Sahabat

Debaran Untukmu

Sungguh hampir terhenti nafas ini
bila fikiran dikaburi
oleh apa yang sudah makin bersebati
dalam ketakutan yang pasti

Aku fikir kau sudah menyambung perjalanan
menyusur jalan yang pernah ditempuh
oleh mereka yang terdahulu
dengan tenang dalam senyuman
dengan reda dalam aman

Aku fikir aku sudah karam lemas
sendirian melayan titis air tergenang
aku fikir aku akan jatuh terlentang
aku fikir aku akan ikut kau pulang
aku fikir tentang emosi yang mati
aku fikir tentang kau yang girang menanti

Terima kasih sahabat
walau dalam nazak dan pedihmu
kau mengingatkan aku tentang destinasi
yang sering aku lupakan
sambil mengerling simpang yang semakin hampir
sambil hati sudah bulat hendak membelok tanpa fikir
kau masih berdiri dalam ruhmu
menggenggam bekal yang tidak tercicir sedikit pun
sambil melambai kepadaku.

Pelawaan Hati

Mahukah kau menjadi purnama
Di langit malam menyinar cahaya
Memimpin haluan pada yang gelita
Menyemai rindu di hati yang kelana?

Atau kau sudi menjadi mentari
Membangunkan insan dari igauan dan mimpi
Membanjirkan laman dengan selaut rezeki
Menyemarakkan hangat yang berselimut api?

Mungkin kau rela menjadi samudera
Menghanyutkan rasa yang pijar membara
Mendamparkan kecewa di pantai melata
Sehingga kontang kederat upaya?

Tidakkah mahu menjadi puteri
Bertakhta utuh di singgahsana hati
Dibaluti sutera dipagari duri
Di mahligai permata menjadi nurani?

Perkhabaran untuk hati
Bahagiakanlah sanubari ini

Terima Kasih

Terima kasih
kerana menjadi api
menyalakan kembali harapan
yang dulu kian mati

Terima kasih
kerana menjadi malam
mengembalikan padaku mimpi
menggantikan igauan seram

Terima kasih
kerana menjadi hujan
mendinginkan cinta dan rindu
yang hampir hangus kepanasan

Terima kasih
kerana walaupun seketika
sepalit bahagia
cukup untuk menawar
seabad derita

 

2 Respons to “Sahabat”

  1. Saya antara pengikut setia blog saudara..
    Harap boleh berkongsi link.
    TQ

Tinggalkan komen