aku pun dengan sukarela menjadi salah sorang pelanggan Garn untuk pulang ke Malaysia cuti musim panas tahun tu. Setelah berpenat-lelah dengan penuh sengsara berlapar dan berkebulur dengan sengaja secara sukarela dan — yang ni lebih kerap — paksarela, akhirnya dapat juga aku kumpul duit yang cukup untuk beli tiket kapal terbang pergi dan balik untuk cuti musim panas ni. Naik pesawat mana? Aeroflot…! Aharks! Jangan main-main tau! Ni syarikat penerbangan Rusia tau! Transit kat Moscow weh…!

Dan semestinya aku takkan lepaskan peluang nak balik ke Malaysia ketemu Zah! Aku mesti berdepan dengan dia. Aku mesti tengok dia berbicara. Aku rindu banget pada perwatakan, perawakan dan gerak-gerinya. Aku rindu banget pada alunan suara dan gaya bicaranya. Entah kenapa segala-galanya tentang dia begitu amat memikat aku. Kenapa ni…?

Cukup-cukuplah deskriptif aku tentang Zah ni, kan? Kan? Tak bolehlah cerita pasal dia kat satu dunia. Ni bukan cerita tentang Zah… Tengok judullah… Dah judul macam tu maka cerita macam tulah… Kalau boleh sedetail mungkinlah kan? Bukan ke? Ke…? Eheks!

Dari dalam kapal terbang yang kecil molek dan dikendalikan oleh — aku difahamkan — bekas juruterbang tentera udara Rusia tu lagi, aku dah asyik terbayangkan Zah. Kepala otak dok merangka strategi nak jumpa dia. Dia pun dah tau yang aku akan balik Malaysia sebab aku dah bagi tau dia dalam surat hari tu. Teruja betul nak jumpa dia. Tapi kan… dia pula macam mana ya? Teruja juga ke nak jumpa aku? Entahlah… Apa-apa hal pun elok juga pramugari Rusia ni tak macam yang aku jangka. Ingat ke pramugari Rusia ni macam awek-awek dan model-model Rusia yang biasa keluar dalam majalah dan TV tu, lagi-lagi dalam majalah top shelves yang banyak jual kat tepi jalan di UK tu. Bukan rupa-rupanya… Pramugari Rusia ni semua spesies banyak airlah! Adoi laaa…

Maka memandangkan fokus aku tak diganggu-gugat oleh pramugari Aeroflot, bolehlah konsentrasi aku tertumpu pada memikirkan strategi dan perancangan nak jumpa Zah nanti. Macam mana ya nak jumpa dia? Dia kerja. Takkan nak suruh dia ambil cuti. Tak patut… tak patut…

Maka strategi aku ialah… hmmm… tak ada strategi pun. Aku belasah aje. Aku pergi ke pejabat dia kat hospital tu. Kat klinik yang dia kendalikan tu. Jadi macam jin penunggu kat ofis dia saban hari. Menunggu dia habis kerja. Boring…? Tak juga. Sebabnya, semasa dok menunggu dia tu, aku dapat peluang perhati dia. Dapat tengok dia. Dan oh… sekadar tengok gerak-geri dan kelincahan dia tu pun dah cukup menghiburkan. Dan bila sesekali dia lempar pandangan dan jelingan pada aku sambil menyedekahkan senyuman, aku terasa damai. Sungguh mendamaikan…! Oh… tiba-tiba rasa syahdu tak tentu pasal.

Bila dia habis kerja, aku teman dia balik ke rumah. Naik bas sama-sama dengan dia. Duit tengah banyak sebab baru tukar pound sterling ke Ringgit Malaysia, kan? Sampai kat rumah dia, aku duduk kat luar bawah anjung tu. Dia masuk dalam dan biasanya dia akan bancuh dan jamu aku air sejuk. Kadang-kadang air panas. Lepas tu kami duduk sama-sama kat bawah anjung tu sambil sembang-sembang. Agak-agak dah habis air tu yang memang aku sengaja cicip sikit-sikit supaya habis lambat, barulah aku berhambus balik rumah. Takkan nak sembang sampai malam atau sampai esok pagi. Dia pun penat baru lepas kerja tu. Penat-penat pun masih boleh sedekah kat kau senyuman dan gelak ketawa dia… oh…

Bila tiba hujung minggu kami keluar dating lagi. Jalan-jalan ukur divider kat KL dan Subang Jaya. Dan masa nilah aku baru tersedar sesuatu. Alahai… Sesuatu yang aku rasa takkan boleh berlaku pada aku sebelum ni. Apa yang berlaku? Buat pertama kalinya dalam hidup aku sebagai jantan (dan sebelum tu pun memanglah aku jantan weh!), aku sungguh rasa teramat segan dan malu dengan dia! Kenapa ni…?

Malu kenapa? Sebab aku rasa sangat-sangat nak pegang tangan dia bila kita orang berjalan seiringan. Rasa teringin sangat-sangat! Tapi… tapi… aduhai… Tapi aku tak pegang! Aku takut! Bukan… bukan takut. Aku malu! Malu!

Tak pernah berlaku macam ni sebelum ni! Tak pernah! Biasanya aku tak rasa malu atau segan macam ni bila nak pegang tangan awek. Tangan Lina H pun dulu buat pertama kalinya aku pegang dengan konfiden aje. Cuma rasa bersalah sikit lepas tu sebab aku agak dia tak pernah pegang tangan lelaki. Tu ajelah. Tapi masa nak pegang tangan Lina tu dulu aku tak rasa teragak-agak pun. Apatah lagi rasa malu. Jauh sama sekali, dua kali, tiga kali dan berkali-kali. Tak pernah.

Tapi dengan Zah… alahai… Memang aku asyik dok perhatikan tangan dia setiap kali kami bertemu. Aku suka tengok tangan dia terutamanya bila dia berbicara. Gerak-geri tangan dia tu begitu amat menggoda dan memikat. Aku ingin sangat nak pegang tangan dia tu. Dapat sentuh pun jadilah. Lepas tu usap dengan lembut dan tulus. Kalau boleh nak genggam jugalah. Tapi kenapa aku tak tergamak ek…? Ke mana pula perginya naluri jantan tak tahu malu aku ni…? Takkan aku dah berevolusi menjadi arnab pula kut…? Atau dah jadi daun semalu?

Kenapa aku tak berjaya kumpul kekuatan power rangers aku ni untuk pegang tangan dia? Nak sentuh pun tak ada kekuatan ni? Kenapa ni…? Dan bila dia tersenyum… oh… Aku rasa macam nak cubit-cubit pipi dia tu! Dan bibir dia yang… yang… aduhai… Tapi tak boleh! Tak terdaya! Adoi laaa… Betul ke dia dah putus dengan TC tu? Habis tu kenapa masih ada dinding yang macam menghalang keberanian, kekuatan dan kejantanan aku ni? Memang betul ke dia ni ada bela hantu ni? Adoi…

“Kenapa putus dengan TC?” aku tanya dia masa kita orang dating hujung minggu tu kat Subang Parade. Helo! Zaman tu Subang Parade masih lagi antara tempat happening kat dalam Malaysia ni tau! Orang kampung pun kalau datang KL mesti teringin nak sampai ke situ tau! Cet!

Tapi semasa aku tanya soalan tu, aku dah sediakan jawapan yang aku harapkan dalam kepala aku, sebagaimana aku dah sediakan jangkaan masa mula-mula telefon dia dari UK dulu. Semasa telefon dia dari UK dulu, aku mengharapkan dua perkara—

Pertama, agar bukan dia yang jawab panggilan telefon aku tu. Sebabnya, teori aku, kalau dia yang jawab, seolah-olah macam dia memang mengharapkan akan terima panggilan daripada seseorang pada waktu malam tu. Tu yang akan buat aku cuak. Tapi kalau bukan dia yang jawab, maknanya dia tak hairan sangat siapa yang telefon sebab dia tak mengharapkan ada panggilan untuk dia.

Kedua, agar semasa aku telefon tu dia memang ada kat rumah. Waktu malam tu kan? Kalau dia tak ada kat rumah masa tu, memang sahih aku akan cuak! Tapi nasib baik memang dia ada kat rumah masa tu.

Dan bila aku tanya dia soalan yang aku tanya dia tadi masa kami dating kat Subang Parade tu, aku dah rangka jangkaan yang berupa harapan tertentu. Aku harap jawapan yang aku rangka dalam kepala aku ni sepadan dengan jawapan daripada dia. Jadi lepas tanya soalan tu, aku tahan nafas. Tahan nafas.

“Tak mahulah cerita pasal dia,” balas Zah. Alahai… kenapa ni…? Aku nak tahu jawapannya. Kenapa tak mahu cerita ni? “Dia tu peristiwa lepas.”

Nafas yang aku tahan sampai nyaris nak semput tadi aku lepaskan. Terpaksalah lepaskan sebab aku nak bercakap.

“Tak boleh bagi tau ke?” aku duga.

“Kenapa nak tau?”

“Saja…” dan aku pandang dia dengan tenungan… tenungan… tenungan mengada-ada. Tenungan manja. Tenungan merayu agar dia jawab juga… eheks… “Please… kenapa ya…?”

“Dia curang,” jawab Zah. Sekonyong-konyong nafas yang aku tahan kali kedua sampai nak semput tadi tu terlepas keluar dalam kelegaan. Ahah! Tepat dengan apa yang aku harapkan! Oh… lega… lega… Tu menandakan Zah, secara prima facie, adalah orang yang aku agak selama ni — jujur dan setia pada yang satu.

“Curang?” aku nak korek lagi. “Mana tahu dia curang? Cakap orang aje kut..?”

“Nampak,” dia jawab.

“Nampak dia keluar dengan perempuan lain ke? Entah-entah perempuan tu adik dia ke, kakak ipar dia ke, mak tiri dia ke…”

Zah geleng kepala. Bukan adik, kakak ipar atau mak tiri TC tu lah tu…

“Habis tu?” aku tanya, tak puas hati jawapan tak lengkap. Kalau SPM mesti dapat markah sifar dengan jawapan macam tu.

“Nampak kat leher dia,” balas Zah.

Buntang sekejap mata aku. Nampak apa kat leher TC tu? Takkan nampak tahi burung kut? Atau tahi lalat? Nampak gigitan cinta ke? Love bite?

“Serius?” aku nak kepastian lagi. “Entah-entah kena gigit dengan anjing ke, lalat ke, tungau ke, nyamuk ke…?”

Lepas dia gelak, dia geleng kepala.

“Dia mengaku,” kata Zah.

Terdiam sekejap aku dibuatnya. Aku tak kenal TC tu walaupun aku tahu rupa dia. Hensem tu taklah walaupun dibandingkan dengan aku memang dia lebih kacaklah. Cuma muka TC tu manislah juga. Ada iras-iras penyanyi Razis Ismail dalam versi kampung dan minus 75% tahap hensem daripada penyanyi tu… hehehehe…

“Dia mengaku?” aku ulangi. Memang sikit-sikit tu adalah rasa macam tak percaya. Adoi laaa… TC tu harap lawa dan soft spoken ajelah kut agaknya tapi memalukan kaum-kaum jantan sedunia. Apa ke punya keldai… Dua kali keldai tu! Pertama sebab buat tanda tu di bahagian yang orang lain — terutamanya awek dia sendiri — boleh nampak. Yang kedua, mengaku pula tu. Dengan awek sendiri pulak tu!

“Senang-senang aje dia mengaku?” aku komen, tapi sebenarnya aku tak tau apa yang aku nak capai dari komen spontan aku tu. “Kenapa dia buat macam tu ya?”

“Dia kata sebab dia geram,” jawab Zah. Huh? Dia geram apa ni? Kalau dia geram, awek tu pun mesti lagi banyak tepek-tepek kena gigit, kan? “Dia marah sebab kita orang gaduh. Dia pun pergi buat benda tu.”

Huh…? Alamak ai… Sahih keldai! Kalau macam ni, keldai pun akan tabik spring kat dia. Toing! Toing! Toing! Dalam berjuta alasan lain yang kaum jantan sedunia boleh fikir dan beri, dia boleh bagi alasan tu…??? Adoi laaa… Barangkali memang TC tu seorang yang jujur agaknya. Dan keldai.

Tapi pengalaman hidup aku dah buat konklusi bahawasanya dalam bercinta, yang paling, paling, paling, amat penting ialah kesetiaan. Setia weh! Setia. Kejujuran jatuh tempat ke dua. Tempat pertama dan terutama — bagi akulah, bagi kau orang, kau orang punya pasallah. Ada aku kisah? — ialah SETIA.

Dan SETIA pula mestilah mengikut definisi pasangan kekasih aku, bukan definisi aku. SETIA mengikut garis panduan dia. Standard piawaian dia. Dan dalam kes Zah dengan TC tu, mungkin TC tu jujur, tapi tak SETIA. Maknanya Zah mencari yang SETIA. Tu dah macam sama aje prinsip macam aku sekarang ni… hmmm…

Tu pasal kisah TC dengan dia. Aku dah tau apa yang berlaku. Aku dah tau berapa lama dia dengan TC tu. Walaupun tak tau semua hal dia dengan TC tu, tapi memadailah. Apa hal aku nak ambil tahu hal dia orang sebelum ni? Tu sejarah. Sejarah untuk ditulis dan direkodkan sajalah untuk sesiapa yang nak tahu. Bukan boleh buat apa-apa pun lagi dah. Yang tak nak tahu, tak payahlah baca sejarah tu, kan? Kan?

Tapi macam mana pula hal antara dia dengan aku? Status dia dengan aku sebenarnya apa? Kenalan? Bekas rakan sekerja? Kawan baik? Sahabat pena? Pen pal bak kata orang. Zaman sekarang ni dalam era digital, Internet, e-mel, chatting, laman sosial, blogging, Facebook, Twitter dan segala macam apa ke jadah IT tu, istilah pen pal tu dah jadi macam pelik dan lawak pula kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Jadi macam mana pula hal Zah dengan aku ni? Apa ikatan sebenar kita orang ni ek? Yang dia dok berbalas surat antara benua dengan aku selama ni tu sebab apa ya? Ada maksud apa-apa ke? Atau sekadar sembang sifar aje? Bukannya benda senang gak tu sebenarnya bagi dia nak ke pejabat pos beli aerogram, lepas tu cari masa nak menulis surat, bla bla bla…

Masa tu ada rasa risau yang dok merayap dalam urat saraf aku ni. Aku dapat rasa kerisauan tu merayap ke serata anatomi badan. Risau… takut kalau-kalau aku ni sekadar tempat melepaskan kekecewaan semata-mata bagi Zah. Yalah… orang dah putus cinta. Sepi. Sunyi. Kosong. Aku tahu sangat-sangat rasa tu sebab aku dah laluinya buat pertama kali dalam hidup kat UK tu. Sebelum tu aku tak pernah tau pun rasanya macam mana. Bila aku sendiri kena, aku dah tahu sangat-sangat.

Dan aku fikir, Zah pun, walaupun dia bukan lelaki macam aku, tapi dia tetap manusia, pun macam aku juga. Dan sebagai manusia, mesti perasaan tu tak jauh sangat bezanya dengan apa yang aku rasa bila putus cinta, kan? Kan? Sepi. Kosong. Sunyi. Dan perasaan tu mendesak agar mencari tempat nak mengisi kosong dan sunyi tu. Bukan nak mengisi cinta. Tapi sekadar mengisi sepi.

Dan orang yang telah ditemui untuk mengisi kosong dan sepi tu belum tentu akan menjadi orang yang mengisi cinta. Belum tentu. Tak semestinya. Maka dalam hal gitu, orang tu sekadar tempat persinggahan. Sekadar transit. Sekadar R&R kat lebuh raya. Atau sekadar plaza tol Touch-n-Go.

Maka… aku ni? Aku ni sekadar R&R kat lebuh raya aje ke bagi Zah? Oh tidak…! Tidak…! Betul ke? Dah tu? Aku ni apa? Patut ke aku tanya dia? Patut ke? Patut ke aku pun mendaftar jadi keldai macam TC tu?

Nope! Tak patut… Memang tak patut sangat ni… Ni belum masanya lagi nak tanya soalan bangang tu weh! Apa ke gelojoh sangat, kan? Lagi-lagi kalau nak tanya ikut stail aku — direct tak tahu malu sambil menonjolkan kemaluan. Dengan Zah ni tak boleh. Tak boleh. Aku tak terdaya nak tanya. Kalau dengan awek lain, aku tak perlu tanya pun. Dengan awek lain, bukan cinta yang aku cari pun sebenarnya.

Tapi dengan Zah ni lain. Dengan Zah, aku tak cari apa yang aku cari pada awek lain. Dengan Zah, aku sebenarnya… sebenarnya… alamak!

Tiba-tiba aku pun baru tersedar! Baru nak sedar diri time tu. Buat pertama kalinya dalam hidup, aku rasa Zah ialah wanita pertama yang bila pandang dia buat pertama kali dulu — dulu sebelum aku ke UK, semasa aku masih bersama Lina H, semasa Lina W pula masih lagi boleh bertandang dalam imaginasi dan angan-angan walaupun aku tengah berkasih-kasih dan berlebih-lebih dengan Lina H — buat pertama kalinya aku pandang seorang gadis diiringi dengan harapan untuk menawan cintanya! Dan ini berlaku kepada Zah! Tak berlaku kepada awek-awek lain sebelum ni.

Aku baru tersedar diri, bahawasanya selama ni terhadap Zah, aku sebenarnya mahu menawan cintanya. Bukan sekadar dirinya. Tetapi cintanya. Cinta weh! Itulah dia rupa-rupanya yang buat aku terketar-ketar ketakutan bila teringat dan terpandang dia dulu. Itulah dia rupa-rupanya yang buat aku jadi malu bila di sisi dia. Itulah dia rupa-rupanya yang buat aku hilang semua kekuatan dan power rangers bila dengan dia.

Aku mahukan cintanya… cinta seorang gadis. Cinta seorang wanita. Bukan yang selain daripada tu. Aku mahu hatinya sebagaimana aku rela menyerahkan hati aku yang dah penuh dengan entah apa-apa toksik ni. Dan buat pertama kali dalam hidup, aku sebenar-benarnya telah belajar meletakkan nilai dan harga yang tak ternilai tingginya kepada diri seorang wanita…

46 – Ujian Kontrak Lina

MAMALIA, menurut cikgu Sains Paduan aku dulu, ialah haiwan berdarah panas, dan manusia termasuk dalam kategori haiwan mamalia ni. Satu lagi kategori haiwan ialah yang berdarah sejuk macam buaya, cicak, ular, biawak, bla bla bla… Entah apa bendalah darah panas darah sejuk ni kan? Yang aku tau, aku adalah seekor mamalia. Dan yang aku tau, kalau aku marah, memang darah aku panas sampai boleh mendidihlah, kan? Bukan ke? Ke? Oh ya… by the way, kalau kau orang tak pernah dengar tentang subjek ‘Sains Paduan’, most probably sebab kau orang sekarang ni baru baligh atau masih belum baligh… eheks!

Dan oleh kerana aku seekor mamalia berdarah panas, maka tubuh badan aku tak boleh berubah-ubah nak sesuaikan diri mengikut suhu dan cuaca semasa macam haiwan atau binatang reptilia seperti, misalnya, biawak. Agaknya sebab tu kut bila dah lama duduk kat UK tu sambil tubuh badan pun dah sesuai dengan iklim dan cuaca UK yang sejuk beku peti ais tu, semasa balik ke Malaysia untuk cuti sonata musim panas tu, badan aku begitu amatlah tak selesanya. Berlengas memanjang. Rasa macam teruk sesangat kepanasan iklim Malaysia ni. Kat UK dulu, terutamanya masa musim sejuk, bukan main lagi rindu dan mengidam nak cahaya matahari. Sekarang dah ada kat Malaysia, hah! Ambik kau! Sibuk pula kompelin Malaysia ni panas ek? Cet! Ambil masa juga tubuh badan nak sesuaikan diri, tapi aku rasa yang menyesuaikan diri bukan tubuh badan kut? Sebaliknya minda. Minda. Kuasa minda. Letak jari telunjuk kanan atas tepi dahi kanan, dan jari telunjuk kiri atas tepi dahi kiri, kemudian genggam jari-jari yang lain. Pandang depan, fokus, ukir senyum… Lepas tu gambar masuk akhbar… aharks!

Apa-apa hal pun, iklim Malaysia memang panas luar dan dalam. Panas tu menyebabkan badan rasa gatal-gatal walaupun baru sikit aje berpeluh. Gatal-gatal badan ni kut agaknya yang berjangkit sampai jadi gatal-gatal hati dan perasaan. Dan gatal-gatal perasaan nilah agaknya kut yang menyebabkan aku gatal-gatal hubungi Lina semasa cuti musim panas kat Malaysia tu. Bukan… Bukan Lina H. Tapi Lina W! Oh…

Apa hal…? Entahlah… Tapi sebab aku dah tahu alamat rumahnya selain alamat universitinya, dan juga nombor telefon rumahnya, maka aku pun telefon dia hari tu. Saja nak tanya khabar, kononnya. Bercerita tentang betapa panasnya iklim kat Malaysia ni sampai tak tahan tubuh badan aku menanggungnya… Menyampah…!

“Rasa nak berendam aje ni,” aku kata pada dia dalam telefon. “Kalau ada sungai yang sejuk-sejuk ni, memang terjun punya!”

“Pergilah ke Sungai Congkak,” Lina W balas. “Situ air dia best gak laaa… Sejuk sebab dalam hutan. Kalau rajin boleh panjat lagi cari air terjun tapi tak tinggilah.”

“Kat mana Sungai Congkak ni?”

“Tak jauh dari rumah I.”

Huh? Hah! Tu dia! Dekat rumah dia!

“Kat mana ek…?” aku tanya. Pertanyaan tu memang jujur tau sebab aku memang tak tau. Betul! Aku memang tak tau kat mana tempat tu. “Tunjukkanlah.”

“Nak tunjukkan?” dia ulang. “Datanglah sini, baru boleh tunjukkan. Kalau tak macam mana nak tunjuk?”

“Hari ni boleh ke?”

Tu dia tahap sidratul muntaha punya gelojoh dan bangang. Tapi cikgu Bahasa Malaysia pula cakap, nasi dah jadi bubur. Maknanya dah terlebih masak. Itulah pasal kalau tanak nasi sambil beromen atau bersanggama, sampai tak sedar nasi dah terlebih masak. Okeylah juga tu kalau tempoh bersanggama lebih panjang daripada tempoh tanak nasi kan? Kan? Bukan ke? Ke?

Situasi tu irreversible. Terlajak perahu boleh gostan kalau depan tu bukan jeram atau air terjun atau mulut ikan paus, mulut jerung, mulut buaya ataupun mulut naga. Apatah lagi kalau mulut biawak Komodo. Tapi kalau terlajak kata? Orang kata badan akan binasa. Tapi rasa-rasanya – ikut pengalaman akulah – kadang-kadang terlajak kata badan boleh gembira juga… hehehehe…

Tapi dengan Lina W tadi aku dah terlajak kata. Macam gelojoh banget.

“Boleh. Pukul berapa nak datang?” dia jawab. Tu dia! Berderau darah aku kejap. Tapi kejap ajelah. Lepas tu darah tu mengalir normal semula bila jantung aku pun dengan sepantas kilat berdegup normal semula. So? Macam mana ni? Dah ada offer daripada Lina tu. First ingredient of a legally binding contract. Mana pergi acceptance aku pula?

Sebenarnya apa yang aku cari ni? Betul ke aku nak jumpa dia sangat? Untuk apa? Kenapa aku tanya soalan-soalan yang aku sendiri dah tahu jawapannya? Bengong…

Aku tahu kenapa aku nak jumpa dia sebenarnya. Sebab aku nak tengok dia dengan mata kepala aku sendiri. In person. Kali terakhir tengok dia ialah semasa sekolah rendah. Aku pun belum baligh lagi agaknya masa tu. Dia pula sama ada dah baligh atau belum aku tak tahulah, kan? Tak pernahlah pula aku tanya. Kalau kau orang nak tahu pergilah tanya dia sendiri. Alamat e-mel dia ialah azlinaw@linaw.com. Cubalah… aharks!

Tapi sekarang dia dah dewasa. Dah jadi anak dara. Dah jadi gadis. Dah jadi wanita. Jadi macam mana rupa dia sekarang? Dalam gambar yang dia bagi tu tak nampak jelas. Yang aku boleh simpulkan dari gambar tu cuma satu aje – dia bukan jenis banyak air. Badan dia nampak okey. Biasanya badan atlit rata-rata macam tu kan?

Maka bila dah agak tengah hari aku pun tiba kat depan rumah Lina, melaram dengan kereta Ayahanda. Ya… aku pergi juga ke rumah dia hari tu. Dah tu? Kenapa pula? Mula-mula tu cuak juga. Nak masuk rumah dia tak? Walaupun aku jenis jantan tak malu, tapi aku masih ada adab tau. Atas sebab aku beradab dan bukan biadab, maka aku pun masuklah ke rumah dia. Jumpa bonda dia. Siapa lagi ek yang ada dalam rumah tu masa tu? Entah… aku tak ingatlah. Lagipun aku tak ambil tahu sangat. Aku ke situ cuma nak cari dia aje dan minta izin daripada bonda atau ayahanda dia untuk bawa dia keluar ke Sungai Congkak.

Aku minta izin daripada bonda dia nak bawa Lina pergi tunjukkan sungai tu. Aku janji kat bonda dia aku jaga dia baik-baik punya dan aku akan bawa dia balik semula ke rumah dalam pakaian yang sama yang dia pakai sebagaimana aku bawa dia keluar tadi. Huh? Ada ke aku cakap macam tu? Eh… Tak ada kut rasa-rasanya… Tapi aku tahu memang aku ada cakap kat bonda dia something like “Jangan risau, makcik. Lina mesti akan balik rumah juga hari ni.” Macam tulah lebih kurang.

Lina pakai blaus kuning atau oren separas betis hari tu. Sesuailah kut agaknya nanti untuk meredah air sungai tu kalau perlu, kan? Maka dengan kereta Ayahanda, aku melaram bawa dia menyusur jalan kampung di Hulu Langat tu sampai ke Sungai Congkak berdasarkan tunjuk arah yang dia berikan. Tak tahulah kenapa tapi hari tu tak banyak kereta, dan tak ramai orang.

Dari tempat parkir, kami berjalan kaki beriringan ke dalam kawasan perkelahan tu. Sungguh aku masih belum pandang Lina dengan penuh intensif dan konsentrasi dalam full capacity lagi hingga ke saat tu. Aku sekadar jeling dia sesekali sambil sembang-sembang dengan dia. Tadi dalam kereta aku fokus memandu. Maknanya kena pandang depan lebih banyak daripada pandang tepi. Kalau tak nanti dia dengan aku dua-dua masuk hospital. Kena pula masuk hospital tempat Zah kerja… adoi laaa… Tu pun kira okey. Kalau masuk kubur?

Bila dah tiba, kita orang menapak masuk ke dalam kawasan perkelahan. Pun aku kena lebih banyak fokus pandang depan dan bawah dan bukan pandang dia. Takut tersepak batu, akar kayu atau terlanggar pokok.

Hanya bila kita orang buat keputusan untuk berhenti setelah melepasi beberapa buah chalet baru aku dapat peluang pandang dia secara intensif dan dengan penuh fokus.

Kami berhenti kat tepi sungai tu. Tak ada orang pun kat situ. Mana pergi orang-orang berkelah ni semua?

“Dia orang biasanya masuk ke dalam lagi,” begitu Lina menjelaskan. Oh… dia dah biasa dengan tempat tu kut? Maklumlah dekat dengan rumah dia. Barangkali dia biasa berkelah kat situ juga. Tak mungkin dia pernah kerja part time kat situ pula kan?

Tapi itulah harinya aku dapat tatap wajah Azlina W dengan lebih dekat. Bahkan, aku rasa itulah pertama kali aku tatap wajah dia dalam jarak sedekat tu. Masa sekolah dulu pun aku tak pernah tatap muka dia dekat macam tu. Bukanlah dekat sangat macam nak bercium tu weh! Dekatlah… dekat… macam orang bercakap berdua-duaanlah. Tepi sungai. Di bawah rimbun dan redup pohon-pohon hutan yang menghijau dan menyegarkan… ehem…

Dan sememangnya aku perhati setiap inci wajah dia. Sungguh muka dia tak berubah! Masih macam mana yang aku ingati sepuluh tahun dulu. Bezanya cuma pada rambut dia – rambut dia panjang sekarang. Dulu sentiasa pendek separas pangkal leher. Tapi sekarang dah sampai melepasi bahu!

Aku perhati alis matanya. Merah bibirnya. Cerah pipinya. Dan aku perhati lengannya… oh…! Syahdu… sungguh syahdu… Dan aku hampir faham sekarang kenapa cita rasa aku sentiasa kepada gadis yang berambut lurus separas bahu dan yang mempunyai bulu roma halus di lengan…

Aku perhatikan saja dia berbicara tentang… tentang… entah… Aku tak dengar lagi dah apa yang dia cakap sebab masa tu seluruh pancaindera aku bertumpu kepada memerhati dan menikmati kejelitaan, kecantikan dan keindahan insan yang sekian lama ini bertanggungjawab mencorakkan deskripsi dan bentuk cita rasa fizikal aku terhadap wanita. Jadi aku teruis saja perhatikan gerak dan lenggok kepalanya, gerak-geri tangannya, isyarat gerakan tubuhnya, bibirnya yang mengukir senyuman… hmmm… Eh? Kejap.. kejap…!

Ya tak ya… Senyuman? Part yang ni memang aku tak ingat. Senyuman…? Ada ke dia senyum? Sepuluh tahun dulu? Ada ke pernah aku tengok dia senyum? Ada ke…?

Lina W memang jarang senyum, sepanjang yang aku ingat. Kalau dia senyum pun, macam tak nak senyum tapi terpaksa juga senyum lantas senyum tu nak kata sengih pun tak, senget pun tak, apatah lagi senyum. Ya tak ya…! Betul! Betul!

Dulu, lama dulu, aku rasa macam Lina ni jenis serius tak senyum-senyum. Jenis yang muka garang gitu. Kalau dia senyum pun, macam terpaksa senyum. Gelak ketawa? Langsung aku tak pernah dengar.

Dan kini, bila dia dah berdiri tercongok kat depan aku sekarang ni, memang sahih jidan ni. Memang rias muka dia macam tu agaknya ek? Atau memang dia jenis mahal senyuman?

Sesekali aku nampak juga bibir dia mengukir senyuman tapi senyuman tu saling tak tumpah macam senyuman dia yang aku ingat sepuluh tahun dulu. Ofkoz sepuluh tahun dulu aku tak berbicara dengan dia. Aku cuma perhatikan dia dari jauh. Aku cuma tengok dia senyum dengan kawan-kawan dia.

Dan hari ni, di tepi sungai cetek dangkal yang jadi saksi ni, aku nampak senyuman yang sama. Bezanya kali ni senyuman tu ialah di depan aku, dan aku rasa sebagai respons dari sembang bicara dia dengan aku hari tu, entah apalah jua pun topik dan tajuk yang kita orang sembang pun. Barangkali memang Lina sedemikian orangnya. Sebab ni ke agaknya maka cita rasa fizikal aku terhadap awek aku sekian lama ni ialah jenis yang muka serius atau muka garang, gitu? Hmmm…

Kita orang habiskan masa kat tepi sungai tu bersembang-sembang. Sungguh aku tak ingat topik apa yang kita orang sembang kecuali satu aje.

“Macam perempuan,” dia komen gambar aku kat UK yang aku beri kat dia. Gambar tu pula aku tengah posing dengan begitu ayu dan manja kat pintu sebalah dalam bilik asrama Lina H… eheks! Jangan marah… nanti kena jual…

Oh ya… kembali kepada komen Lina W tentang posing aku yang ayu manja serta jelita tu. Cet! Dia kata aku macam perempuan? @^@. Aku tak boleh mencarut sebab yang berkata-kata tu Lina W… alahai… aku tak gamak nak mencarut kat dia tau! Aku sayang kat dia tau… Eh? Ya ke?

Lepas tu aku sekali lagi untuk ke sekian kali tersedar diri. Sayang…? Serius? Sayang tu mungkin betul… Aku memang sayangkan Lina W. Atau sebenarnya hormat kut? Mungkin kedua-duanya. Hormat sebab dialah acuan yang membentuk cita rasa aku pada wanita. Sayang sebab… sebab… sebab apa ya…? Hmmm…

Dan sedar diri ni memang kadang-kadang best, kadang-kadang teruja, kadang-kadang sakit, kadang-kadang lega. Yang buat aku lega sebenarnya ialah hari tu – hari di mana aku akhirnya setelah sekian lama yakni setelah sedekad – akhirnya berpeluang bertemu dan berinteraksi secara langsung depan berdepan, mata ke mata, mulut ke mulut (helo…! Ni maksudnya bukan bercium mulut tau! Ni maksudnya saling bertukar bicara secara langsung tau! Cet…!) dengan gadis idola aku selama ni. Tapi idola bukan bermakna aku bercinta dengan dia. Idola sebab dia… well… sebab dia amat jelita! Amat jelita!

Lantas aku pun tersedar (tersedar lagi…? Berapa kali sedar ni…? Kalau tengah tidur memang kompem terus bersanggama macam ni… isy…) bahawasanya cantik dan jelita bukanlah apa yang aku cari dalam CINTA. Sebab tu agaknya dengan Zah, aku memang mencari CINTA. Aku cari CINTA daripada Zah. Aku mahu Zah mencintai aku walaupun Zah tak menepati cita rasa fizikal yang aku cari. Zah tak ada bulu roma halus di lengan dia. Dan walaupun Zah memang cantik dan jelita (kau orang tak setuju? Suka hati kau oranglah… ada aku kisah…?), tetapi aku akui bahawasanya Lina W lebih jelita dalam kelasnya tersendiri. Dan definitely, Zah tak berwajah garang. Wajah Zah amat… amat… macam mana nak cakap…? Amat mendamaikan. Amat menyamankan. Kalau aku tengah marah sekalipun, marah tu akan reda hanya dengan memandang wajah dia… ohhh… alangkah…

Tapi aku tak mencari cinta dengan Lina W. Memang aku sedar sangat-sangat hal ni sekarang. Aku tak rasa macam tu. Bukan sebab aku tak ada perasaan. Adalah! Tapi bukan perasaan mahu mencinta dan dicintai oleh Lina W. Tak sama dengan perasaan aku bila aku dengan Zah.

Dan aku juga sedar (tengok! Tengok! Banyak kali aku sedar diri kan? Kan? Baik kan aku ni? Kan? Kan? Insaf kan?) bahawasanya bukanlah ciri-ciri fizikal yang aku cari semata-mata sama ada cari sendiri atau cari guna mata-mata. Dalam mencari cinta, aku juga cari apa yang perasaan aku mahukan. Aku cari yang mendamaikan. Aku cari yang menyamankan fizikal dan emosi. Lina W memang cantik dipandang. Sungguh! Tak tipu! Tapi bila aku ada dengan dia, aku tak rasa apa yang aku rasa bila aku ada dengan Zah. Lina H mungkin pernah aku cintai macam orang bodoh. Tapi a;pa yang aku rasa bila aku ada dengan dia masih tak sama dengan apa yang aku rasa bila aku ada dengan Zah.

Macam mana nak cakap ek? Perlu ke aku cakap? Nak cakap kat siapa? Apa hal pula aku nak cakap kat orang, kan? Aku tahu sendiri, Zah pun tahu sendiri, cukuplah, kan?

Maka hari tu memang hari yang amat bersejarah. Hari itu dalam sejarah. Sejarah yang ditulis kat tepi Sungai Congkak. Sejarah besar. Sebabnya? Aku dah berinteraksi dengan gadis idola Azlina W. Kiranya macam sejarah Malaysia merdeka. Tapi sejarah yang lebih besar ialah sebab aku dah tahu gadis macam mana dan siapa sebenarnya yang naluri dan perasaan aku mahukan selama ni. Kiranya macam sejarah Malaysia buat pilihan raya umum yang pertama.

Dan hari tu offer dah dibuat, acceptance dah diberi. Dua ingredient of a legally binding contract dah sempurna. Begitu juga capacity to contract. Lina W dan aku kedua-duanya waras, tak gila meroyan atau mabuk laut mahupun mabuk bir masa tu. Kita orang dua-dua dah baligh. Aku tak tanyalah Lina W sama ada dia dah baligh atau belum tapi kalau dia belum baligh juga lagi masa tu memang spesies makhluk cakerawala le tu maknanya. Kita orang juga faham apa ertinya bercinta tu. Aku sure sangat Lina W mesti faham maksud tu. Orang dah baligh dan besar takkan tak tahu-tahu lagi?

Maka tiga ingredient dah sempurna sebenarnya. Ingredient yang tak ada hanyalah intention to contract dan consideration. Tak ada intention nak bercinta. Yang ni aku tak tanya dia tapi sebab aku dapat rasakan yang aku tak ada intention tu, maka tak payahlah aku tanya dia pula, kan? Dan oleh sebab tak ada intention, maka tak adalah apa-apa yang ditukar ganti antara kita orang sebagai consideration. Ofkoz dalam hal ni, yang ditukar ganti tu sepatutnya perasaan cinta dan hati masing-masing. Tapi tu tak perlu berlaku antara Lina W dan aku. Tak perlu.

Jadi apakah keputusan ujian kontrak Lina W dengan aku? Macam kata mendiang Mr. Manual Valentine – “There is no legally binding contract!” Eheks…!

Zah… aku dah bersedia untuk kau. Bersedia ke kau untuk aku…? Tahu ke kau apa yang ada dalam hati aku ni? Tahu ke kau apa yang aku nak daripada kau sebenarnya?

Dah tahu ke kau, sayang, bahawasanya aku akan berangkat tinggalkan kau sekali lagi untuk ke UK bila cuti ni dah habis nanti macam dulu? Dulu aku berangkat ke UK, aku tinggalkan hati aku ni di sini untuk kau walaupun kau tak tahu dan agaknya kau tak ambil pun. Tapi kali ni, bila aku berangkat nanti, aku takkan ambil balik hati aku. Tapi aku mahu ambil dan bawa hati kau pergi bersama aku ke sana.

Sudi ke kau berikan kepada aku…?

47 – Monolog Nilai Cinta

CINTA ni rupa-rupanya kena dipelajari juga ek? Bukan belasah tak tentu hala ek? Belajar apa sebenarnya? Bagi aku yang bukan pandai dan tak intelligent ni, aku kena belajar mengenal pasti ‘cinta’. Maknanya, bukan dengan semua awek aku boleh bercinta. But then again, memang pun aku tak bercinta dengan semua awek. Sekadar bermaksiat aje kan? Maksiat dan cinta tak sama kan? Kan? Bukan ke?

Maksud aku, bila rasa syok kat awek tu, tak bermakna tu cinta, walaupun awek tu syok kat kita balik, atau sekadar pura-pura berlakon yang dia pun syok dengan tujuan jahat untuk memperdaya dan menipu (maklumlah… spesies perempuan, kan?). Nak cari cinta, kena cari yang betul-betul cinta. Macam mana tu ek? Manalah aku tau… tu kau orang punya hallah, kan? Aku cuma tahu aku punya hal aje. Apakah hal aku itu, wahai aku?

Hal aku tu ialah untuk mengesahkan perbezaan antara ‘cinta’ dan ‘ilusi’. Mak aiii…! Falsafah… falsafah… Selepas tu, baru aku pastikan ‘cinta’ yang sebenar. Dan aku ada misi untuk capai tujuan ni, dan misi tu dah tercapai.

Misi aku dah tercapai dengan bertemu Lina W kat Sungai Congkak hari tu. Aku nak pastikan yang sebenarnya Lina W cuma ilusi emosi aku selama bertahun-tahun. Tapi kenapa Lina W ek? Mungkin… agaknya… sepuluh tahun dulu, walaupun masa tu aku masih budak sekolah, tapi dari segi fisiologi zahir dan batin aku sebenarnya dah pun baligh kut? Ya ke? Atau setidak-tidaknya emosi aku dah melepasi garisan orientasi perasaan. Naluri baru nak mula belajar kenal perempuan. Secara fizikalnya memanglah aku dah kenal pun yang mana perempuan dan yang mana jantan dengan sekali pandang (kecuali jenis makhluk dan spesies yang suka camouflage tu). Tapi dari perspektif emosi pula?

Aku fikir kebolehan mengenali dan membezakan antara perempuan dan lelaki tak terhad pada fizikal aje, kut? Aku fikir setiap manusia ni akan tiba satu ketika di mana evolusi diri secara fitrahnya akan sampai tahap dia mesti boleh kenal dan bezakan antara perempuan dan jantan secara emosi juga. Tak betul ke teori aku ni? Spesies homo dengan lezbo tu kategori unik yang terasing daripada norma kehidupan. Tu bukan sebab tak kenal dan tak boleh bezakan antara perempuan dengan jantan secara emosi. Tu sebab memang emo.

Maka Lina W ialah elemen yang jadi asbab aku sampai ke tahap boleh kenal dan bezakan antara perempuan dengan jantan secara emosi. Kenapa dia? Aku fikir sebab dia tu satu fenomena. Macam Datuk Siti Nurhaliza dalam tahun sembilan puluhan laaa… Atau macam Latifah Nor dalam era enam puluhan. Tak pun macam Uji Rashid dalam era tujuh puluhan. Era lapan puluhan aku tak pastilah pula. Agaknya era tu selebriti lelaki jauh lebih ramai dan lebih popular kut?

Maknanya, nak bagi ilustrasi yang lebih baru up-to-date, di era ‘sepuluhan’ (ada ke perkataan ni ek?) dalam milenium dua ribu ni, kiranya macam fenomena Lisa Surihani kut? Antara ramai yang ada, dia paling ketara dan outstanding sebab telah Tuhan takdirkan dia ada muka yang lebih cun daripada orang lain. Macam itulah Lina W. Lina W ialah fenomena tu kat sekolah dulu selain daripada Ida S yang satu kelas dengan akulah. Tapi mungkin Lina W menang sebab Lina W ada pakej rupa dan badan. Ida S ada rupa yang sungguh menakjubkan tapi masa tu dia kurus yang teramatlah pula… Dah kurang tiga puluh empat perpuluhan tujuh tiga markah. Tambahan pula Lina W ada satu faktor yang sangat outstanding yang lain daripada yang lain — warna rambut dia. Warna rambut Lina W perang. Taklah perang macam orang putih atau blonde macam warna biskut krim tu tapi hitamnya kuranglah. Coklatnya yang lebih. Bukan sebab dia bubuh die atau pernah terkena renjatan elektrik ke, tapi memang semula jadi dah warna rambut dia macam tu. Bukan juga sebab dia Albino.

Maka aku agak disebabkan tu dia jadi yang paling outstanding ditambah dengan rupa dia yang memang cun! Kalau setakat warna rambut aje perang zaman sekarang ni dah berlambak-lambak sangat bersepah-sepah. Yang muka macam daun pintu dengan warna macam bumbung zink jamban pun boleh berambut perang. Lina W tak macam tu. Dia ada rupa yang cantik dan faktor outstanding tu.

Maka Lina W secara tak langsung jadi satu acuan cita rasa kepada aku masa tu. Agaknya sebab aku pun ada fenomena yang jarang-jarang budak lelaki zaman tu ada — dewasa terlebih cepat daripada orang lain… eheks…! Jangan marah ek… nanti kena jual.

Tu sajalah. Macam aku tengok Lisa Surihani kira-kiranya. Memang aku akan kata “Wow! Perghhh…!!!”. Jantan mana yang tak semput nafas kalau Lisa Surihani nak sangat-sangat kat dia? Jantan mana tu? Jantan yang minat jantan mungkinlah! Tu bukan jantan namanya. Tu pondan.

Tapi sebagai jantan yang tak bengkok, kompem bukan setakat semput nafas, tapi mungkin boleh mati diserang cardio terus kut kalau Lisa Surihani suka kat dia? Aharks…! Persoalannya, Lisa Surihani ke yang sebenarnya dia cari? Lisa Surihani ke orangnya yang dapat penuhi apa yang dia mahukan? Lisa Surihani ke orang yang akan bahagia dengan jantan macam dia? Dan Lisa Surihani ke wanita yang akan membahagiakan jantan tu pula…?

At the end of the day, kepada kebanyakan lelaki, Lisa Surihani, atau Siti Nurhaliza, atau Rozita Che Wan, mahupun Megan Fox dan Avril Lavigne, bla bla bla… semua dia orang tu hanyalah sekadar para wanita yang sedap dipandang mata, tapi belum tentu boleh beri bahagia. Macam Lina H pernah cakap dulu — ‘compatibility’. Kan aku dah kata Lina H tu lebih intelligent daripada aku? Begitu punya intelligent sampai aku tak tau pun yang aku kena tipu selama bertahun-tahun… ekekekekekeke… adoi laaa

Tapi Lina H benar. Dapat bini cantik mengalahkan Lisa Surihani sekalipun belum tentu jantan yang jadi laki dia tu akan bahagia kalau tak ‘compatible’ kan? Berapa banyak orang yang laki bini sama kacak dan jelita bercerai-berai tak sempat anak-anak dia orang capai umur baligh. Yang bercerai-berai sebelum sempat dapat anak pun ramai. Yang bercerai-berai sebelum bersanggama… errrhmmm… Yang ni macam tak logik pula.

Begitulah fenomena Azlina W bagi aku. Tak dinafikan lagi akan kejelitaan dia. Dia memang cantik dulu. Dan dia masih jelita sekarang. Tak ada jantan yang takkan terkalih dan terteleng kepalanya sampai terkehel-kehel nak tercabut buat kali kedua kalau terpandang dia. Percayalah! Kalau ada lelaki yang tak percaya, aku berani jamin lelaki tu spesies ‘riang ria’. Riang ria tu laaa… Dalam bahasa Amerika ‘gay’. Dan kalau ada perempuan yang tak percaya… hmmm… lu cemburu…! Lu cemburu tak sedar diri…! Aharks! Tapi Lina W bukan untuk aku dan aku rasa aku ni lagi-lagilah bukan sama sekali untuk dia! Ekekekekekeke… Pengalaman hidup sebelum ni — sama ada dalam bermaksiat atau tak — dah mengajar aku benda ni.

Lantas pertemuan Sungai Congkak dah bagi cop mohor pengesahan. Berada bersama Lina W memang menyeronokkan. Kalau jantan lain pandang mesti dia orang akan kutuk Lina W sebab dapat balak ayu dan jelita tapi tak berapa nak hensem macam aku. Kalau awek lain pula pandang mesti dia orang ingat Lina W tu dah kena jampi dek Ayah Pin dengan aku. Tapi hakikatnya bila berada bersama Zah, aku bukan saja rasa amat seronok, malah amat bahagia. Aku rasa amat selesa. Aku rasa nyaman. Aku rasa damai. Aku rasa macam diambil berat. Rasa macam dihargai.

Apa pasal? Kau orang fikir perempuan aje ke yang nak dilayan macam tu? Cet!

Dan aku tak dapat pengalaman tu semua sama ada dengan Lina W, mahupun dengan Lina H. Dan yang lebih penting, dengan Zah, ada satu lagi perasaan yang aku tak pernah rasakan dengan mana-mana awek termasuk Lina W dan juga Lina H sebelum ni. Perasaan yang buat pertama kalinya aku alami bila aku bersama Zah.

Perasaan yang mendesak untuk aku menghargai. Menghargai dia. Tak macam dengan awek-awek lain sebelum ni, memang kompem aku akan cari peluang nak lebihi-lebih punya… aharks! Kalau peluang tu aku tak nampak dan tak jumpa, aku sanggup create and fabricate peluang tu. Errr… kau orang faham ke apa yang aku cakap ni? Jangankan kata pegang tangan, lebih daripada tu aku rasa nak buat.

Tapi dengan Zah — well… memang aku tipulah (walaupun bukannya tak pernah aku menipu sebelum ni pun) kalau aku kata yang aku tak rasa berkehendak sangat pegang tangan dia, bahkan dakap, peluk dan cium dia bertalu-talu — aku tak tergamak nak buat tu semua. Banyak kali aku nak pegang tangan dia bila kita orang jalan beriringan. Banyak sangat peluang yang aku ada untuk terus capai dan genggam tangan dia. Begitu banyak juga peluang yang aku ada untuk paut bahu dia dan tarik tubuh dia rapat ke tubuh aku. Tapi aku tak gamak. Aku rasa malu pada Zah nak buat tu semua dengan dia. Macam mana nak describe ni ek? Aku rasa macam aku tak layak nak buat semua tu dengan Zah.

Umpama memikul cadar sutera. Selagi belum dibentangkan di tilam yang akan jadi tempat lena, selagi tu takkan sutera tu dibuka balutannya.

Dan aku tahu aku dah jumpa apa yang aku cari selama ni — erti sebenar cinta.

Masalahnya ialah, adakah Zah punya perasaan yang sama terhadap aku sebagaimana perasaan aku terhadap dia? Macam mana nak tau? Macam mana pula cara yang sebenar nak sampaikan rasa cinta? Dan apa pula nak buat kalau rasa tu tak berbalas…?

48 – Semua Ada Tanda

SEMUA kejadian dalam dunia ni — baik mahupun buruk — mesti ada petanda ke sebelum ia berlaku? Bukan ke orang Melayu dan masyarakat Asia ni memang percaya benda macam ni? But then again, percaya pada sesuatu tak semestinya sesuatu tu benar, kan? Tak percaya pada sesuatu pun tak semestinya sesuatu tu tak benar, kan? Macam kau orang yang baca siri nilah. Ada yang percaya kisah ni benar. Ada yang percaya semuanya tak benar. Ada yang percaya tak semua benar. Ada yang percaya tak semua tak benar, kan? Aharks…!

Betul ke mesti ada petanda? Kalau betul ada, macam mana pula nak membacanya? Ada pakai secret code ke? Macam James Bond dah tu. Oh… aku sungguh minat filem-filem James Bond ni…

Dengan Lina H dulu dah ada banyak petanda sejak dari A-Level sampai ke NCUK. Bila di UK, petanda-petanda tu semakin jelas dan semakin terkesan rasanya kat hati dan perasaan. Tapi aku gagal nak baca. Tak reti nak baca. Akibatnya? Tak bersedia. Tu le pun faedah petanda ni. Supaya kita boleh buat persediaan. Tu pun kalau betullah semua peristiwa mesti ada petanda, kan? Lagikan orang bersetubuh pun meninggalkan tanda kadang-kadang tu, kan?

Jadi ada ke petanda baik tentang Zah dengan aku ni ek…? Ada ke? Macam mana nak cari dan kesan petanda ni ek? Macam mana pula nak membacanya nanti? Bila dah baca, macam mana pula nak tafsir? Adoi laaa… Tak ada ke universiti atau kolej yang anjurkan kursus macam ni? Kenapa tak ada ek?

Apa-apa hal pun, aku habiskan sisa-sisa cuti sonata musim panas di Malaysia ni dengan mencuba sedaya upaya bertemu dan bersama dengan Zah. Hampir setiap hari pula aku ke ofis dia tu, jadi penunggu setia. Lain pula bunyinya. Jadi penanti setia sebenarnya. Menanti dia habis kerja. Lepas tu teman dia balik ke rumah. Hujung minggu, keluar lagi dengan dia. Aku terpaksa slow down bila Bonda sound aje… jarang sangat dok kat rumah, kata Bonda. Bercuti apa kalau tak dok rumah, leter Bonda. Okeylah Bonda… beta dok kat rumah…

Tapi semasa berpeluang keluar dengan Zah, banyak kali juga aku cuba… betul-betul punya cuba sedaya upaya nak dapatkan luahan hati dia yang sebenar terhadap aku. Tapi aku takut. Aku segan. Aku malu. Malu-malu dolphin, gitu. Adoi laaa… memang sungguh bila dengan Zah aku alami perasaan dan pengalaman yang sungguh amat berbeza dengan awek-awek lain sebelum ni.

“Tak cari pengganti ke?” aku tanya dia suatu hari dalam cubaan berani mati nak dapatkan status sebenar perasaan dia. “Atau masih menaruh harapan pada B?”

“Tak kuasa nak taruh harapan kat dia,” balas Zah. Aku tunggu juga kalau-kalau ada sambungan kata-kata dia tu, tapi nampaknya macam noktah tu pengakhir perenggan pula. Alahai… dia jawab soalan kedua je. Soalan pertama tak jawab? Silap taktik aku ni! Lesson learnt — ask only one question at a time and do not ask the next question until you get the necessary answer for the current question. Kenapa dia orang tak ajar aku benda ni dalam kuliah undang-undang kat universiti tu? Cet!

Pada hari yang lain, aku pernah gak tanya soalan yang lain macam sikit, tapi objektifnya sama.

“Setiap hujung minggu keluar dengan Dzam ni,” aku cuba dalam ketar-ketar sikit. “Bila nak luangkan masa untuk orang lain?”

“Sementara Dzam kat sini, tak apalah keluar dengan Dzam,” dia jawab.

Nyaris aje lagi aku nak tepuk dahi aku ni, dan juga tepuk kepala aku berkali-kali sambil tarik-tarik rambut. Adoi laaa… Apa maksud tersirat di sebalik jawapan dia tu sebenarnya ek…? Ini boleh dianggap petanda ke? Boleh ke? Macam petanda tak baik aje tu… alahai… Maknanya bila aku dah berhambus terbang ke UK semula nanti, dia boleh keluar dengan… hmmm… dengan siapa pula…? Ada balak lainlah tu… adoi laaa…! Adoi! Adoi! Adoi!

Maka aku pun mula memasang radar semula — guna untuk kesan tanda, dan juga untuk kesan awexeheks! Errr… tak boleh ke? Dan aku pun terpaksa berangkat semula ke UK. Naik Aeroflot juga. Berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. KLIA yang terletak kat Sepang tu belum wujud lagi masa tu. Ofkoz aku bagi tahu Zah tarikh dan masa aku akan berangkat dan dah tentu aku tak mengharap dia akan ke lapangan terbang. Bukannya senang dan murah nak ke airport ni. Kalau sekadar nak hantar aku yang bukan balak dia ni, takkan dia nak menyusahkan diri ke situ.

Sebab tu agaknya, aku jadi terkejut memerang bila aku ternampak dia tersenyum kat aku dari jauh di dewan lapangan terbang tu! Huh? Betul ke dia tu? Takkan kut…? Takkan dia nak menyusahkan diri datang ke airport ni nak hantar aku? Dia hantar orang lain kut? Ada jantan lain ke yang nak berlepas ke mana-mana dari airport tu juga hari ni? Atau ada saudara-mara dia nak pergi umrah atau nak pergi melancong?

Sebenarnya dia ke situ untuk menghantar aku. Tapi dia sekadar meninjau dari jauh. Sembunyi-sembunyi di sebalik tiang dan dinding. Sesekali dia menonjolkan diri juga sebab nak melemparkan senyuman kat aku kut? Atau nak melambai?

Alamak! Aku mesti pergi jumpa dia! Mesti! Tapi macam mana ek? Famili aku semua ada ni. Arwah Opah yang dikasihi pun ada sama. Takkan aku nak blah macam tu aje?

Pelan-pelan… pergi pelan-pelan le. Senyap-senyap pergi jumpa dia kat sana. Amacam? Boleh kut? Bila ahli keluarga aku tak perasan, terutamanya Bonda, aku akan menyelinap macam James Bond ke sana… Ahah! Best kalau dapat jadi James Bond ni! Yeszzzaaa…!

Maka aku pun mengatur langkah waspada dan penuh lagak yang eksyen nak mampus… aharks! Sambil-sambil tu mata aku menjeling ke arah Zah kat sana sambil hantar isyarat yang aku harap dia faham — “jom kita jumpa kat lokasi jauh sikit daripada dia orang ni!” Rasa-rasanya dia faham isyarat aku sebab aku nampak dia macam ekori arah haluan aku tu. Yeszzzaaa…!

Tapi… alahai… tapi… Bonda aku ekori aku dari belakanglah pulok…! Adoi laaa… Kenapa ni…? Isy isy isy… Aduhai… Macam mana James Bond nak beraksi kalau James Bond sedang dalam pemerhatian dan pengawasan macam ni?

Oleh kerana hero pun dalam pengawasan, maka tak dapatlah perancangan tu dilaksanakan dengan sempurna. Aku cuma sempat bertukar isyarat mata dan senyuman aje dengan Zah dalam jarak maksimum julat bluetooth. Bolehlah… memadailah… Alahai… Tak puas sebenarnya, tapi, apakan daya… Adoi laaa

Dan bila aku akhirnya terpaksa juga masuk ke balai berlepas, sambil melambai-lambai kepada famili aku, aku kerling juga sekali lagi ke arah Zah yang berada nun jauh di sana dekat tiang besar dewan airport tu. Aku tak berapa pasti dengan jelas apa yang terlukis di riak wajah dia dalam jarak sejauh tu. Maklumlah… aku kan rabun jauh kategori miopia… Tapi dalam samar-samar tu aku dapat nampak yang rias wajah dia agak sayu. Dan sahabat yang menemani dia masa tu kelihatan sedang memaut bahu dia sambil menggosok-gosok bahu dia, seraya berkata-kata sesuatu kepada dia. Entah apa yang diperkatakan aku tak tau. Yang penting sahabat yang dia bawa tu bukan lelaki!

Lantas… apakah ni satu petanda…? Petanda baik atau buruk? Kalau baik, baik bagi siapa? Kalau buruk, buruk bagi siapa? Bagi dia, atau bagi aku? Isy… kat mana aku nak belajar cara baca petanda ni? Kesanggupan dia datang ke lapangan terbang yang bukannya mudah dan murah untuk orang macam dia. Kesanggupan dia tunggu sampai aku masuk ke balai berlepas. Sebab dia mahu dan rela hantar aku, atau sebab dia mahu pastikan aku dah betul-betul berhambus dari bumi Malaysia ni sebelum mengorak langkah selanjutnya?

“Sementara Dzam kat sini, tak apalah keluar dengan Dzam,” dan terngiang-ngiang kata-kata tu kat telinga aku. Kata-kata tu sebahagian daripada petanda juga ke…? Sungguh… dalam termenung memandang ke luar ke arah awan yang putih tebal melalui tingkap kecil pesawat tu, memang terfikir dalam kepala aku bahawa Zah juga mungkin akan tinggal hanya sebagai satu kenangan terindah dalam hati dan perasaan aku semata-mata. Dan aku akan lebih bersedia sekiranya tu benar, sungguhpun aku masih mahu juga menaruh harapan bahawa ia takkan jadi benar…

49 – Pengembaraan Baru Bermula

SEBENARNYA apa petanda yang ditunjukkan sepanjang aku kat Malaysia masa cuti musim panas tu ek? Apa sebenarnya perasaan Zah terhadap aku yang ayu jelita ni? Sama ke apa yang aku rasa pada dia dengan apa yang dia rasa pada aku? Atau aku ni sebenarnya tak ada beza dengan mana-mana kawan-kawan lelaki dia yang lain? Oh ya tak ya… Dia ada ke kawan-kawan lelaki lain selain aku? Aku tahu masa kerja kereta api dulu memang dia biasa keluar makan beramai-ramai dengan kawan-kawan dia yang antaranya memang ada lelakilah. Tapi apa yang aku tahu kawan-kawan dia kat sana semuanya perempuan. Yang lelaki tu setahu aku cuma join sekali-sekala walaupun aku juga tahu memang ada dua orang yang kerja dengan buffet coach dari team lain yang memang cuba-cuba gak masuk jarum dan masuk paku malah masuk skru sungguhpun masa tu dia orang bukannya tak tau dia tengah steady dengan TC tu. Cuba nasiblah tu. Tapi aku tahu dia orang gagal lalu frust tertonggeng-tonggeng. Aku tahulah…

Nampak gaya memang Zah setia pada yang satu masa tu. Dia setia pada TC dia yang macam Razis Ismail tapi kurang hensem sikit tu, walaupun lebih hensem daripada akulah. Aku tak hensem. Aku ayu dan jelita serta comel dan cute aje. Dan manis sikit-sikit bila senyum.

Tapi sejak dia kerja hospital ni, perangai Zah masih sama. Sepanjang yang aku tahulah. Yang aku tak tahu tu… hmmm… entah ek…? Aku tahu yang hospital tu memang ada annual dinner setiap tahun dan aku tahu Zah biasanya akan cuba hadir majlis tu sebab kawan-kawan dia semua pergi. Kawan-kawan serumah dia yang merupakan hostel penginapan yang hospital sediakan tu pun semuanya pergi.

Aku juga tahu yang ada dua tiga ekor burung kelicap, burung tiung dan burung punai dari kalangan staf hospital tu yang cuba-cuba masuk skru juga kat dia. Selain daripada tu, aku juga tahu yang ada juga seekor burung puyuh yang duduk selang dua tiga buah rumah dari hostel dia tu pun cuba-cuba gak. Oleh kerana burung puyuh tu jenis dah bekerja yang ada pangkat, maka dia cuba masuk screw driver terus. Tak mainlah jarum, paku, mahupun skru ni. Amboi, amboi…!

Selain daripada tu, ada pula seekor lagi spesies yang lebih advance — burung unta! Ini bukan burung unta sebarang unta tau! Ni unta tua berpangkat besar di kompeni besar! Bawa kereta mewah tau! Dah ada beberapa orang anak yang semuanya dah layak bernikah tau! Adoi laaa… Adoi laaa

Aku? Apa yang aku ada? Nak dibandingkan dengan burung unta tu, aku cuma ada usia muda ajelah… alahai… Nak bawa Zah naik kereta mewah? Kereta Ayahanda yang aku dok balun ke hulu ke hilir tu pun masuk kategori kereta sedan second hand. Apa kelas…

Nak belanja Zah makan kat restoran lima bintang? Hmmm… aku nak makan sendiri-sendiri kat restoran tahi bintang pun belum tentu mampu. Burung unta tu, jangankan kata restoran lima bintang, hotel lima bintang pun dia mampu bawa. Adeh! Adeh! Jangan! Oh… tidak!!! Jangan dia berani-berani nak memperlakukan Zah aku tu sedemikian! Memang aku bunuh punya! (Relaks… gimmick aje ni… Maklumlah… aku kan ada reputasi sanggup dan mampu bunuh orang dengan cara menikam sampai mati menggunakan pisau, kan? Kan? Kan? Bukan ke? Ke? So, kenalah jaga reputasi aku tu kan? Kan?)

Dan burung-burung spesies lain tu pula? Adoi laaa… Sungguh amat mencabar hubungan aku dengan Zah ni. Dahlah sampai ke sudah aku masih tak dapat confirmation daripada Zah tentang status sebenar perasaan dia pada aku. Aku pula dah beribu-ribu kilometer jaraknya daripada dia ni. Lepas tu banyaklah pula burung-burung segala punai berlegar-legar nak cari peluang mematuk kat atas dia. Ni yang susahnya kalau berkenan kat gadis jelita yang jadi rebutan… Tu le sebabnya aku lebih rela pilih perempuan tak cun jadi awek sebelum ni. Dalam dok tak cun tu pun, bukannya burung, tapi ada pula biawak yang berminat nak masuk skru juga! Adoi laaa… Apa punya cita rasalah sang biawak tu…

Anyways, pengalaman hidup yang amat berharga mengajar aku satu pengajaran paling penting — jangan sesekali serahkan hati sepenuhnya. Yup… Hati ada satu aje bang… Satu aje… Kalau diberikan kepada orang yang tak reti, apatah lagi tak sudi dan tak mahu menjaganya, alamat hancur berkecailah hati tu sebab hati ni sifatnya amatlah rapuh, tak gitu. Kalau dah hancur berkecai, ingat senang ke nak gam dan lekatkan semula kepada asal? Macam gelas kaca yang dah becah berderai, kalau digamkan semula pun mesti ada cacatnya, dan mesti pecah derai yang lama tu tetap terkesan di penglihatan jua… Cewah…! Falsafah… falsafah…

Oleh kerana belum ada confirmation yang siap dengan cap mohor dalam hubungan antara Zah dengan aku, maka seeloknya biarlah aku lebih berwaspada, tak gitu? Jadi kalau ada awek lain yang, entah kenapa, barangkali sedang menstrual period atau juling agaknya, tiba-tiba minat kat aku yang comel dan cute ni, patut ke aku tolak? Isy… macam bukan aku aje kalau aku tolak, kan? Ya ke? Tak juga, sebenarnya…

Yang sebenarnya, hati aku dah bulat sejak sebelum ni bahawasanya kalaulah Zah tu confirm kekasih aku, pastilah aku tolak sesiapa aje awek lain — kalau awek tu selain daripada Basheeran Zaman le… Siapa pula Basheeran Zaman ni ek?

Basheeran Zaman ialah gadis Paki dalam batch aku di universiti tu. Budak law. Aku fikir dia British. Awek Lone Ranger. Tak pernah nampak dia berkawan dengan sesiapa pun. Asal waktu kuliah, dia akan duduk di barisan paling depan kat dalam dewan kuliah tu. Habis saja kuliah, belum sempat aku angkat punggung, Basheeran dah hilang lesap entah ke mana. Mak aiii…! Ini memang Awek Lone Ranger Superwoman.

Banyak kali juga terlintas kat hati aku ni macam mana nak break the ice dengan dia, tapi tak pernah berpeluang. Macam mana nak ada peluang kalau dia macam tu punya pantas lesap berdesur? Dah tu, dia bukan dalam grup tutorial aku pula. Adoi…

Anyways, Bahseeran hanya sekadar selingan. Aku memang dah tau dari awal-awal lagi yang aku takkan dapat peluang nak berinteraksi dengan dia. Dia memang spesies eksklusif Lone Ranger. Maka, kalau ada awek lain yang minat kat aku, aku akan tolak dengan secara penuh seksi dan diplomasi sekiranya… SEKIRANYA… pada ketika tu aku dah kompem dengan Zah.

Masalahnya, aku dengan Zah tak ada confirmation. Dah tu? Entah-entah dia memang dah ada balak lain sebelum aku balik cuti sonata musim panas tu lagi. Entah-entah sekarang ni pun, masa aku sibuk tidur dengan dua-dua lengan atas dahi atas tilam busuk aku kat UK ni pun sebab mengenangkan dia, dia kat sana baik punya dating dengan balak baru dia tu. Dia bebas buat macam tu sebab — as far as hubungan antara dia dengan aku — kita orang tak ada apa-apa ikatan mahupun pengakuan apatah lagi janji, kan? Tak gitu?

Kalau dah demikian, bererti aku pun bebas buat apa yang aku suka, tak gitu? Hmmm… Aku nak mengurat siapa ya? Masalahnya tak ada siapa pun yang syok kat aku. Nak mengurat Ani — student Malaysia setahun lebih tua dan duduk kat kejiranan aku tu — dia dah ada balak. Balak dia ala-ala rocker gitu. Tak pasal-pasal aku kena rock gitu. Dan bukan sebab tu pun sebenarnya. Sebab sebenarnya ialah — dia dah ada balak — noktah. Aku tak mahu turunkan darjat aku sama taraf dengan biawak — rampas awek orang. Dan aku tak mahu Ani juga turun taraf jadi Mona Gersang mahupun Mona Fendy — menipu balak dia yang bukan duduk kat Leeds tu yang dah beri kepercayaan kepada dia.

Tetapi… jeng jeng jeng… dalam dok aku ni tak hensem pun, masih ada yang melayan tau. Dan… aku pun makin lama makin seronok dan gembira dengan layanan dia tau. Dan, dia ni orang jauh tau. Jauh sangat dari Leeds. Jauh ke selatan United Kingdom yang sejuk beku peti ais ni.

Dia ialah Liza dari Portsmouth.

Memang semasa aku nak balik ke Malaysia untuk cuti musim panas hari tu, aku ada beritahu dia tarikh aku kembali ke UK. Dah dia tanya, aku cakaplah. Bukannya benda tu ada cop rasmi Private Parts are Confidential pun, kan? Maka pada hari aku sampai ke rumah di 14 Consort View tu, aku terus terima panggilan malam tu juga. Siapa lagi? Liza yang telefon!

Dan kami sembang pasal cuti masing-masing. Dah tentu, macam biasa, Liza yang memang keletah tu lebih banyak bercerita daripada aku. Macam-macam tempat dia jelajah dan selongkar di UK dan Eropah sepanjang cuti tu rupa-rupanya. Banyak gak duit dia ek?

Did you miss me?” aku tanya dia, berseloroh. Yalah, dah dia telefon aku betul-betul pada hari aku sampai ke UK semula.

Oh please…!” dia balas. Aku gelak. Tapi dia tak gelak. Lepas tu dia sambung, “But what if I did?

Kali ni aku pula yang tak gelak. Alamak! Senyap sekejap. Selepas beberapa saat, dia gelak. Fuuuhhh…! Wallaweh! Berhenti jugalah sekejap jantung aku tadi weh!

Liza banyak ajar aku bahasa Inggeris, walaupun sekadar dalam telefon dan lebih-lebih lagi dalam surat-surat dia yang — kadang-kadang — bahasanya… perghhh…! Dia tak gunakan ayat-ayat bombastik dalam bahasa dia walaupun ayat-ayat aku kepada dia banyak yang spastik. Cuma ada beberapa perkataan yang dia gunakan dalam surat dia tu yang buat aku terpaksa cari kamus jugalah kalau nak faham.

Dalam satu perbualan telefon, dia pernah tanya aku tentang kisah silam. To be exact (bagilah peluang aku nak speaking bersempena cerita tentang awek comel yang handal berbahasa Inggeris ni kan…), dia sebenarnya bertanya tentang Lina. Dia bertanya kenapa aku tak ada awek masa tu.

Tanpa rasa malu mahupun bersalah, aku jawab terus-terang, “Dah break up,” aku kata. “Dia kat Sheffield. I kat Leeds. Dia jumpa orang lain.”

Senyap sekejap talian tu. Aku tahu Liza sedang melayan rasa simpatinya pada aku. Aku tahu sebab sekian lama berhubung menerusi surat dan telefon, di sebalik sifat periang dan keletahnya, Liza sebenarnya seorang yang amat perasa, sensitif dan sungguh baik hati.

“It’s a ménage trout,” dia kata akhirnya, memecah kebisuan yang berlangusng selama beberapa saat tadi. Dah bunyi Perancis le pulok. Apa ke bendanya tu?

Love triangle,” Liza jelaskan bila aku tanya.

Ooo… cinta tiga segilah tu,” aku cari kepastian. Tapi sebenarnya ménage trout bukan isu sebenar yang terjadi antara Lina H dengan aku pun, tapi tak apalah. Tak perlu nak kisahkan dengan panjang lebar hal sebenar peristiwa bangang tu kepada Liza. Dah tak penting pun.

Jadi apa yang penting sebenarnya? Yang penting sebenarnya — antara Liza dengan aku — ialah perasaan sebenar antara kami terhadap satu sama lain. Apa sebenarnya perasaan dia terhadap aku? Dan apa pula sebenarnya perasaan aku terhadap dia?

“Liza is a very good friend of mine,” kata-kata Nani dalam telefon suatu masa dulu sebelum aku balik bercuti sonata musim panas ke Malaysia kembali terngiang-ngiang kat telinga aku semula. “You jaga dia baik-baik tau. Don’t hurt her. If you hurt her feelings…”

Apa maknanya tu ek? Alahai… ni pun salah satu petanda ke? Petanda apa pula yang dibawa oleh kejadian dengan Liza ni? Adoi… adoi… adoi… Kalau benarlah apa yang aku fikir ni, maka kenapa pula aku mesti takut nak sambut dengan tangan terbuka. Ya… memang benar buat masa ni Zah dah pun bermastautin dalam hati aku. Tapi sebab belum ada confirmation, maka tarafnya bukan pemastautin tetap. Boleh diberi eviction notice anytime, kan? Sungguhpun sejujurnya aku amat berharap aku tak perlu beri eviction notice kepada dia, tapi kalau dia sendiri yang tak sudi nak bermastautin dalam hati aku tu atas apa jua alasan, terutamanya kalau alasan tu ialah dia dah ada tempat mastautin lain yang jauh lebih selesa siap dengan tukang kebun, tukang masak, tukang pergi pasar, tukang kasut, tukang gigi, bla bla bla… apa alasan aku nak halang dia pergi, kan?

Maka Liza, kalau benar apa yang aku fikir ni, mari kita mulakan perjalanan yang amat berliku ni dengan penuh waspada. Yes dear, dengan penuh waspada, you and me, for the sake of both of us…

Let’s start the journey now!

50 – Membaca Petanda

SURAT-MENYURAT masih berterusan antara Zah dengan aku sekembalinya aku ke UK selepas cuti sonata musim panas tu. Panggilan telefon pun masih juga berterusan antara Liza dengan aku juga. Surat-surat Zah masih macam selalu — tak banyak bercerita tentang diri dia tapi lebih banyak bertanya tentang aku. Sembang-sembang Liza juga masih keletah macam selalu — macam-macam benda yang diceritakannya, dan kerap benar dengan ungkapan “Entah” dia yang comel tu.

Tapi dengan kedua-duanya masih tak ada keputusan yang pasti — apa sebenarnya hubungan aku dengan dia orang. Kawan? Yang tu pasti. Kekasih? Yang tu yang berat tu. Yang tu yang tak ada pengesahan dan confirmation tu. Aiyoyo… Habis tu macam mana?

Tapi siapa antara kedua-dua tu yang aku rela menyerahkan hati seketul aku yang banyak toksik ni?

Aku tak berapa tahu pasal Liza. Aku cuma kenal dia semasa majlis taklimat Wawasan 2020 di London. Lepas tu sekadar sembang-sembang di telefon sambil sekali-sekala berutus poskad dan surat sikit-sikit. Aku tak tahu sangat tentang latar belakang dia. Aku tak tahu sangat tentang pergaulan dia.

Dan aku tak boleh nak kompem perasaan sebenar dia terhadap aku.

Aku tahu serba sikit pasal Zah. Aku tahu dia memang gadis rebutan di tanah air sana. Sejak kerja kereta api sampailah kerja hospital, ada saja spesies burung yang menghurung dan cuba mematuk dia, termasuklah burung unta tua yang kaya dan boleh pandu kereta mewah. Entah-entah tak payah memandu pun sebab ada drebar sendiri agaknya. Aku tahu serba sikit tentang pergaulan dia, tu pun sekadar apa yang aku nampak ajelah.

Dan aku tak boleh nak kompem perasaan sebenar dia terhadap aku.

Habis tu macam mana ya? Logik akal kata, tanya ajelah kat dia orang, kan?

“Kau sayangkan aku tak?”

Macam tu ke nak tanya? Atau,

“Kita ni dah kompem jadi pasangan kekasih ke tak?”

Tak gitu? Kalau dia orang jawab “ya” pada pertanyaan tu, selesailah. Kes tutup. And she and I live happily ever after. Gitu ke? Cakap senanglah. Tulis pun senang gak. Tapi nak buat? Macam mana kalau sebagai respons kepada pertanyaan tu, tiba-tiba dia orang tergelak terbahak-bahak dengan sepenuh perasaan secara sukarela? Adoi laaa… Memang aku jadi badut dan boleh pegang juara Raja Badut Antarabangsa.

Tapi macam mana kalau kedua-duanya — aku ulangi, kedua-duanya — menjawab “ya”? Opocot! Astaga wa esta bagadud…! Ni baru betul kena layan lagu ‘Di Sana Menanti, Di Situ Menunggu, Di Sini Mati Kutu’. Ya ke? Akan berada dalam dilema ke aku kalau jadi macam tu? Atau sebenarnya aku dah memang tahu keputusan apa yang patut dibuat? Maknanya aku memang dah tau siapa yang aku nak pilih?

Tapi hakikatnya aku belum boleh buat keputusan apa pun. Tak ada sorang pun lagi yang dah bagi tau aku status sebenar tentang perasaan dia orang terhadap aku. Maka selagi belum ada apa-apa pengesahan mahupun pengakuan daripada mulut dia orang sendiri, maka aku akan buat assumption aje — hanya kawan. Teman tapi mesra gitu. Dan kata orang kalau berkawan, seribu pun tak apa. Why stop there? Tingkatkan sikit lagilah jadi dua ribu ke, kan?

Maka aku pun berkawanlah — dengan Zah, dengan Liza, dan juga dengan Lina W. Dengan Liza, seperti biasa, sembang di telefon panjang-panjang. Dengan Zah dan Lina W, pun macam biasa, sembang dalam surat-menyurat. Ya, aku memang masih lagi berutus surat dengan Lina W. So? Kenapa pula? Tak boleh?

Dan tahun tu adalah tahun terakhir. Tahun di mana aku kena buat final year project paper. Tahun aku kena duduki final year exam. Dan tahun terakhir untuk batch aku yang memegang tampuk kuasa dan pemerintahan Malaysian Students Society buat aktiviti dalam skala besar… eheks!

Dan selain daripada acara tradisi Malaysian Society di seluruh United Kingdom & Eire yakni Malaysian Night, kami juga buat acara tradisi Raya Gathering. Kiranya macam Muslim Malaysia di Leeds buat open house yang terbuka kepada semua suku, kaum, bangsa, agama, warganegara, bla bla bla… di Leeds atau dari mana saja untuk datang dan merasa pengalaman sambutan hari raya Aidilfitri ala Malaysia.

Tapi apa-apa hal pun sebelum raya, kenalah puasa dulu, kan? Dan macam biasa, bulan puasa pun, utusan surat-menyurat antara Zah dengan aku tak puasa. Masih tetap berterusan macam biasa. Bezanya, dalam bulan Ramadan tahun tu, aku bercadang menulis satu warkah yang agak panjang untuk dia. Ni memang betul-betul panjang tau! Bukan sekadar lima enam halaman. Aku bercakap tentang warkah yang berjumlah hampir lima puluh halaman! Tu dia! Nak buat cerpen ke haper ni?

Dan warkah ni — macam surat-surat sebelum ni — aku taip menggunakan peralatan canggih wordprocessor aku tu. Jadi aku boleh simpan warkah tu dalam disket. Aku boleh edit, ubah, padam, dan buat apa saja ikut suka ati aku dengan warkah tu. Nak print warkah tu berkali-kali pun boleh asalkan aku telinga aku boleh tahan dengan bunyi daisy wheel printer yang berketak macam  bunyi ayam betina baru bertelur.

Warkah tu juga mengambil masa bukan sehari, atau dua hari, mahupun tiga hari nak dihabiskan. Warkah tu mengambil masa lebih kurang sepuluh hari tau! Isy… orang buat surat atau nota bunuh diri pun tak sampai sembilan puluh saat kan? Kan? Kau orang pernah buat nota bunuh diri ke?

Maka oleh yang demikian, aku telah melakukan satu perkara yang keji. Aku telah buat dua warkah yang lebih kurang sama isi kandungannya. Yang aku ubah bagi tak sama ialah serba sikit lenggok dan frasa ayat, dan — ni yang paling ketara dan yang terpenting — nama penerima warkah tu.

Sepucuk warkah kepada Zah.

Sepucuk lagi kepada Lina W.

Aku fikir aku nak hantar sepucuk juga kepada Liza, tapi niat tu aku KIV sebab hampir setiap malam aku bersembang dengan dia di telefon. Rasa macam tak berbaloi pula kalau pada masa yang sama nak hantar warkah panjang tu juga.

Tapi aku hantarkan jugalah. Siap ditokok-tambah dengan sketsa dan lukisan sebagai hiasan di atas beberapa halaman warkah tu. Seperti yang dijangka, memang aku akan dapat balasan daripada kedua-dua Zah dan Lina W.

Bezanya, Zah membalas seperti biasa — dengan hanya sekeping aerogram. Ya… itulah Zah. Zah yang tak banyak menceritakan hal diri dia. Yang tak pernah nyatakan kepada aku perasaan dia terhadap aku. Tetapi, dialah juga gadis yang paling banyak menghabiskan sisa waktu dan hidupnya bersama menemani dan melayan aku tatkala aku bercuti sonata musim panas di Malaysia sebelum tu. Dialah juga gadis yang sedaya-upayanya menggagahi diri pergi ke lapangan terbang untuk menghantar aku berlepas semula ke UK walaupun sekadar dari jauh. Itulah Zah — gadis yang membalas warkah aku yang setebal hampir lima puluh halaman tu dengan hanya sekeping aerogram.

Lina W pula… ah… gadis yang pernah jadi idola aku suatu ketika dulu. Gadis yang kerap dan sentiasa bertandang dalam imaginasi dan mimpi aku walaupun masa tu aku sedang bercinta dengan Lina H. Gadis yang bertanggung jawab membentuk acuan cita rasa aku terhadap kaum yang tak sama jantina dengan aku… tapi tak termasuk spesies yang keliru dengan jantina sendirilah tau! Gadis yang sebelum ni sentiasa aku harap dan impikan dapat ketemu bersua muka untuk beramah mesra dengannya dalam suasana amat romantis lagi menggetarkan. Gadis yang akhirnya memenuhi impian aku tu. Dan demi sempurna dan tercapai sahaja impian tersebut, dia jugalah gadis yang telah memancarkan cahayan yang amat terang-benderang dalam hati aku hingga aku dapat nampak siapa sebenarnya yang aku mahu dan cari ketika tu.

Dan Lina W membalas warkah tebal aku tu dengan warkahnya yang lebih tebal daripada biasa! Taklah tebal sangat macam warkah aku. Tapi jelas nyata Lina W telah menunjukkan usahanya untuk cuba setanding dengan ketebalan warkah aku tu. Begitu terkejut agaknya dia semasa menerima warkah tebal aku tu sampai digelar warkah aku tu umpama “watikah pelantikan.” Namun warkahnya tu disudahinya dengan pengakuan bahawa dia tak tahu apa lagi nak tulis untuk aku agar dapat menambahkan ketebalan warkahnya tu. Tak apa… Tak mengapa Lina. Memang aku tak expect yang kau akan balas warkah tebal aku tu dengan warkah tebal juga… eheks!

Anyways, untuk aktiviti Raya Gathering tahun tu, Malaysian Students Society akan buat majlis tu di Riley Smith’s Hall di universiti. Menu yang wajib ada, guess what — sate, rendang, nasi himpit, kuah kacang, bla bla bla… fikirlah sendiri. Apa saja menu yang boleh jumpa kat Malaysialah.

Dan ini bermakna yang kita orang para jantan macho ni akan pakai baju Melayu lengkap bersamping, kalau sudi. Kalau tak sudi, pakailah apa pun asalkan jangan telanjang. Dan ni juga bermakna, kemungkinan besar pelajar Malaysia dari universiti lain serata UK pun mungkin akan menghadirkan diri juga. Best! Ada peluang cari awek… aharks!

Dan memang dia orang datang pun. Dari serata UK. Aku suka! Aku suka! Boleh bersembang-sembang bertukar-tukar cerita. Ada cerita gembira. Ada cerita duka. Ada cerita tentang kematian. Ada cerita tentang putus cinta. Ada cerita tentang buat assignment. Ada cerita tentang buat final year project. Pendek kata dan panjang suara, macam-macam ceritalah. Cerita porno aje yang tak ada. Tak kena dengan mood barangkali.

Maka berpenat-lelah semua ahli jawatankuasa kerja dan jawatankuasa tak kerja. Aku…? Well… sebagai Vice President dan ahli jawatankuasa tak kerja, maka aku pun berpenat-lelah melayan tetamu dari luar Leeds — dengan syarat dia awek laaaeheks! Kenapa? Salah ke? Suka hati akulah, kan? Kan? Siapa sangka awek yang menjadi minat ramai jantan kat UK dulu pun datang juga — dan dia datang dengan adik dia! Perghhh…! Alangkah bahagianya! Ohhh… Adik dia lawa dan manis (lebih sikit daripada dia… errr… jangan marah…)

Ada juga awek-awek dari dalam Leeds sendiri pun datang. Adoi laaa… Sama ada aku ni yang anti-sosial, atau dia orang tu selama ni bersembunyi. Macam mana aku boleh tak tahu yang dia orang tu selama ni rupa-rupanya pelajar kat Leeds tu juga ek? Kena buat majlis macam Raya Gathering ni kut baru dia orang ni semua keluar dari dalam sarang ke? Dia orang selama ni dok buat apa menyorok tu ek? Berhibernasi ke? Macam beruanglah pula. Atau macam tupai?

“Kau tolong bagi ucapan bagi pihak aku,” tiba-tiba Tuan Presiden tepuk aku dari belakang dengan wajah yang nampak iras-iras panik. Mende kata?

“Kaulah pergi,” aku bidas. “Kau yang Presiden. Bukan aku.”

“Alah… tolonglah… ucapan simple aje.”

Hmmm… Gabralah tu… Alahai… Nasib baik aku ni jenis spesies jantan tak tahu malu. Maka setakat naik pentas untuk merapu meraban tu tak jadi hal. Tapi aku tak sediakan apa-apa pun nak berucap ni. Manalah aku tahu yang aku kena jadi bidan terjun tiruk ganti Tuan Presiden yang malu nak bagi ucapan ni. Lantaklah… belasah ajelah membebel kat atas pentas tu. Oh ya… selain kena berucap, kena pula menyampaikan hadiah kepada budak-budak anak-anak brader post-graduate kat situ. Hadiah apa ya? Aku pun tak ingat hadiah apa yang aku kena bagi kat dia orang tu. Ada buat peraduan atau pertandingan apa-apa ke? Adoi laaa… Nasib baik anak-anak dara brader post-graduate ni semua jenis belum cukup umur. Kalau tak, memang aku sapu buat awek.

Tapi dalam sambutan ceria sedemikian, minda aku masih dikunjungi bayangan seseorang. Hanya seorang. Bayangan Zah. Acap kali hati berbisik mengharapkan agar dia ada sama di sisi aku meraikan kemeriahan dan kegembiraan hari tu. Acap kali di hati menggunung harapan dan impian agar dia di sisi aku ketika tu. Teringin amat sangat aku berkongsi kegembiraan hari tu dengan dia… Teringin amat…

Entah ke mana bayangan Lina W dan Liza — apatah lagi Lina H — hari tu, kerana tak sedetik pun sesiapa antara dia orang yang mengetuk pintu imaginasi aku sepanjang hari. Petanda lagi ke agaknya ni…?

51 – Erti Sebenarnya

SEMAKIN hampir ke penghujung tempoh pembelajaran tahap ijazah ni, semakin sibuk pula. Semakin takut pun ada gak. Semakin berdebar-debar pun ya. Macam-macam sebablah — nak exam, nak balik ke tanah air jumpa Zah, dan nak tinggalkan Liza. Aduh… terasa juga berdebarnya bila nak tinggalkan Liza ek…?

Tapi sebelum semua tu berlaku, Liza terlebih dulu buat jantung aku berhenti. Ni semua sebab ada satu jenis cuti tu punya fasal. Cuti apa ek? Aku pun tak ingat. Cuti musim panas juga ke? Atau cuti musim bunga? Ada ke cuti musim bunga? Entahlah… aku pun tak ingat. Eh? Aku bercuti juga ke masa tu? Entahlah… yang tu pun aku tak ingat gak. Banyak sangat ke kepala ikan siakap yang aku makan hari tu…? Hmmm… pun aku tak ingat gak berapa kilo kepala ikan siakap yang aku makan tu… isy…!

Yang aku ingat, masa tu memang taklah sejuk sangat, dan tak berapa nak panas. Sedap-sedap gitu iklimnya. Ala-ala musim bunga, gitu. Ala-ala romantis gitu. Dan masa tu Garn dengan aku baru balik dari mana entah. Dari kuliah ke? Atau dari shopping barang-barang dapur? Entahlah… pun aku tak ingat gak ni. Ya ke ni pasal ikan siakap yang makan hari tu? Memang diri dah tua, nak salahkan ikan pula kan? Kan? Eheks…!

Tapi masa tu siang. Dalam lebih kurang jam 2 petang gitu waktu Leeds. Macam biasa, yang biasa ada kat rumah time macam tu ialah Rhosk. Masuk ke rumah aje dia sambut dengan pesanan;

“Ada awek datang cari kau tadi,” kata Rhosk kepada aku?

“Siapa nama dia?”

Mata Rhosk membelingas seketika. Cuba mengingat-ingat nama awek tu kut?

“Apa nama dia tadi…” Rhosk cuba mengingat lagi. “Lina kut…?”

Macam nak jatuh jantung aku sekejap. Dia sebut nama siapa?

“Lina mana ni?” aku tanya. Terasa nafas aku semput sekejap.

“Bukan Lina engkau tu,” Rhosk memberi pengesahan. Oh… nasib baik… nasib baik… Sebab kalau dia… kalau Lina H… Hmmm… Kalau dia, kenapa ya…? Aku akan buat apa? Ya tak ya… Perkara pertama yang melintas kat kepala aku tadi ialah nak perhambat aje dia dengan batang vaccum cleaner. Tapi sekejap ajelah bayangan tu. Lepas tu aku bayangkan yang aku akan sambut dia dengan baik. Barangkali dia sekadar nak bagi tau atau mungkin nak tunjukkan kat aku yang dia dah bahagia teramat sekarang dengan Mr. Biawak. Entahlah… Nasib baik bukan dia yang datang tu.

Habis tu kalau bukan dia, Lina mana pula ni? Takkan Lina W…??? Huh! Biar betul ni…! Takkan kut…?

“Lina ke nama dia?” kata Rhosk. Aik? Dia tanya aku balik? Atau dia cuba mengingat? “Betul ke dia kata nama dia Lina tadi? Wina kut? Rina?”

Wallaweh! Manalah aku tau!

“Aku rasa budak Portsmouth tu,” tiba-tiba Garn bersuara, dan untuk ke sekian kalinya aku rasa tersentap lagi. Kalau “budak Portsmouth”, dah tentulah Liza! Biar betul?

“Awek tu cari aku sorang atau dia cari Garn juga?” aku tanya Rhosk. Kalau dia tanya Garn juga, maknanya memang betullah Liza!

“Dia cari kau orang berdualah,” jawab Rhosk.

Aku tepuk dahi. Garn ketawa terbahak-bahak. Rhosk terpinga-pinga tengok kita orang.

“Apa ke jadahnya dia buat datang ke Leeds ni?” aku dah panik.

“Aku dah agak dah,” ujar Garn dengan senyum sinis. Isy… aku memang menyampah betul kalau dia senyum macam tu kat aku. Biasanya kalau dia bagi aku senyuman macam tu, maknanya dia nak sampaikan maksud “Lain kali jangan degil cakap aku” atau dalam bahasa saintifiknya “I told you so…”.

“Dah lama ke dia datang?” aku tanya Rhosk. “Kesian dia… datang dari jauh tapi kita tak ada kat rumah tadi.”

“Dia orang akan datang balik,” Rhosk sampuk. Apa? Apa? Datang balik? Dia orang?

“Berapa orang?” tanya Garn.

“Dua,” jawab Rhosk. “Siapa dia orang tu? Kau orang kenal kat mana?”

“Pukul berapa dia orang nak datang balik?” aku tanya kali ni. Panik dah datang merayap semula.

“Kejap lagi datanglah tu.”

Aiyoyo…! Amma! Appa! Macam mana ni?

“Kita buatlah apa yang patut,” cadang Garn. Wallaweh! Kenapa kau masih lagi sengih senyum sinis macam tu kat aku weh? Cukup-cukuplah sengih tu. Aku dah faham! “Kau masaklah sikit. Untuk lunch dia orang tu.”

Panik ke, tak panik ke, kalaulah betul Liza orangnya, aku kena sambut dia datang. Apa pasallah kau tak cakap kau nak datang Liza oi…!

“Aku dah agak dia mesti nak buat surprise,” kata Garn, masih lagi senyum sinis sumbang sumbing kat aku. Macam boleh dengar aje apa yang aku fikir ek?

Dalam kelam-kabut aku ke dapur merangkap ruang tamu tu. Dalam aku sibuk nak buat sediakan makanan apa-apa yang patut, Garn dan Rhosk tolong berkemas rumah. Memanglah dah tak hairan pun kalau dia orang nampak rumah jantan bersepah tapi malu tu masih adalah tau. Ingat kita orang tak ada kemaluan ke?

Sampai aku selesai masak sikit jamuan, dan Garn dengan Rhosk pun dah siap berkemas, Liza masih tak sampai-sampai. Aku agak kawan yang jadi teman dia datang tu mesti Nani yang dah beberapa kali bagi warning kat aku supaya jangan lukakan hati Liza. Adoi laaa… adoi… adoi… adoi…! Maka sementara menanti ketibaan dia, aku panjat tangga naik ke bilik aku yang comel tu. Aku perhati sekeliling bilik aku yang sendat macam botol cencaluk yang belum dibuka dan dijamah. Budaya siswa Malaysia di UK ni — sepanjang yang aku tahu dan alami sendiri — ialah biasanya orang suka bertandang sampai ke bilik tidur, sekiranya — SEKIRANYA — orang yang bertandang tu ada apa-apa dengan tuan rumah. You know… ‘ada apa-apa’… Ada erti?

Dan kalau telahan aku betul bahawa Liza ‘ada apa-apa’ dengan aku (walaupun memang tak ada confirmation pun daripada dia sebelum ni — sekadar bersandarkan kepada cara kita orang bersembang, berbicara di poskad, surat dan telefon serta warning yang begitu kerap diberikan oleh Nani kepada aku), maka Liza pastinya nak buat lawatan sambil belajar kat bilik tidur aku ni. Tapi sebenarnya, sejujurnya, bilik tidur aku yang comel ni memang tak perlu dikemas. Betullah! Aku tak tipu! Aku memang orang yang bersih dan kemas tau! Setiap kali bangun tidur, katil aku mesti dikemaskan punya. Rak tempat aku letak macam-macam harta karun aku tu pun disusun rapi setiap hari punya. Seluar dalam, seluar luar, baju dalam, baju luar, semuanya takkan ditemui dalam bilik aku tu. Semua tu hanya boleh ditemui atas tubuh badan aku aje… eheks!

Tapi sekadar nak puaskan hati, aku perhati dan teliti juga sekitar dan sekeliling bilik tidur aku tu. Wangi memang dah wangi sebab sentiasa ada pengharum yang aku beli setiap bulan. Eh…? Ya ke setiap bulan? Rasa-rasanya setiap dua tiga bulan kut? Entah… Almari baju aku memang dalam keadaan elok. Kain baju aku kat dalam almari tu memang dah sedia elok bersusun. Tapi takkan dia nak tinjau dan menyiasat sampai ke dalam almari baju aku, kan?

Katil semua okey. Duvet elok licin bersih dan wangi. Setahu aku tak ada kesan-kesan peta mahupun air mani serta air kencing atau sebarang cecair lain sama ada memberahikan atau tak, termasuklah air liur. Karpet pun dalam keadaan bersih sebab baru aje lepas vakum semalam. Aroma… hmmm… aroma dah okey tapi aku kena bagi pengudaraan segar sikit. Aku kena buka sikit tingkap bilik tidur ni bagi angin luar masuk menggantikan udara yang dah lama berkepang kat dalam ni.

Dan masa aku nak buka tingkap tu tiba-tiba aku terdengar ada suara awek beri salam dari bawah sana. Lekas-lekas aku buka tingkap tu. Jantung aku memang dah berhenti dah masa tu. Bila aku julur kepala ke luar tingkap, nun di bawah sana ada dua orang awek lengkap berjaket sedang tercongok berdiri kat depan pintu bilik tidur Dol. Okey… memanglah asalnya bilik tidur Dol tu sebenarnya ruang tamu, dan dianggap sebagai pintu masuk hadapan rumah. Tapi rumah kita orang ni dah diubahsuai untuk buat tempat penginapan yang disewa kepada pelajar universiti. Maka ruang tamu dah jadi bilik tidur paling besar dalam rumah kami di Consort View tu.

“Wa alaikum salam!” aku sahut dari atas. Terdongak kedua-duanya memandang aku. Sah! Memang sah awek comel yang berseluar jean dan berkaca mata hitam tu ialah Liza! Dan Nani kat sebelah dia! Alamak! Alamak!

“Ikut pintu belakang!” aku kata sambil isyaratkan haluan yang dia orang patut ambil. Lepas tu bergegas aku turun ke bawah. Aku ke dapur merangkap ruang tamu tu. Garn dengan Rhosk tengah baik punya lepak tengok TV.

“Dia orang dah sampai!” aku kata kat dia orang.

“Relaks bro, janganlah panik,” balas Rhosk sambil gelak-gelak. Hotak lu! Kau mana tau jantung aku dah macam nak meletup dah ni tau!

Maka Liza dan Nani pun muncul di muka pintu. Kami mempersilakan awek comel tu masuk. Jamu dia orang makan dan layan sembang-sembang.

Liza memang demikian tabiatnya baik dalam telefon mahupun in person — keletah, ramah, ceria. Acap kali tersenyum. Bahkan sentiasa tersenyum. Dan lesung pipitnya… aduhai… Memang comel… Amat ceria lagi menceriakan. Pendek kata, siapa saja suami Liza nanti, pastinya takkan mudah naik darah. Asal nak marah aje, mesti susut rasa marah tu bila pandang Liza tersenyum dan dengar dia berceloteh. Jangan dia berleter sudah… takut-takut yang tu jadi pendarab kenaikan tahap darah yang mendidih… Adusss…!

“I nak tengok bilik you,” tiba-tiba Liza minta daripada aku benda tu. Adeh! Adeh! Aku dah agak memang dia akan minta punya tapi aku berharap sangat-sangat yang dia takkan minta. Tapi akhirnya dia minta juga! Adeh!

“Boleh… Nak pergi…” tapi aku tak sempat habiskan kata-kata. Rhosk cuit aku pantas.

Dan pada ketika tu juga Garn cakap sesuatu pada dia orang. Aku tak ingat apa yang Garn cakap at dia orang, tapi masa perhatian dia orang teralih kepada Garn, Rhosk bisik kat aku;

“Gambar-gambar Zah tu kau dah cabut dari dinding?” dia tanya.

Adoi! Adoi! Adoi! Gambar-gambar Zah kat dinding! Gambar-gambar Zah kat dinding depan meja tulis aku tu! Banyak tu! Banyak! Kalau aku nak tanggalkan satu persatu mampus ambil masa setengah hari tu!

Dah tu? Perlu aku tanggalkan ke? Atau aku biarkan aje dia tengok? Kalau dia tengok, mesti dia akan tanya, siapakah gerangan gadis manis yang gambar-gambarnya penuh menghiasi dinding meja tulis aku sampai dinding tu pun dah tak nampak dah? Aku nak jawab apa? Aku nak jawab apa ya?

“Buah hati beta,” yang tu ke jawapan aku? Persoalannya ialah — betul ke? Betul ke Zah tu kekasih aku? Sejak bila? Siapa yang kata? Zah sendiri pun tak kata macam tu, kan? Dah tu?

Errr… Liza… please give me a moment,” aku pinta sungguh-sungguh daripada dia. Gabra dah ni! Memang gabra ni! “Bagi I kemas-kemas sikit bilik tu, okey?”

“Tak payahlah,” dia bidas. “Tu lagi best. Nak tengok bilik you naturally.”

Oh please, no!” aduhai… macam mana ni? “Bilik I memang dah okey, tapi I kena kemas kain baju yang nak dibasuh tu. Takkan you nak tengok spender I kat situ kan?”

Aku gelak. Garn pun. Rhosk pun. Nani pun. Nasib baik… Liza pun.

“Tak senonoh!” dia marah. “Pergilah!”

Lega! Lega! Sepantas kilat aku panjat tangga naik ke atas. Lepas tu aku panik! Macam mana nak tanggalkan semua gambar-gambar Zah ni! Mana sempat sementara nak tunggu Liza naik!

Tapi mujurlah juga aku ni cerdik… ehem! Jangan marah ek… aharks! Baru-baru ni aku ada beli teleskop. Ya… teleskop. Yang lanun dan kapten kapal zaman dulu-dulu guna tu. Bersama teleskop tu ialah sekeping poster gambar bulan lengkap dengan nama-nama kawah dan lurah serta jurangnya. Besar juga poster tu. Cukup besar untuk menutup hampir keseluruhan permukaan dinding meja tulis aku tu! Dan guess what? Cukup besar untuk menutup semua gambar Zah yang terlekat atas dinding tu juga! Yabba dabba doo…!!!

Dan dengan termengah-mengah serta semput-semput, aku turun ke bawah dan pelawa Liza naik ke atas. Macam tau-tau aje pula si Nani tak mengikut. Dibiarkannya aje Liza naik sendirian dengan aku. Garn dengan Rhosk pun tak ikut. Aku rasa dia orang pun saspens gak kut sambil menunggu kat bawah tu. Mungkin tertanya-tanya juga apa resolusi aku tentang gambar-gambar Zah kat dinding meja tulis aku tu. Ekekekeke… you’d never have guessed it, my friends! Ahah!

Tapi sejujurnya, hati aku berdebar-debar. Sangat berdebar-debar. Sejurus Liza dan aku melangkah masuk dalam bilik tidur aku yang comel tu, hati aku macam nak pecah meletup. Come on, man! Pada ketika tu, hanya Liza dan aku berdua saja dalam bilik tidur aku di tingkat atas rumah tu. Hanya kita orang berdua saja! Dalam bilik tidur aku pula tu! Wallaweh…! Lu tau sudah berapa lama wa puasa…?

Dan lesung pipit Liza yang sentiasa menyerlah sebab dia sentiasa tersenyum tak lekang-lekang dari bibir. Celotehnya yang sentiasa keletah dan ceria. Manjanya yang sentiasa menggoda. Aduhai… kuatkanlah imanku! Aku tak mahu dengan tiba-tiba tangan aku ni merangkul Liza dan mendakap dia erat dan kedap di tubuh aku pula nanti! Dia mesti terkejut beruang panda masa tu nanti. Mesti dia kaget, tapi aku rasa dia takkan menjerit. Malah, dia akan terpaku sambil merenung aku legat dengan rasa terkejut yang teramat sangat.

Masa tu, mungkin dia akan tenung aku, dan aku akan tenung dia. Mata kami bertentang untuk satu tempoh tertentu. Lama-kelamaan Liza akan kembali tenang sikit, walaupun masih terkejut amat. Lepas tu, aku masih terus tenung mata dia. Masa tu mungkin Liza — buat pertama kalinya — tak berceloteh dengan keletah macam selalu. Barangkali dia terdiam bisu. Mungkin juga dia akan berkata-kata, tetapi nada dan intonasi suaranya tak seperti selalu. Kala itu barangkali nada suaranya seakan bergetar dan seolah-olah tak mahu keluar seraya dia bertanya “What are you doing…?”

Aku mungkin takkan jawab soalan dia tu. Aku akan tengok respons dia selanjutnya. Kalau dia mahu melepaskan diri dari dakapan aku, aku akan lepaskan dan minta maaf. Aku akan minta maaf dengan penuh ikhlas dan penuh kesal sebab buat apa yang dia tak suka.

Tapi kalau dia tak kelihatan macam nak lepaskan dakapan aku, aku akan orak langkah selanjutnya. Barangkali Liza dan aku akhirnya akan berbalas ciuman ketika tu.

Surprisingly!” tiba-tiba kata-kata yang terpacul dari mulut Liza mengejutkan aku macam katak kena sergah. Hilang lenyap imaginasi liar aku tadi. Cet…! “Bilik you ni tak macam bilik lelaki. Kemas. Bersih. Wangi.”

“Apa? Bilik lelaki mesti bersepah, kotor dan busuk ke?” aku bidas sambil berusaha cari semangat yang terbang sebab terkejut dari imaginasi liar tadi. Tapi senyuman manis yang terukir di bibir dan pipi berlesung pipit Liza masih tetap kuat menggoda aku. “Mana you tau? Pernah masuk bilik lelaki ke?”

“I ada bang tau! Bilik dia… isy…! Macam tong sampah tau!”

Tak ada apa-apa berlaku kepada Liza. Selamat dia… Tak ada apa-apa juga berlaku kepada aku. Sedih aku…

Rhosk dah bersiap nak keluar semasa aku turun ke ruang tamu semula dengan Liza. Nani pun dah bagi isyarat pada Liza agar sedia nak beredar. Nak kejar kereta api ke Manchester rupa-rupanya dia orang. Nak ke rumah kawan-kawan di sana. Kalau boleh tak mahu tiba ke sana bila dah menjelang malam. Sejuk. Gelap. Takut.

Maka Garn dan aku bersetuju nak teman dia orang ke stesen kereta api. Kita orang tak naik bas atau teksi. Jalan kaki aje, macam aku biasa buat dulu bila nak ke Sheffield. Sepanjang perjalanan, bersembang mesra lagi dengan Liza.

Dan aku tak tahu sama ada aku rasa sedih, sayu, atau lega bila Liza masuk ke platform stesen kereta api selepas tu. Yang aku tahu, dia memang comel dan cute. Melekat senyuman dia yang berlesung pipit tu dalam kepala aku lepas tu. Dan melekat dalam jiwa aku kejutan yang dia buat.

Semasa tiba ke rumah, Rhosk dah balik dari… dari… dari mana-mana ajelah yang dia pergi tadi. Bersamanya ialah Jahar yang datang singgah. Masa Garn dengan aku melangkah masuk ke pintu rumah, dia orang tengah panjat tangga naik ke atas. Ternampak aku, Rhosk tiba-tiba teruja. Jahar pun teruja. Mesti Rhosk dan ceritakan kat Jahar apa yang berlaku tadi.

Dan dia orang berdua naik ke atas sebab nak tengok bilik aku — nak tahu apa resolusi yang aku dah buat tadi. Dari bawah Garn dengan aku terdengar tiba-tiba Rhosk dan Jahar memekik dan bersorak sambil tepuk tangan! Lahanat kau orang… Cet…! Ekekekekekeke… Hebat syeikh…! Hebat…!

Tapi jauh di dalam hati ada satu perasaan yang mula berbisik kini… Dan aku tahu sangat apa yang dibisikkan tu. Suara yang mengungkapkan kata-kata yang sama semasa aku memerhatikan Liza berlalu masuk ke dalam platform stesen kereta api tadi. Suara itu seakan menyeru kepada Liza dengan penuh ikhlas — “I am really going to miss you too…”

Dan aku semakin risau dan resah, malah takut nak membaca erti sebenar petanda ini — sekiranya benarlah bahawa ini juga satu pentanda…

52 – Sayang…

SAYANG seribu kali sayang. Buah kepayang jatuh ke longkang. Buah hati disambar orang. Buah sendiri tersepit di kangkang. Apa yang aku merepek ni? Merepek tentnag sayanglah. Saban hari dok fikir pasal ni tau. Kau orang tak pernah fikir ke pasal sayang ni?

Anyways, hari-hari yang ditempuh sepanjang peperiksaan akhir memang menyeksa sungguh. Amat terseksa zahir dan batin dibuatnya. Walau bagaimanapun alhamdulillah… dapat juga ditempuh. Tu yang terasa amat merdeka bila dah selesai peperiksaan. Tapi merdeka pun belum tentu aman. Malaya dulu pun terpaksa tempuh keadaan penuh suspens dan tragik selepas merdeka akibat ancaman komunis, kan? Aku? Aku pun macam tulah juga. Lepas merdeka daripada exam, rasa suspens nak tunggu result le pulok… adoi laaa

Tapi sementara tunggu result tu, tak bolehlah persiakan tempoh melancong percuma tu kan? Kan? Dah alang-alang berada di bumi United Kingdom kan? Maka melanconglah aku, kan? Ya sangatlah melancong! Duitnya? Duitnya mana? Kalau setakat melancong ke rumah Ani kat sebelah tu bolehlah tak pakai duit! Cet…!

Tapi dia orang yang lain memang sungguh-sungguh dengan sepenuh perasaan menghabiskan sisa-sisa akhir kat UK tu dengan melancong — sama ada dalam UK, tapi kebanyakannya ke Eropah. Tu dia! Siapa lagi yang pergi Eropah? Garn pergi Eropah. Entah ke mana-manalah dia pergi tu. Ke Holland dah barang tentu. Nak kirim beli orang tak daripada dia bila dia ke Holland? Nak beli dengan apa? Tak payah… tak payah…

Dol pun tak duduk rumah. Aku tak pasti dia ke mana. UK ke, Eropah ke, atau mungkin sekadar dalam Leeds juga tapi kat celah mana-mana rumah orang lain kut. Aku? Hmmm… Aku sajalah yang tinggal kat rumah tu. Paling jauh pun sekadar dalam UK ajelah. Nak ke mana sangat pun? Carilah kawan-kawan lain yang ada dari serata Leeds dan UK tu dan ajak lepak atau jalan-jalan ke mana-mana, okey tak?

Lepas dapat result ialah merdeka yang sebenar-benarnya le kan? Kan? Terutamanya yang luluslah, kan? Kan? Sejujurnya, semasa aku dapat keputusan tu, perkara pertama yang melintas kat fikiran aku ialah ketakutan. Ya… takut… Aik? Dah lulus peperiksaan pun takut?

Bukanlah! Takut ni tak ada kena mengena dengan peperiksaan. Ni takut lain. Sebenarnya bila tau aje yang aku dah lulus, yang pertama sekali melintas kat kepala aku bukannya sama ada nak buat Bar di UK atau di Malaysia. Sebaliknya yang melintas kat kepala aku — pertama sekali yang melintas — ialah bila balik ke Malaysia nanti, patut ke aku naiktarafkan status hubungan aku dengan Zah. Aduh… aduh… aduh… Tu yang buat aku takut tu!

Apa sebenarnya yang aku akan temui bila aku balik ke tanah air nanti ek? Aku akan temui Zah yang single ke? Atau aku akan temui Zah berjalan berdua-duaan dengan jantan macho ala-ala kacak tampan dan mungkin iras-iras DJ Dave atau Amy Search? Mungkin juga dengan jantan yang iras-iras Razis Ismail juga. Tak pun dengan TC tu balik! Dah rujuk pulak! Alahai…

Ya tuan-tuan, puan-puan, bapak-bapak, ibu-ibu… aku teramat takut… Sangat takut…

Lepas tu barulah terfikir pasal nak buat Bar kat UK. Huh? Serius ke aku ni? Tak serik-serik lagi nak duduk kat negara sejuk beku peti ais ni ke? Well… alah bisa tegal biasa kut…? Apa salahnya, kan? Tapi… sanggup ke aku berjauhan untuk tempoh setahun lagi kat sini dan tinggalkan Zah kat sana? But then again, siapalah aku kepada Zah untuk aku terus nak berada di sisi dia? Macam aku kata tadi, entath-entah dia tengah bahagia dengan balak baru kalau pun tak rujuk semula dengan balak lama TC dia yang buat aku terus teringat bau kereta api tu… alahai…

Selain daripada tu, perkara kedua yang melintas kat benak aku ialah tentang Lina H — aku sure yang dia pun lulus peperiksaan akhir ni. Dan aku sure — memandangkan dia memang lebih intelligent daripada aku — yang dia lulus dengan cemerlang. Dan aku terfikir sama ada dia akan buat Bar di UK atau balik ke Malaysia. Teori aku, dia akan balik. Sebabnya? Sebab Mr. Biawak bukan budak law. Mr. Biawak pun tamat pengajian tahun ni, dan tak perlu buat Bar. Maka Mr. Biawak akan balik Malaysia. Takkan dia orang nak terpisah jauh beribu kilometer untuk tempoh setahun lagi? Nope. Aku rasa Lina H akan balik ke Malaysia dengan Mr. Biawak. Lepas tu kahwin.

Jadi apa aku nak buat antara waktu lepas dapat result dan tarikh terbang balik ke tanah air ni? Kira-kira duit yang masih berbaki, rasa-rasanya masih boleh kut kalau nak pergi shopping barang-barang cenderamata dan cenderahati untuk keluarga. Barangkali masih berbaki juga untuk buat beli cederamata dan cenderahati untuk Zah… hehehehe… Tak kiralah sama ada dia dah ada balak atau tak, aku akan belikan juga sesuatu untuk dia. Tapi apa ya…? Hmmm

Tapi saat-saat akhir sebelum berangkat balik ni pun bukannya tak best. Best juga tau! Oleh sebab dia rang yang duduk kat asrama dan penginapan yang disediakan universiti terpaksa keluar dari penginapan dia orang tu sebab universiti dha nak tutup, maka bertaburanlah dia orang tu mencari-cari rumah kawan-kawan yang duduk menyewa buat menumpang sementara nak balik ke tanah air. Maka antara rumah penginapan yang dah transform jadi rumah tumpangan ialah rumah kita orang nilah. Sesak macam botol cencaluk. Mula-mula kaum jantan datang menumpang. Kalau tak silap aku dalam empat atau lima orang. Maka jadilah rumah tu macam rumah flat kat Shah Alam yang disewa dek pendatang asing yang kerja kat restoran atau kilang.

Dah tu? Best apanya kalau jantan-jantan ni semua datang menumpang kat rumah aku ni? Oh… itu cerita jantan… Yang best ialah cerita awek yang duduk kat rumah aku… eheks! Al-kisahnya awek-awek junior kita orang yang sebelum ni duduk kat asrama universiti, sekarang tiba-tiba tergerak hati teringin nak duduk rumah sewa. Baru dia orang tau ek…? Maka jantan macho paling handsome dalam rumah kita orang tu — Mr. Dol — telah berjaya membuat marketing yang berkesan lantas dapatlah dia secure sekumpulan awek untuk take over menyewa rumah kami tu selepas kami ni semua berhambus ke tanah air. Oh… sungguh amat cekap lagi berperisa tinggi kau Dol!

Dan oleh sebab asrama universiti dah tutup, dan budak-budak perempuan tu semua tak teringin nak pergi melancong, maka dia orang pun minta nak masuk dulu ke rumah sewa tu walaupun kita orang para jantan yang masih boleh tegak dan tegang sepenuhnya dengan sebegitu amat mudah lagi sensitifnya masih lagi beleum berhambus keluar. So? Apa so? Bagi ajelah!

Maka untuk tempoh tertentu sebelum aku berangkat balik ke tanah air, dapatlah pula aku duduk serumah dan sebumbung dengan awek-awek yang agak cun jelita weh! Ekekekekeke… Aduhai… Dah lama banget rasanya aku tinggalkan pengalaman duduk sebumbung dengan awek ni. Maka bila datnag balik pengalaman tu, rasa macam kekok sekejap. Tapi sekejap ajelah. Lepas tu… hmmm

Kongsi bilik air, kongsi jamban, kongsi mangkuk tandas… pergh…! Lazat gak kongsi mangkuk tandas dengan awek ni. Kalau boleh pagi-pagi tu tahan dulu berak sebab nak bagi awek masuk bilik air dulu. Bagi dia berak dulu. Elok dia habis berak aje, aku pula masuk dan… well… beraklah! Semua proses tu mesti dilakukan dalam tempoh seberapa segera sebelum kehangatan yang dia orang tinggalkan atas mangkuk tandas tu hilang! Aharks!

Dan selama tu jugalah rumah aku sentiasa berbau harum kan? Kan? Nak duduk kat dapur merangkap ruang tamu merangkap bilik TV tu pun rasa best aje. Dah tak peduli dah rancangan apa tersiar kat TV. Bukannya aku nak tengok TV sangat pun! Weh! Awek junior tu semua tu! Kalau-kalau ada yang boleh sangkut jadi awek cinta hati aku, why not?

Tapi… tapi… alahai… Memang kompem aku takkan boleh ambil mana-mana dia orang jadi awaek cinta hati aku. Sebabnya, setiap malam dia orang nampak dan tahu yang aku akan bergayut kat telefon… dengan Liza! Siap boleh tanya aku lagi siapakah gerangan awek yang selalu menelefon aku hingga menyebabkan orang lain dah tak boleh guna telefon malam-malam. Alahai… habislah peluang nak mengurat… Tak boleh nak mengurat dah pun… alahai… Kalau tak, dah tentu boleh tangkap cinta salah sorang, kan? Kan? Boleh ke? Laku ke aku ni? Hmmm

Tapi kan… bukan ke sesuatu yang dianggap permainan sebelum ni, sekarang sepatutnya dah diambil serius? Bukan ke perempuan yang sebelum ni sekadar awek, buat stok geli-geli dan basah-basah, sekarang sepatutnya diisi dengan perasaan yang tulus ikhlas dan murni.

Bukan ke — sebagai langkah mula ke dunia baru — perempuan yang aku akan pilih sebagai awek aku masa tu, seharusnya perempuan yang aku usahakan untuk menjadi isteri aku.

Bererti, perempuan yang aku akan pilih jadi awek nanti tu, ialah perempuan yang kepadanya aku ada rasa ‘sayang’. SAYANG.

Dan bila terfikir hal tu, entah kenapa, dan tak semena-mena, sekonyong-konyong tanpa dapat dielakkan lagi, pastilah tentu bayangan wajah Zah juga yang akan datang menerpa imaginasi aku. Lebih-lebih lagi, imaginasi wajah Zah tu semakin membaja dan menyuburkan harapan aku…

Petanda juga ke ni…?

Walau apa jua pun… ini adalah saat-saat akhir sisa-sisa waktu aku sebagai pelajar di bumi sejuk beku peti ais UK ni. Keputusan aku dah bulat untuk pulang ke Malaysia. UK bukan tempat indah yang menyuburkan kenangan manis bagi aku sangat. Barangkali sebab tu le agaknya banyak benda tentang UK ni yang aku tak ingat… aharks!

Memanglah serba sikit ada kenangan manis. Bahkan memang banyak kenangan manis. Tapi kenangan yang pahit tu — walaupun sekadar sepalit cuma — sungguh ia sebegitu amat pahit hingga pedi dan peritnya bisa menenggelamkan kelazatan manis yang dirasa. Kejam sungguh orang yang memalitkan kepahitan tu. Keji sungguh perbuatannya kerana dilakukan pada ketika aku sepatutnya mengumpul semua yang manis-manis belaka. Barangkali balasan Tuhan kepada aku kut? Mungkin juga kasih sayangNya terhadap hambaNya…

Kalau semua tu satu penganiayaan terhadap aku, bererti aku orang yang teraniaya. Kalau semua tu adalah peringatan… well… selagi masih hidup dan bernyawa, semua yang berlaku adalah peringatan, tak gitu?

Apa-apa hal pun, setiap yang dilalui ada hikmah tersendiri. Esok lusa aku akan tinggalkan bumi UK ni. Sebelum aku tinggalkan UK ni, biarlah aku cuba sedaya upaya untuk mengumpul seberapa banyak kemanisan. Setidak-tidaknya, aku takkan pulang ke tanah air dengan palitan kotor yang mendugalkan dari apa yang telah ditinggal dan diwasiatkan oleh Lina H kepada aku tatkala di UK ni. Biarlah selama tiga tahun kami bersama sebelum tu tak ada erti dan makna bagi dia. Aku dah tak peduli lagi. Dan aku lebih-lebih lagi tak mahu dia rosakkan pengalaman julung-julung kali seumur hidup aku dapat bertapak di bumi sejuk beku peti ais ni dengan kepahitan yang dia palitkan sebagai balasan terhadap semua pengalaman yang kami lalui bersama selama tiga tahun sebelum tu.

Aku akan kumpulkan kemanisan di sini. Kejutan pun aku nak kumpulkan juga. Misalnya kejutan yang Liza berikan hari tu bila dia tiba-tiba muncul tercongok kat depan… well… sebenarnya belakang rumah aku tu. Kejutan yang ditambahnya pula dengan debaran bila nak melawat bilik aku! Adoi laaa

Rupa-rupanya gadis comel dan cute serta manis lagi peramah dan keletah ni masih ada kejutan buat aku. Sungguh aku tak menjangka kejutan terakhir yang kau akan berikan ni Liza. Dan buat ke sekian kalinya, Garn dapat peluang dan kepuasan sekali lagi untuk lemparkan kepada aku senyuman dan sengihan dia yang tak cantik tu… cet!

53 – Selamat Tinggal

HARI yang menjelang tiba saban waktu terasa bagaikan macam jarum peniti saiz sembilan mencucuk hati dan perasaan. Ada pedih, ada bisa. Sesekali ada geli-geli sikit. Sesekali rasa ngilu pun ya juga. Setiap kali celik mata pada waktu pagi, aku akan terpandang satu demi satu barang-barang peribadi aku yang dah makin hilang dari dalam bilik tidur comel aku tu. Sikit demi sikit dah masuk ke dalam kotak besar yang memang muat sangat kalau nak isi mayat yang tak payah dikerat-kerat. Dan kotak-kotak tu akan merasa berlayar atas kapal laut di samudera nan luas dalam kontena besi.

Apa-apa hal pun, kotak tu kena jalan dulu sebelum aku. Kalau tak nanti siapa pula nak menguruskan dan memastikan kotak-kotak berisi harta aku yang tak bernilai tu akan berangkat ke Malaysia? Nak suruh Tahir tuan rumah Paki kita orang tu? Gila ke apa?

Tapi sebenarnya setiap kali aku ternampak bilik aku yang makin lapang dan luas dari barang-barang yang entah apa-apa selama ni tu, semakin aku rasa pilu. Pilu bukan sebab nak meninggalkan UK. Bukan… Aku tak kisah nak tinggalkan UK ni… Malah rasa macam suka pula nak kembali berpeluh-peluh dan berlengas-lengas dalam gigitan cuaca panas Malaysia tu.

Aku pilu sebab setiap kali teringat yang aku akan tinggalkan UK, maka tak semena-mena akan muncul dalam kepala aku ni wajah yang aku tak boleh nak tangkis buang — wajah Zah… dan… adoi laaa… wajah Liza…

Yup… wajah Liza juga. Pelik pula… Entah kenapa semakin aku nak tinggalkan UK, semakin kerap pula dia datang bertandang dalam imaginasi aku. Semakin kerap pula dia melintas di depan pintu hati. Sesekali dia berhenti dan menjenguk-jenguk seolah-olah nak tinjau siapa yang ada di dalam. Kenapa ni?

Teori aku ialah sebab aku rasa macam semakin rapat dan intim dengan dia. Mana taknya kalau hampir setiap hari dan malam aku dengar suara dia yang keletah berbicara, gelak ketawa, gurau senda, sesekali marah, sesekali sayu, sesekali meriah, sesekali serius, dan yang tak pernah tinggal… trademark “entah” dia tu. Dan wajah dua orang gadis itulah yang buat aku sayu nak tinggalkan UK dan balik ke Malaysia.

Sayu mengenangkan wajah Zah sebab aku macam terbayang-bayang akan nampak dia bersama jejaka lain bila aku pulang ke tanah air nanti. Gadis yang cun dan berperawakan menarik serta jadi rebutan burung-burung pelbagai spesies macam dia tak mungkin akan kekal solo dalam tempoh yang lama. Aku dapat rasa hati aku tersiat macam kertas kajang yang tersangkut kat mesin fotostat ditarik ganas bila ternampak dia dalam keadaan macam tu. Kalau aku tak nampak pun, aku macam terdengar-dengar suara dia bagi tau aku tentang hal tu bila aku jumpa dia nanti… adoi laaa

Dan aku sayu nak tinggalkan UK sebab… sebab… alahai… Takkan aku dah jatuh hati kat Liza juga? Ya ke? Betul ke sebab aku dah jatuh hati kat Liza maka aku sayu nak tinggalkan dia dalam jarak ribuan kilometer ni? Atau sayu sebab aku tinggalkan dia semata-mata untuk berjumpa Zah dan menerima berita bahawa Zah dah bukan solo lagi lantas aku terlepas kedua-duanya? Sekali lagi, adoi laaa

Tapi katalah kalau betul aku jatuh hati pada Liza. Liza pula macam mana? Dia ada hati pada aku ke? Tak pernah pun selama ni ada buat apa-apa deklarasi mahupun deklamasi. Apatah lagi konfirmasi (perkataan ‘konfirmasi’ tu sengaja dicondongkan sebab ia tak wujud dalam Kamus Dewan walaupun adik-beradik dia yang lain seperti ‘deklarasi’ dan ‘deklamasi’ tu wujud pula… isy, isy, isy… Memang sifat dewa ni susah nak difahami… kan? Kan…?)

Macam mana dengan petanda-petanda selama ni? Apa petandanya Liza suka kat aku? Apa petandanya Zah pun begitu? Macam tak ada aje… Atau ada, tapi cuma aku yang tak nampak…? Entah…

Saat-saat akhir nak berangkat pulang ni aku malas nak fikir hal ni. Aku sibuk merayau-rayau bandar raya Leeds buat menangkap kenangan untuk disimpan sambil-sambil membeli-belah barang-barang ringan dan kecil-kecil dengan saki baki duit yang tinggal ni sebagai cenderahati. Aku banyak beli coklat. Sebahagiannya untuk Zah, tentunya. Tapi membeli coklat kat UK ni agak seksa gak sebenarnya. Jenuh nak meneliti senarai ramuan kat kotak coklat tu yang semuanya dalam bentuk kod. Kat Eropah ni semua ramuan kena guna kod — E471 la, E471e la, itu la, ini la… Dan dalam dompet aku sentiasa ada sepotong kertas kecil dengan tulisan tangan aku yang cantik bergaya dalam fon paling kecil senarai maksud semua kod ramuan tu. Ada antaranya yang tak halal. Ada lemak babilah, kulit babilah, lemak lembulah, lemak oranglah, nasi lemaklah… Sibuk pula aku nak tengok kandungan ramuan dalam coklat ek? Dalam bir tak nak tengok?

Jadi bila tiba hari yang dah disuratkan tu, aku pakai pakaian yang paling simple yang termampu ditanggung badan. Jaket kena ada sementara nak naik kapal terbang. Kita orang ambil transit dari Manchester. Maknanya pagi tu sewa teksi dari Leeds ke Manchester airport. Naik pesawat dari Manchester ke London Heathrow dan tukar pesawat di sana. Ikut jadual, kena transit kat London Heathrow dalam sejam kalau tak silap ingatan aku ni.

“Liza tunggu kau kat Heathrow tak?” tiba-tiba Garn bertanya aku soalan yang buat aku rasa macam nak terkencing tu semasa kita orang dalam penerbangan ke Heathrow.

“Tak adalah,” aku jawab. “Apa ke jadahnya dia nak datang dari Portsmouth tu dan tunggu aku kat Heathrow?”

Garn mencebik bibir dan menggeleng-geleng. Tu tanda dia tak setuju dengan akulah tu.

“Aku rasa dia tunggu kau kat Heathrow,” Garn cakap penuh lagak. Tapi lagak orang yang yakinlah. Yakin dengan diri sendiri…

“Bukannya awek aku…” ujar aku selamba. Tapi kali ni Garn bagi aku sengihan cebik yang mendarabkan tahap lagaknya sebanyak sepuluh kali ganda. Isy… Aku benci betul kalau dia bagi aku tenungan dan riak wajah macam tu. Pengalaman aku bersahabat dengan dia selama dekat lima tahun sehingga ke saat tu biasanya menunjukkan lapan puluh peratus kata-kata dan teori dia tu tepat! Isy…! Lahanat

Tapi walaupun aku rasa Garn mungkin betul, aku tak persiapkan diri untuk tempuh benda tu. Sebabnya? Sebab masa tu aku fikir teori Garn akan masuk kategori yang dua puluh peratus — teori tak tepat dan tak benar. Aku ada sebab yang kukuh lagi jitu kenapa aku pilih keputusan tu. Sebabnya, Liza ada beritahu aku sebelum ni bahawa pada tarikh aku nak berangkat ke tanah air tu, dia dah pelan nak pergi bercuti dan melancong ke seluruh pelosok UK dan mungkin juga Eropah dengan kawan-kawan dia. Takkan ada masa dia nak ke Heathrow semata-mata nak jumpa aku.

Jadi aku dismiss aje teori Garn tu. Tak boleh pakai.

Bila dah tiba di Heathrow, kita orang tunggu kat luar airport kejap. Dah tak sejuk sangat masa tu jadi bolehlah lepak ambil asap kat luar. Sambil-sambil tu dok perhati sekeliling. Tak lepas peluanglah. Belum tentu entah bila lagi ada peluang tenung minah-minah pucat kuning dan hitam berkilat secara dekat lepas ni.

Sambil lepak kat bangku depan airport tu, Garn tepuk bahu aku. Lepas tu dia bisik kat aku; “I told you so,” dalam nada yang sungguh teramat keji! Huh?

Alamak…!!! Lahanat… Macam mana teori Garn boleh betul juga kali ni weh!!! Tu ha… Liza dengan Nani dok tersengih-sengih datang dekat… Adoi! Adoi ! Adoi!

Dan Garn serta Dol dan yang lain-lain tu dengan sengaja pula tinggalkan aku melayan Liza sorang-sorang kat situ. Wallaweh! Sebenarnya kau orang memang dah komplot buat benda ni ke atau memang sesungguhnya secara kebetulan aje ni? Ptuih! Sungguh keji dia orang ni kan?

Sebagai seorang yang teramat gemar beruang jenama Friends Forever, dah tentu Liza beri aku sesuatu daripada jenama tu. Dan mujur juga Liza seorang yang educated dan intelligent. (Sejujurnya selama perkenalan dengan Liza, aku dapat rasakan yang Liza jauh lebih intelligent daripada Lina H). Dia beri aku satu cenderahati yang kecil molek serta sekeping kad. Memang selama ni pun dia pernah utus kad kat aku — pun jenama Friends Forever gak. Kalau dia bagi cenderahati besar memang jenuhlah aku nak bawa masuk ke pesawat nanti.

Dan aku? Aku bagi apa kat dia? Manalah aku ada bagi apa-apa! Manalah aku tau yang dia betul-betul nak datang ke Heathrow tu hari tu! Alahai Liza… kenapalah kau asyik bagi peluang aje pada Garn untuk terus bagi kat aku sengihan keji dia yang amat menusuk tu? Kenapalah hari tu kau bercakap seolah-olah macam memang kompem kau takkan terpacul kat Heathrow hari ni? Kau memang sengaja nak pekena aku ek? Kau memang dah komplot dengan Garn ke? Kau dengan Garn memang ada skandal ek?

Aku habiskan masa sekejap aje sebenarnya dengan dia kat airport tu. Memang pun dia nak melancong. Memang pun hari tu dia sepatutnya pergi melancong. Tapi dia rancang hari tu sebegitu rupa supaya sempat jumpa aku walau sekejap kat Heathrow. Dia memang nak ucap selamat jalan kat aku. Dia nak wish good bye. Lepas tu dia dengan Nani bergegas nak teruskan perjalanan melancong sebab kawan-kawan dia yang lain memang dok tunggu dalam kereta yang entah kat mana-mana depa parking masa tu.

Jadi memang sekejap sangat pertemuan dengan dia. Tak sampai pun lima minit. Dia menangis ke? Depan aku tu taklah. Tapi sejujurnya aku nampak mata dia menggenang air jernih. Dan bila dia berlalu, sambil berjalan bersaingan dengan Nani, aku nampak tangannya menyapu pipi dan Nani memaut serta menggosok-gosok bahunya sambil bercakap-cakap sesuatu. Macam sedang memujuk.

Dalam jarak kejauhan aku nampak dia menoleh ke belakang semula. Aku lambai kepada dia. Masa tu juga Garn seru aku. Masa untuk masuk ke balai berlepas. Kalau tak mahu kena tinggal kapal terbang, kena masuk sekarang. Kalau tak, beli tiket sendirilah nak balik ke Malaysia.

Maka aku pun masuk ke balai berlepas. Yang pasti, aku akan mengucapkan “Selamat tinggal” kepada bumi sejuk beku peti ais United Kingdom dan kepada semua yang telah menjahit dan menyulam warna-warna hidup aku selama kat situ. Selamat tinggal warna hitam hadiah daripada Lina H. Selamat tinggal warna bahagia hadiah daripada Liza. Dan warna-warna pelangi yang berbaur membentuk isi langit dan bumi…

Yang aku masih tak tahu sebenarnya ialah antara Liza dengan aku, siapa yang mengucapkan “Selamat tinggal” kepada siapa sebenarnya… Aku tinggalkan dia…? Atau dia yang tinggalkan aku…?

54 – Tapak Pertama, Langkah Ke Berapa…?

LENCUN. Satu perkataan tu aje yang aku boleh gambarkan keadaan tubuh badan aku bila kembali ke tanah air. Alam semula jadi memang dah demikian ditentukan fitrahnya oleh Tuhan, agaknya ya? Bila dah bertahun tubuh badan mengadaptasi diri dengan iklim sejuk beku peti ais, nak laras semula tubuh badan kepada iklim tempat tumpah darah ni memang seksa sikitlah mula-mula tu. Orang lain elok relaks aje, aku pula rasa panas bahang berpeluh-peluh berlengas-lengas seluruh badan sampai ke celah-celah kangkang. Kalau macam ni kena tambah stok seluar dalam nampaknya ni… adoi laaa… Tak pun tak payah pakai seluar dalam kut? Pakai kain pelekat aje…?

Anyways… yang penting aku dah berada di Malaysia. Tubuh badan nak sesuaikan diri dengan iklim tropika ni tak sepenuhnya dalam kawalan aku. Faktor biologi dan semula jadi pun jadi syarat taklukan. Dulu menyumpah-nyumpah sebab cuaca sejuk teramat. Sekarang merungut-rungut sebab waktu malam pun rasa panas bangat. Dasar manusia tak reti nak bersyukur ke aku ni ek? Aduhai…

Tapi ada satu elemen lain yang aku kena sesuaikan diri juga — elemen rutin. Yang ni memang dalam kawalan aku, tapi bukan senang nak ubah juga weh!

Bila dah terbiasa bersembang di telefon hampir setiap malam dengan Liza dulu, rasa kekok juga sikit bila malam muncul di langit Malaysia ni tanpa rutin sembang dengan Liza. Pulak dah… Surat? Poskad? Entahlah… Memang aku ada bagi Liza alamat rumah aku kat tanah air hari tu bila dia minta. Tapi tak tahulah sama ada dia akan hantar surat atau tak.

You don’t have to remember me if you don’t want to,” kata Liza semasa kat airport hari tu. Tersentak juga aku sekejap bila dia cakap macam tu.

“Kenapa cakap macam tu?” aku tanya dia dengan jujur dan ikhlas. Terkejut aku pun belum hilang lagi.

“Manalah tau kan…” dia balas. “Orang dah jauh… Dah tempuh alam baru. Alam kerja.”

Entah apalah agaknya yang berlegar-legar dalam kepala dia semasa dia cakap macam tu. Aku boleh buat spekulasi tapi aku tak gamak nak buat. Takut nak buat spekulasi pun ada gak sebenarnya.

Anyways… memang dah lama benar sangat banget aku tak fikir dan tak ingat pasal Lina H. Aku dah nyaris terlupa pun fasal dia sehinggalah tiba suatu hari tu masa kelas CLP kat Brickfields, salah sorang kawan sekelas CLP yang dulu sama-sama buat A-Level kat Shamelin cakap “Lina mungkin nak masuk sini buat CLP gak.”

Huh? Kenapa pula? Sekarang ni dia buat CLP ke? Dia buat kat mana? Aku tak tanyalah soalan tu tapi sorang member lain tanya.

“Sekarang dia buat kat UM. Tak tahulah kenapa dia nak tukar buat kat sini pula.”

Ada-ada aje… Lantaklah… Tak ada kena mengena dengan aku. Tak berminat nak tahu pun. Tapi dalam tak berminat nak tahu tu, kepala otak aku menjelajah ke alam teori jugalah. Pelik rasanya kalau dah dapat buat CLP kat institusi yang memang reputasi jurusan perundangannya begitu tersohor gitu, tiba-tiba nak tukar ke kolej swasta yang… yang… well… tersohor juga sebenarnya…

Dan teori aku tak dapat elak daripada mengaitkan Mr. Biawak dalam hal ni. Barangkali kat Brickfields tu lebih mudah nak jumpa Mr. Biawak sebab kalau UM, mungkin susah Mr. Biawak nak masuk dan keluar. Begitu juga dengan Lina sendiri. Barangkalilah…

Dan kebarangkalian tu memang betul sebab suatu petang tu selepas habis kelas, macam biasa aku tunggu bas kat Jalan Traverse. Ya… masa tu memang ada bus stop kat depan kuarters KTM tu. Dan ya, dulu memang ada kuarters KTM kat situ. Sekarang dah ada KL Sentral kat situ. Sebiji pun kuarters tu dah tak tinggal dah. Semasa aku baik punya rehat tunggu bas kat bus stop yang reka bentuknya memang dah tak wujud lagi sekarang ni kecuali kat kampung-kampung, tiba-tiba aku nampak Lina H pun berjalan datang hampir ke bus stop tu. Ooo… dia pun naik bas sari situ ek? Dan beberapa ketika lepas tu, Mr. Biawak pun datang gak sambil kunyah roti bun. Kelaparanlah tu agaknya. Pun tunggu bas kat situ ek? Destinasi yang sama kut. Dah kahwin agaknya dia orang tu.

Anyways… kelibat Lina H yang kelihatan depan mata kepala aku sendiri masa tu dah tak mencetuskan apa-apa emosi pun dalam hati dan perasaan jiwa ni. Tak payahlah susah-susah nak analisa petanda. Aku tau dah apa petandanya — aku dah tak hairan langsung dah kat Lina H… aharks!

Tapi berbeza dengan awek sorang lagi ni. Awek sorang lagi ni masih mencetuskan sikit emosi dalam jiwa aku biarpun dia tak ada depan mata. Awek tu cuma tukar abjad N kepada Z aje… eheks…! Awek tu ialah Liza.

Aku sangka Liza dah jadi salah satu topik sejarah riwayat hidup aku ni. Aku fikir semasa di London Heathrow hari tu Liza ucapkan ‘Selamat jalan’ yang disertai ‘Selamat tinggal’ kepada aku selain daripada ‘bon voyage’ yang menyayat hati aku. Oleh sebab tu aku pun mulakan proses yang penuh kesakitan ni untuk sikit demi sikit delete fail dia dari dalam memori kepala otak aku ni. Tapi…

Hari tu posmen hantar surat macam biasa, tapi sebagai penghuni rumah yang waktu siangnya tak ada apa-apa aktiviti selain makan free dan tidur free, maka akulah orangnya yang jadi tukang kutip surat dari dalam peti surat dan bawa masuk rumah. Memang tak pernah dapat surat untuk aku daripada sesiapa pun waima surat minta hutang daripada penaja pelajaran aku sekalipun.

Tapi hari tu, dalam beberapa keping surat rasmi yang ada tu, sekeping daripadanya nampak sungguhlah amat tak rasminya. Sampulnya warna hijau cair. Tebalnya lain macam. Dan setemnya — daripada UK! Dialamatkan kepada aku!

Dan dari tulisan tangan yang elok molek atas sampul tu aku dah tau siapa yang hantar — Liza! Adoi…!

Panjang suratnya. Beberapa helaian jugalah. Patutlah tebal. Walaupun masih belum dapat pecahkan rekod ‘watikah pelantikan’ yang  aku karang untuk Zah dan Lina W dulu, tapi tetap panjang dan teballah juga surat Liza ni. Dan membaca suratnya tu seolah-olah aku dapat tengok dan dengar dia berceloteh dengan penuh keletah di depan mata kepala aku sendiri. Imbasan kenangan tatkala dia datang mengejut ke rumah aku di Leeds sambil buat lawatan dan lintasan hormat kat bilik tidur aku dulu menerpa bayangan — lesung pipitnya, gelak ketawanya, dan ‘entah’nya…

Aku tak pasti sama ada aku patut layan atau tak hubungan dengan Liza ni bila pada masa yang sama aku dah berada hampir dengan Zah. Dan aku tak boleh nafikan bahawasanya hati aku lebih menjurus kepada Zah. Ada tarikan yang amat misteri yang tak dapat aku huraikan tentang Zah ni. Sejak dulu sampai sekarang aku tak faham dan tak dapat nak huraikan tentang tarikan yang ada pada diri Zah ni. Memandang dia — wajahnya, senyumannya, gerak-gerinya, lenggok kepala dan badannya, semuanya — akan mempesonakan aku dan aku tak dapat nak describe dan huraikan macam mana dan kenapa… entahlah…

Aku tak tahu lagi macam mana nak dapatkan confirmation daripada Zah ni. Patut ke aku dapatkan confirmation dia ek? Akan menjadi ke? Kalau dah dapat confirmation Zah, maknanya… hmmm… maknanya apa ek…? Adoi laaa

Maka aku kena buat rancangan nampak gayanya ni. Kena ajak Zah keluar dating. Cari masa dan lokasi yang sesuai. Lepas tu… lepas tu apa ya…? Tanya dia direct? Macam orang bodoh aje aku nanti… isy…

Apa-apa hal pun aku kena balas surat Liza dulu. Dan memang aku balas. Bercerita tentang betapa panasnya cuaca kat Malaysia ni. Betapa berlengasnya tubuh badan sementara nak sesuaikan diri dengan iklim Khatulistiwa. Tentang kelas CLP. Tentang naik bas mini setiap petang pergi dan balik ke kelas CLP. Tentang Mr. Ng. Yang jadi salah sorang lecturer CLP tu sebenarnya ialah DPP yang sering namanya masuk akhbar. Tentang Mr. Karpal Singh yang bersopan-santun dalam mahkamah tapi ganas brutal dalam Parlimen. Tentang restoran seniwati Rubiah Suparman yang tersohor dengan watak Dayang Suhana tak jauh dari kolej CLP tu. Tentang kaum perempuan yang kita orang tercuri-curi dengar sembang-sembang dia orang kat restoran tu bercerita tentang setokin yang dipakai oleh Mr. Ng… macam-macam ceritalah…

Pada masa yang sama, kepala aku sentiasa dok fikirkan rancangan nak berjumpa dengan Zah. Sejak balik ke Malaysia ni, aku sekadar sembang kat telefon aje dengan dia. Tak pernah bersua muka lagi. Kenapa?

Takut…

Ya bang… takut…

Takut kalau-kalau bila berjumpa dengan dia, dia tak semesra sebelum aku berangkat ke UK dulu. Takut kalau-kalau aku ternampak dia dengan balak mana-mana entah. Takut kalau-kalau dia akan bagi tau aku apa yang aku dok khuatir selama ni… alahai…

Nak bertemu Zah ni macam nak masuk pertandingan gusti pula ek? Kena buat persediaan fizikal dan mental. Mental, nak pastikan aku kuat terima apa saja natijah daripada kata-kata dia nanti. Fizikal, nak pastikan aku tetap nampak seksi walaupun hati bakal kecewa… ekekekeke… alahai…

Maka untuk kekuatan mental tu, aku suka lepak-lepak dengan kawan-kawan dan para sahabat. Dan macam biasa juga, bila lepak-lepak macam tu, aku lebih banyak diam dan dengar daripada bercakap. Macam-macam idea dapat bila duduk diam dan dengar tu. Kalau zaman tu dah ada blog, dah tentu semua topik sembang tu aku dah masukkan dalam blog… aharks…!

Jadi apa rencana aku dengan Zah ni ek? Macam menyejukkan pinggan yang panas kut? Tak boleh terus siram air. Nanti retak. Hati umpama pinggan kaca… amboi… Falsafah lagi ke ni…?

Jadi aku mulakan dengan melawat dia di ofis dia tu. Pagi tu aku masak nasi goreng. Masukkan dalam bekas dan aku naik bas bawa bekalan nasi tu ke ofis dia. Agak-agak tengah hari aku tiba ke hospital tu. Terus cari dia dan tawarkan diri untuk teman dia makan tengah hari.

Memang dia terkejut nampak aku tiba-tiba tercongok kat ofis hari tu. Tapi pada masa yang sama, dia ukir senyuman yang selama ni buat aku khayal terawang-awang… oh… betapa manis dan anggun senyumannya sejak dulu hingga kini… oh… Alangkah bertuahnya jantan yang jadi suami dia nanti… Hati dalam keadaan mendidih pun boleh sejuk bila nampak dia senyum…

Waktu makan tengah hari tu kami ke kafeteria hospital. Dia ke kaunter beli air dan ambil dua biji pinggan untuk berkongsi nasi goreng yang aku masak tu.

“Sedap,” dia puji. Tak tahulah sama ada beli jiwa atau memang ikhlas. Tapi aku rasa dia ikhlaslah sebab bila aku rasa nasi goreng yang aku sendiri masak tu, aku sendiri pun rasa agak lazat gak nasi goreng tu… hehehehe errr… jangan marah hah…

“Malulah Zah macam ni,” dia kata lagi.

“Kenapa? Zah masak tak sedap ke?”

Dia tak jawab, tapi dia sekadar tergelak kecil. Manis bunyi gelaknya. Oh… syahdu lagi aku…

Dan aku segera ambil peluang bertemu dia hari tu untuk buat next appointment. Temu janji berikut yang sepatutnya lebih signifikan. Temu janji yang aku harap akan beri kata penentu. Penentu masa depan ke? Well… begitulah cadangnya. Dia setuju ke agaknya? Boleh ke dia jumpa aku? Atau dia dah ada temu janji lain? Alamak!

“Nak keluar dengan Dzam weekend ni?” aku tanya terus terang. Apa nak jadi, jadilah.

“Zah ingat weekend ni nak pergi Seremban,” dia balas.

Seremban?

“Nak pergi rumah kakak,” dia sambung sebelum sempat aku suarakan pertanyaan dalam kepala otak aku tadi.

Oh… rumah kakak dia… Ada sesuatu menerpa kepala aku masa tu. Teringat semula sewaktu aku kerja kereta api dulu. Aku masih ingat lagi dia terus menumpang kereta api dari KL dan turun di Seremban.

“Dzam ikut Zah pergi Seremban nak?”

Pelawaan tu membuatkan nasi goreng lazat yang aku masak tu terlekat sekejap kat kerongkong. Uhuk! Dia ajak aku pergi Seremban jumpa kakak dia?

“Boleh ke…?” aku tanya lepas meneguk air hampir suku gelas.

“Boleh! Dzam ikut ya?”

Macam mana? Ikut ke tak? Berani betul dia ajak aku pergi jumpa kakak dia ek…? Hmmm… Ni dah masuk kategori berat ni. Aku ikut dia pergi Seremban?

“Tidur sana ke?” aku tanya.

“Kalau nak, boleh juga,” dia jawab. “Kalau nak, kita pergi hari Sabtu lepas Zah kerja, balik KL hari Ahad.”

Alamak! Gatal mulut aku ni! Tapi… tapi… isy… Bagi Zah, ajak lelaki asing macam aku jumpa dan bermalam di rumah kakak dia ni dianggap perkara biasa, atau bagi dia aku lelaki luar biasa yang calang-calang boleh diajak bermalam di rumah kakak dia? Yang mana satu? Dan kenapa?

Kalau minta dia bagi jawapan kepada persoalan aku masa tu memang sahihlah aku ni bangang, kan? Apa ke jadahnya? Kalau aku nak jawapan tu, aku kena ikut rencana dia tadi. Ikut dia ke rumah kakak dia di Seremban tu. Aku nak buat apa sebenarnya ikut dia ke rumah kakak dia tu ya? Berkenalan dengan keluarga kakak dia?

Ini petanda juga ke? Petanda bahawa pintu untuk aku dipelawa masuk ke dalam keluarga dia telah dibuka? Betul ke apa yang aku baca ni…? Barangkali ini petanda yang menyatakan bahawa aku antara lelaki yang boleh diterimanya untuk masuk ke mahligai hatinya? Benar ke? Mungkin ini tapak pertama untuk aku mengatur langkah yang selanjutnya…?

55 – Serius Antarabangsa

PAGI. Di Malaysia. Tak sejuk macam kat UK. Aku tak pakai baju. Sekadar berseluar cerut sambil mop lantai. Ya… memang aku rajin. Aku tau. Tak payah puji, nanti aku malu… aharks…! Tiba-tiba abang posmen sibuk bunyikan hon motor dia yang bunyi macam anak burung enggang tersepit tu.

Aku pun bergegas ke pintu pagar. Nak apalah abang posmen ni pagi-pagi lagi dah menjerit-jerit melalak. Bukan ke sepatutnya dia hantar surat lambat lagi?

“Tolong sain sini,” dia kata sambil menunjukkan pada aku sehelai borang. Sambil tu dia serahkan kepada aku… errr… sebuah… atau sekeping… atau… apa pulalah penjodoh bilangan yang aku nak gunakan untuk benda ni? Sekepinglah! Senang cerita.

Pagi tu sebenarnya aku terima sekeping surat yang sebenarnya sebuah bungkusan daripada UK. Kalau daripada UK tu memang tak ada orang lainlah yang hantar tu. Mestilah Basheeran Zaman. Eh? Bukan ek? Oh… bukan rupa-rupanya… hehehe… Bungkusan tu daripada Liza.

Apa benda ni ya? Aku bergegas masuk ke rumah semula. Memang dah terlupa langsung dah tentang lantai yang masih belum habis mop tu. Pantas tangan aku buka bungkusan. Apa benda yang Liza bagi ni? Keras semacam aje. Pinggan ke?

Oh…! CD rupa-rupanya… Melihat cover CD tu serta-merta buat aku teringat pada salah satu sembang aku dengan dia sebelum ni tapi aku tak ingat sama ada sembang di telefon atau dalam surat. Yang aku ingat, memang dia dengan aku pernah sembang tentang muzik. Well… sebenarnya topik muzik tu memang salah satu topik yang kita orang kerap sembang sama ada dalam telefon atau surat. Bercerita tentang muzik yang diminati, dan, yang paling lazim sangat, masing-masing-masing berteori tentang cerita dan maksud di sebalik lirik lagu-lagu yang jadi topik perbahasan tu. Biasanya lagu Inggerislah, sebab Liza seorang siswa kesusasteraan Inggeris. Aku? Aku bukan hebat sangat berbahasa Inggeris tapi apa topik pun kalau sembang dengan awek aku mesti akan cuba masuk jugalah. Nak tunjuk handallah konon-kononnya kan… eheks…!

Anyways… CD tu ialah CD Celine Dion. Memang aku pernah cakap kat Liza dulu bahawa antara penyanyi orang putih yang aku minat ialah Celine Dion. Sememangnya semasa aku baru nak berangkat balik ke tanah air tu ada ura-ura Celine Dion nak keluarkan satu CD baru. Pernah gak cakap pada Liza bahawa next CD Celine keluar, kalau aku masih kat UK, aku akan cuba beli.

“Kat Malaysia pun boleh beli, kan?” dia kata.

“Kat Malaysia mahal,” aku balas. “Sekeping CD tu harganya boleh buat bekalan makanan seminggu tau.”

Dan sememangnya Liza bersetuju dengan aku sebab harga CD kat UK boleh dianggap amat murah berbanding di Malaysia. Malah boleh beli second hand lagi. Biasanya dengan harga 0.99 p, yang pada masa tu lebih kurang RM8.00 aje. Try cari CD harga tu kat Malaysia zaman tu kalau kau orang hebat sangat… aharks!

Tapi, seperti yang telah dijangkakan pun, memang aku tak sempat nak beli CD Celine tu. Bagi aku dah kira melepaslah tu. Zaman tu memang belum ada lagi kaedah nak download lagu secara haram dalam format MP3 ke, WMA ke, apa ke… Dan atas sebab tu aku terima dengan rela ajelah nasib aku yang tak ada rezeki nak beli CD Celine Dion tu.

Tapi barangkali betullah kata orang… bila kita reda pada suatu kehilangan, kita akan diberikan rezeki terkejut! Dan aku dapat CD terkejut! Astaga wa esta bagadud… Rezeki terkejut bagi aku tu bukanlah CD Celine Dion tu sangat sebenarnya. Rezeki terkejut tu ialah Liza yang masih ingat tentang aku! Adoi laaa

Ini memang satu benda serius beb! Ini bukan serius calang-calang beb… Ini serius antarabangsa beb!

Dan aku tiba-tiba jadi takut… Takut banget! Takut memikirkan apa sebenarnya yang ada dalam hati Liza. Takut memikirkan perasaan Liza yang sebenarnya terhadap aku. Sedangkan aku dah berada begitu amat jauh beribu-ribu kilometer daripada dia, dan dia masih ingat pada aku sampai sanggup belikan dan pos CD Celine Dion ni kepada aku! Weh! Aku dah bertekad sebelum ni akan jadi baik dan takkan mempermainkan hati dan perasaan perempuan walaupun perempuan dah mempermainkan hati dan perasaan aku macam produk Toys-R-Us. Lebih-lebih lagi hati dan perasaan perempuan seperti Liza. Oh tidak! Tidak! No! No! No! Bukan Liza! Aku tak mahu lukakan hati awek seperti Liza. Tak mahu!

Tapi aku kat Malaysia sekarang ni tengah sibuk nak kejar dan tawan hati gadis comel dan menarik bernama Zah. Gadis yang berjaya menawan lantas mengurung aku dalam Alcatraz emosi yang sungguh bertahap maximum security. Hujung minggu ni aku akan ikut dia ke Seremban. Jumpa kakak dia pula tu. Kakak bukan sebarang kakak tau. Ni kakak sulung dia tau! Yang dah ada empat orang anak tau! Alahai… Macam mana ni…???

Sebenarnya apa dia perasaan Liza terhadap aku ni? Apa? Boleh ke aku buat tanggapan yang Liza sayangkan aku dan anggap aku kekasih dia semata-mata sebab dia ingat tentang cita rasa muzik aku dan berbelanja wang beli CD dan pos nak menghantar CD Celine Dion terbaru kepada aku kat Malaysia ni? Hanya sebab tu? Kalau aku fikir dia anggap aku kekasih hanya atas sebab tu, aku layak jadi jantan perasan tak?

Tapi kalau aku tak anggap macam tu, aku layak dianggap jantan kejam pula tak? Jantan yang mempermainkan hati dan perasaan gadis sebaik dan setulus Liza?

So macam mana ni? Perlu tak aku balas surat panjang yang mengiringi CD dia tu dengan pertanyaan “What am I to you, Liza?” Patut ke?

Dan kalau dia balas “You’re someone I love,” aku nak buat macam mana lepas tu? Tunggu Liza kembali ke tanah air dan lupakan Zah yang — sama ada Zah sendiri sedar atau tak — dah tawan hati aku sejak sebelum aku ke UK lagi? Zah yang aku tak dapat nak buang dari imaginasi dan ingatan walau macam mana pun aku cuba? Zah yang sentiasa sambut aku datang dengan senyuman mesra dan manisnya walau penat macam mana pun dia? Zah yang sehingga ke saat tu tak pernah lagi aku nampak wajah dia tanpa senyuman, atau diukir kemarahan, kesedihan mahupun keseriusan?

Dan kalau aku tunggu dengan setia kepulangan Liza, dan tanamkan cinta dan kasih kepada dia (yang sememangnya pernah aku fikir dan inginkan macam tu pun sebelum ni), ada jaminan ke yang aku lepas tu akan dapat lupakan Zah? Sedangkan semasa masih dengan Lina H dulu pun aku tak dapat buang Zah, inikan pula… adoi laaa

Apa patut aku buat ni…? Waktu untuk ikut Zah ke Seremban tak lama aje akan berkunjung dalam dua tiga hari lagi ni. Patut aku ikut aje Zah ke Seremban dan buat keputusan berdasarkan apa yang berlaku kat sana nanti? Atau aku buat keputusan sekarang dan putuskan sama ada patut ikut Zah ke Seremban atau tak?

Oh… kepada siapa aku nak mengadu hal ni…? Sebelum ni aku mengadu kat siapa ek? Tak ada siapa pun. Aku handle sendiri aje. Tapi kali ni…?

Kena rujuk kepada Garn, Kid dan Shagul ke…? Ajak dia orang datang rumah sambil main kucing dengan aku? Eh? Main kucing?

Wallaweh! Hal serius ni weh! Nak main-main pula ek? Main kucing pula tu! Tapi bila ajak dia orang datang rumah, dan bila dah lepak dengan dia orang, memang aku takkan keluarkan masalah aku punya. Sesi tu akan jadi sesi lepak sesama jantan punya. Dan aku —macam biasa — akan rasa terhina amat kalau aku terpaksa rujuk kat orang tentang masalah emosi aku… adeh!

Aku nak tanya siapa ni…? Dan patut ke aku teruskan rancangan aku membalas surat Liza dengan pertanyaan tulus ikhlas aku tu? Dan bersedia ke aku dengan respons yang sewajarnya nanti?

Dan… jauh di sudut paling dalam di hati aku ni, perasaan apa sebenarnya yang aku ada terhadap Liza…? Hmmm… perasaan apa ek…?

Aku kena buat muhasabah diri ni. Kena buat penilaian sendiri ni. Mesti!

Bahawa aku memang ada keinginan untuk jadikan Liza teman sehati sejiwa aku? Gadis seperti Liza tu?

Ya.

Bahawa aku amat berharap Liza sayang pada aku dan mahukan aku sebagai kekasih dia?

Ya.

Bahawa aku akan bahagia kalau Liza ada bersama aku?

Ya.

Bahawa aku akan selesa setiap kali di sisi Liza?

Ya.

Bahawa aku tak boleh nak rasa marah bila ditemani Liza?

Ya.

Alamak! Ini memang isu serius antarabangsa beb…!!!

56 – Seremban – Pengembaraan Bermula

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: